SN237 – MAHUKAH ANDA BERZINA DENGAN IBU SENDIRI?

PDF

SN Keluaran 5 November 2010
 

alt
 
MAHUKAH ANDA BERZINA DENGAN IBU SENDIRI?
 

 

[SN237] Malaysia sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya menganjurkan 1st World Conference On Riba (Konferens Pertama Dunia Tentang Riba) pada 1 dan 2 November lepas. Konferens dua hari yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunis Putra (PWTC) itu menyaksikan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir sebagai pembuka dan pemberi ucaptama majlis. Konferens ini bagaimanapun tidak mendapat liputan meluas dan amat sukar untuk mengakses informasi lanjut mengenainya. Namun menurut laman webnya, konferens ini menghadirkan 11 orang ahli panel dari dalam dan luar negara, antaranya Syeikh Seraj Hendriks (mufti dan imam Cape Town, Afrika Selatan), Syeikh Imran N. Hosein (imam dan pengarang, Trinidad & Tobago), David Musa Pidcock (pemimpin Parti Islam Britain), Rodney Shakespeare (Christian Council For Monetary Justice, United Kingdom), Dr. Ahamed Kameel Myden Meera (profesor UIA), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Penyelidik, Akademi Pemyelidikan Syariah Antarabangsa) dan juga Dato’ Seri Dr. Zambri Abdul Kadir (Menteri Besar Perak).
Dari sedikit berita yang dilaporkan di internet, Dr. Mahathir dalam ucaptamanya langsung tidak menyentuh tentang persoalan riba tetapi menekankan masalah penggunaan dinar emas sebagai alternatif dan solusi kepada masalah kewangan antarabangsa. Jika benarlah hal ini, ia langsung tidak memeranjatkan kerana di zaman pemerintahannya, perbankan riba dijaga rapi dan tumbuh subur malah menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara. Justeru mana mungkin bekas Menteri Kewangan ini ingin ‘mengutuk’ atau menyalahkan dasar ekonomi ribawi yang telah dibinanya selama ini? Apatah lagi apabila sistem ekonomi ribawi zaman Dr. Mahathir ini diteruskan lagi legasinya oleh pewaris kesayangan beliau, Datuk Seri Najib Razak. Dominannya praktik riba hari ini adalah tidak lain kerana adanya keizinan dan penjagaan rapi dari para pemerintah itu sendiri di dalam penerapannya. Inilah sifat sebuah pemerintahan Kapitalis yang langsung tidak mempedulikan halal-haram atau dosa-pahala dalam pemerintahan negara tetapi menyandarkan segalanya atas asas manfaat!

Riba Haram Secara Qat’ie

Keharaman riba adalah ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (perkara yang tidak boleh uzur untuk tidak diketahui hukumnya di dalam agama). Al-Quran dan Sunnah dengan begitu sarih (jelas) menerangkan keharaman riba dalam pelbagai bentuknya, baik sedikit mahupun banyak jumlahnya. Allah SWT berfirman,

“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), ‘Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan), dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya” [TMQ al-Baqarah (2):275].

FirmanNya lagi,

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak mengerjakan (tidak meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu. Kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya” [TMQ al-Baqarah (2):279].

Sesungguhnya tidak ada perbezaan pendapat sedikitpun di kalangan ulama tentang keharaman riba. Keharaman riba adalah qat’ie (tegas dan pasti) dan tidak boleh diijtihadkan lagi. Betapa besar dosanya sehingga Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang kepada mereka yang mengambil riba. Bukan setakat itu, Allah SWT di dalam ayat di atas bahkan menegaskan bahawa orang yang memakan riba itu akan berada di dalam neraka dan kekal di dalamnya, na’uzubillah min zalik. Di dalam hadis juga Rasulullah SAW telah menjelaskan hal yang sama di mana sabda baginda,

“Jauhilah oleh kalian 7 perkara yang membinasakan’. Para shahabat bertanya, ‘Apakah ia wahai Rasulullah?’. Rasulullah SAW menjawab, ‘Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh wanita-wanita Mukmin yang baik-baik berbuat zina”.

Di dalam hadis lain disebutkan bahawa,

“Rasulullah SAW melaknat orang memakan riba, yang memberi makan riba, penulisnya, dan dua orang saksinya. Baginda bersabda, mereka semua adalah sama” [HR Muslim].

Sungguh amat besarnya dosa riba sehingga Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa,

“Riba itu memiliki 73 pintu. Yang paling ringan (dosanya) adalah seperti seseorang yang berzina dengan ibunya sendiri” [HR al-Hakim dan al-Baihaqi].

Abu Hurairah ra. menuturkan bahawa Nabi SAW bersabda,

“Riba itu (ada) 70 dosa. Yang paling ringan adalah (seperti) seorang lelaki yang menikahi (menzinai) ibunya sendiri” [HR Ibn Majah, al-Baihaqi, Ibn Abi Syaibah & Ibn Abi Dunya].

Di dalam riwayat lainnya ada dinyatakan 70, 72 dan 63 di mana kesemuanya menunjukkan bahawa riba itu banyak jenisnya dan tingkat dosanya. Namun dosa yang paling ringan dari kesemua jenis riba adalah umpama seseorang itu berzina dengan ibunya sendiri, na’uzubillah min zalik. Bahkan Abdullah bin Hanzhalah menuturkan, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki, sementara ia tahu, lebih berat (dosanya) daripada berzina dengan 36 orang pelacur” [HR Ahmad & at-Thabrani].

Ibn Abbas juga menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Satu dirham riba (dosanya) kepada Allah lebih berat daripada 36 kali berzina dengan pelacur’ (Ibn Abbas seterusnya berkata) dan baginda bersabda, ‘Siapa saja yang dagingnya tumbuh dari (hasil) yang haram maka neraka lebih layak untuknya”[HR al-Baihaqi & at-Thabrani].

Imam Asy-Syaukani dalam Nail al-Authar, berkata, “Hal ini menunjukkan bahawa riba termasuk kemaksiatan yang paling berat. Sebabnya, kemaksiatan yang menandingi bahkan lebih berat daripada kemaksiatan zina, yang merupakan perbuatan yang sangat menjijikkan dan sangat keji, tidak diragukan lagi, bahawa kemaksitan riba itu melampaui batas-batas ketercelaan.”

Dari nas-nas di atas, kita dapat memahami bahawa selain azab di akhirat, riba juga akan menimbulkan kerosakan besar di dalam masyarakat yang lebih besar daripada kerosakan akibat zina atau dosa-dosa lainnya. Secara faktanya, riba sejak dahulu hingga kini merupakan alat penindasan, perhambaan, eksploitasi, kezaliman, pemerasan, penghisapan darah, penjajahan dan bermacam-macam kejahatan lainnya. Semua itu bukan hanya terjadi pada tingkat individu sahaja, malah terjadi terhadap suatu bangsa, umat dan negara mana sekalipun. Kezaliman riba boleh dilihat secara nyata dari peringkat sesama individu sehinggalah kepada peringkat penjajahan dunia, khususnya apa yang dilakukan oleh negara yang kuat/kaya ke atas negara lemah/miskin seperti apa yang terjadi ke atas negara-negara Dunia Ketiga. Melalui hutang dengan sistem riba, akhirnya kekayaan negara-negara Dunia Ketiga terus dirampas dan mengalir ke negara besar. Dengan hutang itu pula, negara-negara Dunia Ketiga dijerat dan dikendalikan dengan mudah oleh negara-negara besar. Penjajahan ekonomi ini seterusnya mengakibatkan kepada penjajahan fizikal yang berupa ketundukan negara Dunia Ketiga mahupun Negara Membangun kepada negara besar.

Menghalalkan Riba Atas Alasan Darurat

Walaupun riba telah dinyatakan haram secara qat’ie di dalam Al-Quran dan Al-Hadis, malah dengan ancaman neraka yang begitu nyata dari Allah, namun sungguh pelik kerana sebahagian besar dari umat Islam masih mempraktikkan riba. Riba diamalkan dengan begitu berleluasa oleh umat Islam seolah-olah tiada apa-apa kesalahan langsung dengannya. Merajalelanya riba dalam sistem Jahiliyyah pada hari ini menyebabkan masyarakat sudah sebati dan terlalu lali dengannya, sehingga jika ada orang yang tidak mengamalkan riba, orang itulah yang dianggap asing, malah kadang-kadang orang itu dianggap sebagai ekstrem atau bodoh. Selain kejahatan pemerintah sekular yang mengamal dan menghalalkan riba di dalam pemerintahan, sebab lain kenapa umat Islam terlalu mudah mempraktikkan riba adalah kerana adanya fatwa dari ulama’ su’ (buruk) dan dari golongan agamawan yang mementingkan dunia, bahawa riba itu halal sekiranya darurat. Mereka dengan begitu mudah memfatwakan bahawa umat Islam sekarang berada dalam keadaan darurat di mana kita perlu memiliki rumah, kereta dan sebagainya manakala tidak ada cara lain (tidak ada pilihan) untuk mendapatkan semua itu kecuali dengan jalan riba. Maka hal ini diperbolehkan. Mereka menambah bahawa seseorang itu tidak berdosa kerana pemerintahlah yang menanggung dosa dalam hal ini. 

Sebelum mengulas lanjut akan kesalahan cara berfikir ini, kita perlu faham terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan ‘darurat’. Menurut Al-Jurjani dalam At-Ta’rifat hal. 138, darurat berasal dari kata dharar. Sedangkan kata dharar itu sendiri mempunyai tiga makna pokok, iaitu lawan dari manfaat (dhid al-naf’i), kesulitan/kesempitan (syiddah wa dhaiq) dan buruknya keadaan (su’ul hal) (Al-Munawwir, 1984:876). Kata dharurah, dalam kamus Al-Mu’jam Al-Wasith hal. 538 bererti keperluan (hajah), sesuatu yang tidak dapat dihindari (la madfa’a laha) dan kesulitan (masyaqqah). Dari segi istilah, dharurah (darurat) mempunyai banyak definisi yang hampir sama pengertiannya. Kami paparkan berikut pelbagai definisi darurat menurut ulama empat mazhab dan ulama kontemporeri, yang terhimpun dalam kitab Al-Dharurah wa Al-Hajah wa Atsaruhuma fi Al-Tasyri’ Al-Islami karya Abdul Wahhab Ibrahim Abu Sulaiman (1994), dan kitab Nazhariyyah Al-Dharurah Al-Syar’iyah karya Wahbah Az-Zuhaili (1997).

Menurut Mazhab Hanafi: Al-Jasas dalam Ahkamul Qur’an (I/150) ketika membahas makhmasah (kelaparan parah) mengatakan, darurat adalah rasa takut akan ditimpa kerosakan atau kehancuran terhadap jiwa atau sebahagian anggota tubuh bila tidak makan. Al-Bazdawi dalam Kasyful Asrar (IV/1518) menyebutkan definisi yang sama, iaitu darurat dalam hubungannya dengan kelaparan parah (makhmasah) ialah jika seseorang tidak mahu makan, dikhuatiri ia akan kehilangan jiwa atau anggota badannya. Manakala dalam kitab Durar Al-Ahkam Syarah Majallah Al-Ahkam (I/34), Ali Haidar mengatakan, darurat adalah keadaan yang memaksa (seseorang) untuk mengerjakan sesuatu yang dilarang oleh syara’ (al-halah al-mulji’ah li tanawul al-mamnu’ syar’an).

Menurut Mazhab Maliki: Ibn Jizzi Al-Gharnati dalam Al-Qawanin Al-Fiqhiyah (hal. 194) dan Al-Dardir dalam Al-Syarh Al-Kabir (II/115) mengatakan, darurat ialah kekhuatiran akan mengalami kematian (khauf al-maut)…dan tidak disyaratkan seseorang harus menunggu sampai (benar-benar) datangnya kematian, tapi cukuplah dengan adanya kekhuatiran akan mati, sekalipun dalam tingkat dugaan (dzan).

Menurut Mazhab Syafie: Imam Suyuthi dalam Al-Asybah wa An-Nazha’ir hal. 61 mengatakan darurat adalah sampainya seseorang pada batas di mana jika ia tidak memakan yang dilarang, ia akan binasa (mati) atau mendekati binasa. Muhammad Al-Khathib Al-Syarbaini dalam Mughni Al-Muhtaj (IV/306) menyatakan, darurat adalah rasa khuatir akan terjadinya kematian atau sakit yang menakutkan atau menjadi semakin parahnya penyakit ataupun semakin lamanya sakit…dan ia tidak mendapatkan yang halal untuk dimakan, yang ada hanya yang haram, maka saat itu ia mesti makan yang haram itu.

Menurut Mazhab Hanbali: Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni (VIII/595) menyatakan, darurat yang membolehkan seseorang makan yang haram (al-dharurah al-mubahah) adalah darurat yang dikhuatiri akan membuat seseorang binasa jika ia tidak makan yang haram.

Menurut Ulama Kontemporeri: Muhamad Abu Zahrah dalam Usul Al-Fiqh hal. 43 mendefinisikan darurat sebagai kekhuatiran akan terancamnya nyawa jika tidak memakan yang diharamkan atau khuatir akan musnahnya seluruh harta miliknya. Mustafa Az-Zarqa’ dalam Al-Madkhal Al-Fiqhi Al-‘Aam (I/991) berkata, darurat adalah sesuatu yang jika diabaikan akan berakibat bahaya, sebagaimana halnya al-ikrah al-mulji’ (paksaan yang mengancam jiwa) dan khuatir akan mati kerana kelaparan.

Dari pelbagai definisi oleh ulama empat mazhab, mereka telah memberi pengertian yang hampir sama, iaitu darurat bermaksud suatu keadaan terpaksa yang dikhuatiri dapat menimbulkan kematian atau mendekati kematian. Dengan kata lain, semuanya mengarah kepada tujuan pemeliharaan jiwa (hifz an-nafs). Sesungguhnya definisi darurat haruslah dikembalikan pada nas-nas yang menjadi sumber pembahasan darurat. Ini kerana, istilah darurat sememangnya bersumber dari beberapa ayat al-Qur‘an, seperti dalam surah al-Baqarah (2):173, al-Ma’idah (5):3, al-An’am (6):119, al-An’am (6):145 dan an-Nahl (16):115. Kesemua kandungan ayat ini adalah menerangkan keadaan darurat di mana terancamnya jiwa jika tidak memakan yang haram seperti (memakan) bangkai dan daging babi. Jadi, kunci persoalan di dalam memahami ‘darurat’ adalah pada makna dalil-dalil syar’i yang mendasari definisi darurat itu sendiri. Berdasarkan ayat-ayat itulah, Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dalam kitab Asy-Syakhshiyah Al-Islamiyah (III/477) menyatakan, definisi darurat adalah keterpaksaan yang sangat mendesak yang dikhuatiri akan dapat menimbulkan kebinasaan/kematian (al-idhthirar al-mulji’ alladzi yukhsya minhu al-halak). Inilah pengertian darurat yang sahih, yakni sebagaimana yang diberikan oleh para mujtahid yang didasari dari Al-Quran itu sendiri.

Nah, bagaimana mungkin riba boleh manjadi halal dalam keadaan darurat? Kerana darurat itu sendiri bermaksud suatu keadaan terpaksa yang membolehkan dilakukan yang haram, yang mana jika tidak dilakukan, akan menyebabkan kematian/kebinasaan jiwa. Tidak mengambil riba langsung tidak akan menyebabkan kematian atau kebinasaan jiwa. Justeru, riba sememangnya tidak akan pernah halal atas alasan darurat, kerana sememangnya keadaan tersebut tidak wujud dan tidak akan pernah wujud. Alasan bahawa seseorang tidak mempunyai pilihan jika tidak mengambil riba adalah batil. Alasan apa sekalipun yang diberikan oleh orang yang ingin mempraktikkan riba, maka ia adalah batil sebatil-batilnya. Seseorang itu boleh tinggal di rumah sewa jika ia tidak mampu membelinya. Menyewa rumah tidak haram, manakala membeli rumah dengan pinjaman riba adalah haram. Seseorang itu boleh membeli kereta yang murah jika tidak mampu membeli kereta baru. Membeli kereta yang buruk dan murah secara tunai tidak haram manakala membeli kereta secara pinjaman riba adalah ibarat berzina dengan ibu sendiri. Sesungguhnya seseorang itu tidak akan mati jika tidak memiliki rumah atau kereta dengan pijaman riba. Malah, dengan rumah yang disewanya, dan dengan kereta buruk yang dipandunya tanpa riba, kesemua itu adalah lebih baik baginya dan itulah yang akan memandunya ke syurga nanti.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Pemerintah kita sememangnya jahat dan tidak takut akan azab Allah. Mereka begitu berani menerapkan sistem riba di dalam pemerintahan negara, malah mereka dengan bersungguh-sungguh mempertahankan kewujudan sistem kufur ini. Begitu juga dengan para Kapitalis dan mereka yang bekerja di sektor perbankan sekarang yang berlumba-lumba menawarkan pakej riba yang terbaik untuk pelanggan, yang nampaknya langsung tidak menghiraukan azab Allah yang bakal menimpa mereka. Sedarlah wahai umat Muhammad bahawa sekiranya kalian terus mengamalkan riba, ini bermakna kalian telah bersekongkol dengan pemerintah di dalam memperpanjangkan usia kebatilan dan kekufuran. Kami ingin mengingatkan kalian dengan peringatan yang serius dan bersungguh-sungguh supaya meninggalkan riba. Ingatlah bahawa riba itu haram secara qat’ie! Jika kalian merasakan zina itu suatu yang keji dan jijik, tentunya kalian patut merasa lebih keji dan jijik apabila seseorang itu berzina dengan ibunya sendiri, bukan? Namun, di atas segala kekejian dan kejijikan itu, amalan riba adalah jauh lebih keji dan jijik dari itu di mana sekecil-kecil dosa riba itu adalah umpama berzina dengan ibu sendiri. Sanggupkah kalian melakukannya? Sanggupkah kalian berzina dengan ibu sendiri? Tinggalkanlah amalan syaitan itu sekiranya kalian tidak mahu ditimpa azab di dunia dan akhirat. Nabi SAW bersabda,

“Jika telah tampak nyata zina dan riba di suatu negeri, maka sesungguhnya mereka dengan sendirinya telah menghalalkan (turunnya) azab Allah (kepada mereka)”[HR al-Hakim].

Demi Allah! Tinggalkanlah segera amalan riba jika kalian sedang melakukannya saat ini. Takutlah kalian dengan neraka Allah yang disediakan untuk pemakan riba di mana ia akan kekal di dalamnya selama-lamanya, na’uzubillah min zalik.

Ya Allah! Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami telah menyampaikan…