SN207 – KISAH ANWAR, SAIFUL DAN . . .
Kes Liwat Anwar-Saiful, Apa Yang Tak Kena?
Sejak awal kes ini terbongkar, banyak pihak apatah lagi pembangkang yang menganggap wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan Anwar oleh pihak-pihak tertentu. Mereka mempertikaikan apa yang berlaku dari A-Z dan menyifatkan kes liwat ini sebagai fitnah kali kedua untuk menjahanamkan karier politik ketua pembangkang itu. Sehinggalah apabila kes mula disebut di Mahkamah Tinggi, para penyokong Anwar terus berhimpun demi menyuarakan bantahan. Selain pihak yang bersimpati, tidak kurang wujudnya sebahagian pihak lain yang percaya bahawa ahli Parlimen Permatang Pauh itu memang terlibat di dalam perbuatan tidak bermoral itu. Apa pun, sebagai Muslim, Islam melarang kita menuduh seseorang itu bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah. Kaedah syarak menyatakan ‘al-aslu bara’atu zimmah’ (hukum asal seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan). Dalam Islam, seseorang itu hanya dikatakan bersalah apabila mahkamah telah mensabitkan kesalahannya. Justeru kita sepatutnya menjaga diri kita dari dosa dengan tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan ke atas orang yang belum dibuktikan bersalah.
Apa yang memang benar-benar salah di sini ialah apabila kes ini dibicarakan di Mahkamah Sivil. Sungguh malang apabila kes berprofil tinggi ini berlangsung, tidak ada ataupun mungkin hanya segelintir umat Islam yang ada pada hari ini menyedari bahawa Anwar telah dibicarakan di mahkamah yang ‘salah’ yakni mahkamah kufur, bukannya mahkamah Islam! Secara pasti, sistem kehakiman dan undang-undang yang diguna pakai adalah undang-undang thagut yang ditinggalkan oleh penjajah. Sebahagian umat Islam gagal menyedari bahawa liwat ialah kesalahan hudud yang wajib dihukum mengikut hukum Allah, bukannya mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang digubal oleh manusia, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. Nampaknya undang-undang Allah terus dibakul sampahkan oleh para pemimpin sekular dan oleh mahkamah yang ada pada hari ini walaupun kesemua pihak yang terlibat adalah beragama Islam.
Seperkara lagi yang tidak kena dalam kes dakwaan liwat oleh Saiful ke atas Anwar di sini adalah apabila hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang sahaja yang dibicarakan, manakala Saiful tidak! Berdasarkan pertuduhan di bawah S377B, dan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh Saiful sendiri di mahkamah setakat ini, teramat jelas bahawa Saiful (penuduh) mengakui bahawa dia telah diliwat oleh bekas majikannya itu. Ini bermakna, terdapat dua keadaan kes di sini
(i) Pengakuan Saiful yang dia diliwat oleh Anwar, dan
(ii) Tuduhan bahawa Anwar meliwatnya.
Dalam keadaan (i), menurut Islam, jika seseorang itu telah mengaku melakukan suatu kesalahan dengan sengaja atau sukarela, dan dia benar-benar faham akan kesalahan dan kesan pengakuan yang dibuatnya, maka dia hendaklah dihukum.
Untuk kes (ii), si Saiful hendaklah mendatangkan dua saksi yang adil di atas pertuduhannya ke atas Anwar. Anwar sekali-kali tidak boleh disabitkan (kesalahan) berdasarkan pengakuan Saiful, kerana pengakuan Saiful hanya akan ‘mensabitkan’ dirinya sendiri dan tidak boleh mensabitkan orang lain.
Bagi ‘pengakuan’ liwat yang telah dilakukan oleh Saiful, maka menurut fikih perundangan Islam, qadhi yang sedang menghakimi kes ini hendaklah bertanya, sama ada liwat tersebut berlaku secara paksa atau sukarela? Jika dipaksa, perlu diperhalusi lagi, apakah paksaan itu ‘bersangatan’ (ikrahul mulji’) sifatnya (yakni) yang boleh membawa kematian atau kecederaan berat, atau sekadar paksaan yang tidak memudaratkan? Qadhi perlu menyoalsiasat perkara ini dengan mendalam agar perlakuan liwat tadi boleh ditentukan statusnya, sama ada termasuk ke dalam kategori penganiayaan (jika ikrahul mulji’) atau kemaksiatan (jika dilakukan secara sukarela atau sebenarnya paksaan yang berlaku tidaklah sampai memudharatkan). Jika wujud paksaan tetapi sekadar dimarah atau ditengking, ini tidak sekali-kali termasuk dalam ikrahul mulji’. Berbeza jika seseorang yang diacukan pistol atau pisau dan diarahkan melakukan suatu kesalahan, maka ini merupakan keadaan ikrahul mulji’ baginya.
Jika kejadian liwat ini termasuk di dalam kes penganiayaan (wujudnya ikrahul mulji’) maka si pendakwa akan terlepas dari hukuman. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW,
“Diangkat (kesalahan) dari umatku (dalam keadaan) tidak sengaja, lupa atau kerana dipaksa”[HR Ibnu Majah dan Baihaqi].
Dan jika si pendakwa berjaya membuktikan (dengan mendatangkan dua saksi yang adil) bahawa si tertuduh meliwatnya dalam keadaan ikrahul mulji’, manakala si tertuduh tidak mengakuinya, maka pihak yang tertuduh mestilah dipanggil untuk membela diri. Namun sebaliknya, jika tidak wujud ikrahul mulji’, maka si pendakwa wajiblah dikenakan hudud di atas ‘pengakuan’ liwatnya kerana ini bermakna dia telah melakukan kesalahan liwat dengan sengaja. Jika si pendakwa gagal mendatangkan dua orang saksi dan si tertuduh pula tidak mengaku, maka si tertuduh adalah terlepas dari hukuman. Bagaimanapun wajib bagi qadhi/hakim mendengar hujah dan pembuktian dari kedua-dua pihak, sebelum memutuskan hukuman. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW tatkala mengangkat Ali bin Abi Thalib menjadi qadhi di Yaman, sabda baginda,
“Jika ada dua orang yang bersengketa duduk di hadapanmu (meminta keputusan), janganlah engkau berbicara (memberi keputusan) hingga engkau mendengarkan (keterangan) dari pihak lain sebagaimana engkau telah mendengar dari pihak yang pertama” [HR Ahmad].
Hukuman Liwat Dalam Islam (Yang Meliwat dan Yang Diliwat)
Di dalam sistem uqubat Islam, liwat adalah termasuk di dalam kategori kesalahan hudud. Islam telah menetapkan bahawa hukuman liwat adalah bunuh, sama ada pelakunya belum berkahwin (ghair muhsan) ataupun yang telah berkahwin (muhsan). Sesiapa saja yang telah terbukti melakukan liwat, maka dia hendaklah dihukum bunuh. Dalilnya adalah berdasarkan Sunnah dan Ijma’ Sahabat. Dari Ibnu Abbas ra ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa yang kamu dapati ia melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya” [HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tarmizi].
Manakala dalil yang ditunjukkan oleh Ijma’ Sahabat adalah kesepakatan para sahabat untuk membunuh pelaku liwat, sama ada yang belum berkahwin mahupun yang telah berkahwin. Hukumnya tetap sama iaitu bunuh, walaupun cara pembunuhannya berbeza.
Imam Baihaqi telah mengeluarkan hadis dari Ali bin Abi Thalib ra bahawa beliau merejam pelaku liwat. Hadis lain yang dikeluarkan oleh Baihaqi, dari Abu Bakar ra bahawa beliau mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan kes liwat. Di antara para sahabat Rasulullah itu, yang paling tegas pendapatnya adalah Ali bin Abi Thalib ra, beliau mengatakan,
“Liwat adalah perbuatan dosa yang belum pernah dilakukan oleh umat manusia, kecuali satu umat yakni kaum Lut sebagaimana yang telah kamu ketahui. Dengan demikian, pelaku liwat mesti dibakar dengan api.”
Diriwayatkan dari Ja’far bin Muhammad, dari bapanya, dari Ali bin Abi Thalib ra selain dari kisah ini berkata,
“Rejam dan bakarlah dengan api”.
Imam Baihaqi juga mengeluarkan hadis dari Ibnu Abbas bahawa beliau ditanya tentang hukum hudud bagi pelaku liwat, maka beliau berkata,
“Jatuhkanlah dari atas bangunan yang paling tinggi di suatu tempat, kemudian hujanilah dengan lemparan batu.”
Diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ra bahawa beliau membunuh pelaku liwat dengan pedang, kemudian membakarnya, disebabkan besarnya dosa liwat ini. Umar ra dan Uthman ra berpendapat,
“Pelaku liwat dilempari dengan benda-benda keras sehingga mati.”
Semua ini adalah pendapat dan tindakan para sahabat (Ijma’ Sahabat) dalam melaksanakan hukuman bagi pelaku-pelaku liwat iaitu dibunuh, walaupun uslub (cara) pembunuhannya berbeza-beza. Namun demikian, hukumannya tetap dibunuh, sama ada direjam, dipancung, dilempar dari bangunan yang tinggi dan pelbagai lagi uslub lainnya yang boleh digunakan untuk melaksanakan hukum bunuh ke atas pelaku-pelaku liwat.
Inilah hukum Islam ke atas pelaku liwat berdasarkan nas-nas hadis yang jelas, dan tidak ada serta tidak boleh (haram) menjatuhkan hukuman selain hukuman ini. Adapun hukuman 20 tahun penjara mahupun hukuman sebat di bawah S377B Kanun Keseksaan bukanlah hukuman Islam. Begitu juga dengan hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian IV Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan Seksyen 25, yang memperuntukkan,
“mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu”,
ini juga bukan hukuman Islam, malah hukuman ini adalah bertentangan sama sekali dengan Al-Quran dan as-Sunnah. Hendaknya mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah ini takut akan azab dariNya. Firman Allah,
“…maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih” [TMQ an-Nur (24):63].
Allah juga berfirman bahawa barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukumNya, maka mereka itulah orang-orang yang kafir [5:44], zalim [5:45] dan fasik [5:47].
Pembuktian Liwat
Adapun mengenai hukum-hukum pembuktian (ahkam al-bayyinat) dalam Islam, di mana hukum-hukum pembuktian tersebut sama seperti halnya hukum-hukum Islam yang lain, yang merupakan hukum-hukum syarak yang digali dari dalil-dalil yang bersifat tafsiliyyah (terperinci). Syeikh Ahmad ad-Da’ur mendefinisikan ‘bukti’ (al-bayyinat) sebagai ‘semua hal atau perkara yang dapat membuktikan sesuatu dakwaan’. Bukti juga merupakan hujah bagi orang yang mendakwa atas dakwaannya. Islam menjelaskan bahawa bukti itu terdiri 4 jenis iaitu:-
(i) Pengakuan
(ii) Sumpah
(iii) Kesaksian
(iv) Dokumen-dokumen bertulis yang meyakinkan.
Keempat-empat bukti di atas adalah bukti-bukti yang telah ditetapkan oleh syarak. Tidak ada bukti-bukti yang lain yang diiktiraf oleh syarak selain dari 4 kategori bukti di atas. Mengenai indikasi (qarinah) pula, ia tidak termasuk sebagai bukti menurut syarak [Syeikh Ahmad ad-Da’ur Ahkam al-Bayyinat Fil Islam].
Berdasarkan hukum pembuktian di dalam Islam, liwat terbukti dengan adanya
(i) pengakuan atau
(ii) kesaksian 2 orang saksi atau seorang lelaki dan dua orang perempuan (yang adil) sebagaimana pembuktian (bayyinah) dalam kes pencurian serta kes hudud yang lainnya (kecuali zina).
Hukuman hudud bagi liwat dapat dijatuhkan dengan syarat kedua-dua pelakunya itu baligh, berakal, rela dengan sendirinya (bukan dipaksa) dan terbukti telah melakukan liwat dengan bukti syar’ie iaitu pengakuan dan dengan kesaksian 2 orang lelaki atau seorang lelaki dan dua orang perempuan. Sekiranya, pelaku liwat adalah kanak-kanak, orang gila atau orang yang dipaksa dengan paksaan yang bersangatan (ikrahul mulji’), maka ia tidak dijatuhi had liwat, sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.
Berbalik kepada perbicaraan liwat Anwar-Saiful yang ada di hadapan kita sekarang, maka sebagai Muslim, kita hendaklah melihat kes ini dari perspektif syarak semata-mata, bukannya berdasarkan undang-undang kufur yang ada sekarang atau pun berdasarkan emosi. Kita bukanlah qadhi/hakim yang boleh memutuskan sama ada Anwar bersalah atau tidak, namun kita wajib mengingatkan umat Islam, baik pemerintah, hakim, peguam, saksi, pemerhati dan siapa sahaja yang terlibat mahupun tidak, bahawa perbicaraan ini hendaklah dijalankan dengan hukum-hakam Islam, bukan dengan undang-undang sekular. Kita juga tidak boleh menuduh Anwar bersalah selama mana tidak ada pengakuan atau bukti yang menunjukkan dia bersalah. Andainya Anwar terlepas dari hukuman dunia sekalipun kerana ketiadaan/kekurangan saksi atau bukti, namun, jika Anwar benar-benar melakukan perbuatan terkutuk itu (hanya Allah, Anwar dan Saiful sahaja yang mengetahuinya), maka kita yakin bahawa Anwar sekali-kali tidak akan terlepas dari hukuman dan azab Allah di akhirat nanti.
Namun, seandainya benar-benar terdapat konspirasi dari pihak-pihak tertentu yang memiliki kekuasaan, untuk memfitnah, mengaibkan dan menjatuhkan Anwar, maka kita doakan agar Allah mendedahkan segala kejahatan ini agar keadilan dapat terlihat di dunia lagi. Namun jika Allah menghendaki agar segala fitnah dan konspirasi ini tertutup di dunia, maka kita yakin bahawa Allah sekali-kali tidak akan menutup konspirasi ini di akhirat dan Allah tidak akan melepaskan setiap pelakunya dan kita benar-benar yakin bahawa Allah akan pasti mengazab mereka dengan sekeras-keras dan sepedih-pedih azab.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Semoga dengan berlakunya ulang tayang kes liwat ini akan membuka mata kalian betapa hukum Allah langsung tidak dihiraukan oleh pemerintah dan betapa gagalnya sistem pemerintahan sekular dan mahkamah sekular dalam menegakkan keadilan. Sesungguhnya tidak akan tertegak keadilan selama mana tidak ada pemerintahan Islam dan selama mana manusia tidak berhukum dengan hukum Islam. Ideologi Kapitalisme yang memisahkan agama dari kehidupan yang dianut oleh pemerintah pada hari ini tidak akan mampu memberikan penyelesaian yang tuntas kepada persoalan hidup manusia, malah hari demi hari kita menyaksikan penerap dan pengembang ideologi busuk ini menjadi semakin zalim dan semakin jauh dari Islam. Hari ini, manusia yang zalim boleh melakukan segala macam kezaliman ke atas manusia yang lain dan boleh menutupnya dengan segala kekuasaan yang ada pada mereka. Namun ingatlah apabila kita dihadapkan ke mahkamah Allah nanti, pada waktu itu bukan hanya mulut yang berbicara, tetapi kesemuanya akan menjadi saksi,
“Dan mereka berkata kepada kulit mereka, ‘mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami’. Kulit mereka menjawab, ‘Allah yang telah menjadikan segala sesuatu pandai berkata-kata telah menjadikan kami pandai (pula) berkata-kata, dan Dialah yang menciptakan kamu pada kali yang pertama dan hanya kepadaNyalah kamu dikembalikan” [TMQ Fussilat (41):21].
Wallahu a’lam.