SN367 – BAGAIMANA ISLAM MENGAGIHKAN KEKAYAAN DI TENGAH-TENGAH MANUSIA

SN keluaran 1 November 2013


BAGAIMANA ISLAM MENGAGIHKAN KEKAYAAN DI TENGAH-TENGAH MANUSIA

[SN367] Semua sedia maklum yang bajet 2014 telah pun dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, pada 25 Oktober lepas. Seperti biasa, pihak yang menyokong akan memuji melangit, seolah-olah bajet ini ‘maksum’ dari segala kesalahan dan kesilapan, manakala pihak yang menentang akan mencari ruang untuk mengkritik. Inilah tradisinya sejak zaman berzaman. Apa pun, yang pastinya pembentangan bajet tahun ini tidak ada bezanya dari tahun-tahun yang lalu di mana hakikat yang langsung tidak berubah adalah bahawa Malaysia masih merupakan pengamal tegar sistem ekonomi Kapitalis. Selain pertentangannya yang nyata dengan Islam, antara sifat sistem ekonomi Kapitalis adalah menindas yang lemah dan mengkayakan lagi yang kaya. Sistem Kapitalis juga amat terkenal dengan sifatnya yang merampas harta rakyat dan segala kekayaan milik umat yang kesemuanya akan dimasukkan ke dalam kantung kerajaan atau kantung kroni dari kalangan pemilik modal. Kerana itu kita menyaksikan fenomena biasa yang “hasil” yang paling banyak bagi sesebuah kerajaan Kapitalis adalah melalui cukai dan sumber kekayaan alam yang merupakan hak umat yang dimiliknegarakanatau dimilikperibadikanoleh mereka.
Sesungguhnya pembentangan bajet tidak ada dalam Islam. Walaupun dalam Islam ada sumber kemasukan dan sumber pengeluaran yang tersendiri yang kesemuanya dilakukan berdasarkan nas, namun Islam tidak mengenal pembentangan bajet sebagaimana sistem demokrasi Kapitalisme. Sistem Islam sama sekali berbeza dengan sistem Kapitalis mahupun Sosialis. Apa yang ‘bagus’nyamelalui pembentangan bajet ialah kita dapat melihat berapa banyak kerajaan Kapitalis merampas harta individu rakyat (melalui cukai pendapatan dan lain-lain) serta merampas hak milik umat (melalui keuntungan minyak, gas dan lain-lain) dan berapa banyak penyelewengan dan pembaziran dalam membelanja dan mengagihkan kekayaan yang telah mereka kaut. Sudah berapa lama sistem Kapitalis ini dilaksanakan dan sudah berapa banyak bajet yang dibentangkan setiap tahun, namun hakikatnya kehidupan rakyat tidak banyak berubah dengan segala rampasan kekayaan, pengenaan cukai dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan dilakukan saban tahun oleh kerajaan.

Antara kebobrokan lain yang ketara dalam sistem kapitalis adalah wujudnya jurang perbezaan yang sangat besar dalam masyarakat hasil dari kekayaan negara yang dibolot oleh sebahagian kecil manusia (yang merupakan pemilik modal) manakala sebahagian besar manusia hidup sekadar cukup makan dan sebahagian lainnya berada dalam kemiskinan. Walaupun pemikir-pemikir kapitalis telah berusaha menyelesaikan isu jurang perbezaan tersebut, tetapi tidak pernah berhasil. Ini kerana, ketika membahas teori tentang pengagihanpendapatan, para ahli ekonomi kapitalis tidak pernah mengambil kirabetapa buruknya pengagihan pendapatan individu rakyat. Mereka sekadar memaparkan angka-angka tanpa memberikan penyelesaian, kerana dalam sistem kapitalis, seseorang individu boleh mengaut sebanyak mungkin keuntungan/pendapatan, tidak kira halal atau haram, selama mana dibenarkan oleh undang-undang negara. Begitu juga dengan orang-orang Sosialis, mereka tidak pernah menemui cara untuk menyelesaikan masalah buruknya pengagihan tersebut, selain hanya membatasi hak milik dengan cara menyekat hak milik tersebut. Akibatnya, orang-orang Sosialis memberikan penyelesaian dengan cara melarang hak milik tersebut.

Sebaliknya, Islam justeru telah menjamin pengagihan tersebut dengan baik, iaitu dengan menentukan tatacara pemilikan, tatacara mengelola kepemilikan serta pembahagian harta kepada orang yang tidak mampu memenuhi keperluan-keperluannya, dengan harta yang boleh menjamin hidupnya seperti mana orang lain dalam suatu masyarakat, dalam rangka mewujudkan keseimbangan ekonomi sesamanya. Dengan cara inilah Islam menyelesaikan masalah pengagihan harta di tengah-tengah manusia.Islam telah membolehkan al-milkiyyah al-fardhiyyah(kepemilikan peribadi / private ownership). Dalam masa yang sama Islam juga telah menentukan bagaimana cara memilikinya. Islam telah memberikan izin kepada individu untuk mengelola harta yang menjadi hak miliknya. Dalam masa yang sama Islam juga telah menentukan bagaimana cara mengelolanya. Islam juga memerhatikan perbezaan kuat-lemahnya akal dan fizikal manusia. Kerana perbezaan tersebut, Islam selalu membantu individu yang lemah dan mencukupkan keperluan orang yang memerlukan.

Islam telah mewajibkan kepada umatnya, bahawa di dalam harta orang-orang kaya terdapat hak bagi para fakir miskin (zakat). Islam telah menjadikan harta yang senantiasa diperlukan oleh jemaah/komuniti masyarakat sebagai al-milkiyyah al-ammah(hak milik umum / public ownership) bagi seluruh warganegara, yang tidak seorang pun boleh memilikinya atau menjaganya untuk kepentingan peribadinya ataupun untuk kepentingan orang lain. Islam juga telah menjadikan negara sebagai penanggung jawab atas pemenuhan kekayaan untuk rakyat, baik berupa harta mahupun jasa (perkhidmatan). Islam juga membolehkan negara untuk memiliki suatu kepemilikan khusus sebagai al-milkiyyah al-daulah (pemilikan negara / state ownership) terhadap harta/kekayaan tersebut.

Atas dasar ini, Islam telah menjamin kehidupan setiap individu rakyat dan menjamin jemaah/komuniti untuk tetap utuhsebagai sebuah komuniti yang saling berpegang pada ketentuan/hukum yang ada. Islam juga menjamin kemaslahatan individu dan melayani urusan jemaah serta menjaga eksistensi negara dengan kekuatan yang cukup sehingga mampu memikul tanggung jawab perekonomian negara. Semua ini terjadi apabila masyarakat tetap berada dalam suatu keadaan dimana kekayaan yang ada adalah mencukupi untuk keperluanmereka, baik secara individu mahupun secara keseluruhandan dengan penerapan hukum syariah dalam negara secara kaffah.

Tatkalawujud dalam sesebuah masyarakat jurangperbezaan yang besar antara individu dan individu yang lain dalam memenuhi keperluannya, sebagaimana keadaan yang terjadi di dunia Islam saat ini, maka Islam mengajar bahawa mestilah diwujudkan satu keseimbangan (equilibrium) di antara individu rakyat dalam melakukanpengagihan, yang bolehmengimbangi proses pemenuhankeperluan-keperluannya.Demikian juga jika terjadi penyimpangan pada diri manusia dalam menerapkan hukum-hukum syarak, kerana adanya pemahaman yang keliru atau kerana adanya penyelewenganatau kelalaian dari pihak negara dalam menerapkan sistem Islam sehingga masyarakat turut menyimpang dari jalan yang lurus, lalu mengakibatkan ketidakseimbangan ekonomi di antara individu-individu dalam masyarakat, maka,keseimbangan mestilah dikembalikan dengan cara yang telah digariskan oleh hukum syarak.

Mewujudkan Keseimbangan Ekonomi Dalam Masyarakat

Islam telah mewajibkan perputaran kekayaan terjadi pada semua anggota masyarakat dan mencegah terjadinya perputaran kekayaan hanya kepada segelintir orang sahaja. Allah SWT berfirman, “…supaya harta itu jangan hanya berlegar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kalian” [TMQ al-Hasyr (59):7].Di dalam Islam, sebagaimana yang telah dijelaskan, jika wujudjurangperbezaan yang lebar antara individu dalam masyarakat dalam memenuhi keperluan-keperluannya, maka negara wajib menyelesaikannya dengan cara mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat. Caranya adalah dengan negara memberikan harta milik negara kepada orang-orang yang memerlukan agar keperluannya dapat dipenuhi. Dengan terpenuhinya keperluan orang itu, maka akan terwujud kembali keseimbangan dalam masyarakat.Negara boleh memberikan harta kepada orang tersebut dan tujuan pemberian harta tersebut bukan sekadar memenuhi keperluanorang itu yang bersifat sementara, tetapi sebagai sarana kepadanya dalam usahanya memenuhi keperluan dirinya dalam jangka masa yang panjang. Dalam keadaan negara tidak mempunyai harta atau sekiranya harta milik negara tidak cukup untuk mewujudkan keseimbangan, negara tetap tidak boleh mengambil harta/cukai atau memungut dharibah(sejenis bayaran wajib yang dipungut di saat kecemasan) dari rakyat dalam rangka untuk mewujudkan keseimbangan tersebut keranamewujudkan keseimbangan ekonomi adalah kewajipan negara dan bukannya kewajipan atas individu Muslim.

Dalam keadaan wujud ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat, maka negara hendaklah membekalkan kepadaindividu yang tidak mampu memenuhi keperluannya, dengan harta dari Baitul Mal. Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAWketika melihat ada jurang dalam pemilikan harta antara kaum Muhajirin dan Ansar di mana baginda mengkhususkan harta fai’ yang diperolehidari Bani Nadhir untuk kaum Muhajirin, agar terjadinya keseimbangan ekonomi dalam masyarakat. Diriwayatkan, bahawa ketika Nabi SAW menakluki Bani Nadhir dengan cara damai dan orang-orang Yahudi diusir dari kawasan tersebut, lalu kaum Muslimin bertanya kepada Nabi SAW, apakah harta tersebut akan dibahagi untuk mereka, kemudian turunlah ayat, “Apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan oleh Allah kepada RasulNya (dari harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kuda pun…” [TMQ al-Hasyr(59):6].

Ini bermakna, Allah telah mengkhususkan harta Bani Nadhir tersebut untuk Nabi SAW dan bagindabolehmemberi atau membahagikan harta tersebut semahu baginda. Lalu harta tersebut dibahagikan oleh Nabi SAW kepada orang-orang Muhajirin, sementara orang-orang Ansar tidak diberi oleh baginda kecuali kepada dua orang iaitu Abu Dujanah Samak bin Khurasyah dan Sahal bin Hunaif memandangkan keadaan mereka berdua sama seperti keadaan orang-orang Muhajirin, yakni sama-sama fakir.

Ibnu Abbas juga menuturkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepada orang-orang Ansar, “Jika kalian mahu, kalian bahagikan sahaja rumah-rumah dan harta-harta kalian kepada orang-orang Muhajirin, lalu kalian bolehturut mendapatkan bahagian dalam ghanimah ini bersama mereka. Jika kalian mahu, rumah-rumah dan harta-harta kalian untuk kalian sahaja dan kami tidak akan membahagi sedikit pun ghanimah tersebut untuk kalian.” Lalu orang-orang Ansar berkata, “Bahkan kami (ingin) membahagi rumah-rumah dan harta-harta kami untuk saudara-saudara kami dan kami lebih mengutamakan mereka (Muhajirin) untuk mendapatkan ghanimah tersebut.”Lalu Allah SWT menurunkan firmanNya, “Mereka mengutamakan orang-orang Muhajirin atas diri mereka sendiri sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu)” [TMQ al-Hasyr (59):9].

Harta Bani Nadhir yang merupakan sebahagian dari harta negara, dibahagi dan dikongsi secara khusus di antara orang-orang miskin sahaja manakala orang-orang kaya dikecualikan (dari pembahagian) dalam rangka menyeimbangkan keperluan asas dalam masyarakat. Mengeluar dan membahagikan bantuan kewangan dari Baitul Mal adalah dilakukan oleh negara, dengan syarat harta yang dikeluarkan itu bukan berasal dari harta yang dipungut dari kaum Muslimin (seperti dharibah) tetapi merupakan harta ghanimah. Ini kerana harta yang dipungut dari kaum Muslimin tidak boleh digunakan untuk tujuan keseimbangan ekonomi. Pendekatan ini hendaklah dipatuhi pada setiap masa, kerana kaedah syarak dalam hal ini menyebut “al-ibrah bi umum al-lafdzi la bi khusus as-sabab” (pengajaran dari sesuatu ayat diambil dari keumuman lafaz dan bukannya dari pengkhususan sebab-sebab penurunannya). Oleh itu, dalam sesebuah Negara Islam, Khalifah mesti memastikan keseimbangan ekonomi terwujud dengan cara mengeluarkan bantuan kewangan secara eksklusif untuk golongan miskin dari harta negara dalam Baitul Mal. Dengan cara inilah, keseimbangan ekonomi dapat dijaga. Bagaimanapun, perlu difahami bahawa pengeluaran ini bukanlah sebahagian dari perbelanjaan tetap Baitul Mal, tetapi merupakan penyelesaian yang perlu dilakukan pada masa-masa tertentu daripada harta-harta tertentu.

Larangan Menimbun Emas Dan Perak

Seperkara lagi yang dapat memastikan berlakunya keseimbangan ekonomi dalam masyarakat adalah adanya larangan menimbun (kanz) emas dan perak. Menimbun emas dan perak telah diharamkan oleh Islam dengan nas yang tegas. Allah SWT berfirman, “Orang-orang yang menimbun emas dan perak dan tidak menafkahkannya di jalan Allah, beritahulah mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih. Pada hari dipanaskan emas dan perak itu dalam neraka Jahanam, lalu dibakar dengannya dahi, lambung dan belakang-belakang mereka” [TMQ at-Taubah (9):35]. Pada saat ayat ini turun, emas dan perak ketika itu menjadi alat tukar (medium of exchange), unit pengiraan (unit of account) tenaga yang terdapat dalam suatu pekerjaan dan standard manfaat yang terdapat pada harta; baik dalam bentuk cetakan, seperti dinar dan dirham ataupun tidak dalam bentuk cetakan, seperti jongkong dan sebagainya. Atas dasar ini, larangan tersebut ditujukan pada emas dan perak dalam kedudukannya sebagai alat tukar (wang).

Secara asasnya, semakin banyak beredarnya wang di pasaran, maka semakin rancaklah aktiviti perekonomian. Apabila seseorang telah melakukan penimbunan wang, maka dia hakikatnya telah menarik wang dari pasaran. Hal ini secara automatik akan mengurangkan jumlah perbelanjaan (spending) dan berkurangnya jumlah pendapatan orang yang sepatutnya mendapat wang tersebut sekiranya tidak ditimbun oleh orang yang berurusan dengannya. Hal ini kemudian akan mengakibatkan berkurangnya jumlah pengeluaran orang tersebut kerana telah berlaku pengurangan permintaan terhadapnya dan seterusnya boleh mengakibatkan pengangguran serta menurunnya tingkat perekonomian secara makro. Ringkasnya, kesan dari penimbunan wang secara pasti akan membawa kepada pengangguran serta menurunkan tingkat perekonomian kerana pendapatan masyarakat telah berkurang.

Cuma, perlu difahamidi sini bahawakemudaratan ekonomi ini sesungguhnya hanya muncul akibat adanya penimbunan (kanz / hoarding) wang, bukan akibat adanya simpanan (idkhar / saving). Ini kerana, saving (menabung) tidak akan menghentikan roda perekonomian. Penimbunanlah yang justeru menghentikannya.Perbezaan antara menimbun dan menabung adalah, penimbunan bererti mengumpulkan wang tanpa ada keperluan dan ia akan menarik wang dari pasaran. Adapun menabung adalah mengumpulkan wang kerana adanya keperluan, seperti mengumpulkan wang untuk membina rumah, untuk berkahwin, membeli kenderaan, membuka perniagaan, pergi haji atau sebarang keperluan lain. Bentuk simpanan wang semacam ini tidak akan mempengaruhi pasaran dan tidak akan mempengaruhi aktiviti perekonomian, sebab tindakan tersebut bukan merupakan tindakan menarik wang, namun hanya mengumpulkan wang untuk dibelanjakan di kemudian hari. Wang yang dikumpulkan tersebut akan beredar kembali ketika dibelanjakan pada objeknya. Kerana itu, tidak ada kemudaratan dalam aktiviti menabung, akan tetapi kemudaratan akan terjadi pada aktiviti menimbun, iaitu mengumpulkan wang tanpa ada maksud apa pun. Islam mengharamkan penimbunan tetapi membolehkan menabung.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Lihatlah bagaimana Islam menyelesaikan masalah ekonomi manusia. Lihatlah bagaimana penderitaan menimpa sebahagian besar manusia tatkala sistem Kapitalis dilaksanakan. Lihatlah bagaimana para Kapitalis (pemilik modal) menindas manusia dan mengumpulkan kekayaan yang tak terhingga untuk diri mereka. Lihatlah bagaimana mereka melakukan penyelewengan dan pembaziran terhadap kekayaan negara yang mereka rampas dari rakyat sehingga mereka hidup senang lenang dengan wang dan harta benda yang melimpah ruah, atas penderitaan orang lain. Sesungguhnya sistem Kapitalis yang korup ini tidak akan berakhir selagi kita tidak meninggalkannya dan sistem Islam yang indah tidak akan dapat dirasai selagi kita tidak berusaha melaksanakannya. Justeru, apakah yang kalian tunggu lagi wahai umat Muhammad? Bukankah sistem Islam yang selayaknya bagi kalian dan sewajibnya untuk kalian perjuangkan?