SN310 – Syria: Antara Kebangkitan Umat Dan Campur Tangan Barat
SN Keluaran 22 Jun 2012
SYRIA: ANTARA KEBANGKITAN UMAT DAN CAMPUR TANGAN BARAT
Sebagaimana apa yang telah menimpa umat Islam sebelum-sebelum ini, sekali lagi umat Islam nampaknya berada di ambang campur tangan ketenteraan oleh Barat. Di Iraq campur tangan ketenteraan oleh Barat dilakukan atas alasan “wujudnya senjata pemusnah besar-besaran” manakala campur tangan tentera di Libya adalah atas alasan pertumpahan darah di Benghazi oleh pasukan Kolonel Gaddafi. Kini di Syria, ancaman perang saudara sedang dijadikan “modal” oleh Barat untuk menyatakan kepada dunia bahawa ia (AS) perlu campur tangan. Ini adalah satu perkembangan yang jelas bertentangan berbanding 15 bulan lepas di mana AS sebelum ini secara konsisten menolak, bukan sahaja campur tangan ketenteraan, malah usul untuk berbuat demikian pun ditolak, atas alasan kesulitan yang bakal dialami (jika campur tangan) dan potensi berlakunya huru-hara di seluruh rantau ini. Hubungan Barat dengan Syria sentiasa dipenuhi dengan mitos, pembohongan dan ‘ucapan berlapik’. Apa yang terjadi sejak 15 bulan lepas merupakan episod terakhir dari semua itu. Dengan semakin ketara dan parahnya krisis di Syria sekarang, adalah amat penting untuk umat Islam menafsirkan antara realiti dan mitos yang telah Barat bina dalam menyembunyikan niat sebenar mereka selama ini.
AS-EU vs Russia-China
Tindak balas antarabangsa ke atas Syria telah digambarkan selama berbulan-bulan yang menunjukkan Rusia dan China menyokong Assad, dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) mempunyai prinsip yang berbeza. UK dan Perancis pula mahukan penyingkiran al-Assad sejak pemberontakan bermula di Syria pada bulan April 2011. Respons AS terhadap Syria sehingga baru-baru ini sangat jelas dan telah dinyatakan dalam ungkapan yang tidak berbelah bagi oleh Hilary Clinton dalam satu temu bual dengan Lucia Annunziata dari Itali dalam ‘In Mezz’Ora’. Ringkasnya, Hilary Clinton menjelaskan bahawa dia menaruh harapan bahawa kerajaan Syria akan memulakan pembaharuan yang akan memenuhi permintaan penunjuk perasaan dan menamatkan keganasan tajaan kerajaan terhadap orang awam sedangkan tidak ada harapan untuk perkara yang sama di Libya.
Bashar al-Assad merupakan hamba yang setia kepada AS, jadi AS tidak merancang untuk menjatuhkan Bashar. Adalah suatu yang hampir mustahil untuk menggantikan Assad di negara di mana dia boleh membantai rakyatnya dengan kejam. Tatkala AS memberikan satu demi satu alasan (untuk tidak melepaskan Assad), Britain dan Perancis pula mendedahkan seluas-luasnya kekejaman Assad. Dengan keadaan di Syria sudah menjadi tidak terkawal di mana pembunuhan beramai-ramai terus berlaku, AS menghadapi dilema dan ini semakin jelas apabila Majlis Kebangsaan Syria (Syrian National Council, SNC) dan Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan (Local Coordination Committee, LCC) gagal untuk bergabung ke dalam gerakan yang bersatu. AS berharap dapat menggantikan Assad dengan hamba setia yang baru, bagaimanapun ini dibantutkan oleh pertengkaran dalaman dan perebutan kuasa serta ketiadaan kredibiliti hamba-hamba baru tersebut di mata rakyat. Justeru, AS berpaling ke arah PBB dalam usaha AS untuk melengahkan masa.
Pelbagai cadangan telah dikemukakan dalam isu Syria ini, daripada sekatan (sanctions) kepada misi pemerhati PBB dan resolusi yang mengutuk kepimpinan Syria tanpa komitmen jelas untuk campur tangan. Tindakan ini, iaitu dengan melibatkan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan resolusi terhadap krisis Syria, sesungguhnya telah meletakkan penyelesaian kepada krisis Syria berada dalam tangan kuasa-kuasa besar, yang mana mereka sendiri semuanya bersaing antara satu sama lain (untuk mendapatkan kepentingan di Syria).
Sergey Lavrov, Menteri Luar Rusia berkata, “Rusia tidak akan menerima apa-apa resolusi yang mungkin membuka jalan kepada campur tangan asing atau kuasa asing yang akan menentukan lebih dulu keputusan politik di Syria.” Rusia dan China cuba untuk menyusahkan rancangan AS di Syria dengan menentang sebarang cubaan untuk meluluskan resolusi kabur dan kemudian menggunakan kesempatan ini sebagai penutup campur tangan ketenteraan. Semasa krisis Libya, atas ‘alasan’ melaksanakan zon larangan terbang, Barat berjaya membekalkan senjata kepada pemberontak Benghazi dan melatih mereka. Perancis, Britain dan AS kemudian mengadakan ikatan dengan personaliti yang berbeza dalam usaha untuk mengekalkan pengaruh masing-masing selepas jatuhnya Gaddafi. Kedua-dua Rusia dan China secara amnya menentang Barat dan menggunakan forum PBB untuk menentang rancangan Barat. Kedudukan tersebut secara umumnya lemah dan kuasa veto dari Rusia tidak berjaya merubah apa-apa. Selain daripada kemudahan mengisi minyak laut di Syria, Rusia tidak mempunyai apa-apa pengaruh politik di Syria. Pendirian (stance), terutamanya oleh Rusia dan kemudian China pada hakikatnya adalah percubaan yang sangat lemah untuk mempengaruhi krisis Syria.
Hakikatnya, Britain dan Perancis sentiasa menyeru untuk campur tangan ketenteraan dalam usaha menggulingkan Assad, kerana ini akan memberi mereka peluang untuk campur tangan di Syria dan membentuk negara di mana kepentingan mereka boleh dilindungi selepas tumbangnya Assad. AS pula menghalang usaha ini dengan menggunakan pelbagai taktik melambatkan (delaying tactics), yang akan memberinya masa untuk mencari atau ‘membina’ pengganti baru untuk Assad.
Pelan Kofi Annan
Pelan Kofi Annan yang diluluskan oleh Barat telah memberikan rejim Assad masa dan ruang untuk melakukan kekejaman yang boleh disifatkan terburuk sejak bermulanya pemberontakan. Pemerhati PBB langsung tidak bertaring, misi pemerhati liga Arab yang awal pula bersubahat dengan rejim. Kesemua misi ini hakikatnya bertujuan untuk memberikan masa kepada tokoh-tokoh pembangkang yang berpecah belah – yang kebanyakan mereka tidak ada kredibiliti – untuk ‘dibentuk’ sebagai sebuah ‘kerajaan menunggu’ (government in waiting) yang akan tunduk kepada kepentingan Barat, yang kemudiannya akan menggantikan Assad.
Pelan ini sebenarnya langsung tidak berfaedah, sebagaimana pelan gencatan senjata sebelumnya. Tugas pemerhati hanyalah untuk memberitahu masyarakat antarabangsa mengenai tindakan yang tidak boleh diterima (unacceptable actions) orang-orang yang berada di bawah pemerhatian. Masyarakat antarabangsa menyedari sepenuhnya akan keganasan yang wujud. Isu di Syria bukanlah isu di mana dunia tidak menyedari keganasan yang berlaku, tetapi ia adalah isu ketidakmampuan atau ketidaksediaan rejim untuk mengambil langkah-langkah menamatkannya. Rejim Bashar al-Assad telah menunjukkan bahawa ia sanggup melakukan apa sahaja demi menumpaskan penentangnya. Ia terus mendapat sokongan tentera untuk melawan pembangkang. Philip Gourevitch, seorang pengarang dan wartawan AS berkata,
“Hakikatnya, PBB telah bertindak sebagai ‘penutup’ kepada semua tindakan keganasan rejim dengan menghantar Kofi Annan yang lemah lagi bertolak ansur, ke Damsyik. Pelan damai yang diusaha Annan itu adalah satu lagi drama dan para pemerhati PBB yang dilantik kesemuanya tidak boleh diharapkan – dan lebih buruk lagi – apabila keganasan bermula di Houla, rejim telah memberitahu para pemerhati PBB agar menjauhi kawasan tersebut dan mereka mematuhinya. Ini semua mengimbas kembali memori buruk di pertengahan 1990-an mengenai janji palsu yang ditawarkan di bawah panji PBB di Bosnia dan Rwanda sebelum semua mangsa di serahkan kepada pemangsa mereka”.
Model Yemen
Amerika Syarikat baru-baru ini mengambil Yemen sebagai modelnya di mana pemerintah dan kroni yang terdekat dengan mereka dibuang, tetapi saki-baki rejim yang lain kekal dalam kekuasaan, yang sekali gus bermaksud status quo dikekalkan sebagaimana kehendak Barat. Presiden Obama, bersama dengan para pemimpin G8 di Camp David pada bulan Mei 2012 menekankan keperluan untuk Assad turun. Dia merujuk kepada Yemen sebagai model bagi peralihan politik yang didakwa boleh berjaya di Syria. Berikutan dengan ini, Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Thomas Donilon, juga menyatakan bahawa Obama telah membangkitkan isu pelan peralihan yang aman (peaceful transition plan) mengikut model Yemen kepada Perdana Menteri Rusia, Medvedev, di luar sidang kemuncak G8 di Camp David. Dia menambah bahawa pelan ini akan berada di atas meja rundingan antara Obama dan Putin pada mesyuarat pertama mereka selepas G8.
Hakikatnya, tidak wujud model yang dinamakan model Yemen. Apa yang berlaku di Yemen adalah perjuangan Anglo-Amerika ke atas negara tersebut. Timbalan Setiausaha Luar Untuk Hal Ehwal Timur Tengah British, Evan Louis, semasa bertemu dengan Duta Yemen di London pada 24 November 2009 menjelaskan mengenai keadaan di Yemen sebagai, “Apa yang berlaku di Yemen adalah perang proksi.” AS menggunakan alasan ‘perang terhadap keganasan’ untuk melemahkan Ali Abdullah Salleh dengan menuduh Yemen menjadi pusat untuk Al-Qaeda. Ali Abdullah Salleh cuba menenangkan AS dengan pelbagai jaminan keselamatan yang membenarkan AS untuk melancarkan serangan di negara ini. Arab Spring telah memberikan AS peluang untuk menghapuskan Salleh, yang bagaimanapun telah berkompromi untuk melepaskan jawatannya dengan bantuan British di hadapan kemarahan rakyatnya. Salleh telah banyak kali bersetuju dengan pelan peralihan tetapi secara terus bertahan dalam menolaknya secara konsisten.
AS terus-menerus menekankan peralihan kuasa serta-merta di Yemen, manakala Britain menekankan cukup sekadar dilakukan perubahan. Satu perjanjian akhirnya telah dibuat pada bulan Februari 2012 dengan Salleh menyerahkan kuasa kepada Abdrabuh Mansur Hadi, Naib Presiden Yemen, yang sekali gus memberikan Salleh jalan keluar yang bermaruah. Akhirnya, rejim yang sedia ada kekal, satu ejen telah digantikan dengan ejen yang lain, meskipun ejen pengganti lebih menyokong AS berbanding Britain. Inilah realiti model Yemen yang disebut-sebut untuk Syria.
Perang Saudara
Selepas 15 bulan tidak berbuat apa-apa, Barat kini merasa perlu untuk campur tangan kerana takut pemberontakan rakyat akan menewaskan rejim dan tidak memihak kepada Barat. AS kini secara terbuka melaungkan untuk campur tangan secara ketenteraan (sebagai satu pilihan penyelesaian), memandangkan kepentingannya sedang terjejas. Kepentingan AS kini berada di hujung tanduk kerana umat Islam di Syria telah menolak ejen/proksi AS dan umat Islam sedang berusaha untuk menggantikan Assad dengan pemimpin Islam yang ikhlas. Rejim Assad telah gagal memadamkan kebangkitan di Homs, Hama, Idlib dan kini telah mencapai Aleppo serta daerah di pinggir Damsyik – yang merupakan kawasan kuat rejim. Hal ini telah membimbangkan AS dan juga rejim al-Assad yang terpaksa melakukan pembunuhan beramai-ramai seperti di Qubair dan Houla. Ini kerana rakyat Syria sudah semakin dekat untuk menggantikan Assad dengan pemerintah yang ikhlas dan bukan lagi boneka.
Perkembangan mutakhir ini menunjukkan bahawa bukannya rakyat Syria, tetapi AS dan Eropahlah yang secara konsisten membangkitkan kemungkinan perang saudara. Perang saudara, jika ia adalah kes (yang dirancang) antara Sunni dan Alawiy, akan mengalihkan perhatian rakyat dari menumbangkan rejim al-Assad. Ini bukan sahaja memberi AS lebih masa untuk membentuk rejim baru (sesudah rejim Assad), bahkan ia boleh digunakan sebagai alasan untuk campur tangan tentera – strategi yang pernah digunakan AS di Iraq – Keadaan ini sudah dapat dilihat di mana Barat telah mula menuduh pemberontak asing menyokong Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army, FSA). Tuduhan ini akan mencemarkan nama baik FSA sebagaimana tuduhan yang dibuat ke atas golongan Sunni di Iraq dulu iaitu tuduhan bahawa mereka dibantu oleh Al-Qaeda.
Campur Tangan Ketenteraan
Umat Islam di Syria yang sedang berjuang untuk menjatuhkan al-Assad telah meningkatkan keupayaan mereka dan hal ini amat membimbangkan AS. Inilah sebab mengapa campur tangan ketenteraan kini dipertimbangkan dengan serius. Umat Islam di Syria telah berperang selama lebih setahun berbekalkan pengalaman dan bantuan daripada tentera Syria yang berpaling tadah, yang kesemua ini telah menambahkan kecekapan mereka. Peningkatan mendadak dalam bilangan kereta kebal dan kenderaan perisai tentera Syria yang musnah sepanjang bulan lepas membuktikan peningkatan keupayaan para pemberontak. Kemasukan pejuang dari negara-negara lain seperti yang dilaporkan juga telah meningkatkan lagi keupayaan mereka. Ia termasuk para pejuang Syria dan Iraq yang berpengalaman berperang dalam perang Iraq-AS. Pengalaman mereka dalam peranti letupan diubahsuai (Improvised Explosive Devices, IED) bakal memberi kesan yang besar terhadap keupayaan mereka untuk mencipta bencana dan kerosakan pada tentera Syria.
Inilah sebabnya mengapa tentera Syria dalam beberapa bulan yang lepas mengelak dari melakukan serangan perisai yang mahal terhadap kawasan bandar yang dikuasai pemberontak di mana perisai lebih terdedah. Rejim telah mula lebih bergantung kepada serangan artileri dan sokongan helikopter. Operasi serangan artileri dan udara diteruskan dengan sasaran serangan oleh Divisyen Bersenjata ke-4, Pengawal Republik dan Pasukan Khas ke-14 serta Shabiha, satu pasukan upahan tempatan di sekitar Damsyik. Campur tangan ketenteraan oleh AS dan sekutu-sekutunya adalah untuk menghalang umat Islam dari menumbangkan rejim al-Assad dan menggerakkan peralihan kuasa. Apa jua bentuk campur tangan sebenarnya adalah satu tugas yang amat mencabar kerana umat Islam membentuk lebih 85% daripada penduduk negara ini dan mengawal bahagian wilayah dalam peratus yang sama. Sebarang campur tangan asing di negara ini akan memerlukan sejumlah besar tentera diterbangkan ke negara ini untuk melindungi Aleppo, Damsyik dan Homs yang merupakan bandar-bandar besar dan paling penting di Syria. Di samping itu, silo tentera negara dan depot senjata berat turut perlu dipastikan keselamatannya.
Senario yang menjadi mimpi ngeri bagi AS adalah sekiranya umat Islam berjaya menggulingkan Assad dan seterusnya berjaya mengambil alih organ-organ negara termasuk depot senjata dan segala persenjataan berat. Ini akan membolehkan umat Islam untuk melakukan pemberontakan terhadap AS dan mengambil alih apa jua yang telah AS laburkan di Syria. Dalam senario ini, AS akan perlu menggunakan lebih daripada hanya Angkatan Operasi Khas (Special Operation Forces, SOF), menggunakan puak Alawiy untuk melakukan pemberontakan dan berusaha mematahkan segala rintangan dari umat Islam. Strategi yang sama telah digunakan di Iraq untuk mematahkan pemberontakan. Ringkasnya, siapa sahaja yang menguasai peralatan ketenteraan negara, pertahanan udara dan persenjataan berat akan lebih berpeluang untuk menang.
Khatimah
Beberapa minggu lepas telah menyaksikan perkembangan krisis di Syria di mana umat Islam telah melakukan beberapa langkah penting dalam usaha menumbangkan rejim. AS sehingga kini masih bekerja keras membina alternatif berupa kepimpinan yang setia kepada Assad, Walau bagaimanapun, hal ini semakin merumitkan AS dek langkah-langkah yang umat Islam telah lakukan. Keadaan ini telah membimbangkan AS, yang kini telah berubah nada dalam masalah campur tangan. Meskipun begitu, AS nampaknya sukar untuk campur tangan dengan segera memandangkan perlumbaan untuk jawatan Presiden bermula pada Julai 2012 menuju pilihan raya pada Disember 2012. Namun demikian, jika umat Islam di Syria benar-benar sedang menuju ke arah menumbangkan hamba setia Amerika ini, perang saudara akan menjadi alasan utama bagi Amerika untuk menghalang tuntutan umat Islam di Syria.