SN322 – INNOCENCE OF MUSLIMS DAN KEBIADABAN BARAT TERHADAP ISLAM

SN keluaran 28 September 2012
 



INNOCENCE OF MUSLIMS DAN KEBIADABAN BARAT TERHADAP ISLAM:
SEJARAH KEFANATIKAN, TOHMAHAN DAN FITNAH BARAT

[SN322]Sejak beberapa minggu lepas, kita telah menyaksikan untuk ke sekian kalinya siri serangan yang begitu provokatif dan menjijikkan ke atas peribadi yang sangat disayangi oleh orang-orang yang beriman – Rasul Allah yang terakhir – Muhammad SAW. Hasilnya, sebagaimana yang dapat dijangka, umat Islam telah menunjukkan kemuncak reaksi kemarahan dan kekecewaan. Dari Indonesia dan Bangladesh, dari Afrika Utara dan Timur Tengah hinggalah ke Eropah, kaum Muslimin memprotes karikatur dan filem penghinaan ke atas Rasulullah SAW yang begitu dungu dan keji ini. Filem Innocence of Muslims telah menggambarkan Islam sebagai agama yang penuh keganasan dan kebencian serta menggambarkan Rasulullah SAW sebagai seorang yang gila seks, gila kuasa serta sentiasa dahagakan darah. Selain itu, ia juga turut menghina Khadijah (ra) dan sahabat sebagai pembunuh kejam, gilakan harta dan suka membunuh wanita dan kanak-kanak. Gambaran bohong yang sungguh biadab ini telah mencetuskan kemarahan bukan sahaja kaum Muslimin, malah non-Muslim juga, yang turut mengutuk filem ini.

Ironinya, ada sebahagian kecil kaum Muslimin yang rosak pemikiran, hati dan perasaannya, kerana ada kepentingan dan condong kepada tuannya yang liberal (Barat), telah memilih untuk mengutuk orang-orang Islam yang bangkit memprotes, daripada mengutuk si pembuat filem dan Barat yang celaka itu. Golongan pembenci sesama Muslim seperti ini sesungguhnya telah gagal merespon isu ini dengan benar, mereka sebaliknya bertindak ‘memukul’ mangsa, bukannya pemangsa.

Filem Innocence of Muslims ini tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perang kuffar Barat terhadap Islam, yang telah termanifestasi sejak berabad lepas ke atas negeri-negeri umat Islam seperti pencerobohan tentera secara langsung ke atas Iraq dan Afghanistan; perang proksi di Somalia dan Sudan; perang diplomatik dan ekonomi di Iran; dan peperangan intelektual dan tsaqafah oleh Barat terhadap rakyatnya sendiri (dalam memberi persepsi negatif terhadap Islam dan umat Islam).

Sejarah serangan Barat ke atas Islam bukanlah bermula dengan peristiwa 9/11, namun serangan intelektual dan tsaqafah sebenarnya telah bermula lama sebelum itu. Pandangan busuk Barat terhadap Islam lama-kelamaan menjadi semakin ketara, sehingga ke tahap seolah-olah wujud pertandingan di kalangan ‘pemukul’ Islam dalam mencari siapakah yang akan memenangi trofi sebagai orang yang paling berani dan paling kuat kebenciannya terhadap Islam, sama ada dalam bentuk penerbitan filem, karikatur, ucapan dan sebagainya. Lihatlah bagaimana kartun Denmark yang menghina Rasulullah diterbitkan  pada tahun 2006, kemudian diikuti pada tahun 2010 dengan pastor Terry Jones yang menyeru secara terbuka untuk membakar Al-Quran pada sambutan ulang tahun ke-9 peristiwa 9/11. Pada bulan Februari 2012 pula, tentera Amerika di penjara Baghram, Afghanistan, telah membakar 315 naskhah Al-Quran dan material keagamaan. Kesemua ini seolah-olah menunjukkan wujudnya pertandingan sesama mereka di dalam membuktikan siapakah yang paling hebat di dalam menghina Islam dan membangkitkan kemarahan umat Islam.

Barat Menaja Kebencian – Sejarah Kejahatan Barat Terhadap Islam

Sejak dikeluarkan filem Innocence of Muslims, para politikus Amerika pun mengeluarkan kenyataan kononnya membantah si pembuat filem. Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton kononnya mengutuk filem yang telah membangkitkan kemarahan umat Islam tersebut dengan menyifatkannya sebagai jijik dan tak boleh diterima (disgusting and reprehensible). Berlagak seperti berpihak kepada umat Islam, Amerika sebaliknya hanya “meminta” agar YouTube “mempertimbangkan” sama ada filem itu telah melanggar peraturannya sendiri atau tidak. Namun Google, yang memiliki YouTube mengeluarkan kenyataan bahawa video tersebut adalah “clearly within our guidelines and so will stay on YouTube” (dengan jelas mematuhi peraturan kita dan akan kekal ditayangkan di YouTube). Jadi, orang-orang yang beriman akan nampak bahawa kenyataan Hillary yang seperti berpihak kepada umat Islam itu sebenarnya hanyalah sebuah pembohongan, apatah lagi jika dilihat sejarah kejahatan Amerika terhadap Islam dan umatnya selama ini.

Tidak kiralah sama ada filem tersebut mendapat tajaan dari negara (Barat) atau tidak, tindakan individu atau kumpulan yang telah melakukan provokasi melalui filem itu, bukanlah tindakan yang bersifat individu semata-mata! Amat jelas bahawa si penjahat (pembuat filem) itu telah menerima sokongan padu dan galakan ideologi negara (Barat) di dalam menjalankan kerja jahatnya. Oleh sebab disuap dengan diet harian yang berupa kebencian dan propaganda untuk membenci Islam dan kaum Muslimin, maka itulah hasilnya. Setiap jiwa yang beriman akan dapat melihat bahawa si penjahat ini sesungguhnya telah “ditaja” oleh Barat sama ada secara langsung atau tidak. Allah SWT berfirman,

“Telah nyata kebencian (terhadap Islam) dari mulut-mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi” [TMQ Ali Imran (3):118].

Tanpa kajian mendalam pun kita akan mengetahui bagaimana sejarah kebencian Barat terhadap Islam telah dipropagandakan oleh mereka sejak berabad lamanya. Dari sudut sejarah, walaupun penjajah Anglo-Perancis mula mengetuai serangan Barat ke atas Islam, agenda itu kemudian diguna pakai oleh AS sejak Perang Dunia II dan hari ini, tindakan AS ke atas Islam hanyalah mengulangi apa yang telah dilakukan oleh orang sebelumnya. Kebanyakan perbincangan mengenai Islam di Barat adalah dicorakkan daripada tradisi Orientalis. Professor Edward Said telah membuat kajian mendalam mengenai kebencian Barat terhadap dunia Timur, khususnya Islam, di dalam beberapa bukunya yang terkenal. Tradisi Orientalis memandang dan menggambarkan Islam sebagai tamadun primitif dan ganas, yang perlu dikawal dan dihapuskan. “Orientalisme itu sendiri adalah produk daripada kuasa dan aktiviti politik tertentu. Orientalism merupakan interpretasi mazhab yang mana dasar kajiannya adalah mengenai Orient (Timur) dari segi ketamadunannya, orangnya dan kawasannya” [Edward Said, Orientalism, 2003, Penguin Books, ms 203].

Sebahagian fitnah Barat terhadap Islam dimotivasi oleh cabaran sengit ideologi Islam ke atas hegemoni kapitalis Barat dan sebahagian lagi dimotivasi oleh asal usul Islam yang bukan dari agama Kristian. Oleh itu, Barat sungguh gembira menggambarkan Islam sebagai penjahat. Dalam konteks perbincangan Orientalis, “Adalah benar bahawa apabila orang Eropah bercakap mengenai dunia Timur, dia (orang tersebut) menjadiseorang yang rasis, imperialis dan etnosentrik…[Said, Orientalism, ms 204]. Bagi Barat, dunia Timur dan dunia Islam khususnya, merupakan tempat yang tidak bertamadun dan mundur. Justeru, mereka merasakan bahawa mereka mempunyai tugas dan misi untuk mentamadunkan orang-orangnya. Terhadap Daulah Khilafah Uthmaniyyah pula, mereka mempunyai program ‘ketamadunan’ khusus iaitu “Oleh kerana dunia Timur adalah sebahagian dari bangsa subjek yang perlu dijajah, maka ia perlu dijajah. Itulah hakikat yang senang untuk difahami”[Said, Orientalism, ms 207].

Dalam banyak perbincangan akademik dan intelektual di Barat, terdapat kesepakatan bahawa pandangan-pandangan, kenyataan-kenyataan dan komen-komen yang walaupun bersifat berat sebelah (bias) terhadap dunia Timur, tetapi ia dianggap benar dan boleh diterima. Sebagaimana Said memberi komentar, “Pada zaman pertengahan dan zaman awal kebangkitan di Eropah (renaissance), Islam dipercayai sebagai agama ‘syaitan, pelik dan tidak rasional. Muhammad adalah Nabi palsu, seorang yang menimbulkan kacau-bilau , seorang yang mementingkan keinginan nafsu, seorang munafik dan seorang agen syaitan” [Edward Said, Covering Islam, 1997, Vintage ms 5].

Cabaran Islam kepada Barat bermaksud, bukannya Barat mahu memahami Islam dan mesejnya, tetapi secara terus-menerus Barat perlu memfitnah dan menjahanamkan Islam. Bagi Barat, “Tamadun lain di dunia Timur – India dan China antaranya – boleh dikatakan telah tunduk dan terletak jauh, jadi tidak perlu dirisaukan sangat. Hanya Islam sahaja yang nampaknya tidak pernah tunduk sepenuhnya kepada Barat” [Said, Covering Islam, ms 5]. Persepsi sedemikian, ditambah dengan usaha Barat yang tidak kenal lelah dalam mengenal pasti siapakah yang boleh mengancam mereka, telah menjadikan Islam sebagai musuh yang sempurna (perfect enemy) bagi Barat.

Barat telah berhadapan dengan masalah sosio-politik dan krisis ekonomi yang teruk tidak lama dulu, sebagaimana dapat dilihat hingga sekarang. Professor Noam Chomsky menegaskan bahawa dalam keadaan dalaman yang tidak menentu begini, “Kamu (orang-orang Barat) mesti mengalihkan pandangan mereka (orang-orang Islam) kerana kalau mereka (orang-orang Islam) mula menyedarinya, mereka tentu tidak akan suka kerana mereka adalah orang-orang yang menderita kerananya. Hanya membuatkan mereka (orang-orang Islam) menonton Superbowl dan sitcom tidak mencukupi…sejak lebih 10 tahun lepas, selang setahun atau dua tahun, terdapat masalah besar yang kita terpaksa mempertahankan diri darinya. Biasanya akan sentiasa ada masalah besar yang menanti” [Noam Chomsky, Media Control, 2002, Seven Stories Press, ms 43]. 

Oleh itu, para pemerhati fitnah-fitnah Barat (terhadap Islam) pada hari ini mesti mengambil kira sejarah di atas untuk dapat menilai kenapa Barat sering memburuk-burukkan Islam. Barat tidak dapat berhadapan dengan Islam secara intelektual, jadi mereka beralih kepada cara memfitnah dan menjelek-jelekkan Islam. Dengan cara memburuk-burukkan Islam pada hari ini, ia membantu Barat untuk memanjangkan umur kebenciannya terhadap Islam dan dalam masa yang sama dapat mengalihkan perhatian orang ramai daripada masalah dalamannya yang parah dan kehancuran sistematik yang sedang dialaminya.

Kebebasan Bersuara (Freedom of Speech) – Dalih Biasa!

Kebebasan bersuara merupakan lagu yang selalu didendang oleh Barat di dalam menjelaskan kenapa mereka boleh mengutuk orang lain atau apa yang dimuliakan oleh orang lain, sesuka hati mereka. Seperti mana puak liberal yang selalu memperbodohkan simbol dan karakter agama Kristian, yang mana golongan Kristian secara senyap boleh menahannya, puak fanatik sekular tersebut mengharapkan perkara yang sama apabila mereka menghina Islam. Bagaimanapun, Barat tidak mempraktikkan standard freedom of speech yang sama apabila ia menyentuh sensitiviti mereka. Lihat sahaja sebagai contoh apa yang berlaku baru-baru ini di mana gambar separuh bogel Kate Middleton, Duchess of Cambridge, telah disiarkan di banyak majalah dan surat khabar Eropah. Keluarga Di Raja British telah mengambil pendirian yang tegas dengan mengutuk penerbit majalah dan akhbar tersebut dan mengancam akan membawa kes ke mahkamah. Dalam hal ini, tiada pula freedom of speech yang dilaungkan! Pada masa yang lebih kurang sama, BBC melaporkan berita yang seorang remaja Muslim, Azhar Ahmed, telah didakwa kerana mengeluarkan kenyataan yang menyinggung (offensive remarks) mengenai tentera British di Afghanistan. Hakim memutuskan bahawa komen remaja Muslim tersebut adalah menghina (derogatory) dan berbahaya (inflammatory). Sekali lagi, freedom of speech tidak dapat menyelamatkan Ahmed dan pendakwa raya tidak memberikan hak freedom of speech kepada Ahmad sedikit pun!

Kedua-dua contoh di atas menunjukkan bahawa kebebasan bersuara hanyalah alat yang digunakan oleh Barat apabila perlu, demi mencapai tujuan politik mereka. Contoh-contoh di atas juga menunjukkan dengan jelas bahawa setiap bangsa mempunyai sensitiviti dan garisan merah yang tidak boleh dilangkau, di mana ia akan menjaganya agar tidak dilintasi oleh sesiapa pun. Ironisnya, Barat mengajar umat Islam perkara yang mereka sendiri tidak amalkan di rumah mereka!

Jurang Antara Pemerintah Dan Umat

Apabila terjadi provokasi jahat terhadap Islam dan umatnya, kita dapat melihat bagaimana jelasnya perbezaan reaksi di antara kaum Muslimin dan pemerintah mereka, tidak kira sama ada pemerintah demokrasi atau diktator. Tatkala kaum Muslimin memprotes dengan bersungguh-sungguh, para pemerintah Muslim terus makan dan minum dengan pemerintah Barat seperti biasa, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dalam ketegangan yang berlaku sekarang, tidak ada seorang pemerintah Muslim pun yang mengambil langkah untuk mencegah siri penghinaan yang dilakukan Barat ke atas Rasulullah SAW. Presiden Mesir, Muhammad Mursi, yang dikenali sebagai ‘Revolusioner Islam’ sekadar ‘melepas batuk di tangga’ mengutuk filem tersebut. Perdana Menterinya, HishamQandil pula memberi komen bahawa “perbuatan menghina Rasul kita adalah sesuatu yang tidak dapat diterima”. Presiden Iran, Ahmadinejad berkomentar, “Pada asasnya kami mengutuk semua tindakan provokatif, menghina agama dan penganutnya. Ia tidak sepatutnya berlaku dan saya berharap ahli politik tidak akan bertindak menghina mana-mana tokoh agama”. Begitu juga dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang hanya memberi komen “Filem dan karikatur menghina Nabi adalah penghinaan kepada umat Islam dan wajar dikutuk pemimpin seluruh dunia”.

Apa yang dilakukan oleh kesemua pemimpin umat Islam hanyalah komen yang lemah yang langsung tidak bermakna, apatah lagi untuk menggerunkan Barat. Komen-komen tersebut hanya membuatkan Barat ketawa terbahak-bahak melihat kebaculan pemimpin umat Islam tatkala Rasul mereka dihina. Malah, HishamQandil, jauh dari ingin mengambil tindakan terhadap Barat dengan memutuskan hubungan diplomatik atau sebagainya, sebaliknya berkata bahawa, hubungan di antara Amerika dan Mesir merupakan “hubungan yang perlu diperkuatkan lagi berdasarkan kepentingan bersama dan saling menghormati kedaulatan”. Kesemua komen daripada pemimpin umat Islam ini menunjukkan sikap semula jadi pemimpin tersebut yang sentiasa tunduk dan takut kepada tuan mereka, Barat, dan sentiasa berada di bawah ketiak tuan mereka, walaupun di saat tuan mereka menghina Islam dan Rasulullah sekalipun! Kedudukan ini sama sekali berbeza dengan kedudukan kaum Mukminin yang bangkit menentang kebiadaban Barat dan sanggup mati demi mempertahankan Islam dan Rasulullah SAW. Keadaan ini juga menunjukkan hakikat bahawa tidak ada seorang pemimpin Islam pun yang sebenarnya mewakili umat Islam!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita hendaklah menghadapi isu ini dengan cara yang benar. Ingatlah bahawa Islam adalah agama yang benar dan kekuatan akidah serta intelektualnya sentiasa wujud dan berterusan sejak sekian lama, sedangkan undang-undang dan nilai buatan manusia adalah suatu yang batil dan kebatilan itu telah ditakdirkan akan berakhir. Tatkala kaum Muslimin mengalu-alukan debat intelektual dengan kaum kuffar, kita dalam masa yang sama mesti menentang dan tidak boleh berkompromi dengan segala bentuk penghinaan oleh puak kuffar. Bagaimanapun, Islam tidak membenarkan kita merosakkan harta atau membunuh jiwa tanpa hak. Kita mesti terus berpegang teguh dengan kebenaran Islam dan mendakwahkannya secara berani dan terus terang, tidak tunduk kepada kekufuran, tidak berdolak-dalik, tidak bertolak ansur dan hendaklah bijaksana. Barat secara berterusan melancarkan perang ke atas dunia Islam atas nama kebebasan dan demokrasi. Justeru, kita mesti menghumban nilai-nilai keji Barat ini sepenuhnya. Para pemerintah Muslim telah menggadai agamanya kepada Barat sejak dahulu lagi dan langsung tidak mempunyai keinginan untuk menegakkan agama Allah. Mereka juga langsung tidak berkongsi perasaan yang sama dengan umat Islam di dalam mempertahankan Rasulullah dan Islam. Mereka hanyalah orang-orang yang sama pemikirannya dengan Barat, setia dan tunduk kepada tuan mereka itu. Hanya seorang pemerintah yang ikhlas, Khalifah yang memimpin di atas jalan kenabianlah, yang akan melindungi Islam dan umatnya dari segala serangan Barat baik secara tsaqafah mahupun fizikal. Oleh yang demikian, kita hendaklah berusaha menegakkan Daulah Khilafah dan melantik seorang Khalifah yang akan mengajar segala kebiadaban Barat dan seterusnya mengembalikan kemuliaan Islam dan kaum Muslimin.