SN255 – KEKEJAMAN DIKTATOR LIBYA DAN KEENGGANAN PARA PENGUASA KAUM MUSLIMIN MENOLONG LIBYA
KEKEJAMAN DIKTATOR LIBYA DAN KEENGGANAN PARA PENGUASA KAUM MUSLIMIN MENOLONG LIBYA
Hal ini sama sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Barat semasa melancarkan serangan ke atas Iraq dan Afghanistan. Ia bukanlah kerana ingin menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran (weapon of mass destruction) atau menghapuskan penguasa diktator atau menyelamatkan orang awam, tetapi ia adalah dalam rangka usaha berterusan mereka untuk menguasai negara umat Islam yang terkenal kaya dengan sumber minyak. Kisah-kisah yang lalu menjadi bukti yang amat jelas bagaimana Baratlah yang telah menaikkan penguasa diktator ini dan ‘menjaga’ mereka, membekalkan senjata kepada mereka, membiarkan mereka membunuh rakyat sendiri, memuji mereka dan sebagainya, sehinggalah apabila penguasa diktator ini sudah tidak lagi diperlukan Barat, maka Barat berusaha untuk membuang mereka dengan apa cara sekalipun termasuklah membunuh mereka! Begitulah nasib para penguasa kaum Muslimin yang kejam.Para penguasa penyembah Amerika ini tidak pernah mahu mengambil pengajaran bahawa mereka cuma ibarat tisu kepada AS, yang diguna apabila perlu dan akan dibuang begitu sahaja apabila sudah digunakan.
Pada akhir abad ke 18 semasa Daulah Khilafah tercerai-berai dan selepas kejatuhan Daulah Khilafah secara rasmi pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) sehinggalah sekarang, kuffar Barat yang dahulunya diketuai oleh Britain dan kini AS, telah melantik ejen-ejen mereka sebagai penguasa di negara-negara umat Islam. Ejen-ejen ini begitu setia dengan Barat dan memerintah mengikut apa yang Barat arahkan tanpa terpesong sedikitpun dari kehendak Barat. Ejen-ejen ini terkenal dengan kediktatoran dan kebrutalan mereka di mana mereka sanggup (dan telah) membunuh ramai pejuang Islam yang merupakan rakyatnya sendiri, demi memastikan mereka terus kekal berkuasa dan menjadi penyembah tuan mereka yang setia.
Kita telah menyaksikan bagaimana sejak lebih 80 tahun lepas, Barat yang kononnya menampilkan dirinya sebagai pejuang hak asasi manusia, tetapi dalam masa yang sama menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada penguasa Muslim yang korup lagi brutal di dalam isu hak asasi manusia. Barat akan sentiasa berdiam diri, malah akan terus menyokong rejim yang jahat ini walaupun kekejaman penguasa ini disaksikan oleh seluruh dunia. Kita melihat bagaimana rejim Saudi, Mesir, Tunisia, Yemen, Syria, Pakistan, Bangladesh, Uzbekistan, Tajikistan dan banyak lagi yang terus mendapat sokongan Barat walaupun kesemua rejim ini terkenal sebagai pembunuh rakyatnya sendiri yang merupakan umat Islam. Inilah sikap hipokrit Barat yang jelas dapat dilihat walau oleh orang yang buta sekalipun!Namun satu hal yang pasti, Barat tidak akan berkompromi sedikitpun dengan ejen-ejen mereka yang bodoh ini apabila ejen-ejen ini sudah tidak dapat memberi manfaat kepada Barat. Inilah yang terjadi kepada Ben Ali dan Mubarak dan kini giliran Qaddafi pula untuk dicampak dengan cara yang hina oleh Barat!
Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan Barat untuk membuang para penguasa diktator ini. Umat Islam yang berada di bawah 57 buah negara gabungan OIC mempunyai kekuatan yang cukup untuk menghapuskan mana-mana diktator. Tentera Mesir sahaja sudah cukup untuk menjatuhkan Qaddafi yang kejam itu, dengan bilangan tentera yang jauh lebih ramai dan persenjataan yang jauh lebih banyak dan canggih berbanding Libya. Namun oleh kerana kesemua pemimpin umat Islam merupakan pengkhianat kepada umat di mana mereka langsung tidak mempedulikan nasib umat Islam di Libya (dan juga di lain-lain negara), maka Barat dapat masuk ke negara umat Islam dengan begitu mudah. Bukan sahaja pemimpin-pemimpin ini hanya pandai berpeluk tubuh melihat umat Islam dibunuh, malah lebih buruk, ada yang menyokong dan membantu memberikan kemudahan kepada tentera bersekutu Barat untuk menyerang Libya! Sungguh, para pemimpin umat Islam yang berjumlah lebih dari 50 orang ini sudah tidak boleh diharap dan sudah hilang ketakwaan dan rasa malu mereka kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukmin! Ternyata dan terbukti sekali lagi bahawa negara-negara OIC benar-benar hanya“Oh I See..” sahaja ke atas apa yang menimpa umat Islam di Libya. Sedarlah wahai kaum Muslimin akan pengkhianatan para pemimpin kalian terhadap saudara-saudara kalian!!
Selain pengkhianatan terhadap umat dan kesetiaan para pemimpin ini kepada Amerika, kaum Muslimin juga seharusnya sedar dan seharusnya telah lama sedar bahawa track record Amerika dalam memasuki negara umat Islam sesungguhnya penuh dengan segala bentuk kepentingan peribadi yang berselindung di sebalik pelbagai ucapan manis! Sejak AS masuk ke Afghanistan pada tahun 2001, sudah tidak terkira berapa ramai orang awam yang terbunuh (baca: dibunuh) oleh AS. Begitu juga di Iraq, sejak pencerobohan tentera AS di tanah kaum Muslimin itu pada 2003, sudah tidak terhitung jumlah orang awam yang menjadi korban keganasan AS. Di Pakistan pula, sehingga kini berita tidak habis-habis melaporkan jumlah warga sivil yang terkorban atas dalih AS untuk memerangi pengganas. Penjara-penjara kejam AS seperti Abu Ghraib, Baghram dan lain-lain penjara rahsia, sudah menjadi ‘rahsia umum’ sebagai tempat seksaan kejam tentera AS ke atas umat Islam. Justeru, adakah masih lagi wujud sebab untuk umat Islam mempercayai AS dalam usahanya memasuki Libya atas alasan menyelamatkan warga sivil?
Sebagai Muslim, kita hendaklah sedar bahawa campurtangan kuffar Barat ke atas negara-negara umat Islam adalah haram dan wajib ditolak. Dengan kebangkitan yang sedang rancak berlaku di negara-negara Arab ketika ini, umat Islam seharusnya sedar, lebih-lebih lagi pihak tentera, bahawa kita langsung tidak memerlukan bantuan Barat untuk menjatuhkan pemimpin diktator. Tentera umat Islam yang berada di sekitar Libya seperti Mesir dan Algeria wajib bergerak untuk membebaskan Libya dari kejahatan Qaddafi, bukannya sekadar melihat dan membiarkan AS campurtangan dalam urusan umat Islam. Sekiranya tentera berdekatan tidak bergerak (dan ini merupakan dosa atas mereka), maka wajib pula atas tentera Muslim lainnya untuk pergi membantu umat Islam di Libya. Tidakkah para tentera ini sedar bahawa mereka wajib bergerak untuk membantu saudara seakidah mereka tidak kira di bumi mana sekalipun saudara mereka itu berada? Tidakkah para tentera ini membaca ayat-ayat Allah,
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita mahupun anak-anak yang kesemuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau dan berilah kami penolong dari sisi Engkau” [TMQ an-Nisa’ (4):75]?
Cukuplah! Kita sudah tidak lagi dapat mempercayai dan mengharapkan para pemimpin yang ada sekarang untuk menyelamatkan umat Islam. Kita benar-benar memerlukan seorang Khalifah yang akan menggerakkan bala tentera umat Islam ke mana sahaja adanya suara umat Islam yang merintih memerlukan bantuan. Hizbut Tahrir dengan ini sekali lagi menyeru agar kalian berusaha bersama-sama kami ke arah merealisasikan penegakan Daulah Khilafah yang merupakan janji Allah dan kefardhuan ke atas kita semua.
[Berikut adalah terjemahan surat yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir Pusat yang disebarkan ke seluruh dunia]
Sejak malam 19-20/3/2011, negara-negara Barat melakukan serangan udara dan melancarkan peluru-peluru berpandu dari laut ke pelbagai sasaran di Libya. Negara-negara Barat itu memanfaatkan kelemahan para penguasa kaum Muslimin, khususnya Mesir dan Algeria untuk menolong warga Libya dan menyelamatkan mereka dari pembantaian Qaddafi yang dilakukan kuncu-kuncunya dan orang-orang upahannya…
Sungguh, hal ini benar-benar satu tragedi, di mana sang diktator Libya dengan pembantaian berdarahnya, telah membuka ruang bagi campurtanganketenteraan Barat di Libya…Sungguh hal ini benar-benar satu tragedi, di mana para penguasa Arab, bahkan seluruh penguasa di negeri-negeri umat Islam, turut bersubahat dalam kejahatan tersebut dengan tidak menolong warga Libya untuk menghadapi diktator (Qaddafi)…Seharusnya para penguasa ini segera mengerahkan pasukan (tentera) untuk menolong Libya, sehingga kediktatorannya dapat dihancurkan dan campurtangan negara-negara Barat di negeri kaum Muslimin dapat dicegah…Dan sungguh hal ini benar-benar satu tragedi, di mana kaum Muslimintelah memasukkan ke dalam rumah-rumah mereka ‘ular berbisa’ untuk mengatasi bahaya!
Sesungguhnya si diktator Libya dengan pembantaian berdarahnya dan para penguasa yang tidak menolong warga Libya dari tangan diktator itu, telah bersekutu dalam kejahatan. Akibatnya, terciptalah alasan bagi Barat untuk melakukan campurtangan secara militer, setelah sebelumnya berlaku campurtangan secara politik melalui Resolusi PBB 1973 dengan dalih menyelamatkan warga sivil Libya. Padahal di saat yang sama, negara-negara Barat itu tidak pernah mengenal erti kemanusiaan, kecuali dengan sebuah ‘bayaran’. Bukan sebarang bayaran, tetapi bayaran keji yang merealisasi kepentingan-kepentingan mereka di negeri-negeri kaum Muslimin!
Wahai kaum Muslimin! Bagaimana saudara-saudara kalian boleh memiliki kehidupan yang tenang jika kalian melupakan firman Allah SWT,
“Jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan” [TMQ al-Anfal (8):72]?
Bagaimana umat Islam akan memiliki kehidupan yang tenang jika kalian tidak menolong saudara-saudara seagama kalian yang sedang dizalimi oleh Qaddafi? Bagaimanakah kehidupan umat Islam akan baik jika umat Islam melupakan sabda Rasulullah SAW,
“Seorang mukmin bagi mukmin yang lainnya laksana satu bangunan yang saling kuat menguat antara satu sama lain (sambil) baginda merapatkan jari-jemari baginda antara satu sama lainnya” [HR al-Bukhari]?
Bagaimana umat Islam boleh berdiri di atas kedua kakinya, sementara mereka tidak melihat kedatangan orang yang akan menyelamatkannya dari kediktatoran penguasanyasebaliknya yang datang adalah musuh-musuhnya sendiri?!
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya musibah yang menimpa sebahagian umat ini adalah akibat para penguasanya. Ia juga adalah akibat sikap berdiamdiri sebahagian umat itu sendiri terhadap kejahatan-kejahatan para penguasa yang zalim dan diktator. Akibatnya umat ini pun ditimpa musibah berupa azab seperti yang terjadi selama ini, belum di akhirat, malah di dunia lagi! Dan sekarang umat Islam sedang melihat musuh-musuhnya mengebom negerinya, mengelilingi langitnya (dengan jet pejuang) dan melanggar kehormatannya, namun sebahagiannya masih tetap diam seolah-olah tidak mendengar firman Allah,
“Dan peliharalah dirimu dari seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaanNya” [TMQal-Anfal (8):25].
Jika orang yang zalim dihukum kerana kezalimannya, orang yang dizalimi pula mendapat seksa kerana sikap diamnya terhadap kezaliman. Abu Bakar as-Siddiq ra pernah berkata, aku mendengar Rasul SAW bersabda,
“Sesungguhnya manusia, jika ia melihat orang berbuat zalim lalu ia tidak mencegahnya dengan kedua tangannya, maka hampir-hampir Allah meratakan azab dari sisiNya” [HR Ahmad].
Sesungguhnya para penguasayang berada di kerusi kekuasaan mereka yang palsu dan hampir roboh ini,dengan tanpa segan silu melakukan penumpahan darah, melayani musuh dan menjual negeri dan penduduknya. Bagi penguasa ini, singgahsana mereka adalah ‘tuhan-tuhan’ mereka.
“Dilaknati Allah-lah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling?” [TMQ at-Taubah (9):30].
Si diktator Libya ini tahu bahawa rakyat sudah tidak lagi menginginkannya. Dia juga tahu bahawa British yang telah meletakkannya ke kerusi pemerintahan sejak 40 tahun yang lalu, akan mencampakkannya ke tepi jalan ketika peranannya telah selesai. Dan sekarang peranannya telah atau hampir telah selesai. Sesungguhnya telah banyak pengajaran dari yang lain dan seandainya si Qaddafi ini berakal, nescaya dia akan berundur dari pemerintahannya dan berlalu pergi. Tetapi dia memilih untuk berakhir di atas mayat-mayat kaum Muslimin di Libya dan mengundang campurtangan musuh-musuh kaum Muslimin, tanpa merasa malu kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukmin!
Wahai kaum Muslimin! Wahai para penguasa di negeri kaum Muslimin! Wahai penguasa Mesir al-Kinanah! Tiadakah di antara kalian orang yang cerdik dan sedar akan kewujudan suatu masalah sebelum masalah tersebut menjadi serius dan kritikal, lalu ia menggerakkan pasukan tenteranya ke Libya untuk menyelamatkan Libya dari diktator Qaddafi dan mengembalikan senyuman kepada warga Libya?Tiadakah di kalangan kalian orang yang cerdik sehingga ia boleh melenyapkan dalih yang boleh digunakan Barat untuk menjamah langit dan tanah Libya dengan pesawat-pesawat dan peluru-peluru berpandu mereka? Tiadakah di antara kalian orang yang cerdik, sehingga boleh menghentikan campurtangan militer Barat yang menghinakan kaum Muslimin ini? Sungguh, ini benar-benar sebuah tragedi! Dan inilah masalah dunia hari ini di mana orang yang dizalimi tidak menemukan orang yang boleh menyelamatkannya dari orang yang zalim, kecuali musuhnya sendiri! Apakah satu setengah bilion orang Islam tidak mampu menyelamatkan Libya dari kediktatoran Qaddafi, sehingga warga Libya terpaksa memilih musuh mereka untuk menyelamatkan mereka?!
Wahai kaum Muslimin! Belum tibakah masanya bagi kalian untuk memahami apa yang telah dan terus diserukan oleh Hizbut Tahrir, bahawa penegakan Khilafah sahajalahmerupakan satu-satunyacara yang akan menjaga negeri kaum Muslimin dan penduduknya (dari musuh) sekaligus dapat menghancurkan tulang belakang (kekuatan) musuh-musuhnya?
“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu laksana perisai dimana orang-orang berperang di belakangnya dan menjadikannya pelindung” [HR Muslim].
Wahai kaum Muslimin! Belum tibakah masanya bagi kalian untuk memahami bahawa umat Islam di bawah Khilafah dahulu selalu diminta pertolongannya oleh orang-orang yang dizalimi di dunia untuk menghilangkan kezaliman atas mereka? Namun di zaman sekarang ini, di bawah rejim-rejim boneka dan penguasa-penguasa bodoh (ruwaibidhah), umat Islam sudah tidak lagi mampu menghilangkan kezaliman dari dirinya sendiri. Meskipun demikian, semua peristiwaini telah mendorong berkumandangnya seruan pembebasan. Kegelapan malam akan berakhir danakan disusuli fajar, dengan izinNya. Sesungguhnya Islam memiliki gegaran hebat yang akan mendatangi para penindas dan musuh-musuh Islam dari arah yang tidak mereka sangka!
“Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” [TMQ Yusuf (12):21].
15 RabiulAkhir 1432H
20 Mac 2011M
Hizbut Tahrir