SN377 – Meneladani Keperibadian dan Kepimpinan Rasulullah SAW

 
SN keluaran 17 Januari 2014



MENELADANI KEPERIBADIAN DAN KEPIMPINAN RASULULLAH SAW

 


[SN377] Ternyata ramalan banyak pihak pada akhir tahun 2013 bahawa kedatangan tahun 2014 ini akan menjanjikan kenaikan harga banyak barangan dan perkhidmatan, adalah benar. Masyarakat bukan sahaja dihidangkan dengan kenaikan harga barangan di pasar-pasar, malah turut dikejutkan dengan kenaikan harga tambang bas sekolah dan makanan di kantin-kantin sekolah. Kenaikan kos sara hidup mutakhir ini telah mengundang kemarahan rakyat kepada kerajaan khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam usaha menjawab sekali gus meredakan kemarahan rakyat ekoran kenaikan harga barangan ini, Najib, di dalam ucapannya di Kemaman, semasa penyampaian bantuan kepada mangsa banjir, memberikan contoh bahawa tidak semua barang naik harga dan sayur kangkung adalah di antara contoh barang yang turun harganya. Kenyataan Najib ini bukan sahaja tidak memuaskan rakyat, malah telah ‘dilawak jenakakan’ oleh sekalian rakyat jelata dan turut mengundang reaksi berita antarabangsa. Dalam kemarahan, rakyat Malaysia akhirnya dapat juga tersenyum dan tersengih sebentar dengan sikap Perdana Menteri mereka ini. Apa yang berlaku dalam negara pada hari ini menunjukkan sifat dan sikap pemimpin yang langsung tidak boleh dijadikan contoh oleh rakyat. Jika menjadi contoh sekalipun, ia merupakan contoh dalam hal pembaziran, pemborosan, keangkuhan, rasuah, penyelewengan, kezaliman dan seumpamanya. 

Allah SWT telah menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan terbaik bagi kaum Muslimin dalam segala hal, mulai dari masalah rumah tangga hingga ke masalah negara. Sayangnya, ramai daripada kalangan pemimpin dan umatnya yang tidak meneladani baginda. Mereka lebih memilih untuk mencontohi dan mengikuti tokoh-tokoh lain, termasuklah kadang-kadang mengambil tokoh-tokoh kafir sebagai idola di dalam kehidupan dan dalam kepimpinan kenegaraan, yang walaupun sikap dan pemikiran tokoh-tokoh tersebut secara nyata bertentangan dengan Islam.

Mencontohi Keperibadian Rasulullah Dalam Kepimpinan

Sesungguhnya tidak terbilang pujian yang disematkan kepada Rasulullah SAW atas kejayaan baginda dalam memimpin umatnya. Bukan hanya dari umat Islam, pujian juga datang daripada orang-orang kafir yang memusuhinya. Kejayaan tersebut tentu tidak dapat dilepaskan dari peribadi baginda yang penuh dengan sifat kemuliaan dan sistem kepemimpinan baginda yang dibimbing wahyu. Beberapa sifat baginda dalam aspek kepemimpinan antara lain:-

Pertama: Komitmen yang tinggi dalam merealisasikan risalah dalam kehidupan. Rasulullah SAW tidak sekadar diperintahkan untuk menyampaikan risalah Islam yang diwahyukan kepadanya, namun juga diperintahkan untuk menerapkannya sehingga menjadi dominan dalam kehidupan ini. Pelbagai ujian dan tentangan yang menghadang baginda, namun langkahnya tidak pernah surut. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam, ketika Rasulullah SAW menyampaikan Islam kepada orang-orang Makkah, reaksi mereka pada awalnya biasa-biasa sahaja. Namun, ketika baginda menyebut dan mengkritik sembahan mereka, Rasul pun dikecam dan ditentang, bahkan mereka bersepakat untuk memusuhinya. Sejumlah delegasi Quraisy juga mendatangi bapa saudara baginda agar menghentikan tindakan anak saudaranya itu atau jika tidak, mereka sendiri yang akan mencegahnya. Namun, Rasulullah SAW tetap tidak menghiraukan ugutan mereka. Sebaliknya baginda mengatakan,

Demi Allah, andai kata mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, sungguh aku tidak akan meninggalkan urusan (agama) ini hingga Allah memenangkan urusan ini atau aku mati kerananya.

Hal itu terjadi semasa di Makkah sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Hal yang sama juga tampak setelah berdirinya Daulah Islam di Madinah, tatkala baginda hendak ke Makkah sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah. Orang-orang Quraisy berkumpul untuk menghalang kedatangan baginda. Mendengar hal tersebut baginda bersabda,

…Demi Allah, aku akan selalu berjihad memperjuangkan apa yang Allah utusku untuk itu hingga Dia memenangkannya atau leher ini terputus (mati)” [Sirah Ibnu Hisyam].

Inilah visi utama (al-qadhiyyah al-mashiriyyah) Rasulullah SAW dalam memenangkan Islam atas seluruh agama dan ideologi lainnya.

Kedua: Berani dalam menjalankan tugas yang menjadi kewajipannya. Keberanian baginda tampak jelas dalam setiap aktiviti yang diterjuninya, baik dalam urusan ketenteraan mahupun bukan. Baginda merupakan sosok yang berani menghadapi berbagai situasi yang berbahaya meskipun ke tahap mengancam jiwanya. Ali ra. berkata,

Kamu telah menyaksikan kami dalam perang Badar di mana kami berperang di balik Rasulullah SAW. Baginda adalah orang yang paling dekat dengan musuh. Pada hari itu baginda adalah orang yang paling banyak menderita” [HR Ahmad dan disahihkan oleh Syuaib al-Arnauth].

Ketiga: Hidup seadanya, tidak bermewah. Meskipun baginda merupakan ketua negara, baginda tetap hidup seadanya dalam menjalani rutin sehariannya. Padahal dengan kekuasaan yang dimilikinya, baginda dapat sahaja berperilaku seperti pemimpin negeri-negeri kaum Muslimin saat ini yang bergelimang dengan harta dan kemewahan, namun lalai terhadap rakyatnya. Bahkan ketika wafat, baju besi baginda masih tergadai di tangan seorang Yahudi yang sebelumnya baginda gadaikan untuk mendapatkan makanan senilai 30 sa’ gandum. Hal yang sama juga berlaku pada keluarga baginda. Hasan telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,

Tidak ada makanan sebanyak satu sa’ yang tinggal sampai sore hari pada keluarga Muhammad padahal jumlahnya ada sembilan rumah.” Dari Ibnu Abbas, ia berkata, “Rasulullah SAW duduk di atas tanah, makan di atas tanah, mengikat kambing dan memenuhi undangan para hamba” [HR at-Thabrani dan menurut al-Haitsami sanad hadis ini hasan].
 
Keempat: Melayani dengan kasih sayang dan sesuai dengan hukum. Sikap kasih sayang baginda tidak terbatas hanya kepada keluarga dan para sahabatnya, namun juga kepada umatnya. Bahkan penjagaan baginda terhadap non-Muslim yang datang ke Daulah Islam juga sangat tinggi, sesuai dengan perintah Allah. Baginda bersabda,

Siapa sahaja yang membunuh mu’ahid (non-Muslim yang terikat perjanjian dengan Negara Islam) tidak akan mencium bau syurga, padahal baunya tercium dari jarak 40 tahun perjalanan [HR al-Bukhari dan Ibnu Majah].

Kelima: Tegas dalam menerapkan hukum Allah SWT. Rasulullah SAW tidak pernah berpaling sedikit pun dari apa yang diwahyukan Allah, termasuk dalam menerapkan aturan syariah dalam kehidupan umum. Ketika ada seorang wanita terhormat dari Makzumiyah yang mencuri, sejumlah orang melalui perantaraan Usamah bin Zaid, meminta pengampunan kepada Rasulullah SAW. Namun, baginda menolaknya mentah-mentah dan bersabda, “Demi Allah, andai Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akanku potong tangannya” [HR Muslim].

Ketegasan lain terhadap pelaksanaan syariah dan tanpa kompromi juga ditunjukkan oleh sikap baginda yang menolak permintaan delegasi Tsaqif yang akan masuk Islam, namun dengan sejumlah syarat. Mereka meminta agar berhala-berhala mereka tidak dihancurkan hingga tiga tahun. Namun, hal itu juga ditolak oleh baginda mentah-mentah. Mereka lalu meminta agar ditunda kepada setahun, tetapi juga ditolak. Bahkan mereka merayu agar ditunda selama sebulan, namun rayuan itu langsung tidak dilayan oleh Rasulullah. Mereka kemudian memohon agar tidak dibebankan dengan kewajipan solat. Sekali lagi ditolak oleh baginda mentah-mentah. Baginda hanya menyetujui satu syarat (yang bersifat uslub) yakni agar berhala-berhala mereka tidak dihancurkan oleh mereka sendiri. Baginda lalu memerintahkan Abu Sufyan bin Harb dan Mughirah bin Syu’bah untuk menghancurkan berhala-berhala tersebut.

Keenam: Ahli strategi yang ulung. Rasulullah SAW juga dikenal memiliki kecanggihan dalam melakukan strategi, baik dalam urusan pemerintahan mahupun ketenteraan. Walaupun dengan kekuatan sumber daya manusia yang terbatas, baginda dapat menakluki (futuhat) jazirah Arab dalam waktu yang singkat. Dalam usaha menakluki Khaibar dan sejumlah suku-suku yang bersekutu dengan suku Quraisy, baginda terlebih dulu mengikat kafir Quraisy dengan Perjanjian damai Hudaibiyah, sehingga Quraisy tidak dapat berbuat apa-apa tatkala Rasulullah menyerang Khaibar dan seterusnya baginda berjaya menakluki Khaibar dengan lebih mudah. Rasulullah yang juga dibantu oleh Sahabatnya menerapkan strategi perang yang belum dikenal di jazirah Arab pada waktu itu, namun efektif mengalahkan musuh, seperti penggunaan parit pada Perang Ahzab, pengepungan Makkah dengan empat jalur penyerangan dan penggunaan dababah dan manjaniq untuk meruntuhkan benteng-benteng Bani Tsaqif dan Thaif.

Rasulullah Sebagai Ketua Negara

Seiring dengan gencarnya idea sekularisme di negeri-negeri Islam, agama Islam lalu didoktrinkan sebagai agama yang hanya bersifat spiritual. Rasulullah juga dimomokkan sebagai pemimpin spiritual semata-mata yang hanya menyampaikan risalah sekitar masalah ibadat sahaja dan bukannya sebagai ketua negara yang memerintah dengan Islam. Padahal hakikatnya, Rasulullah SAW adalah teladan dalam seluruh aspek kehidupan, dari kehidupan berumah tangga hinggalah ke pemerintahan. Sejumlah langkah-langkah baginda pasca hijrah ke Madinah dengan jelas mencerminkan bahawa baginda adalah seorang ketua negara, bahkan terlalu banyak riwayat yang menceritakan hal tersebut. Langkah-langkah tersebut antara lain:

Pertama: Baginda melakukan pengaturan dan perjanjian dengan masyarakat Madinah. Dalam Piagam Madinah, secara tegas dinyatakan bahawa persoalan apa pun yang dihadapi oleh orang-orang Islam mahupun orang-orang Yahudi harus dikembalikan kepada Allah dan Muhammad SAW. Baginda juga mengadakan perjanjian dengan masyarakat di luar Madinah, iaitu dengan Bani Dhamrah, Bani Mudlij, Quraisy, Penduduk Ailah, Jarba’ dan Adzrah. Hal ini tentu tidak dilakukan kecuali oleh seorang ketua Negara.

Kedua: Baginda mengangkat sejumlah Sahabat untuk membantu dan menjadi pegawai dalam urusan pemerintahan Mereka antara lain:

(a)     Mu’awin: Abu Bakar dan Umar;
(b)     Wali: ‘Atab bin Usaid (Makkah), Badzan bin Sasan (Yaman), Muadz bin Jabal (Janad);
(c)     ‘Amil: Said bin al-’Ash (Shan’a), Zayyad bin Lubaid (Hadramaut), Abu Musa al-Asy’ary (Zabid dan ‘Aden), Amru bin ‘Ash (‘Amman), Adi bin Hatim (Thai’), ‘Ala bin Hadrami (Bahrain);
(d)     Qadhi: Ali bin Abi Thalib, Muadz bin Jabal, Abu Musa al-’Asy’ary (Yaman), Abdullah bin Naufal (Madinah);
(e)     Setiausaha Administratif: Ali bin Abi Thalib (perjanjian dan perdamaian), Mu’aiqib (ghanimah), Hudzaifah al-Yaman (hasil pertanian Hijaz), Zubair bin Awwam (harta zakat), Mughirah bin Syu’bah (hutang-piutang dan muamalah), Syurahbil bin Hasanah (cop untuk raja-raja),
(f)     Majlis Ummat: Hamzah, Abu Bakar, Umar, Ja’far, Ali dll.

Ketiga: Baginda mengutus sejumlah Sahabat untuk menyampaikan seruan kepada raja-raja di luar Madinah agar masuk Islam. Mereka antara lain: Dihyah bin Khalifah (kepada Kaisar Romawi), Abdullah bin Hudzafah (kepada Kaisar Kerajaan Persia), Amr bin Umayyah (kepada Najasyi Raja Habasyah), Hatib bin Abi Balta’ah (kepada Raja Iskandariyyah), Amru bin ‘Ash (kepada Raja Uman) Salith bin Amru (kepada raja Yamamah), ‘Ala bin Hadramy (kepada Raja Bahrain) Syuja’ bin Wahab (kepada Raja di daerah Syam).

Keempat: Baginda menyusun dan mengisytiharkan jihad, baik yang dipimpin langsung oleh baginda atau para Sahabatnya. Menurut catatan, perang (gazwah) yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah adalah sebanyak 28 kali. Sementara perang (saraya) dan jihad yang dipimpin oleh sahabat sebanyak 15 kali. Dengan demikian, selama 10 tahun kepemimpinan baginda di Madinah, purata sebanyak 4 kali perang dikerahkan dalam masa setahun.

Kelima: Baginda memutuskan pelbagai perkara di Madinah, baik berupa persengketaan mahupun pengakuan mereka atas kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan. Rasulullah membicarakan dan menghukum mereka yang bersalah, baik Muslim mahupun non-Muslim. Nafi’ bertutur,

Rasulullah pernah merejam seorang lelaki dan perempuan Yahudi” [HR at-Tirmidzi dan menurutnya hasan sahih].

Anas bin Malik berkata,

Rasulullah SAW pernah menghukum bunuh seorang Yahudi kerana (Yahudi tersebut) membunuh seorang jariyah yang bermaksud mengambil perhiasannya” [HR al-Bukhari].
 
Keenam: Baginda melakukan pelbagai aktiviti pelayanan publik seperti pengawasan di pasar-pasar yang baginda lakukan secara langsung. Baginda mengangkat qadhi hisbah seperti Said bin Said di pasar Makkah, Samra binti Nuhaik yang bertugas melakukan amar makruf nahi mungkar di pasar serta menghukum pelaku kemungkaran dengan tongkat yang dibawanya. Rasulullah juga mengatur masalah kesihatan warganegara Daulah Islam dengan menyediakan doktor secara percuma dan menyediakan kemudahan yang berkaitan. Rasulullah juga menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya dan memastikan keadaan aman sentiasa wujud dalam Daulah Islam.

Khatimah

Dengan sedikit fakta-fakta di atas, jelas bahawa Rasulullah SAW tidak hanya seorang Nabi dan Rasul yang hanya mendakwahkan Islam dalam hal ibadat atau zikir semata-mata, namun juga seorang ketua negara yang mempraktikkan Islam dalam konteks kenegaraan. Kaum Muslimin sepeninggal baginda juga melanjutkan sistem pemerintahan Islam tersebut hingga runtuhnya Daulah Khilafah pada tahun 1924. Perlu difahami bahawa meneladani Rasulullah SAW dalam segala hal, termasuk dalam urusan pemerintahan, merupakan sebuah kewajipan. Ingatlah bahawa kejayaan Rasulullah SAW di dalam memimpin bukan hanya kerana keperibadian baginda yang sangat mulia dan kebijaksanaan beliau di dalam mentadbir, namun sistem yang dijalankan baginda adalah berdasarkan wahyu. Oleh itu, pemimpin mana pun yang tidak mengikuti Rasulullah SAW sebagai teladan, tidak menjalankan hukum-hakam wahyu, sebaliknya mengambil dan menerapkan undang-undang selain Islam, maka ia tidak hanya akan menuai kegagalan dan kesengsaraan di dunia, namun juga azab yang pedih menantinya di akhirat kelak. Na’uzubillah min zalik.