SN318 – KEPUTUSAN SIDANG KEMUNCAK LUAR BIASA OIC DI MAKKAH – SEBUAH PENGKHIANATAN

 

SN keluaran 31 Ogos 2012
 
  alt

KEPUTUSAN SIDANG KEMUNCAK LUAR BIASA OIC DI MAKKAH – SEBUAH PENGKHIANATAN
 

[SN318] Pada 26-27 Ramadhan yang lepas (14-15 Ogos) satu Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Cooperation – OIC) yang ke-4, telah diadakan di As-Saffa Palace, bersebelahan Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah, yang membincangkan isu penting umat Islam iaitu krisis di Syria, di samping membincangkan juga tentang isu kaum Muslimin Rohingya dan juga Palestin. Datuk Seri Najib Tun Razak turut menghadiri sidang kemuncak ini, di mana pemergian Perdana Menteri Malaysia ini diiringi oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri JamilKhirBaharom dan agak mengejutkan apabila bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa turut serta bersama rombongan. Nasharuddin yang juga ahli Parlimen PAS Bachok kebelakangan ini sering kelihatan bersama pimpinan tertinggi UMNO kerana dikatakan kecewa sejak kalah dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden di tangan Mat Sabu. Sidang Kemuncak dua hari di Makkah yang dihadiri para pemimpin OIC itu telah meluluskan beberapa resolusi dan untuk Syria Resolusi 2/4-EX (IS) Terhadap Situasi Di Syria telah dikeluarkan. Di dalam resolusi tersebut OIC memutuskan:-

1. Menekankan pendirian berprinsipnya terhadap keperluan menjaga kesatuan, kedaulatan, kemerdekaan dan sempadan integriti Syria;

2. Mengutuk pertumpahan darah yang berterusan di Syria dan menekankan bahawa ia (kerajaan Syria) bertanggungjawab atas sikap kekerasan dan pertumpahan darah yang terus berlaku;

3. Mengutuk serangan Syria ke atas pesawat Turki dan menyifatkan hal ini sebagai tindakan bahaya yang serius terhadap keselamatan dan kestabilan rantau tersebut;

4. Menyeru dihentikan segera keganasan, pembunuhan dan pemusnahan demi menghormati nilai-nilai Islam, hak asasi manusia dan demi menyelamatkan Syria daripada bahaya perang saudara, termasuk kesan berbahayanya ke atas rakyat Syria, rantau tersebut dan keselamatan serta keamanan antarabangsa;

5. Mengalu-alukan resolusi PBB bertarikh 3 Ogos 2012 berhubung situasi di Syria, yang mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang berterusan, melebar dan sistematik, pelanggaran hak asasi manusia dan kebebasan fundamental, oleh pihak berkuasa Syria, kekerasan ketenteraan ke atas rakyat sivil, tembakan rambang, pembunuhan dan penganiayaan; dan dalam hal ini, menyeru untuk memulakan penerapan segera pelan peralihan dan perkembangan mekanisme yang aman yang akan membangun Syria baru berdasarkan pluralisme, demokrasi dan sistem sivil di mana akan wujud kesamarataan berdasarkan undang-undang, kewarganegaraan dan kebebasan fundamental;

6. Memutuskan untuk menggantung keanggotaan Syria di dalam OIC dan kesemua organnya, berdasarkan rekomendasi daripada Jawatankuasa Kementerian Eksekutif yang diadakan di Jeddah pada 24 Jun 2012;

7. Menyeru Majlis Keselamatan untuk melaksanakan seluruh tanggungjawabnya dengan menghentikan keganasan dan pertumpahan darah yang berterusan di Syria dan mencari penyelesaian aman dan berkekalan untuk krisis Syria; 

8. Mengesahkan komitmen kukuhnya bagi menjamin bantuan kemanusiaan untuk rakyat Syria dan mendesak negara-negara anggota untuk menderma secara  budiman kepada rakyat Syria bagi membolehkan Sekretariat Umum melaksanakan segera secara skala penuh aktiviti bantuan kemanusiaan di Syria.

Berdasarkan resolusi di atas, ia jelas memperlihatkan kebatilan cara berfikir para pembuatnya. Ia dibuat dalam kerangka assabiyyah dan wathaniyyah di mana ia menganggap umat Islam di Syria sebagai umat yang terpisah, bukannya sebagai umat Islam yang satu. “Pertolongan” dihulur atas dasar sempadan nation state (negara bangsa) rekayasa penjajah, bukannya atas dasar akidah dan persaudaraan Islam yang tak mengenal sempadan. Segala seruan yang dibuat adalah seruan kepada pemikiran kufur seperti hak asasi manusia, kebebasan dan pluralisme. Perdana Menteri Malaysia yang kononnya menentang pluralisme pun turut bersetuju untuk membangun Syria baru atas dasar pluralisme! Resolusi yang dibuat juga tidak habis-habis menyeru kepada sistem demokrasi dan negara sivil demokrasi, sebuah sistem pemerintahan kufur yang berasal dari Barat dan merupakan konsep bernegara yang bertentangan dengan Islam serta dipenuhi kerosakan. Selain itu, para pemimpin yang mengeluarkan resolusi juga hanya bersetuju untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan, bukannya bantuan ketenteraan, yang sebenarnya diperlukan oleh umat Islam di Syria. Mereka juga sepakat untuk mengharapkan bantuan dari PBB untuk menyelesaikan krisis Syria, walhal PBB merupakan organisasi kufur dan kuda tunggangan Amerika yang selama ini kerananyalah umat Islam menderita.

Inilah hakikat OIC, sebuah organisasi yang sememangnya juara dalam bersidang dan mengeluarkan resolusi! Persidangan mereka amat hebat, memang gah, dikawal ketat, duduk di kerusi empuk dengan segala kelengkapan dan peralatan yang canggih dan mahal. Pendek kata, segala-galanya first class. Ya, inilah hakikat OIC dan pemimpin OIC. Di sebalik penderitaan dan kesengsaraan rakyat Syria, para pemimpin ini bersidang dengan penuh kemewahan dan membuat keputusan untuk menyerahkan nasib rakyat Syria kepada badan kufur PBB! Tidakkah ini semua merupakan sebuah pengkhianatan yang nyata? Apatah lagi setelah lebih setahun rakyat Syria dibunuh dengan kejam oleh Bashar si penyembelih, OIC baru nak bersidang. Sesungguhnya segala resolusi yang dikeluarkan OIC ini hanyalah ibarat anjing menyalak bukit. Ia merupakan resolusi-resolusi kosong yang tak berfaedah, kutukan dan kecaman yang tak bermakna, yang sedikit pun tidak menggentarkan si Bashar pembunuh, malah sebaliknya menggembirakan tuan si Bashar dan tuan mereka, Amerika! Jika diperhatikan betul-betul, tidak ada satu pun daripada resolusi yang dikeluarkan, yang berusaha menyelesaikan krisis Syria berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Bukankah semua ini merupakan pengkhianatan kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukminin?

Inilah wajah sebenar para pemimpin OIC. Mereka pergi bersidang dengan segala kemewahannya dan balik dari persidangan umpama balik dari melancong, penuh kepuasan dan kegembiraan, tanpa melakukan suatu pun yang bermakna untuk umat Islam, kecuali untuk diri sendiri. Setelah berada di tanah air masing-masing, maka seperti biasa mereka akan sibuk meneruskan kerja harian mereka tanpa mempedulikan lagi apa yang berlaku di Syria. Malah jika ada warga Syria yang datang untuk menyelamatkan diri di negara mereka, warga Syria tersebut pasti tidak akan dibenarkan masuk kecuali dengan passport dan visa dan akan dihalau keluar setelah tamat tempoh. Pendek kata, mereka akan menghalang kemasukan rakyat Syria (yang kononnya mereka bersidang untuk menyelamatkannya) dengan pelbagai halangan. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di negara sendiri, apa yang penting bagi para pemimpin OIC ini adalah melaksanakan segala agenda demi mengekalkan takhta masing-masing.  Manakala jika ada unsur penentangan atau muhasabah dari rakyatnya yang boleh menggugat kekuasaan mereka, mereka tidak akan segan silu untuk bertindak seumpama Bashar al-Assad, ke atas rakyat mereka sendiri!

—————————————————————————————————————-
 
[Berikut adalah terjemahan surat dari HizbutTahrir Wilayah Syria berhubung Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC ke-4 di Makkah]

Keputusan Para Penguasa Kaum Muslimin Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Makkah Merupakan Pengkhianatan Terhadap Darah Kaum Muslimin Yang Ditumpahkan Di Syria, Yang Keharamannya Di Sisi Allah Adalah Lebih Agung Daripada KeharamanMasjidil Haram Yang Mereka Berkumpul Berhampirannya
   
Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Cooperation – OIC) yang dianggotai oleh 57 buah negeri Islam telah mengadakan “Sidang Kemuncak Solidariti Islam” pada tanggal 26-27 Ramadhan 1433 H (14-15 Ogos 2012) di Makkah al-Mukarramah pada malam (lailatul) qadar yang dinanti. Kenyataan penutup Sidang Kemuncak itu memutuskan untuk “membekukan keanggotaan Republik Arab Syria dalam OIC” disebabkan “sikap keras penguasa Syria dan kedegilannya menyelesaikan masalah dengan penyelesaian ketenteraan”. Sidang kemuncak itu juga meletakkan tanggungjawab di leher penguasa Syria di atas sikap kekerasan yang berterusan, penghancuran harta benda, meningkatnya korban pembunuhan yang telah mencecah ribuan nyawa orang awam yang tak bersenjata dan terjadinya pembantaian di kota-kota dan desa-desa.

Catatan pertama yang kita perlu berikan kepada organisasi ini (OIC) adalah bahawa ia sesungguhnya merupakan manifestasi kelemahan umat Islam. Hati-hati para anggotanya terdiri daripada hati-hati yang tercerai berai dengan beragam kekuasaan dan mereka sebenarnya tidak memiliki nilai dalam politik internasional dan regional. Mereka mengadakan sidang kemuncak itu setelah adanya beberapa isyarat dari tuan-tuan mereka dan setelah sebelumnya mereka tidur lena bertahun-tahun. Sidang kemuncak terakhir yang mereka adakan sebelum ini adalah pada tahun 2005. Waktu itu mereka mengeluarkan “BalaghMakkah” (Penyampaian Makkah) tetapi tidak ada sedikit pun dari penyampaian itu yang sampai kepada kaum Muslimin. Mereka jugalah yang dalam sidang kemuncak kali ini mengeluarkan “WatsiqahMakkah” (Perjanjian Makkah) yang tidak seorang pun menjangka, termasuk mereka sendiri, bahawa ia akan memberi sebarang kesan. Oleh kerana itu, kami sampaikan pesanan berikut kepada kaum Muslimin yang selalu mengharapkan jawapan dari mereka, kami sampaikan bahawa kebaikan itu ada di dalam umat dan ia tampak jelas dan dipersaksikan oleh syarak dan fakta:

Sesungguhnya para penguasa itulah yang menjadi asas kepada wujudnya pelbagai masalah umat Islam. Hal itu disebabkan oleh jauhnya mereka dari Islam dan ketundukan mereka kepada Barat serta pengkhianatan mereka kepada Rabb mereka, agama mereka dan kaum Muslimin secara keseluruhan. Siapa pun di antara penguasa yang berkumpul (bermesyuarat) itu tidak ada bezanya dengan penguasa Syria yang sangat jahat. Siapa pun dari para penguasa yang berkumpul itu akan pasti melawan rakyatnya sendiri seperti yang dilakukan oleh Bashar jika rakyat (berdemonstrasi) menuntut pembaikan daripada mereka. Oleh kerana itu, janganlah sampai kalian mengharap sesuatu apa pun dari mereka, kerana sesungguhnya mereka bukanlah orang yang layak untuk diharapkan!

Seandainya para penguasa yang berkumpul itu memang benar dan ikhlas, nescaya mereka akan mendukung kalian (wahai rakyat Syria) dengan dana dan senjata. Namun hakikatnya mereka itu sama sahaja seperti dengan Barat, mereka takut keIslaman kalian menjadi kekuatan yang akan membawa kehancuran kepada mereka. Bahkan mereka meletakkan syarat-syarat (jika ingin membantu kalian) yang merupakan syarat-syarat tuan-tuan mereka – iaitu kalian mesti menjauhkan diri dari al-Islam as-siyasi (politik Islam) dan kalian hendaklah mendirikan pemerintahan sivil. Syarat itu adalah syarat yang juga diletakkan oleh Saudi dan Qatar. Lalu perkara apakah yang memenuhi seruan Allah dari para penguasa seperti itu yang ‘kononnya’ mengadakan sidang kemuncak di al-Haram, pada bulan yang mulia dan pada malam lailatul qadar yang penuh berkat?? Sungguh, sidang kemuncak itu adalah merupakan ‘usaha’ untuk memperdaya Allah dan memperdaya kalian semua, namun hakikatnya, mereka hanyalah memperdaya diri-diri mereka sendiri. Seandainya mereka mengerti, nescaya mereka mengetahui ketentuan syarak bahawa keharaman darah seorang Muslim itu lebih agung di sisi Allah SWT dari keharamanBaitul Haram yang mereka berkumpul (bermesyuarat) berhampirannya.

Sesungguhnya amal syar’i yang pertama sekali wajib dilakukan oleh para penguasa yang berkumpul di sidang kemuncak itu adalah, mereka wajib menyatukan tekad untuk berhukum kepada syariat Allah SWT dan mereka berikan kepada umat hak umat di dalam memilih penguasa mereka, (yakni) seorang Khalifah rasyid (berpetunjuk) yang memerintah umat dengan Islam. Kemudiannya, kaum Muslimin berhimpun di negeri yang satu, di dalam satu medan penghambaan kepada Allah SWT. Pada ketika itu para tentera digerakkan dan negeri-negeri dibebaskan, dari Palestin ke Kashmir, ke Chechnya, ke Afghanistan, ke Burma dan seterusnya dan seterusnya…inilah apa yang wajib mereka lakukan, bukannya dengan mengadakan sidang kemuncak seperti yang telah mereka adakan itu. Sesungguhnya urusan (agama) Allah ini tidak mungkin akan tertegak dengan sidang kemuncak semacam itu, dan oleh para penguasa seperti mereka!

Kata-kata seperti di atas merupakan suatu yang begitu jauh untuk dilakukan oleh para penguasa itu. Ini kerana, mereka sememangnya amat jauh dari hal itu (menegakkan agama Allah). Namun, umat Islam ini sesungguhnya adalah lebih dekat terhadap hal tersebut berbanding para penguasa yang khianat itu. Umat Islam sangat rindu akan tegaknya agama Allah dan sangat rindu untuk membaiat seorang Khalifah. Umat Islam telah yakin bahawa tidak ada jalan keluar untuk mereka kecuali dengan mendirikan agamaNya dan lebih tepat, dengan menegakkan Daulah Khilafah. Inilah yang diwaspadai oleh Barat dan sentiasa diperingatkan oleh Barat kepada agen-agen mereka seperti para penguasa yang berkumpul pada sidang kemuncak ini. Keinginan dan ucapan mereka di dalam pertemuan tersebut semuanya memanifestasikan suara yang sama yakni untuk menjauhkan kaum Muslimin dari berhukum dengan Islam.

Wahai kaum Muslimin yang benar (al-muslimun as-siddiqun) di negeri Syam, pusat Darul Islam (Negara Islam)! Kami di HizbutTahrir menyampaikan khabar gembira kepada kaum Muslimin yang sangat rindu untuk membaiat seorang Khalifah, bahawa umat Islam kini sudah berada di depan pintu Al-Khilafah Ar-Rasyidah di bumi Syam (yang bakal menjadi) pusat Darul Islam. Terus teguhlah kalian wahai warga Syam yang gagah berani. Kami menyeru kalian dan kaum Muslimin di setiap negeri Islam untuk bangkit menentang dan mengumumkan penolakan terhadap apa yang dilakukan oleh para penguasa pengkhianat berhampiran tanah al-Haram di mana mereka sesungguhnya telah menuangkan cuka ke atas luka umat. Kami menyeru agar kaum Muslimin mengingkari dan melemahkan para penguasa pengkhianat ini dan berjuang untuk menjatuhkan mereka serta membebaskan umat Islam daripada keburukan para penguasa tersebut, sebagaimana kami menyeru para tentera Muslim di dunia Islam agar mencurahkan kesetiaan mereka hanya kepada Allah sahaja, bukan kepada para penguasa yang wajah sebenar mereka tidak lagi tersembunyi dari seorang pun. Berikutnya (kami menyeru) para tentera ini agar mendukung umat Islam yang melakukan revolusi di Syam dengan melaksanakan kewajipan mereka untuk memberikan pertolongan kepada kaum Muslimin di Syria dan memberikan pertolongan kepada agama Allah, menghilangkan semua penghalang yang menghalangi mereka untuk melakukan hal itu, agar semua ini menjadi pembuka kepada terealisasinya pertolongan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada kaum Mukminin di dalam firmanNya,

“Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari Kiamat)” [TMQ al-Mukmin (40):51].

Khamis, 28 Ramadhan 1433H / 16 Ogos 2012M
HizbutTahrir Wilayah Syria