SN369 – SELAGI ISLAM TIDAK BERKUASA…JENAYAH TERUS BERLELUASA

 
SN keluaran 15 November 2013


SELAGI ISLAM TIDAK BERKUASA…JENAYAH TERUS BERLELUASA

 

[SN369] Belum pun reda kebimbangan dan ketakutan masyarakat berhubung pembunuhan ke atas Norazita Abdul Talib, seorang pegawai Ambank cawangan Subang Jaya yang ditembak dengan kejam di bahagian mukanya, beberapa hari lepas negara digemparkan pula dengan pembunuhan Ahmad Raffli Abdul Malik, Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) yang juga ditembak secara dekat di depan rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan, pada waktu siang. Walaupun suspek utama kes pembunuhan Norazita telah ditangkap, namun hal ini sedikit pun tidak menghilangkan kekhuatiran orang ramai akan tahap keselamatan mereka ketika ini. Di saat pasukan polis cuba mengatakan bahawa kadar jenayah semakin menurun, kecekapan polis semakin meningkat, peruntukan mencegah jenayah semakin besar diberikan oleh kerajaan, bilangan anggota dan segala kelengkapan polis ditambah dan banyak lagi propaganda lainnya, kesemua ini tidak menghilangkan rasa takut masyarakat terhadap aktiviti jenayah yang saban hari semakin mengerikan. Suasana kehidupan, baik bagi lelaki mahupun wanita, apatah lagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, kini senantiasa dicengkam rasa takut terhadap aktiviti jenayah yang berlaku di sekeliling mereka sehingga tidak sedikit yang mengalami trauma akibat dari hal ini. Masyarakat sudah merasakan tidak selamat, bukan sahaja semasa keluar rumah, malah semasa berada di dalam rumah pun belum tentu keselamatan mereka terjamin. Masyarakat juga merasa sudah tidak dapat mempercayai, bukan sahaja orang yang mereka tidak kenal, malah orang yang mereka kenal dan sepatutnya menjaga mereka pun sudah tidak lagi dapat dipercayai. Pendek kata, kehidupan masyarakat dibelenggu ketakutan di kiri dan kanan, atas dan bawah, depan dan belakang.
 
Jenayah telah berkembang sedemikian rupa, sehingga tidak lagi mengira mangsa, tempat, waktu dan lebih buruk, penjenayah ini seolah-olah langsung sudah tidak takutkan undang-undang yang ada. Masyarakat merasakan yang perkembangan jenayah kini sudah tidak dapat dibendung lagi oleh pihak yang berwajib. Pembunuhan, rompakan, pencurian, samun, penculikan, rasuah, penyelewengan, pemerkosaan, penipuan dan banyak lagi sudah menjadi hidangan harian di dalam masyarakat. Mahu tak mahu, masyarakat harus menelannya. Sungguh sempit dunia ini dirasakan sehingga sebahagian masyarakat bertanya, “Di manakah tempat yang selamat untuk kami dan keluarga…apakah tidak ada penyudahnya kepada semua ini…ke manakah kami perlu berpindah agar dapat menjauhi segala ketakutan ini… bilakah semua ini akan berakhir…???” dan banyak lagi persoalan seumpama itu yang bermain di benak setiap anggota masyarakat. Apa yang pasti, masyarakat melihat bahawa usaha-usaha yang dilakukan untuk mengatasi atau mengurangkan kadar jenayah sama sekali tidak memadai dan tidak pernah berhasil. Sudah terbukti bahawa para penjenayah melakukan perbuatannya tanpa merasa takut akan konsekuensi yang timbul akibat perbuatan mereka itu. Bahkan ramai di antara mereka yang sentiasa mengulangi perbuatan jahat mereka dari masa ke semasa, tidak kira sama ada yang belum masuk penjara atau yang telah keluar dari penjara. Para mangsa pula, selain mengalami keresahan dan ketakutan di sepanjang hidup mereka, sudah berputus asa kerana merasa tidak lagi selamat serta tidak mendapatkan keamanan dan keadilan dari sistem dan undang-undang yang ada.

 

Sesungguhnya kesemua aktiviti jenayah yang berlaku pada hari ini tidak dapat dipisahkan dari sistem dan undang-undang yang diterapkan. Sistem yang rosak akan melahirkan manusia yang rosak atau cenderung untuk melakukan kerosakan. Hari ini, kebanyakan dunia Islam diperintah oleh sistem demokrasi, sebuah sistem di mana undang-undangnya dicipta oleh manusia dengan mengenepikan hukum-hukum Allah SWT. Dalam sistem ini, pemerintah (yang terdiri daripada ahli-ahli politik) membuat aturan hidup untuk rakyatnya, bukan dengan aturan Allah, tetapi dengan aturan yang dibuat oleh mereka sendiri.

 

Masih Berharap Pada Sistem Yang Rosak?

Politik merupakan pengaturan urusan umat. Pemerintah adalah pihak yang mengatur manakala rakyat adalah pihak yang diatur. Politik merupakan proses interaksi antara pemerintah dengan masyarakat untuk menentukan polisi umum (public policy) demi kebaikan bersama. Semua mengetahui bahawa sistem pemerintahan yang dianut di Malaysia adalah demokrasi. Justeru, urusan umat Islam di Malaysia ini diatur dengan sistem demokrasi, bukannya dengan sistem Islam, di mana idea dasar demokrasi adalah kedaulatan di tangan rakyat yang membawa konsekuensi bahawa kuasa membuat hukum ada di tangan manusia. Demokrasi selalu dianggap oleh penganutnya sebagai tatanan atau sistem politik yang paling ideal sehingga dalam sistem demokrasi, rakyat dianggap benar-benar berdaulat dan boleh mendapat seluruh aspirasinya. Oleh yang demikian, melalui proses politik yang demokratis, lantas dibayangkan bakal tercipta sebuah kehidupan masyarakat yang ideal, adil, damai, tenteram dan sejahtera.

 

Namun, hakikatnya semua itu hanyalah ilusi, bahkan dusta yang nyata. Secara praktikalnya gagasan yang dianggap ideal itu tidak pernah wujud, malah apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dalam negara demokrasi, pemerintahan kuku besi terjadi di mana-mana, ketidakadilan, penindasan, kemiskinan, jenayah, kerosakan akhlak dan pelbagai keburukan lainnya merupakan fenomena biasa. Penentu kepada segala peraturan dan polisi adalah sekelompok penguasa dan para kapitalis yang saling bekerjasama untuk meraih sebanyak mungkin manfaat dan kepentingan untuk mereka sendiri tanpa pernah memikirkan apatah lagi menanyakan apakah aspirasi rakyat yang sebenarnya. Parti politik dan wakilnya di Parlimen hanya bertindak untuk memenuhi maslahat masing-masing semata-mata. Dalam rangka mencari kekayaan, pengaruh, pangkat dan kuasa, rasuah dan penyelewengan di dalam pemerintahan sudah menjadi perkara biasa dan sudah tidak terkata banyaknya.

 

Oleh itu, dalam realiti yang dapat dilihat sehari-hari, tidak pernah wujud sebuah masyarakat yang hidup dengan penuh keadilan, kedamaian, ketenteraman dan kesejahteraan dalam sebuah sistem yang bernama demokrasi. Sebaliknya ketidakadilan semakin menganga, kekayaan dan kesejahteraan memang ada, tetapi hanya untuk segelintir elit yang berkuasa. Manakala rakyat pula terus ditindas, sengsara, menderita dan dihisap darahnya tanpa henti. Dengan kata lain, rakyat terus menjadi mangsa kepada sistem yang rosak ini, bukan sekadar tertindas dek sistem demokrasi itu sendiri, malah dek setiap keburukan yang lahir dari sistem yang rosak ini seperti kes-kes jenayah yang begitu banyak. Tatkala rakyat menderita dan hidup dalam ketakutan, para penguasa yang sedia kaya raya, hidup dalam keadaan dijaga rapi oleh ratusan pengawal, yang berkawal untuk mereka siang dan malam agar terselamat dari ancaman penjenayah. Malah lebih buruk, ramai di kalangan penguasa dan ahli politik yang menjadi pelindung kepada para penjenayah dan berapa ramai daripada kalangan para penguasa dan ahli politik itu sendiri yang menjadi penjenayah dan sering didakwa atas pelbagai kesalahan jenayah.

 

Dalam sistem demokrasi, bagi penguasa, rakyat hanyalah alat untuk meraih kekuasaan. Bukanlah “kedaulatan rakyat” yang sebenarnya dijaga oleh sistem demokrasi, melainkan “kedaulatan para pemilik modal (kapitalis)” atau “kedaulatan penguasa” itu sendiri yang didukung oleh para pemilik pemodal, inilah yang sebenarnya didaulatkan. Inilah realiti di negara-negara penganut demokrasi, baik di negara asalnya di Barat mahupun di negara kaum Muslimin. Justeru, tidak aneh sekiranya orang Barat sendiri yang sudah agak cerdik dalam memahami kesan demokrasi menyatakan bahawa demokrasi adalah sebuah sistem politik yang bermasalah. Tokoh Barat seperti Winston Churchill contohnya menyatakan, “Democracy is the worst possible form of government” (demokrasi adalah kemungkinan terburuk dari sebuah bentuk pemerintahan).”  Manakala Benjamin Constant pula berkata, “Demokrasi membawa kita menuju jalan yang menakutkan, iaitu kediktatoran parlimen.”

 

Dengan segala kerosakan yang dibawa dan terhasil dari sistem demokrasi ini dan dengan fakta-fakta yang terang lagi bersuluh bahawa sistem ini tidak pernah dapat menyelesaikan masalah sebaliknya menimbulkan lagi banyak masalah, apakah wajar bagi umat Islam untuk masih berharap kepada sistem kufur ini untuk menyelesaikan segala masalah, termasuklah masalah jenayah secara khususnya?

 

Bagaimana Islam Mencegah Jenayah

Apabila berbicara tentang jenayah di dalam Islam, sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan persoalan nidzam al-uqubat (sistem hukuman). Hal ini memang benar, namun perlu difahami dengan benar juga bahawa Allah SWT menurunkan Islam sebagai sebuah deen atau cara hidup yang menyeluruh dan sempurna. Uqubat hanyalah sebahagian dari kesempurnaan Islam yang wajib diterapkan. Dengan kata lain, kesemua sistem di dalam Islam (bukan hanya uqubat) seperti nidzam al-hukmi (sistem pemerintahan), nidzam al-iqtisadi (sistem ekonomi), nidzam al-ijtimaei (sistem pergaulan), siyasah al-ta’lim (polisi pendidikan) dan siyasah al-kharajiyyah (polisi luar negara) wajib diterapkan secara bersamaan. Apabila kesemua sistem ini diterapkan secara serentak, barulah ia akan berfungsi secara harmonis hingga mampu mewujudkan satu kesatuan sistem yang utuh dan sempurna serta menampakkan keindahan agama Islam sebagai sebuah cara hidup. Penting untuk dicatatkan bahawa keempat-empat jenis uqubat (jinayat, hudud, ta’zirdan mukhalafah) yang diterapkan oleh Negara Islam merupakan usaha terakhir dalam proses mencegah dan membanteras jenayah.

 

Sistem pemerintahan Islam, yakni sistem Khilafah, apabila diterapkan, akan pasti menjamin keadilan untuk seluruh umat manusia dan mendapat  keredaan dari Allah SWT. Sistem ekonomi Islam (apabila diterapkan) akan menjamin setiap warganegara mendapat segala apa yang mereka perlukan dalam jumlah yang mencukupi untuk menampung hidup mereka sehari-hari sehingga tidak ada seorang pun yang perlu melakukan jenayah untuk meneruskan hidupnya. Demikian pula polisi pendidikan akan menjamin setiap anggota masyarakat terdidik dengan syakhsiyyahIslamiyyah sekali gus menghindari segala bentuk kejahatan dalam rangka mewujudkan ketakwaan dalam diri setiap individu kepada Allah SWT. Sementara sistem pergaulan akan menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan dalam kehidupan khusus (hayatul khas) dan kehidupan umum (hayatul am) serta pemisahan beberapa aktiviti kaum lelaki dan perempuan sekali gus menanamkan ke dalam benak seluruh anggota masyarakat sikap menjaga, menghormati dan menghargai lawan jenisnya, sehingga dapat menghindarkan kemungkinan terjadinya jenayah dan gejala sosial dalam perkara ini.
Bukan itu sahaja, penerapan Islam secara menyeluruh oleh negara akan secara automatik memastikan segala pintu maksiat tertutup rapat. Apabila kesemua sistem Islam telah diterapkan secara menyeluruh sehingga tidak ada seorang individu pun yang dizalimi atau tidak mendapat haknya dan ruang maksiat sudah tertutup, maka secara alaminya, jenayah akan dapat dihindari. Dalam keadaan ini (dalam keadaan di mana kesemua sistem Islam dijalankan sehingga setiap individu mendapat haknya dan tidak ada seorang pun yang dizalimi), sekiranya masih ada individu yang melakukan maksiat atau jenayah, maka memang sepatutnyalah individu tersebut dihukum dengan sewajarnya. Ringkasnya, dalam konteks pencegahan jenayah, pelaksanaan sistem-sistem Islam akan membentuk tiga lapisan pencegahan yang berupa ketakwaan individu, pencegahan oleh masyarakat dan pelaksanaan uqubat oleh negara.

 

Uqubat adalah langkah terakhir dalam mencegah dan membanteras jenayah. Negara Islam memiliki sistem pengadilan yang komprehensif, yang mampu menghalang serta dapat mengubah orang-orang yang menyimpang dari hukum syarak (para pelaku maksiat atau penjenayah). Uqubat yang datangnya dari Pencipta manusia itu sendiri yang dikenakan ke atas mereka yang bersalah, sememangnya telah terbukti menjadi langkah efektif untuk mencegah dan melawan jenayah. Rasa takut terhadap uqubat akan mencegah seseorang dari melakukan maksiat manakala tatkala uqubat itu sendiri dilaksanakan ke atas manusia, akan menimbulkan kesedaran dan keserikan. Bayangkan apakah perasaan dan sikap seorang pencuri yang telah dipotong tangannya? Bayangkan jika kita melihat seseorang yang berjalan di tempat awam dengan satu tangannya yang telah terpotong kerana dihukum atas kesalahan mencuri. Bayangkan jika si penzina di sebat atau direjam di khalayak ramai kerana kesalahan berzina. Bayangkan si pembunuh yang dibunuh dan si murtad yang dipenggal lehernya di khalayak ramai atas kesalahan yang mereka lakukan. Apakah semua ini tidak menimbulkan kesedaran, rasa takut atau serik kepada setiap orang untuk melakukan kesalahan?

 

Apabila sistem-sistem Islam diterapkan, kita akan dapat melihat bahawa tujuan keadilan dalam Islam bukanlah dalam aspek menghukum manusia yang bersalah semata-mata, akan tetapi keadilan akan wujud dalam kehidupan sehingga dapat menjamin hak-hak dan keamanan dalam sesebuah masyarakat dan negara. Dalam sejarahnya yang panjang, Negara Islam (Khilafah) telah berhasil mewujudkan tujuan ini selama lebih dari 1300 tahun. Inilah sebabnya mengapa pelaksanaan hudud tidak banyak terjadi tatkala kesemua sistem Islam diterapkan kerana wujudnya ketakwaan dalam diri individu, amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat dan penerapan hukum-hukum Islam oleh negara.

 

Khatimah

 

Sistem pemerintahan dan amalan politik yang diterapkan di Malaysia adalah berasaskan sekularisme yakni pemisahan agama Islam dari kehidupan (fasl al-deen ‘an al-hayah). Hukum-hukum yang diterapkan adalah bersumber dari akal dan hawa nafsu manusia melalui proses demokrasi. Undang-undang dibuat oleh para penguasa yang tidak lepas dari kepentingan, baik kepentingan wang ataupun kekuasaan. Selama sekularisme dengan demokrasinya yang diterapkan, selama itulah akan terjadi kerosakan dan kebinasaan kepada umat manusia amnya dan umat Islam khasnya. Pendek kata, selagi Islam tidak berkuasa, selagi itulah jenayah dan lain-lain kemaksiatan akan terus berleluasa dan merajalela. Hanya pelaksanaan syariat Islam sahajalah yang bukan sahaja dapat mencegah segala bentuk jenayah dan kemaksiatan, malah akan menjamin keadilan ke atas setiap manusia, kerana syariat Islam itu berasal dari Zat Yang Maha Adil dan Maha Sempurna.

 

Berpalingnya manusia dari hukum-hukum Allahlah yang menyebabkan kehidupan terasa sungguh sempit dan terhimpit. Benarlah firmanNya, “dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit…” malah lebih buruk, Allah menjelaskan seterusnya“…dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Taha (20):124].  Maka, apakah kalian masih terus mahu berpaling dari sistem Islam? Apakah kalian masih terus mahukan sistem demokrasi dengan konsep kedaulatan rakyatnya dan terus tinggal dalam sistem kufur ini dengan penuh kesempitan dunia dan mendapat azab Allah di akhirat kelak? Sesungguhnya kami telah menyampaikan dan sesungguhnya nasihat itu amat berguna bagi yang memberinya dan bermanfaat bagi yang menerimanya. Kepada Allah kami serahkan segala urusan, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.