SN311 – KEMENANGAN FJP: KEMENANGAN ISLAM ATAU HANYA KEMENANGAN PARTI?

 

SN keluaran 29 Jun 2012
 
  alt

KEMENANGAN FJP: KEMENANGAN ISLAM ATAU HANYA KEMENANGAN PARTI?
 

Sejarah dunia tercipta sekali lagi di Mesir apabila Dr. Mohamed Mursi dari Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di bawah Ikhwan al-Muslimin telah diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya presiden yang sekali gus menjadikannya presiden Mesir yang baru. Pengisytiharan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada 24 Jun itu merupakan satu keputusan yang dinanti-nanti bukan sahaja oleh rakyat Mesir, malah oleh seluruh dunia, setelah menyaksikan revolusi rakyat sebelum ini berjaya menumbangkan rejim Mubarak. Sejak Mubarak tersungkur, Mesir berada di bawah pimpinan tentera. Walaupun kini keputusan pilihan raya telah diumumkan dan seorang presiden Mesir yang baru telah pun dilantik, namun Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (the Supreme Council of the Armed Forces, SCAF) Mesir, secara hakikatnya, masih lagi mempunyai banyak kuasa termasuklah ke atas kehakiman dan penggubalan perlembagaan baru. Semua orang tahu bahawa SCAF tetap dipengaruhi oleh cara pemerintahan Mubarak dan kesetiaannya kepada Amerika Syarikat tidak berbelah bahagi. Jika Mursi hanya membiarkan sahaja SCAF atau gagal merubah kesetiaan SCAF, Mesir akan menjadi saling tak tumpah dengan Turki, di mana pada zahirnya nampak bahawa gerakan Islam yang memerintah, tetapi hakikatnya didukung dan mendukung tentera yang sekular yang tidak mahukan Islam.

Lebih buruk dari itu, tentera sekular ini sebenarnya berada di bawah telunjuk AS di mana jika keadaan ini tidak dapat diubah, ia akan menjadikan pemimpin Ikhwan al-Muslimin juga tunduk kepada AS. AS tentunya akan memastikan SCAF dan pemimpin Mesir mana pun agar sentiasa setia kepada mereka, kerana jika Mesir jatuh ke tangan pemimpin dan tentera Muslim yang ikhlas, yang tidak takut kecuali kepada Allah dan RasulNya, maka Israel akan tentu lenyap dari peta dunia dan Palestin akan dibebaskan oleh pemimpin dan para tentera yang ikhlas ini. Hal ini tentunya tidak diingini oleh AS yang merupakan sekutu dan penjaga Israel selama ini. Atas dasar ini, siapa sahaja yang menjadi pemimpin Mesir akan mendapat perhatian istimewa dari AS dan AS pasti tidak akan membiarkannya. Barack Obama dilaporkan terus memberi ucapan tahniah menerusi telefon dan menyatakan sokongan AS terhadap proses peralihan demokrasi Mesir. Presiden AS itu menekankan pentingnya kerjasama erat antara presiden baru Mesir itu dalam konteks hubungan bersama serta memperluaskan lagi kepentingan antara Mesir-AS untuk jangka masa panjang, kata sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.

Dari sudut FJP sebagai sebuah parti yang menang, tidak dinafikan bahawa dengan kemenangan Dr. Mursi, rakyat Mesir, sebagaimana juga umat Islam di negeri-negeri kaum Muslimin lainnya, telah menunjukkan kecenderungan memilih seorang calon yang telah bertahun-tahun berkempen untuk Islam. Dalam konteks ini, ia merupakan satu petanda meningkatnya sokongan terhadap Islam di negara kaum Muslimin. Justeru, tidak hairan apabila kemenangan calon FJP ini telah diiringi dengan ucapan tahniah yang mencurah-curah dari gerakan Islam seluruh dunia yang mempunyai perjuangan yang sama dengannya. Namun, apabila diteliti ucapan sulung Mursi sebagai presiden Mesir, sungguh amat mengecewakan apabila pemimpin Ikhwan al-Muslimin ini menyeru kepada wathaniyyah (Mesir untuk rakyat Mesir), menyeru kepada negara-bangsa dan menyeru kepada Negara Sivil Demokrasi. Apakah orang sehebat Mursi tidak mengetahui bahawa sempadan Mesir dan kesemua sempadan tanah Islam lainnya hanyalah sempadan palsu yang dicipta oleh penjajah kuffar? Tidakkah Mursi sedar bahawa bumi Mesir yang merupakan bumi para anbiya’ itu adalah kepunyaan umat Islam seluruhnya dan bukan hanya kepunyaan orang Mesir?

Apa yang diharapkan oleh kaum Muslimin dari Mursi sebagai presiden baru Mesir adalah untuk menjadikan bumi Mesir sebagai tapak Khilafah (sebagaimana telah disebut di dalam kempen presidennya), menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya di bumi Mesir, yang kemudian akan diteruskan ke bumi Allah yang lainnya, membebaskan bumi Palestin dan menyatukan umat Islam di seluruh dunia, bukan hanya umat Islam di Mesir. Inilah yang sepatutnya menjadi inti pati ucapan beliau, yakni keazaman dan usaha untuk menerapkan hukum Allah di muka bumi, bukannya menubuhkan sebuah Negara Sivil Demokrasi! Negara demokrasi bukanlah negara Islam, sebaliknya ia adalah sebuah negara yang memang diinginkan oleh kuffar Barat di bumi Mesir! Mengambil demokrasi hanyalah membuktikan bagaimana sesebuah gerakan Islam atau pemimpin Islam itu masih lagi tidak keluar dari telunjuk Barat. Sesungguhnya negara Islam ialah negara Khilafah dan bukannya negara demokrasi! Apa yang diperlukan oleh umat Islam adalah penerapan hukum Allah melalui negara Khilafah bukannya membina negara demokrasi atas dasar bangsa dan membuat hukum sendiri. Sungguh menyedihkan apabila pemimpin dan gerakan Islam masih teracun dengan Barat dan masih mengambil sistem yang diredhai oleh Barat.

Ucapan Mursi juga amat melukakan hati setiap Muslim yang beriman apabila beliau menyatakan dengan jelas bahawa Mesir tidak akan campur tangan dengan hal-ehwal dalaman negara lain dan tidak ada negara lain yang dibenarkan campur tangan hal ehwal dalaman Mesir! Malah Mursi menekankan bahawa beliau akan terus menjaga sempadan Mesir dari sebarang ancaman. Apakah ini menunjukkan bahawa Mursi tidak akan mengambil tahu, apatah lagi mahu menyelesaikan masalah Palestin? Apakah Mursi akan bertindak seperti Mubarak yang terus menutup sempadan Mesir-Palestin walaupun di saat umat Islam di Palestin di bantai habis-habisan oleh Zionis laknatullah, yang tidak ada sempadan keluar lagi (dari kekejaman Israel) kecuali melalui Mesir? Apakah Mursi tidak mahu membebaskan Palestin tanah yang diberkati dan akan terus membiarkan umat Islam di sana dibunuh oleh Israel sedangkan beliau hanya memerhatikan sahaja, sebagaimana Mubarak dahulu?

Di manakah pertimbangan Mursi dalam hal ini, sedangkan beliau telah menyatakan bahawa beliau sekali-kali tidak akan mengkhianati Allah? Bukankah membiarkan bumi yang diberkati itu dinodai oleh Israel dan membiarkan darah umat Islam terus ditumpahkan di sana merupakan pengkhianatan kepada Allah? Jika begini apa yang ditunjukkan oleh presiden baru Mesir ini, maka nampaknya Mesir akan tetap sama seperti Mesir yang dahulu di mana tidak ada perubahan sedikit pun, kecuali wajah presidennya sahaja!

[Berikut adalah terjemahan surat terbuka dari ibu pejabat HizbutTahrir yang ditujukan kepada presiden dan rakyat Mesir khususnya dan umat Islam amnya].

—————————————————————————————————————-

Bismillahirrahmanirrahim

Khilafah Adalah Satu-Satunya Sistem Pemerintahan Yang Diwajibkan Oleh Allah, Tuhan Sekalian Alam Dan Menyeru Kepada Negara Sivil Demokrasi Adalah Satu Kesalahan Yang Besar, Lebih-Lebih Lagi Apabila Ia Diseru Oleh Kaum Muslimin!!

Pada 24/6/2012, Suruhanjaya Pilihan raya Presiden Mesir telah mengumumkan kemenangan Mohamed Mursi mengalahkan Ahmad Syafiq bagi jawatan Presiden Mesir. Suruhanjaya ini kemudiannya mengumumkan Mohamed Mursi sebagai Presiden Republik Mesir yang baru. Sebenarnya sejak awal lagi, beliau (Mohamed Mursi)  telah membuat kenyataan bahawa beliau menyokong pembentukan Negara Sivil Demokrasi serta menyokong kesepakatan serta perjanjian antarabangsa yang melibatkan Mesir. Lebih dari itu, beliau juga memanifestasikan persetujuan beliau untuk meneruskan ‘penyelesaian’ antarabangsa di mana adalah amat jelas, apa yang beliau maksudkan adalah perjanjian Camp David yang penuh pengkhianatan – yang membenarkan Yahudi terlaknat menceroboh dan mencabul tanah Palestin yang diberkati.

Wahai Kaum Muslimin! Sistem Khilafah dan berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dalam segala perkara, besar atau kecil, adalah satu kefardhuan. Kefardhuan ini adalah suatu yang maklum dan bukannya sesuatu yang tidak diketahui. Khilafah telah memayungi negeri kaum Muslimin selama lebih 30 kurun, menggembirakan dan memuliakan kaum Muslimin dan mengalahkan serta menghinakan musuh-musuhnya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud,

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu”
[TMQ al-Maidah (5):49].

Dan ia juga bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Dahulu, Bani Israel dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi meninggal, digantikan dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada Nabi sesudahku. (tetapi) nanti akan ada ramai Khalifah’. Para sahabat bertanya: ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Penuhilahbai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja”  [Dikeluarkan oleh Bukhari dari Abu Hurairah].

Bekerja untuk menegakkan Khilafah akan melepaskan seseorang itu dari api neraka, sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesiapa sahaja yang melepaskan dirinya dari ketaatan (kepada Khalifah) maka dia akan bertemu dengan Allah di hari kiamat tanpa hujjah. Sesiapa sahaja yang mati tanpa bai’ah di lehernya maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah” [Dikeluarkan oleh Muslim dari Abdullah bin Umar].

Bai’ah di sini tidak berlaku kecuali kepada Khalifah dan mati dalam keadaan jahiliyyah adalah kinayah (analog) akan besarnya dosa mereka yang tidak berusaha untuk menegakkan Khilafah.

Negara Sivil Demokrasi merupakan satu idea sekular yang diciptakan oleh kaum kuffar di mana di dalamnya deen dipisahkan dari Negara. Pemerintahan di dalamnya adalah pemerintahan manusia ke atas manusia, bukannya pemerintahan Tuhan manusia ke atas manusia. Manusialah yang berhak untuk menghalalkan, mengharamkan, membolehkan dan mencegah apa sahaja yang mereka inginkan. Di dalamnya, yang dijadikan rujukan adalah manusia dan bukannya kitab Allah dan Sunnah RasulNya.

Menyokong dan bersetuju ke atas perjanjian-perjanjian antarabangsa yang menundukkan hak kaum Muslimin, yang menyebabkan tanah-tanah kaum Muslimin dicabul dan yang menyebabkan kaum kuffar dapat mendominasi kaum Muslimin, merupakan satu kesalahan dan dosa yang besar dan merupakan pintu yang luas yang membawa kepada kehinaan kaum Muslimin di dunia dan seksaan Allah Yang Maha Besar di akhirat. Kesemua ini adalah musibah yang sangat besar dan merbahaya ke atas kaum Muslimin sekiranya persetujuan dan sokongan ini diserukan di Mesir, tanah yang menjadi busur panah para pejuang kaum Muslimin yang dimuliakan Allah, Mesir yang keras terhadap kaum Salabiyyin dan kaum Tartar, Mesir yang keras terhadap Negara Yahudi yang dengan izin Allah akan dihancurkan dari muka bumi ini.

Semua ini menjadi musibah yang besar dan merbahaya sekiranya sokongan dan persetujuan diserukan terhadap perjanjian-perjanjian antarabangsa Mesir. Malah ia adalah lebih buruk kerana sokongan dan persetujuan ini diserukan oleh Ikhwan al-Muslimin yang telah memenangi pilihan raya presiden atas sokongan dari kaum Muslimin yang menyangka bahawa mereka (Ikhwan al-Muslimin) akan berhukum dengan Islam dan berpayung di bawah bendera Islam, bendera Khilafah, yang dengannya kaum Muslimin akan dimuliakan selepas penghinaan dan mengecap keamanan selepas ketakutan dan mendapatkan semula tanah yang diberkati selepas pencabulannya. Kerana inilah kaum Muslimin memberikan sokongan kepada mereka dan membantu mereka – bukannya kerana mahukan sekularisme dikembalikan kepada mereka dengan wajah dan lisan yang baru tetapi dengan slogan lama yang ‘diperbaharui’, menyeru kepada pemikiran sekularisme, dengan jalan dan kehendak sekularisme!

Wahai kaum Muslimin! Kita mengetahui dengan penuh keimanan dan ketakwaan bahawa Khilafah Rashidah buat kali keduanya akan tiba dengan izin Allah. Ia akan tiba melalui tangan-tangan bercahaya yang murni, kuat dan kukuh, meskipun musuh-musuh Allah berusaha keras untuk menghalangnya kerana ia adalah janji Allah SWT melalui firmanNya yang bermaksud,

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa…” [TMQ an-Nur (24):55].

Dan melalui lisan RasulNya yang bermaksud,

“..kemudian akan muncul Khilafah atas jalan kenabian” [Dikeluarkan oleh Ahmad]. Janji Allah dan RasulNya ini akan pasti berlaku, dengan izinNya dan pada hari tersebut, bergembiralah kaum Mukmin dengan pertolongan Allah.

Sesungguhnya HizbutTahrir menyeru kalian wahai kaum Muslimin agar menjawab seruan dari Allah SWT dan janganlah kalian mengikuti jalan kecuali jalanNya,

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin. Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik” [TMQ Surah Yusuf (12):108].

Dan janganlah kalian berhukum kecuali dengan syariatNya dalam segala permasalahan kalian,

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan engkau (wahai Muhammad) hakim (pemutus) terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sedikit keberatan pun terhadap keputusan yang engkau berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya” [TMQ an-Nisa’ (4):65].

Dan agar kalian bersama dengan kami dalam mengembalikan kehidupan Islam di dunia ini dengan menegakkan Daulah Khilafah Rashidah yang kedua di atas jalan kenabian, membai’ah Khalifah agar menjalankan syariat Allah, berdiri di belakangnya dan berjuang bersamanya,

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu laksana perisai. Kalian berlindung dan berperang di belakangnya” [Dikeluarkan oleh Bukhari dari Abu Hurairah].

Kami ingin memberikan nasihat yang ikhlas demi Allah Yang Maha Suci kepada presiden Mesir yang baru agar bertakwa kepada Allah dan berhenti dari menyeru kepada Negara Sivil Demokrasi dari segenap aspek dan kembalilah kepada kebenaran. Ini adalah agar kamu tidak mendapat kerugian secara keseluruhan di dunia ini setelah mendapat kerugian yang banyak apabila pihak tentera ‘mematahkan sebelah sayapmu’ dan menghalang kamu dari memilikiautoriti sepenuhnya. Dan agar kamu tidak mendapat kerugian di akhirat kerana keredhaanmu kepada Amerika melalui seruanmu kepada Negara Sivil Demokrasi,  dan agar kamu tidak mendapat kemurkaan Tuhan Amerika dan Tuhan Barat kerana kegagalan kamu untuk menegakkan Khilafah dan menjalankan syariat Allah. Kamu tidak syak lagi telahpun membaca hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesiapa yang mendapatkan keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah maka Allah akan meninggalkannya kepada manusia (tidak membantunya) dan sesiapa yang mencari keredhaan Allah dengan kemurkaan manusia, maka Allah akan mencukupkan keperluannya” [Dikeluarkan oleh Tarmizi dan Abu Na’im di dalam Al-Haliyah dari Aisyah].

Sesungguhnya nasihat ikhlas ini adalah semata-mata kerana Allah SWT. Kami tidak memerlukan dari kamu sebarang balasan atau ucapan terima kasih kecuali agar kamu sedar dan tidak membiarkan kaum kuffar dan ejen-ejen mereka serta musuh-musuh Islam tertawa penuh kepuasan setelah mengetahui bahawa rancangan mereka untuk mewujudkan Negara Sivil Demokrasi telah mula diserukan oleh kaum Muslimin dan Ikhwan al-Muslimin. Sesungguhnya kepunyaan Allahlah segalanya dan kepada Allahlah kembali segalanya.

6 Sya’ban 1433H
25 Jun 2012
Hizbut Tahrir