SN407 – Al-Qadha’ (Pengadilan) Dalam Islam

SN keluaran 21 November 2014

AL-QADHA’ (PENGADILAN) DALAM ISLAM

[SN407] Keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang membenarkan transgender berpakaian perempuan di tempat awam masih memanaskan suasana politik di Malaysia. Dari peringkat kedai kopi hinggalah ke peringkat menteri, keputusan tersebut telah “disambut” dengan pelbagai bentuk sinis mahupun serius. Rentetan keputusan yang dilihat tidak berpihak kepada perundangan syariah ini, Datuk Seri Jamil KhirBaharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mencadangkan untuk menubuhkan lima peringkat mahkamah syariah yang meliputi Mahkamah Tengah Syariah, Majlis Rayuan Syariah dan Mahkamah Persekutuan Syariah dengan tahap bidang kuasa Mahkamah Persekutuan Syariah dijadikan sama dengan Mahkamah Persekutuan sedia ada. Jamil berkata, pengenalan lima jenis Mahkamah Syariah itu bukan satu perkara yang mudah kerana ia perlu diperhalusi dengan mengkaji peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai respons kepada cadangan Jamil Khir tersebut, Naib Presiden PAS, SalahuddinAyub menyatakan yang PAS pada prinsipnya bersetuju bagi menubuhkan Mahkamah Persekutuan Syariah dan bersedia untuk duduk bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan usaha itu.

Cadangan mewujudkan Mahkamah Persekutuan Syariah yang menyamai bidang kuasa Mahkamah Persekutuan ini sekali imbas nampak macam baik kerana bertujuan memartabatkan mahkamah dan perundangan syariah di Malaysia. Namun, jika diperdalami sedikit sahaja akan terlihatlah kecacatannya yang amat besar. Apa tidaknya, kerana selagi wujud dua sistem mahkamah secara serentak (dualisme perundangan) seperti mana yang ada sekarang, hal ini secara jelas lagi nyata adalah menyalahi Islam. Sesungguhnya Islam tidak mengiktiraf mahkamah sivil dan kewujudan mahkamah sivil yang berhukum dengan hukum kufur adalah keharaman yang nyata. Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, kedudukan “mahkamah syariah” itu sendiri sebenarnya tidak pernah menepati syariat Islam, baik yang sedia ada atau yang dicadang untuk diwujudkan. Lihat sahaja bidang kuasa maksimum mahkamah syariah hanyalah boleh menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun, denda RM5000 dan sebat tidak lebih dari 6 kali. Setiap Muslim yang sihat akalnya mengetahui bahawa hal ini langsung tidak syarie. Apatah lagi hanya kesalahan-kesalahan tertentu sahaja yang dikategorikan sebagai “kesalahan syariah” seperti melibatkan nikah-kahwin-cerai, penjagaan anak, zina, minum arak dan seumpamanya. Itu pun, beberapa kesalahan tertentu bertindih pula dengan kesalahan sivil seperti liwat, pelacuran dan lain-lain.

Di mana syariahnya apabila kesalahan seperti membunuh, mencuri, berjudi, merompak dan lain-lain tidak termasuk dalam “kesalahan syariah” walhal hukum syarak jelas-jelas memperuntukkan hukuman ke atas kesalahan-kesalahan ini? Begitu juga dari segi bidang kuasa di mana mahkamah syariah langsung tidak berkuasa ke atas non-Muslim, sebaliknya mahkamah sivil berkuasa pula ke atas orang-orang Islam! Tidak terlepas dari semua ini, mahkamah syariah itu sendiri tertakluk kepada Perlembagaan yang tidak syarie ciptaan si kafir Lord Reid!

Sejarah Kewujudan Dua Sistem Mahkamah

Tidak ada seorang sejarawan pun menulis bahawa satu perkara pernah diselesaikan dengan hukum selain Islam, atau satu mahkamah di suatu wilayah Islam pernah melaksanakan hukum selain Islam. Tidak pernah ada, dan hal ini berlangsung ribuan tahun lamanya. Hanya setelah penjajahan berlaku ke atas wilayah Islam oleh kuffar Barat, barulah pengadilan dipisahkan menjadi dua, pengadilan agama dan pengadilan sivil. Bukti autentik mengenai perkara ini masih dapat dilihat melalui pelbagai dokumen mahkamah Islam yang tersimpan di beberapa kota tua seperti al-Quds (Jerusalem), Baghdad, Damaskus, Mesir, Istanbul dan lain-lain (sekiranya ia masih tidak dimusnahkan).

Adapun masuknya undang-undang Barat ke dalam Daulah Khilafah pada penghujung waktu keKhilafahan, adalah disebabkan adanya fatwa ulama yang membolehkan hal tersebut dan dikatakan tidak bertentangan dengan hukum-hukum Islam. Di antara undang-undang tersebut antara lain Qanun al-Jazaa al-Utsmani (Undang-undang jenayah pemerintahan Utsmaniyyah) tahun 1275H (1857M), Qanun al-Huquq wa al-Tijarah (Undang-undang Kewangan dan Perdagangan) tahun 1276H (1858M). Kemudian pada tahun 1288H (1870M) mahkamah pengadilan dipecah menjadi dua iaitu Mahkamah Syariah (pengadilan agama) dan Mahkamah Nidzamiyah (pengadilan sivil) yang kemudian dibuat undang- undangnya. Pada tahun 1295H (1877M) dibuat peraturan tentang pembentukan mahkamah sivil (badan dan strukturnya). Namun, di beberapa negeri seperti Hejaz, Nejd, Yemen dan Afghanistan, sekalipun turut terjajah, kita masih dapat melihat sedikit tinggalan penerapan Islam dalam pengadilan. Begitulah, mahkamah dalam Daulah Islam di sepanjang sejarahnya tidak pernah menerapkan selain hukum Islam sehinggalah apabila kuffar penjajah memasuki tanah kita semua.

Di Malaysia sebagai contoh, penjajah British mula menerapkan undang-undang kufur mereka dengan pengenalan ‘the Royal Charter of Justice’ pada tahun 1807. Dari Charter (Piagam) inilah lahirnya mahkamah yang dinamakan ‘the Court of Judicature of the Prince of Wales’ Island’ (nama lama Pulau Pinang). Kemudian, setelah Singapura dan Melaka jatuh ke tangan British, terbentuklah Negeri-negeri Selat (the Straits Settlements) pada tahun 1826, lalu diperkenalkan pula the Charter of Justice yang baru dan diwujudkan sebuah mahkamah baru yang dinamakan ‘the Court of Judicature of Prince of Wales’ Island, Singapore and Malacca’. Pada tahun 1867, mahkamah disusun sekali lagi apabila pentadbiran Negeri-negeri Selat telah dipindahkan dari India ke tanah jajahan dengan penubuhan mahkamah baru ‘the Supreme Court of the Straits Settlements’ pada tahun 1873 dengan empat orang hakim, kemudian diikuti dengan penubuhan ‘Court of Appeal’ (Mahkamah Rayuan). Ringkasnya, sejarah kewujudan mahkamah sivil di Malaysia tidak lepas sedikitpun dari hasil karya dan penjajahan puak kuffar.

Mahkamah Dalam Islam

Sesungguhnya Islam mempunyai sistem pengadilan (al-qadha’) tersendiri berdasarkan wahyu di mana keseluruhan hukum dan hukuman yang dijalankan oleh mahkamah adalah berlandaskan perintah Allah semata-mata. Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin telah menunjukkan kepada kita bagaimana bentuk, fungsi dan perjalanan prosedur mahkamah dalam Islam melalui praktik yang telah mereka lakukan. Perlu difahami bahawa al-qadha’ (pengadilan) adalah pemberitahuan keputusan hukum yang bersifat mengikat. Al-Qadla’ menyelesaikan perselisihan yang terjadi antara masyarakat, atau mencegah hal-hal yang dapat merugikan hak jamaah (orang ramai) atau mengatasi perselisihan yang terjadi antara rakyat dengan jentera pemerintah, termasuklah dengan Khalifah itu sendiri.

Berdasarkan nas dan praktik yang dapat dilihat di sepanjang pemerintahan Islam, ada 3 jenis qadhi/mahkamah dalam Islam:-

(1) Qadhi – hakim yang mempunyai solahiyyah (bidang kuasa) menyelesaikan perselisihan antara anggota masyarakat dalam urusan muamalat dan uqubat;

(2) Qadhi al-Muhtasib – hakim yang mempunyai solahiyyah menyelesaikan pelanggaran-pelanggaran yang merugikan hak-hak jamaah/masyarakat.

(3) QadhiMadzalim – hakim yang mempunyai solahiyyah mengatasi perselisihan yang terjadi antara rakyat dengan kakitangan negara.

Sistem Pengadilan dalam Islam diketuai oleh QadhiQudhat (Ketua Qadhi) yang diangkat oleh Khalifah. QadhiQudhat hendaklah seorang Muslim, lelaki, baligh, merdeka, berakal, adil dan faqih. Setiap mahkamah hanya boleh dibentuk dari seorang qadhi, maksudnya hanya boleh ada seorang hakim sahaja dalam satu-satu sidang mahkamah. Hakim inilah yang memiliki autoriti untuk menyelesaikan perkara pengadilan. Boleh sahaja ada bersamanya seorang atau beberapa orang qadhi yang lain, akan tetapi mereka tidak memiliki autoriti untuk memutuskan perkara. Mereka hanya boleh memberi pendapat dan menyampaikan masukan (input). Pendapat dan masukan mereka tidak bersifat mengikat.

Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah mengangkat dua orang qadhi untuk menyelesaikan satu-satu masalah. Baginda hanya menunjuk seorang qadhi sahaja untuk satu masalah. Di samping itu, oleh sebab hukum syarak bagi setiap individu juga hanyalah satu (walaupun kefahamannya boleh berbilang), jadi tidak mungkin boleh ada lebih dari satu orang qadhi dalam satu-satu sidang mahkamah kerana ini boleh menimbulkan hukuman yang berbeza-beza mengikut kefahaman masing-masing qadhi. Hal ini (perbezaan hukum) tidak dibolehkan dalam menjatuhkan hukuman kerana hukum syarak, dalam praktik pelaksanaannya ke atas setiap individu, hanya satu sahaja. Atas dasar ini, qadhi tidak boleh lebih dari satu orang untuk satu perkara yang bererti hanya satu qadhi untuk satu mahkamah.

Manakala keluasan dan keterbatasan autoriti (bidang kuasa) seseorang qadhi boleh disesuaikan mengikut jenis-jenis perkaranya. Boleh sahaja mengkhususkan seseorang qadhi untuk perkara-perkara tertentu sampai batas tertentu, sedangkan perkara-perkara yang lain diserahkan kepada qadhi yang lain. Hal ini kerana Lembaga Pengadilan merupakan lembaga yang mewakili Khalifah. Ia sama seperti akad perwakilan (wakalah) yang boleh sahaja bersifat umum dan boleh juga bersifat khusus. Atas dasar ini, seorang qadhi boleh diangkat untuk menangani perkara-perkara tertentu sahaja dan tidak boleh baginya menangani perkara-perkara lain; boleh juga qadhi yang lain diangkat untuk menangani perkara yang lain sama ada di tempat yang sama atau tempat lain dan begitulah seterusnya. Semua ini bergantung pada Khalifah selaku muwakkil (orang yang mewakilkan) yang akan menentukannya.

Berdasarkan had kuasa perwakilan yang diberikan, ini bermakna boleh adanya tingkat-tingkat kuasa mahkamah yang bergantung pada setinggi mana kuasa wakil (hakim) tadi dalam memutuskan sesuatu perkara yang diberikan kepadanya. Praktik seperti ini sudah ada di tengah-tengah kaum Muslimin pada masa-masa awal Islam dan sesudahnya. Imam al-Mawardi mengatakan di dalam kitabnya, al-Ahkam as-Sulthaniyah: Abu Abdillah al-Zubairi mengatakan, “Tidak pernah ada satu masa pun kecuali Amir kami di Basrah selalu mengangkat qadhi untuk menjadi qadhi di masjid jami’ Mereka menyebutnya qadhi masjid. Mereka memutuskan perkara dalam masalah 200 dirham atau 20 dinar atau kurang, di samping ia juga menetapkan pelbagai penyelenggaraan. Ia tidak akan menyimpang dari kedudukannya dan dari hal-hal yang telah ditetapkan baginya.”

Rasulullah SAW pernah mengangkat wakil baginda dalam memutuskan satu perkara sahaja seperti ketika baginda mengangkat Amru bin al-‘As. Rasulullah juga mengangkat wakil dalam memutuskan semua perkara di satu wilayah, seperti ketika baginda mengangkat Ali bin AbiThalib menjadi wakil untuk memutuskan semua perkara di Yemen. Hal itu menunjukkan dibolehkannya mengkhususkan mahkamah dengan kuasa yang terbatas atau tanpa batas sebagaimana dibolehkan memberikan autoriti yang bersifat khas ataupun umum. Semuanya bergantung pada Ketua Negara.

Namun, dalam sistem pengadilan Islam tidak terdapat mahkamah-mahkamah rayuan mahupun mahkamah-mahkamah terakhir (yang mempunyai kuasa tertinggi) seperti halnya Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan yang ada di Malaysia. Ini kerana, mahkamah, dilihat dari sisi pembuatan keputusan (menjatuhkan hukuman) dalam sesuatu perkara, kedudukannya adalah sama. Jika seorang qadhi telah mengeluarkan keputusan hukum, maka keputusannya itu adalah mengikat dan wajib segera dilaksanakan. Keputusan itu tidak boleh dibatalkan oleh qadhi yang lain. Kaedah syarak menyatakan, “Suatu ijtihad tidak boleh dibatalkan oleh ijtihad yang lain”. Dengan demikian, seorang mujtahid tidak boleh membatalkan hujah mujtahid lain. Kerana itu, tidak sah adanya mahkamah yang membatalkan keputusan-keputusan hukum mahkamah-mahkamah yang lain.

Bukan sekadar membatalkan, malah satu hakim/mahkamah tidak boleh mengurangkan atau melebihkan hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim/mahkamah yang lain, kerana apa yang diputuskan oleh hakim merupakan hukum Allah yang bersifat mengikat dan hukum Allah ke atas setiap manusia itu satu sahaja (walaupun kefahamannya boleh berbeza). Contohnya, jika seseorang telah mengaku atau didapati bersalah kerana berzina dan hakim memutuskan ia disebat 100 kali atau direjam hingga mati. Siapa pun tidak boleh merayu kepada hakim/mahkamah yang lain untuk membatalkan keputusan atau untuk mengurangkan hukuman menjadi 50 kali sebatan atau 10 kali sebatan. Begitu juga jika seseorang mengaku atau didapati bersalah kerana mencuri, lalu dihukum potong tangan. Dia dan siapa sahaja tidak mempunyai hak untuk merayu agar dibatalkan atau diringankan hukuman kepada potong jari atau denda atau penjara atau lain-lain. Ini kerana, apa yang diputuskan oleh hakim ke atasnya adalah hukum Allah yang bersifat mengikat dan hanya ada satu hukuman (hukum syarak) sahaja untuknya. Kerana itu, dalam Islam tidak ada mahkamah rayuan atau mahkamah terakhir, kerana hukum Allah tidak boleh diubah, ditambah atau dikurangi.

Namun demikian, jika qadhi meninggalkan hukum syariat Islam dan memutuskan hukum menggunakan selain syariat Islam, atau jika qadhi memutuskan hukum yang menyalahi nas yang qath’i (tegas/pasti) (baik dari al-Kitab, as-Sunnah ataupun Ijmak Sahabat), atau qadhi memutuskan hukum yang bertentangan dengan hakikat fakta (seperti qadhi memutuskan bahawa seseorang dihukum qisas kerana melakukan pembunuhan yang disengaja, kemudian muncul pembunuh yang sebenarnya), maka dalam keadaan-keadaan ini dan yang seumpamanya, keputusan qadhi itu boleh dibatalkan.

Hal itu sesuai dengan sabda Rasulullah SAW,

“Siapa sahaja yang membuat-buat perkara di dalam urusan agama kami yang bukan berasal darinya maka ia tertolak” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ketetapan di atas juga sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah,

“Sesungguhnya pernah ada seorang lelaki berzina dengan seorang wanita. Lalu Rasulullah SAW memberikan keputusan dalam masalah ini hingga si lelaki itu dihukum sebat. Kemudian Rasulullah SAW diberitahu bahawa lelaki itu muhsan (sudah pernah menikah) sehingga baginda pun mengeluarkan perintahnya sehingga lelaki itu direjam” [HR Abu Daud].

Pihak yang memiliki autoriti membatalkan keputusan-keputusan hukum itu adalah QadhiMazhalim [AjhizahDaulah al-Khilafah Fi al-Hukm wa al-Idarah, HizbutTahrir].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Berdasarkan nas yang jelas dan apa yang ditunjukkan di sepanjang sejarah pemerintahan Islam, hanya ada satu sistem mahkamah sahaja dalam Daulah Islam yang membicarakan dan memutuskan hukum sama ada sesama Muslim, Muslim dengan non-Muslim mahupun sesama non-Muslim, baik dalam perkara muamalat atau uqubat atau yang menyentuh hubungan antara pemerintah dengan rakyat. Tidak ada dualisme perundangan dan tidak ada mahkamah syariah rendah, tinggi, rayuan atau persekutuan yang memutuskan hukum buatan manusia. Apa yang ada hanyalah mahkamah Islam yang memutuskan hukum berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya yang menjadi undang-undang negara. Justeru, apa yang patut dilakukan sekarang bukanlah menaik tarafkan mahkamah syariah setanding dengan mahkamah sivil, tetapi kembali kepada mahkamah Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas sekali gus menghapuskan kesemua undang-undang dan sistem kufur yang mendominasi kita pada hari ini dan menggantikannya dengan undang-undang dan sistem Islam semata-mata berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah dalam bingkai Negara Khilafah Islamiyyah. Wallahua’lam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.