SN388 – AMERIKA MEMECAH BELAH IRAQ DAN KELOMPOK…

 
SN keluaran 27 Jun 2014

Bismillahirrahmanirrahim

Amerika Memecah Belah Iraq dan Kelompok-kelompok Kafir Imperialis
Berjalan di Belakangnya. Mereka Melupakan Pertikaian Sesama Mereka
Selama Masalahnya Adalah Pemecah-Belahan Negeri Kaum Muslimin

[SN388] Perkembangan yang berlaku di Iraq terjadi dengan begitu pantas dan mengejutkan apabila pada 10/6/2014 para revolusioner memasuki Bandar Mosul, yang membawa kepada runtuhnya pertahanan tentera Iraq di bandar itu dan juga Tikrit, seumpama “upacara serah dan terima” yang diperintahkan oleh pemerintah tertinggi angkatan tentera Iraq. Kemudian seruan Nouri al-Maliki memobilisasi gerakan militia dan bukannya anggota tentera seperti yang sepatutnya, yang telah melancarkan serangan dan kemudiannya berundur di Diyala dan menghampiri kota Baghdad. Malah di Baiji, kawasan di mana terletaknya loji penapisan minyak yang terbesar di Iraq, kelihatan wujud pertikaian mengenai penggunaan peluru berpandu, pelancar roket dan pesawat…Pertempuran ini kemudiannya merebak ke kawasan yang lebih jauh lagi di Tal Afar dan beberapa kawasan yang lain. Semuanya berlaku dalam masa yang sangat singkat, seolah-olah mengikut suatu perancangan tarikh yang telah ditetapkan sebelumnya…Situasi ini diburukkan lagi dengan kenyataan dan seruan berbentuk fitnah dan hasutan, yang dikeluarkan oleh para pemimpin dan pakar rujuk puak-puak yang bertelingkah sehinggalah mencapai kemuncaknya. Jelas kelihatan di hadapan mata dan kepala, tangisan yang membuatkan orang yang memandang turut menangis, di tanah Mesopotamia, yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kota bagi para Khalifah yang menyeru umat manusia!

Sungguhpun krisis ini amat serius, reaksi antarabangsa tidaklah mencapai tahap yang diharapkan. Sehingga ketika diteliti kenyataan ahli politik, peristiwa ini seolah-olah tidak penting di hadapan mereka. Sebahagian dari mereka menyalahkan krisis di Syria sebagai punca. Sebahagian yang lain menyalahkan tentang pelanggaran hak-hak kaum Sunni di Iraq. Sementara yang lain pula menyalahkan kezaliman rejim diktator Nouri al-Maliki…Sedangkan kesemua faktor ini bukanlah sesuatu yang baru dikenalpasti semalam! Begitulah, krisis ini tidak mendapat perhatian di pentas politik antarabangsa jika dibandingkan dengan besarnya peristiwa yang berlaku, kecuali telah kelihatan berlakunya ko-ordinasi atau makluman awal di kalangan para pelaku politik di pentas antarabangsa.

Apa yang paling ketara adalah kenyataan Obama pada Jumaat 13 Jun 2014. Dia telah memberi jaminan kepada dunia bahawa aliran dan simpanan bekalan minyak dari negara-negara Teluk adalah mencukupi sekiranya berlakunya gangguan bekalan rentetan dari apa yang berlaku di Iraq. Hal ini menunjukkan bahawa pentadbiran Obama tidak terkejut langsung dengan apa yang berlaku di sana, malah telah menyediakan perancangan lebih awal untuk mengelakkan dari berlakunya krisis minyak antarabangsa. Kemudian Obama turut mengeluarkan kenyataan pada 13/6/2014 bahawa Washington “tidak akan melancarkan operasi tentera tanpa resolusi politik yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Iraq”. Kenyataan ini dikeluarkan walaupun pada hakikatnya Amerika dan Iraq sebelumnya telah menandatangani perjanjian keselamatan dan walaupun telah ada kenyataan dari Menteri Luar Iraq, Zebari, di Jeddah pada petang Rabu 18/06/2014, yang menyatakan bahawa “Baghdad telah meminta Washington melancarkan serangan udara terhadap militan”.  Pernyataan Obama ini telah disahkan lagi oleh Panglima Angkatan Tentera AS, Jeneral Dempsey di hadapan anggota Kongres, yang membawa maksud bahawa AS tidak akan terburu-buru melakukan campur tangan ketenteraan, malah ia sengaja dilengahkan agar suatu perancangan yang lain dapat dilaksanakan.

Manakala Britain pula, walaupun ia mempunyai kepentingan yang berbeza daripada AS terhadap Iraq, namun ia tetap mengekori dan bersetuju dengan pendekatan AS dalam hal ini kerana ia berkaitan dengan pemecahan wilayah kaum Muslimin. Setiausaha Luar British, William Hague, telah menjawab kepada BBC pada 16/06/2014, ketika ditanya tentang sikap Britain yang enggan melakukan campur tangan di Iraq, dia menyatakan, “Amerika Syarikat mempunyai aset dan keupayaan ketenteraan yang lebih tinggi terhadap campur tangan luar, berbanding Britain”.

Siapa sahaja yang cuba untuk memahami peristiwa ini, pasti akan melihatnya sebagai salah satu episod dari pelbagai episod yang bukan sahaja dimulakan oleh Amerika melalui penjajahannya terhadap Iraq, malah sebelum bermulanya penjajahan lagi (iaitu) semenjak Amerika menguatkuasakan zon larangan terbang di Utara Iraq pada tahun 1991, di mana Kurdistan membentuk wilayah semi-autonomi! Apabila Amerika menakluki Iraq pada tahun 2003, gabenor Amerika di Iraq, Bremer telah merangka sebuah perlembagaan yang mengandungi benih kepada perpecahan Iraq yang secara terang-terangan mendorong kepada sistem quota yang berasaskan kaum dan puak. Benih perpecahan ini terus bercambah sehinggalah pada bulan Disember 2011, apabila Amerika mengeluarkan tenteranya dari Iraq namun secara realitinya masih lagi menguasai urusan keselamatan dan politik Iraq, fitnah dan hasutan yang berlaku di antara puak dan kaum bertambah subur.

Amerika menyalakan lagi api perpecahan ini dengan meletakkan seorang diktator sektarian yang langsung tiada toleransi, untuk memimpin kerajaan Iraq. Maliki sengaja menghancurkan wilayah Utara dan Barat Iraq. Seterusnya dia telah menzalimi dan menindas rakyatnya di sana dalam suatu bentuk kekejaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Setiap kali ketika ketegangan ini mulai surut, ia dinyalakan lagi dengan tindakan provokatif dan kata-kata untuk memburukkan lagi situasi di kawasan tersebut…Ketegangan puak ini semakin meningkat dengan penubuhan militia bersenjata Syiah dan tumpuannya terhadap ISIS (Negara Islam Iraq dan Syam) sebagai pengganas Sunni, walaupun kumpulan yang memasuki Mosul, Tikrit dan beberapa wilayah yang lain sebenarnya terdiri dari pelbagai gerakan, termasuklah ISIS.

Perkara ini tidak berhenti di situ, negara-negara jiran turut berlumba-lumba dalam hasut-menghasut untuk meningkatkan ketegangan puak…Semuanya dilakukan dengan tujuan untuk merealisasikan dasar Amerika Syarikat. Berbaris di belakangnya adalah Britain dan seterusnya para ejen dan pengikutnya yang tidak mahu Iraq menjadi sebuah entiti yang bersatu. Mereka mahu ia menjadi entiti yang berbeza, berpecah-belah, bermusuhan dan saling berbunuhan di antara satu sama lain! Setiap puak berdegil dan bertelagah sesama sendiri merebut wilayah dan pengisytiharan ke atas pendudukan dan pembahagian wilayah dilakukan secara terbuka…Oleh kerana pengisytiharan wilayah ini telah dilakukan secara terang-terangan, pihak Kurdistan yang menyedari realiti keadaan ini, telah mengawal Kirkuk dan wilayah sekitarnya melalui angkatan Peshmerga di rantau Kurdistan manakala puak pemberontak mengawal Mosul. Agensi Reuters memetik kenyataan Fuad Hussein, Ketua Pegawai Barzani (Menteri Luar Iraq) pada 15/06/2014, sebagai berkata, “Iraq sedang memasuki satu fasa baru yang benar-benar berbeza daripada sebelum berlakunya penawanan ke atas Mosul dan pihak Kurdistan pula sedang membincangkan bagaimana untuk berurusan dengan Iraq yang baru ini.”

Wahai kaum Muslimin…wahai bangsa Arab…wahai bangsa Kurdis…wahai puak Sunni…wahai puak Syiah…wahai penduduk Iraq!

Darah kalian telah ditumpahkan, kekayaan kalian telah dirompak, rumah-rumah kalian dan malah masjid kalian telah pun dimusnahkan dan Iraq telah menjadi sebuah negara yang gagal dan rapuh sehingga tidak mampu lagi menghalang campur tangan asing…Tidakkah ada dari kalangan kalian seorang pun yang mampu memahami apa yang telah berlaku ini? Tidakkah kalian melihat Amerika dan sekutunya, ejen dan pengikutnya…semuanya telah menyakiti hati kalian dengan hasutan (fitnah) sehingga kalian bertelagah dan berpecah menjadi tiga kelompok, tiga serpihan, tiga wilayah: Kurd, Sunni dan Syiah, yang tidak mampu lagi untuk dikumpulkan di dalam satu ikatan melainkan hanya dengan simpulan benang sangat halus atau lebih kecil dari itu??!…Bukankah itu yang telah terjadi kepada kalian???

Tidakkah kalian sedar bagaimana Amerika telah melindungi rantau Kurdistan? Dan bagaimana Bremer telah menyemai benih-benih perpecahan dan sistem yang berasaskan mazhab di dalam perlembagaannya? Tidakkah kalian tertanya-tanya bagaimana Amerika mewujudkan seorang diktator yang kejam dalam kerajaan kalian sekarang yang menyuburkan persengketaan mazhab tanpa ada lagi maruah atau perasaan malu? Tidakkah anda tertanya-tanya bagaimanakah agaknya Amerika menonton keadaan ini sambil ia menganjurkan bangsa Kurd agar berpisah dari bangsa Arab dan Sunni berpisah dari Syiah? Tidakkah anda tertanya-tanya bagaimana Amerika berbincang dengan Britain, ejen dan pengikutnya dan kesemua mereka ini berbaris di belakangnya untuk bersama-sama menghangatkan lagi fitnah ini? Walaupun kita tahu Amerika dan Britain saling berbalah merebut kepentingan mereka yang ada pada kalian, tetapi demi untuk memecahbelahkan tanah kalian, mereka bersatu!

Islam telah mempersatukan kalian sejak berabad-abad lamanya. Panji Islam telah menaungi kalian dalam jangka waktu yang panjang. Kalian dahulu adalah kaum Muslimin yang kuat dan mulia. Kalian telah membahagi-bahagikan kebaikan dan memerangi keburukan bersama-sama…Wilayah kalian adalah negeri para pahlawan, tanah al-Qadisiyah, negeri al-Buwaib Yarmuk Parsi, negeri Harun ar-Rasyid dan al-Mu’tasim, negeri Solahuddin al-Ayubi, negeri para pembebas terdahulu dan yang akan datang Insya Allah. Sesungguhnya Iraq yang bersatu akan menjadi lebih kuat dengan warganya, Irak yang terpecah belah akan terus melemah dengan perpecahannya.

Sekiranya orang-orang Kurdis berpandangan bahawa dengan adanya wilayah atau negara Kurdistan itu akan mewujudkan kemuliaan, maka kalian silap. Hal itu tidak akan lebih dari sebatas jangka masa pendek sahaja. Beberapa waktu kemudian kalian akan menjadi seperti orang yang menuju kematian…Sekiranya orang-orang Sunni beranggapan bahawa dengan adanya wilayah untuknya sendiri di utara dan barat Iraq akan mewujudkan kehidupan yang tenang, maka itu tidak lebih hanya sebentar. Kemudian setelah itu kesengsaraan dan kesempitan akan melanda kalian…Jika orang-orang Syiah beranggapan bahawa dengan adanya wilayah untuk mereka di selatan Iraq akan mewujudkan kekuatan di situ, maka hal itu tidak akan lama kecuali hanya sementara sahaja. Kemudian kalian akan kembali menjadi lemah dan dihinakan.

Wahai kaum Muslimin…wahai bangsa Arab…wahai Sunni…wahai Syiah…wahai penduduk Mesopotamia…!

Pemimpin yang berpetunjuk tidak akan pernah berbohong kepada orang-orangnya dan sungguh Hizbut Tahrir adalah penasihat yang ikhlas untuk kalian. Maka janganlah kalian cenderung kepada Amerika dan Eropah. Mereka tidak akan memberikan apa-apa kebaikan untuk kalian, sebaliknya mereka bersungguh-sungguh akan mendatangkan kecederaan dan kematian untuk kalian. Mereka akan berusaha supaya dapat mewujudkan tiga entiti terpecah di Iraq yang diikat dengan ikatan yang lusuh dalam keadaan yang lemah sebagai permulaan untuk dihancurkan ikatan ini kemudiannya… Kita dapat memahami arah anak panah beracun yang ditujukan oleh Amerika dan Barat kepada kita…Namun sekiranya warga Iraq tetap bertegar untuk menerimanya, malah berjuang untuk mencapainya dan mereka semua berusaha untuk mendapatkan bantuan Amerika bagi mencapainya, maka sungguh hal ini merupakan suatu keburukan yang amat dahsyat. Firman Allah SWT,

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan”[TMQ Hud (11):113].

Dan kalian adalah umat yang satu, haram untuk kalian berpecah belah. Firman Allah SWT,

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai berai” [TMQ Ali Imran (3):103].

Dan kalian dilarang bertelagah, sekiranya kalian bertelagah, kekuatan kalian akan melemah dan musuh-musuh kalian akan menyantap kalian dengan lahapnya…

“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu” [TMQ al-Anfal (8):46].

Wahai penduduk Mesopotamia! Perkara ini tidak akan dipulihkan kecuali dengan rawatan dari awal iaitu pemerintahan berdasarkan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan berjihad di jalanNya…berpegang teguhlah kalian kepada tali Allah dan putuskanlah ikatan kalian dengan musuh Allah… dan singkirkanlah fahaman berpuak-puak. Sabda Rasulullah SAW,

“Buanglah ia, sesungguhnya ia busuk” [HR Bukhari dari Jabir]

Hentikanlah panggilan berdasarkan puak dan mazhab dan berpegang teguhlah kepada nama yang Allah telah menamakan kita,

“Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim” [TMQ al-Hajj (22):78]

Maka kembalilah kepadaNya dan tegakkanlah DaulahNya, Khilafah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah, yang dengan itu kalian akan dimuliakan, yang dengan itu kalian akan sekali lagi berdakwah kepada manusia, yang dengan itu kalian akan kembali menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara …

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya” [TMQ Qaf (50):37].
 
21 Syaaban 1435H
19 Jun 2014M
Hizbut Tahrir

[Terjemahan artikel berbahasa Arab keluaran Hizbut Tahrir Pusat]