SN411 – Sekitar Hukum Sambutan Krismas Dan Bagaimana Negara Khilafah Mengaturnya

PDF

SN keluaran 19 Disember 2014

[SN411] Bila tiba sahaja bulan Disember setiap tahun, kita akan dapat melihat dan merasakan suasana kemeriahan untuk menyambut Krismas dan tahun baru Masihi. Perhiasan yang berkonsepkan Krismas dapat dilihat dimana-mana, khususnya di pusat membeli-belah, malah hingga ada majikan yang mengarahkan pekerja-pekerja mereka memakai pakaian ‘Santa Klaus’. Di media apatah lagi, iklan-iklan elektronik mahupun bercetak dipenuhi dengan suasana Krismas sehingga negara ini dirasakan seperti negara yang majoriti penduduknya Kristian! Ini belum ditambah dengan sambutan dan perayaan mega yang dilakukan oleh penguasa secara rasmi melalui rumah terbuka 1Malaysia dan lain-lain bagi meraikan penganut agama Kristian ini. Ahli-ahli politik berlumba-lumba untuk memberi ucapan selamat melalui pelbagai medium sama ada dalam bentuk banner-banner yang tergantung, melalui laman web,facebook, blog, SMS dan lain-lain aplikasi dalam telefon pintar. Selain itu, ahli-ahli perniagaan Muslim juga tak kurang menghantar ucapan atau hamper kepada rakan perniagaan atau pelanggan mereka yang beragama Kristian. Malah sebahagian umat Islam tidak pernah terkecuali melakukan ucapan atau kunjungan kepada rakan-rakan yang beragama Kristian setiap kali menjelang Krismas. Sautun Nahdhah (SN) keluaran ke-190 telah menjelaskan secara panjang lebar mengenai hukum meraikan perayaan orang-orang kafir. Justeru kali ini kami ingin terus mengingatkan para pembaca Muslim mengenai ‘bahaya’ sambutan Krismas kepada akidah umat Islam dan menjelaskan bagaimana Islam mengatur perayaan agama lain di dalam Negara Khilafah.

Sambut Krismas Sebagai Toleransi Beragama

Krismas menjadi momentum untuk kaum Kristian menzahirkan kewujudan dan dominasi mereka di negeri umat Islam. Hal ini dipermudah dengan polisi pemerintah yang sentiasa memberi ruang kepada mereka sekali gus mengajak umat,atas nama masyarakat majmuk dan toleransi beragama, agar sama-sama menyambut Krismas. Mana-mana Muslim yang menolak untuk mengucap selamat hari Krismas atau merayakan Krismas bersama akan dianggap tidak toleran, malah mungkin sahaja ekstrem. Atas dasar inilah, sebahagian Muslim tanpa segan-silu dan rasa bersalah, malah dengan perasaan bangga dan gembira, turut memeriahkan perayaan Krismas hanya semata-mata kerana mahu dilihat toleran dengan penganut Kristian, padahal sedar atau tidak, mereka sebenarnya telah menggadaikan akidah mereka!Atas dasar toleransi ini jugalah, penganut agama lain yang minoriti di Malaysia, seolah-olah telah mendapat syurga di bumi ini, hingga ke tahap diberi ruang (oleh pemerintah khususnya) untuk menguasai ekonomi, pendidikan, politik dan pemerintahan negara. Itu belum mengambil kira undang-undang kufur yang diterapkan dan undang-undang Islam dicampakkan dari pemerintahan, yang antara sebabnya ialah adanya golongan minoriti yang menolak pelaksanaan undang-undang Islam, yang dilayani kehendak mereka oleh pemerintah! Malah, gereja terbesar dan tercanggih di Asia Tenggara pun ada di Malaysia. Mana ada negara di dunia yang setoleran Malaysia dalam hal ini!?Memang Islam mengajarkan sikap “toleransi” tetapi bukanlah sampai ke tahap umat Islam yang mulia ini dikuasai oleh orang-orang kafir. Firman Allah SWT,

“Dan Allah sekali-kali tidak menjadikan jalan bagi orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang Mukmin” [TMQ al-Nisa’ (4):141].

Islam tidak memaksa orang-orang kafir untuk memeluk agama Islam. Islam membenarkan penganutnya bermuamalat dengan orang-orang kafir (dzimmi), memerintahkan untuk berbuat baik dengan mereka, menyantuni dan membantu mereka. Inilah bentuk “toleransi” yang diajarkan oleh Islam ke atas orang-orang kafir. Tetapi dalam masa yang sama Islam mengajar bahawa akidah Islam tidak boleh digadaikan dalam interaksi kita dengan orang-orang kafir. Contohnya, kita tidak dibenarkan menerapkan hukum kufur kerana orang-orang kafir mahukannya, tidak dibenarkan berkahwin dengan musyrik, tidak dibenarkan memakai pakaian agama mereka, menggunakan lambang agama mereka, menyertai mereka dalam ritual agama mereka, meraikan perayaan mereka dan lain-lain.

Hal itu semua bukan menunjukkan yang Islam menganjurkan pergaduhan dengan mereka, tetapi ini merupakan perintah Allah ke atas umat Islam. Islam wajib dizahirkan di atas agama-agama yang lain.“Toleransi” dalam Islam itu bukanlah sampai ke tahap meraikan keyakinan orang-orang yang bertentangan dengan Islam. Imam al-Syaukani dalam Tafsir Fath al-Qadir menyatakan: Abd ibn Humaid, Ibn al-Mundzir dan Ibn Mardawaih telah mengeluarkan riwayat dari Ibn ‘Abbas bahawa orang Quraisy pernah berkata kepada Rasulullah SAW,

“Andai engkau menerima tuhan-tuhan kami, nescaya kami menyembah tuhanmu.”

Menjawab halitu, Allah SWT dengan tegasmemerintahkan RasulNya untuk mengatakan,

“..untuk kamu agama kamu dan untukkuagamaku” [TMQ al-Kafirun (109):6].

Dari sini jelas bahawa umat Islam dilarang mengikut keyakinan mahupun kehendak orang-orang kafir dalam hal agama, haram terlibat dalam peribadatan agama mereka, termasuk meraikan perayaan agama mereka, apa pun bentuknya, kerana hal itu termasuk sebahagian daripada aktiviti keagamaan atau menyangkut keyakinan mereka dalam beragama. Hatta dalam selain peribadatan pun, seperti dalam hal berpakaian (seperti memakai pakaian Santa Klaus dan lain-lain), umat Islam diharamkan mengikut orang-orang kafir. Sabda Rasulullah SAW,

“Siapa saja yang menyerupai suatu kaum maka dia sebahagian dari mereka” [HR Abu Daud dan Ahmad].

Misi Kristianisasi Dan Pluralisme Dalam Sambutan Krismas

Umat Islam memang tahu bahawa penganut Kristian tidak pernah leka dengan misi Kristianisasi mereka sejak dulu dan antara kaedah mereka ialah menyusup dengan cara yang cukup halus. Jika mereka gagal menarik Muslim ke dalam agama mereka sekalipun, cukuplah mereka berjaya memurtadkan umat Islam secara tidak sedar dengan mengamalkan apa (cara hidup) yang mereka amalkan. Firman Allah SWT,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti milah mereka” [TMQ al-Baqarah (2):120].

Maha Benar Allah dengan firmanNya. Sesungguhnya misi Kristian tidak akan pernah lari dari misi penjajahan mereka yang sering disebut sebagai ‘trilogi penjajahan’ yakni gold, glory dan gospel (kekayaan alam, kejayaan, dan kristianisasi) dan sambutan Krismas menjadi salah satu cara ke arah itu. Kerana itulah, usaha-usaha ‘pembaratan’ tidak pernah terpisah dari usaha missionaries menjauhkan umat dari Islam sehingga akhirnya menjadi murtad.

Sesungguhnya semarak Krismas sarat dengan projek ‘pembaratan’ dimana mereka berusaha untuk menanamkan budaya Barat dalam kehidupan kaum Muslimin sehingga akhirnya diambil dan dijadikan budaya oleh umat Islam. Lihatlah pelbagai pesta maksiat, pergaulan bebas, perzinaan, pembaziran harta dan lain-lain keharaman sudah menjadi perkara biasa, apatah lagi semasa momentum Krismas dan sambutan tahun baru Masihi. Semua kemaksiatan ini sudah menjadi sebati dengan Muslim sejak dulu, antaranya faktor utamanya ialah kerana pemerintah yang menganjurkannya atau mengizinkan penganjurannya secara besar-besaran, malah dijadikan acara tahunan yang cukup meriah.

Momentum Krismas dijadikan titik penting untuk mengembangkan misi penyebaran agama Kristian. Kerana itulah orang-orang Kristian sangat serius merayakan Krismas dan tahun baru untuk menarik minat kaum lain, khususnya kaum Muslimin. Sambutan bersama kaum lain sama ada di rumah terbuka atau tempat umum yang lain dijadikan uslub penting untuk menyebarkan misi Kristianisasi, agar umat manusia mengenal doktrin kepercayaan Kristian, kalau boleh sehingga mempercayai “Tuhan Jesus” sebagai penyelamat manusia. Jika tidak percaya, paling kurang pun “meraikan” mereka dalam keyakinan mereka terhadap “Tuhan Jesus”. Kerana itulah, ajakan untuk bersama-sama ikut merayakan Krismas atau setidaknya mengucapkan selamat menyambut hari Krismas (Merry Christmas) begitu gencar diusahakan dengan berbagai bentuk, cara dan medium.

Mengucapkan Merry Christmas bermaksud meraikan kepercayaan mereka akan kelahiran Nabi Isa alaihi salam sebagai “Tuhan Anak” atau dengan kata lain, seseorang itu mengucap selamat di atas kelahiran Isa sebagai “Anak Tuhan”. Na’uzubillah min zalik. Inilah keyakinan trinity mereka yang sesat lagi menyesatkan. Mereka menjadi kufur kerana keyakinan ini. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘Sesungguhnya Allah adalah al-Masih putera Maryam…”[TMQ al-Maidah (5):72]

dan

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘Bahawasanya Allah adalah salah satu dari yang tiga…”[TMQ al-Maidah (5):73].

Inilah antara misi Kristianisasi di sebalik perayaan Krismas yang mereka mahu umat Islam turut meraikannya atau paling tidak mengucapkan selamat kepada mereka, yang hakikatnya boleh menggelincirkan akidah seseorang Muslim tanpa disedari! Para ulama’ telah lama membahas keharaman mengucapkan selamat kepada mereka, apatah lagi meraikan perayaan mereka, baik secara peribadi apatahlagi dari para pemerintah!

Krismas juga menjadi momentum terbaik untuk penganut Kristian menanamkan idea pluralisme ke atas umat Islam, baik secara halus mahupun terbuka. Pluralisme adalah fahaman bahawa semua agama adalah benar dan baik. Ramai umat Islam yang tidak menyedari atau tidak mengendahkan hal ini, walhal ia boleh membawa kepada kesyirikan. Ini kerana, sesungguhnya satu-satunya agama yang benar ialah Islam dan agama selain Islam adalah sesat lagi menyesatkan. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam” [TMQ Ali Imran (3):19] “dan barangsiapa mencari deen selain Islam, sekali-kali tidak akan diterima (deen itu) daripadanya” [TMQ Ali Imran (3):85].

Apa yang wajib kita katakan (bukan paksakan) kepada penganut Kristian (dan lain-lain non-Muslim) ialah, tinggalkan agama kamu yang salah itu dan masuklah ke dalam Islam sebagai satu-satunya agama yang benar dan diredhai oleh Allah SWT dan bukan sebaliknya yakni kita turut meraikan agama mereka yang salah tersebut atau menganggap bahawa semua agama adalah sama! Sungguh ajaib dengan sikap sebahagian pemimpin yang kononnya berapi-api mengingatkan umat Islam tentang bahaya pluralisme, tetapi merekalah yang bersungguh-sungguh meraikan dan mengajak umat untuk memeriahkan sambutan Krismas!

Perayaan Krismas Dalam Daulah Khilafah

Negara Khilafah, meskipun ia dibangun berdasarkan akidah Islam dan menerapkan syariat Islam dalam seluruh aspek kehidupan, tetapi Negara Khilafah tetap memberikan toleransi dan kebebasan kepada kaum non-Muslim untuk memeluk dan menjalankan ritual agama mereka, dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syarak. Mereka dibiarkan memeluk keyakinan mereka dan tidak akan dipaksa untuk memeluk Islam, tetapi ini tidak bermakna mereka boleh menzahirkan syiar agama mereka di tengah-tengah masyarakat. Ini kerana, mereka hidup di dalam Daulah Islam iaitu negara yang berdiri berdasarkan akidah Islam serta menjalankan syariat Islam sepenuhnya, maka sudah tentu tidak mungkin agama selain Islam (kekufuran) lebih menonjol atau sama-sama menonjol dengan Islam, baik dalam hal syiar, simbol mahupun cara hidup mereka. Nabi SAW menegaskan,

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam” [HR Baihaqi].

Perlu difahami bahawa non-Muslim yang hidup dalam Negara Khilafah dikenali sebagai ahlu dzimmah yakni orang-orang yang tunduk kepada sistem pemerintahan Islam dan dijaga oleh Negara Islam akan darah, harta dan kehormatan mereka atas sebab jizyah yang mereka bayar. Mereka bebas menjalankan ibadah, makan-minum, berpakaian, nikah dan talak menurut agama mereka, dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syarak. Kerana itulah, pada zaman Khilafah, akad dzimmah mereka mengandungi syarat yang mereka tidak akan mengajak atau mempengaruhi orang Islam untuk mengikuti agama mereka, tidak akan mendirikan gereja yang baru atau kalau ada yang rosak, tidak akan diperbaiki. Mereka tidak akan membunyikan loceng gereja, memakai pakaian agama mereka di khalayak ramai dan banyak lagi.

Oleh kerana akad, ketundukan dan kesedaran itulah, maka kaum non-Muslim yang mendapatkan dzimmah dari Negara Khilafah itu tidak akan berani melakukan perbuatan sembarangan. Jika mereka tetap melakukannya, maka jaminan dzimmah itu akan dicabut dan mereka akan dihalau dari Daulah Khilafah atau diperangi jika mereka memberontak. Oleh kerana itu jugalah, selama berada dalam Daulah Khilafah, mereka tidak pernah menuntut lebih dari hak yang mereka ada, malah terbukti yang mereka menyayangi Negara Khilafah yang menjaga dan menyantuni mereka.

Berhubung perayaan, meskipun tidak dilarang, tetapi perayaan mereka tetap diatur oleh Negara Khilafah. Selain berdasarkan akad dzimmah, hadis Nabi SAW bahawa “Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam”wajib dipegang teguh. Oleh itu, perayaan mereka hanya dibatasi dalam komuniti mereka sahaja atau di dalam gereja atau rumah-rumah mereka, tanpa dizahirkan. Ia sekali-kali tidak boleh ditonjolkan di tempat-tempat umum, malah iklan di media elektronik mahupun media cetak yang menjadi akses kepada masyarakat umum juga tidak dibenarkan.Ini kerana, kekufuran dan apa jua aktivitinya, tidak boleh diiklankan, apatah lagi dibiarkan berlaku sewenang-wenang dalam masyarakat Islam. Begitulah bagaimana Khilafah meninggikan, menjaga dan melindungi Islam dan umat Islam, sekali gus menjaga, melindungi dan mengatur non-Muslim dalam Negara. Non-Muslim tidak diganggu atau dipaksa untuk meninggalkan agama mereka, tetapi dalam masa sama, mereka juga tidak dibenar untuk menzahirkan syiar kekufuran mereka.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Janganlah terpedaya dengan ikut merayakan Krismas atau perayaan agama orang-orang kafir. Ya, kita dituntut untuk berbuat baik dengan orang-orang kafir (dzimmi) tetapi ini bukan caranya! Jagalah akidah kita dengan setinggi-tinggi penjagaan kerana kehidupan dalam sistem sekular pada hari ini amat merosak serta membahayakan akidah. Realiti yang ada pada hari ini menjadi bukti bahawa kita memerlukan sebuah kekuasaan (Negara Islam – Khilafah) yang bukan sahaja akan menzahirkan agama Allah di atas agama-agama yang lain, tetapi kekuasaan yang akan menjaga akidah umat Islam. Hanya Negara Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah sahajalah yang akan menjaga akidah dan memastikan Islam dan umatnya kembali menduduki posisi asalnya yang tinggi dan mulia. Justeru, ayuhlah bersama-sama dengan Hizbut Tahrir untuk berjuang mewujudkannya kembali melalui jalan yang benar, sebagaimana yang telah ditempuh oleh Rasulullah SAW. Wallahua’lam.