SN247 – Mesir – Bangkitlah Menuju Perubahan Hakiki Dengan Khilafah!

PDF

SN Keluaran 04 Februari 2011

MESIR – BANGKITLAH MENUJU PERUBAHAN HAKIKI DENGAN KHILAFAH!

[SN247] Setelah Tunisia, kini Mesir pula bergolak dengan protes dari rakyat secara besar-besaran sejak 25 Januari lalu untuk menjatuhkan rejim diktator Hosni Mubarak. Setakat ini sudah ratusan jiwa terkorban dalam rangkaian tunjuk perasaan tersebut dan lebih dari 1000 yang lainnya telah ditangkap oleh pasukan keamanan Mesir. Revolusi Mesir ini dikatakan terilham dari Revolusi Melati di Tunisia yang berhasil menggulingkan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali, setelah berkuasa selama 23 tahun. Inspirasi yang sama juga telah menjalar ke Algeria, Yemen dan Jordan dan tidak mustahil akan juga merebak ke Syria, Libya, Sudan, Saudi Arabia dan negara-negara lain.

Kebangkitan rakyat di Tunisia memang telah berjaya mengusir diktator Ben Ali, namun sayang sekali, pemerintahan negara beralih pula ke tangan Mohammed Ghannouchi, Kallal, Fuad Mubazza dan pemerintahan kesatuan (unity government) di mana kebanyakan mereka ini hanyalah terdiri daripada orang-orang Ben Ali dan sungguh dekat dan setia kepada tuan mereka, Perancis.Di Mesir, nampaknya Mubarak juga tidak akan dapat bertahan lama sehingga tuannya, Presiden Amerika, Barack Obama telah mendesak diadakan orderly transition (transisi/peralihan pemerintahan yang tertib) untuk demokrasi Mesir.

Pihak pembangkang Mesir menyeru pembentukan pemerintahan peralihan yang melibatkan semua pihak terutama pembangkang. Mereka mencadangkan ElBaradei manakala sebahagian lainnya mencadangkan Amr Mousa, Setiausaha Agung Liga Arab dan mantan Menteri Luar Mesir, untuk berunding hal itu dengan pemerintah. Di sisi lain, Naib Presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman menyatakan bahawa dia telah ditugaskan untuk melakukan dialog dengan pembangkang mengenai beberapa masalah terutama reformasi perlembagaan dan undang-undang. Revolusi yang baru berlalu di Tunisia hanya membuahkan perubahan rejim dan setakat ini revolusi di Mesir juga nampaknya akan berakhir dengan penggantian rejim semata-mata, bukannya perubahan sistem. Sungguh malang bagi umat Islam sekiranya hal ini berlaku, kerana untuk perubahan ini, ratusan nyawa dan darah suci anak-anak kaum Muslimin sudah pun tertumpah.

Revolusi seumpama ini bukanlah suatu yang baru dalam dunia Islam. Reformasi di Indonesia, misalnya, memang berhasil menumbangkan rejim Soeharto, namun hingga kini persoalan Indonesia masih tetap belum selesai. Apa yang wujud di era Soeharto yang dikritik hebat oleh rakyat yang bangkit seperti parahnya rasuah, penyelewengan, mahkamah yang korup, kemiskinan dan lain-lain justeru kembali berulang dengan pemerintahan baru, malah dalam beberapa hal ia lebih parah. Hal sama juga terjadi di Pakistan di mana diktator Musharraf berhasil ditumbangkan dan diganti dengan ‘pemerintahan demokrasi’ di bawah Presiden Asif Ali Zardari dan juga Perdana Menteri Yousuf Razza Gillani. Hasilnya, pemerintah demokratis itu sama saja dengan diktator Musharraf yang menjadi penyembah Barat manakala rakyat terus hidup di dalam penderitaan.

Tidak ada bezanya juga dengan apa yang terjadi di dunia Arab seperti pasca tumbangnya rejim Raja Faisal dan Saddam Hussein di Irak, Raja Fuad dan Anwar Sadat di Mesir, Shah Reza di Iran dan sebagainya. Kesemua perubahan ini memberi hasil yang sama, yakni tumbangnya satu rejim pemerintahan dan diganti dengan rejim lain, tanpa adanya perubahan sistem. Akibatnya, hal yang sama berulang ke atas umat Islam – terus dihimpit penderitaan demi penderitaan hasil penindasan pemimpinnya sendiri. Sungguh, umat ini telah berkali-kali terjebak dalam proses yang sama walhal Rasulullah SAW melarang hal tersebut, sabda baginda,

“Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali” [HR Bukhari & Muslim].

Pengajaran penting dari semua ini adalah bahawa perubahan dan penggantian rejim bukanlah penyelesaian kepada masalah umat Islam. Pangkal masalahnya bukanlah pada sosok Mubarak, Ben Ali, Soeharto, Musharraf, Qaddafi, Raja Abdullah atau rejim-rejim lainnya. Pangkal masalahnya adalah sistem kufur demokrasi yang diterapkan oleh rejim-rejim tersebut. Oleh kerana itulah Hizbut Tahrir tanpa jemu dan dengan penuh kesungguhan dan semangat yang tidak pernah luntur, mengingatkan dan berusaha membangkitkan umat Islam di seluruh dunia agar segera menggantikan sistem kufur ini kepada sistem Khilafah, satu-satunya sistem yang akan mengeluarkan umat dari kegelapan menuju cahaya…

***************************************************************************

[Berikut adalah terjemahan risalah yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir Pusat atas apa yang berlaku di Mesir, yang disebarkan ke seluruh dunia, khususnya di Mesir sendiri]

Maka Ambillah (Kejadian Itu) Sebagai Iktibar Wahai Orang-orang Yang Mempunyai Penglihatan

Bismillahirrahmanirrahim

“Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pengajaran wahai orang-orang yang mempunyai penglihatan” [TMQ al-Hasyr (33):2].

Jalan-jalan di Kaherah penuh sesak dengan protes besar-besaran rakyat terhadap penindasan dan kezaliman rejim pemerintah Mesir. Rejim Mesir telah sekian lama menutup mulut rakyat dengan paksaan dan tekanan, memasukkan ketakutan di hati rakyat melalui tindakan penangkapan dan penyeksaan kejam di dalam penjara sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian hasil kejahatan kakitangan penguasa rejim tersebut.

Penguasa zalim ini telah mengkhianati pelbagai permasalahan umat. Penguasa inilah  yang menaikkan bendera Yahudi di bumi Kinanah, menjual kekuasaan dan kedaulatannya di atas tanah Sinai, menjalankan embargo terhadap kaum Muslimin di Gaza dan melakukan pelbagai dosa besar tanpa rasa malu dan takut kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukminin.

Rejim ini telah melakukan kerosakan di muka bumi, menggadaikan negara kepada musuh-musuh Allah sehingga bumi Kinanah menjadi taman permainan bagi Amerika dan Yahudi. Mereka merompak kekayaan negeri ini dan dibahagi-bahagi di antara pemimpin rejim, orang-orang dekatnya, para kroni dan para pengikutnya. Mereka hidup dengan kemewahan yang melampau manakala rakyat terbiar dalam kemiskinan yang parah, kelaparan yang membinasakan dan berhadapan dengan harga-harga barang yang sentiasa melambung tinggi…

Semua kesengsaraan ini berlaku dalam keadaan penguasa dan kuncu-kuncunya dengan begitu tenang menghunjam kediktatoran dan keganasannya ke atas rakyat serta melaksanakan pelbagai polisi yang penuh penipuan ke atas rakyat…Penguasa ini merasa tenang dengan segala keganasan, kezaliman dan penyesatan yang mereka lakukan dengan menyangka bahawa rakyat tidak akan berani mengangkat suara menentang mereka dan tidak akan berani menggerakkan tangan dan kaki untuk melawan mereka. Penguasa ini lupa bahawa lama-kelamaan segala kezaliman dan penindasan akan melahirkan letusan dan bahawa kediktatoran itu akan pasti berakhir dan akan kembali menghantui mereka!

Tunisia digegarkan dengan gerakan rakyat yang sangat cepat, diikuti pula oleh Yemen dan Jordan dan sekarang di Mesir…tampak jelas bahawa semua ini akan susul menyusul! Dalam keadaan seperti ini pun, para penguasa diktator tersebut masih tidak memperhatikan dan tidak mengambil iktibar, malah tidak pun berfikir! Mereka mencari penyelesaian di sana sini…Mubarak menghubungi Obama dan berbicara panjang dengannya. Lalu Obama menasihatinya, sebenarnya mengarahkannya, untuk memecat kabinet, maka Mubarak pun memecat kabinetnya dan menggantikannya dengan kerajaan keamanan baru (new security government) dengan melantik seorang Naib Presiden, yang tidak pernah dilakukannya selama 30 tahun! Begitulah apa yang terjadi. Mubarak melantik Omar Suleiman, ketua badan perisikan Mesir, sebagai Naib Presiden dan Leftenan General Ahmad Syafiq sebagai Perdana Menterinya. Mubarak menduga bahawa dengan melaksanakan perintah Amerika, hal itu akan dapat menyelamatkan singgahsananya yang sudah semakin roboh. Dia buta bahawa Amerika akan menjual dirinya dengan harga yang murah dan menggantikan tempatnya dengan ejen lain sekiranya masalah di Mesir semakin kronik. Inilah yang akan Amerika lakukan!

Sesungguhnya para penguasa ini memiliki mata tetapi tidak digunakan untuk melihat. Mereka memiliki telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar. Mereka memiliki hati tetapi tidak digunakan untuk merenung dan berfikir. Bagaimana mungkin mereka boleh memijak-mijak rakyat dan inginkan rakyat diam? Bagaimana mungkin mereka boleh mencampakkan Islam ke belakang dan inginkan kaum Muslimin tidak melakukan revolusi? Bagaimana mungkin mereka setia kepada kaum kuffar imperialis dan inginkan para pejuang kebenaran menutup mulut?

Wahai para penguasa, wahai orang-orang yang zalim! Sesungguhnya umat ini adalah umat yang beragama Islam. Selama mana mereka tidak diperintah dengan Islam, dengan kesetiaan kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukmin (bukan kepada kaum kafir imperialis), maka tidak ada seorang pun penguasa yang zalim dan jahat yang akan dapat bertahan lama di tengah-tengah mereka (umat). Meskipun mereka diam sejenak (terhadap kezaliman pemimpin), namun hati-hati kecil mereka berkata dengan penuh puitis,

Kelopak mata orang-orang yang berjuang tidak akan pernah pejam terhadapmu…Ia hanyalah diamnya seekor singa sebelum menerkam.

Bumi Kinanah telah dibebaskan dengan darah para mujahidin dan darah mereka tidak akan pernah tumpah dengan sia-sia. Bumi Kinanah akan kembali mulia dan kuat dengan Islam dan akan memijak-mijak orang-orang yang zalim dengan kedua kakinya. Walaupun seluruh dunia memuja orang yang zalim pada satu hari, namun Allah Yang Maha Perkasa akan merentap kekuasaan orang zalim itu pada satu hari yang lain di mana dia langsung tidak menduga bahawa kekuasaannya akan lenyap. Sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya Allah membiarkan orang yang zalim (berkuasa seketika) sehingga apabila Dia mengambilnya, Dia tidak akan melepaskannya”
[HR Bukhari & Muslim]

Wahai Kaum Muslimin, Wahai Keluarga Kami di Bumi Kinanah!

Sungguh ketua rejim ini mahu menipu kalian. Dia menggambarkan bahawa masalah di Mesir itu terletak pada kerajaan, padahal dia mengetahuinya dan kalian juga mengetahuinya, bahawa kerajaan tidak akan dapat menetapkan apa jua perkara tanpa arahan dari ‘ketua’nya. Ketua rejim ini menggambarkan bahawa masalahnya terletak pada parti pemerintah. Padahal dia tahu bahawa parti tersebut hanyalah terdiri daripada sekumpulan ‘musang’ yang melihat bahawa parti adalah jalan untuk memakan harta rakyat dengan cara yang batil melalui rasuah dan penyelewengan. Tidak ada yang menyatukan mereka (ke dalam parti) kecuali kerana adanya kemudahan untuk mendapatkan habuan dunia secara haram. Oleh itu, sekiranya mereka melihat parti telah menjadi jalan yang membuatkan mereka rugi, maka mereka akan meninggalkannya serta-merta. Kalian sekarang sedang menyaksikan dengan mata kepala kalian sendiri akan kerajaan dan parti pemerintah ini, walaupun bilangan ahlinya mencecah jutaan orang, namun ia tidak mempunyai pengaruh sedikit pun ketika berhadapan dengan rakyat yang bangkit menentang kezaliman dan penindasan yang mereka (rejim) lakukan!

Wahai Kaum Muslimin, Wahai Keluarga Kami di Bumi Kinanah!

Sesungguhnya ‘kepala ular’ tersebut adalah ‘sistem’ itu sendiri. Maka janganlah kalian disibukkan dengan ekor ular. Janganlah sampai kalian terpedaya dengan apa yang diumumkan sebagai bentuk kerajaan keamanan yang baru, selama sistemnya tetap tidak berubah. Penyakitnya adalah sistem itu sendiri, yang sekular dan berkiblat kepada kepala kekufuran, Amerika. Amerika sekarang sedang memerhati dan menilai keadaan di Mesir untuk membuang pemerintah Mesir dengan memberikan ruang waktu kepada pemimpin rejim untuk melakukan suatu tindakan. Begitulah yang Amerika lakukan dan rejim kini sedang melaksanakan cara-caranya.

Rejim telah menghantar ejen-ejennya untuk menyusup di tengah-tengah kesesakan manusia yang melakukan protes untuk melakukan kerosakan, pembakaran dan rompakan, untuk menciptakan justifikasi bagi pemerintahan keamanan yang baru untuk memaksa orang ramai berundur dari jalanan atas alasan untuk mengembalikan keamanan yang mereka (rejim) sendiri rosakkan!

Jika rejim dengan kerajaan keamanan yang baru tidak mampu untuk menyekat atau membubarkan protes dan (dalam masa yang sama) Amerika telah memandang bahawa ejennya (Mubarak) saat ini telah hilang kendali, maka Amerika akan menampilkan ejennya yang baru bagi menggantikan ejen lamanya. Ini dilakukan melalui pelantikan Omar Suleiman sebagai Naib Presiden dan Amerika telah menyiapkan ejen barunya pada waktu yang sangat tepat!

Wahai Kaum Muslimin, Wahai Keluarga Kami di Bumi Kinanah!

Jadilah orang-orang yang memiliki kesedaran dan penglihatan sehingga kalian tidak akan menjadi seperti orang yang melompat dari kuali ke dalam api! Ketahuilah bahawa masalah ini tidak akan menjadi baik kecuali dengan jalan yang telah membuatkan generasi awal menjadi baik (yakni) pemerintahan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan jihad di jalan Allah. Maka janganlah hentikan protes kalian kecuali sehingga terjadinya perubahan sistem mulai dari kepalanya hingga ke hujung kakinya dan dirikanlah Daulah Islam, Khilafah Rasyidah, sebagai gantinya, yang akan membuatkan kalian mulia dan berjaya di negeri ini dan di negeri akhirat…

Wahai Kaum Muslimin, Wahai Keluarga Kami di Bumi Kinanah!

Bumi manakah yang lebih layak dari Mesir bumi Kinanah sebagai tempat untuk berdirinya Khilafah? Siapakah yang lebih layak dari para mujahid Mesir untuk membebaskan Palestin dari Yahudi sebagaimana  Salahuddin telah membebaskan Palestin dari tangan pasukan salib? Siapakah yang lebih layak dari penduduk bumi Kinanah yang telah dipesan oleh Rasulullah SAW agar berlaku baik terhadap orang-orang Qibthi Mesir dengan sabdanya,

“Dan untuk mereka, kasih sayang”.

Siapakah yang lebih layak dari pribumi Kinanah untuk mengembalikan peradaban Islam, keadilan Islam dan kehidupan yang mulia untuk kaum Muslimin dan Qibthinya? Bumi manakah yang lebih layak dari Mesir untuk menjadi ibu kota Khilafah, ibu kota dunia, yang memelihara urusan rakyat dengan adil, memenuhinya dengan nasihat, melakukan pembebasan dan menyebarluaskan kebaikan di segenap penjuru dunia?

Wahai Kaum Muslimin, Wahai Penduduk Mesir Kinanah!

Hizbut Tahrir mengingatkan kalian agar tidak tertipu degan muslihat rejim sehingga menyibukkan kalian dengan masalah-masalah kecil dan melupakan hakikat bahawa penyakit sebenar adalah ‘sistem’ itu sendiri dan bahawa kesetiaan kepada Amerika akan membawa kepada kehancuran. Oleh itu, kukuhkanlah kedua kaki kalian, nescaya kalian akan berjaya. Dirikanlah Khilafah Rasyidah, nescaya kalian akan bangkit. Janganlah kalian takut kepada kekuasaan orang yang zalim kerana mereka itu tersangat lemah di hadapan Allah dan Allah Azza wa Jalla sekali-kali tidak lalai darihal mereka,

“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim” [TMQ Ibrahim (14):42].

Wahai Kaum Muslimin, Wahai Penduduk Bumi Kinanah! Hizbut Tahrir mengingatkan kalian agar tidak mensia-siakan darah suci anak-anak kalian yang telah tertumpah di dalam protes ini, semoga diberkati. Hizbut Tahrir mengingatkan kalian agar kalian tidak dipalingkan oleh pihak-pihak yang menyusup ke barisan kalian untuk mengeksploitasi darah suci tersebut demi tujuan jahat mereka. Jangan biarkan pihak-pihak tersebut bernaung di bawah pohon yang tidak mereka tanami dan memetik buahnya yang tidak mereka jagai…

Berdiri teguhlah di hadapan mereka. Jangan berpuas hati dan redha dengan sekadar penggantian ejen Amerika dengan ejen lainnya…Campakkan pengaruh Amerika dari bumi Kinanah dengan akar-akarnya sekali. Hanya dengan cara ini, maka darah suci anak-anak kalian yang telah tertumpah akan mengingati kalian dengan kebaikan. Hanya dengan cara ini, maka kalian akan menunaikan hak darah suci anak-anak kalian yang tertumpah itu dan membuatkan Allah, RasulNya dan kaum Mukmin redha terhadap kalian.

Wahai kaum Muslimin!

Janganlah sampai kalian terpedaya dengan terpotongnya ekor ular sementara kepalanya masih ada, meski betapa indah sekalipun kepala ular itu dihiasi. Semoga Allah bersama kalian dan sesungguhnya Dia tidak akan mensia-siakan amalan baik kalian.

“Ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia agar mereka diberi peringatan dengannya” [TMQ Ibrahim (14):52].

Hizbut Tahrir
25 Safar 1432H / 29 Januari 2011