SN428 – Rajab 1342H: Runtuhnya Sebuah Kemuliaan

PDF

SN Keluaran 15 Mei 2015

[SN428] Tanggal 28 Rajab 1342H merupakan tarikh yang memilukan buat umat Islam sejagat lantaran keruntuhan Khilafah Islamiyyah terakhir yang berpusat di Istanbul setelah Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Mejid II diusir dari istana dan Turki diisytiharkan menjadi sebuah republik. Tarikh tersebut menjadi titik hitam dalam lipatan sejarah Islam, sekali gus menandakan detik bermulanya siri penderitaan umat yang mulia ini setelah 13 abad hidup sejahtera di bawah naungan Khilafah, sebuah sistem pemerintahan yang terbina atas batu asas yang dibina oleh Rasulullah SAW dengan tertegaknya Daulah Islam di Madinah. Kesinambungan penerapan syariah dan penyebarluasan risalah Islam pada zaman Nubuwwah kemudiannya diteruskan lagi oleh para Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyin sehingga umat ini berhasil menundukkan empayar Rom dan Parsi kurang daripada seabad setelah kewafatan baginda SAW. Kegemilangan ini diteruskan lagi oleh para Khulafa’ dari Bani Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah secara bersilih ganti dan di sepanjang tempoh tersebut, umat Islam secara keseluruhannya berada dalam kemuliaan dan menikmati kesejahteraan di bawah naungan Khilafah.

Pengembangan wilayah Islam yang pesat telah mencetuskan kegusaran dalam hati musuh-musuh Islam yang melihatnya sebagai sebuah ancaman. Hal ini sekali gus menimbulkan kedengkian serta menyemarakkan lagi kebencian musuh-musuh Islam, khususnya negara-negara Kristian Eropah sehingga mencetuskan siri peperangan Salib selama ratusan tahun yang berakhir dengan kemenangan di pihak Islam. Sepanjang lebih 1300 tahun, sejarah juga membuktikan betapa musuh-musuh Islam khasnya Barat tidak mampu untuk menghancurkan Islam dan institusi Khilafah melalui siri peperangan fizikal, lantaran kekuatan Khilafah dan menebalnya semangat jihad dalam tentera Muslimin yang cintakan syahid. Menyedari hakikat itulah, Barat mula merencanakan strategi licik untuk melemahkan umat Islam dari dalam, secara halus. Barat sedar bahawa tunjang kepada kekuatan umat Islam adalah kerana mereka berpegang teguh terhadap akidah Islam yang menjadi landasan keimanan mereka. Selama ratusan tahun usaha licik Barat melalui agenda missionaries yang tidak kenal henti menyebarkan idea-idea kufur mereka masuk ke dalam tubuh umat yang akhirnya berjaya memudarkan ruh Islam dari umat. Hal ini berlaku seiring dengan kemerosotan taraf berfikir umat setelah tertutupnya pintu ijtihad pada kurun ke-6 Hijriyah.

Dari sinilah bermulanya proses keruntuhan Khilafah yang tidak pernah terbayang sebelum itu, setelah umat mulai terpengaruh dengan tsaqafah-tsaqafah asing, termasuklah penularan fahaman falsafah yang akhirnya menyibukkan umat dalam perbahasan yang berpanjangan dan tidak berfaedah. Senario ini berlarutan sehingga akhirnya umat Islam jauh tertinggal tatkala Eropah melalui zaman renaissance (kebangkitan) dan seterusnya mengalami ledakan kemajuan hasil revolusi perindustrian. Kuasa-kuasa Eropah akhirnya berjaya menyaingi kekuatan Khilafah Uthmaniyah pada waktu itu sehingga mereka telah berani melancarkan perang fizikal dan sedikit demi sedikit wilayah kekuasaan Khilafah kecundang dan jatuh ke tangan Barat.

Semangat Nasionalisme Yang Menghancurkan

Di samping serangan missionaries, dalam masa yang sama kaum kuffar penjajah juga berjaya meniupkan sentimen nasionalisme ke dalam umat sehingga menatijahkan keretakan dari dalam yang amat parah. Sebahagian besar daripada umat Islam tidak mahu lagi diperintah oleh bangsa yang berlainan daripada mereka walaupun sesama Muslim dan mulai menyeru pemisahan pemerintahan/negara berdasarkan bangsa. Umat Islam juga mula memandang tinggi tamadun Barat dan melihat Islam seolah-olah tidak lagi mampu untuk mendepani arus kemodenan yang deras. Umat juga mulai terpengaruh dengan idea-idea kebebasan, sekularisme dan gerakan emansipasi wanita. Akidah sekularisme dan ideologi sesat ciptaan manusia iaitu kapitalisme dan sosialisme mulai mendominasi dunia.

Lebih memburukkan keadaan, para agamawan dan cerdik pandai Islam mula melihat Islam sebagai agama yang terkebelakang dan perlu diberi nafas baru dengan penafsiran semula agar selari dengan arus kemodenan Barat. Bukan itu sahaja, Islam juga ditafsirkan agar sesuai dan diharmonikan dengan kehendak Barat seperti jihad telah diberi makna baru hanya sebatas mempertahankan diri daripada musuh dan jihad diri dan hawa nafsu dikatakan jihad yang paling utama. Islam juga ditafsirkan sebagai agama yang memberikan kebebasan kepada penganutnya dan tidak jumud, Islam itu fleksibel dan tidak menetapkan sistem pemerintahan tertentu, demokrasi yang dibawa oleh Barat tidak bertentangan dengan Islam dan banyak lagi pengaruh kufur Barat telah meresap ke dalam tubuh umat sehingga akhirnya dunia melihat umat Islam tidak ada beza sedikit pun dengan Barat dari segala segi termasuk cara hidup (way of life). Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa di sesetengah wilayah, way of life umat Islam lebih buruk daripada Barat.

Faktor-faktor ini menjadi menyumbang kepada keruntuhan Khilafah Uthmaniyah dari dalam serta menjadikan umat Islam sebagai pengekor hadharah kufur Barat yang mendominasi segenap inci kehidupan mereka. Umat Islam mengalami kemunduran berfikir yang amat parah sehingga sebilangan besar daripada mereka menjadikan idea-idea yang dianut dan dibawa oleh Barat sebagai ikutan dan anutan dalam menjalani kehidupan seharian. Islam tidak lagi menjadi qaidah fikriyyah (landasan berfikir) dan qiyadah fikriyyah (kepimpinan berfikir) bagi umat dan Islam hanya dihadkan kepada hal-hal ibadat, nikah kahwin, harta pusaka, bacaan doa di majlis-majlis dan seumpamanya. Hal ini semuanya membenarkan sabda Rasulullah SAW,

“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”, Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR Muslim].

Meskipun kebanyakan negeri-negeri kaum Muslimin diberikan “kemerdekaan” pasca Perang Dunia Kedua sehingga mereka kembali mempunyai kuasa pemerintahan sendiri, namun kemerdekaan ini tidak lebih daripada sebuah ilusi kerana hakikatnya kuasa-kuasa kuffar masih mengekalkan hegemoni mereka ke atas umat Islam, khususnya melalui pemimpin boneka yang menjadi ejen mereka dan juga undang-undang kufur yang mereka wariskan. “Kemerdekaan” itu sendiri sebenarnya bermaksud “pemisahan” negeri-negeri kaum Muslimin dari kesatuan di bawah Daulah Khilafah, yang kesemuanya tidak lepas dari perancangan Barat untuk mencerai-beraikan kekuatan Islam. Sedar atau tidak, umat Islam telah menjadi bidak-bidak catur yang dipermainkan dan dikorbankan oleh Barat sesuka mereka.

Keadaan yang parah ini berlanjutan sehinggalah ke zaman mutakhir ini, walaupun kebangkitan sudah mula dirasai. Secara umumnya umat Islam masih belum kembali kepada cara berfikir yang sepatutnya yang telah meletakkan umat di takhta kegemilangan suatu waktu dahulu. Semangat nasionalisme masih membelenggu sebahagian besar umat Islam sehingga mereka tidak mempedulikan nasib saudara-saudara mereka di wilayah lain, hanya semata-mata kerana perbezaan bangsa dan negara. Malah, Muslim Bangladesh, Indonesia, Rohingya, Thailand dan lain-lain yang berada dalam negara turut dianggap sebagai “orang asing” dan tidak layak mendapat layanan seperti mana Muslim Malaysia. Ini belum lagi mengambil kira para pemimpin negara bangsa yang ada sekarang ini yang masing-masing bermati-matian mengekalkan sempadan palsu ciptaan Barat ini sehingga menyebabkan umat Islam masih kekal dalam perpecahan yang amat parah.

Menghubungkan Pemikiran Islam Dengan Perasaan

Selain berpunca dari diri sendiri, kemerosotan taraf berfikir umat Islam memang tidak dapat dipisahkan daripada sistem dan undang-undang yang diamalkan oleh negara. Jika negara-negara Eropah satu waktu dahulu tidak membenarkan rakyat negara masing-masing untuk keluar-masuk negara kecuali dengan pasport, kini setelah pembentukan Kesatuan Eropah (EU), sekatan ini telah dibuka sehingga mereka boleh keluar-masuk satu negara dengan negara lainnya tanpa pasport. Sedangkan para pemimpin negara kaum Muslimin hingga kini masih menebal dengan assabiyyah dan wathaniyyah yang diharamkan oleh Islam sehingga tetap tidak membenarkan Muslim luar mana sekalipun daripada memasuki negara kecuali dengan pasport. Ini hanya contoh mudah sahaja bagaimana “sistem” dan undang-undang yang diatur oleh pemimpin menyebabkan umat Islam masih tetap dalam perpecahan, lemah dan tercerai-berai dan tetap menebal dengan semangat assabiyyah dan wathaniyyah yang diharamkan oleh Islam.

Selain itu, masih ramai dalam kalangan umat Islam yang belum menjadikan hukum syarak sebagai tolok ukur perbuatan masing-masing, sebaliknya meletakkan kemaslahatan dan untung-rugi dunia sebagai pijakan dalam perbuatan atau dalam menanggapi sesuatu isu. Contoh yang dapat dilihat setiap hari ialah bagaimana ramainya umat Islam yang masih bergelumang dengan riba kerana keinginan dunia untuk memiliki rumah, kereta dan lain-lain, tanpa memikirkan keharaman riba sebagai suatu dosa besar yang Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang ke atas orang yang terlibat dengannya, malah Allah mengancam mereka dengan neraka Jahanam sebagai suatu ancaman yang amat tegas. Selain kesalahan individu yang mengambil riba, sistem yang dibuat oleh pemerintah yang membenarkan, malah menggalakkan riba, menjadi penyumbang kepada rosaknya aqliyyah (cara berfikir) dan nafsiyyah (cara bertindak) umat Islam sehingga mereka bertransaksi dengan riba tanpa merasa bersalah sedikit pun.

Umat Islam juga umumnya masih gagal mengaitkan kerosakan yang berlaku dalam negara dengan sistem yang diamalkan oleh negara. Lihat sahaja isu-isu yang melibatkan skandal besar seperti 1MDB, Tabung Haji, National Feedlot, PKFZ, KWSP dan banyak lagi, ini belum masuk lagi isu GST, LGBT, jenayah, penyelewengan, gengsterisme dan lain-lain yang sudah tidak terkata, kesemua ini sebenarnya tidak lepas sedikit pun daripada “sistem” yang buruk yang diterapkan oleh pemimpin. Isu terkini IMDB dan pembelian tanah oleh Lembaga Tabung Haji di Tun Razak Exchange (TRX) sebagai contoh, isu ini bukanlah sekadar skandal individu atau perlanggaran amanah semata-mata, tetapi terhasil dari “rantaian sistem” yang secara turun-temurun melahirkan pemimpin dan individu yang rosak aqliyyah dan nafsiyyahnya sejak dari akar lagi. Sistem demokrasi yang berasal dari ideologi Kapitalis yang diamalkan di negara ini telah memastikan pemimpin, pembesar dan siapa sahaja tokoh yang terhasil dari sistem ini, mengamalkan dan mengulangi “silibus” yang sama.

Tatkala kerajaan sekular Malaysia melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak awal April lalu, umat bangkit dan membantah dan hal ini amat wajar, cuma apa yang menyedihkan ialah apabila bantahan itu bukan didasarkan kepada Islam, tetapi lebih kepada faktor emosi dan untung-rugi semata-mata. Bahkan terdapat pula pihak yang mencadangkan sistem percukaian alternatif seperti Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang dikatakan tidak membebankan rakyat sebagaimana GST. Cara berfikir seperti ini sebenarnya tidak keluar dari “silibus” ideologi Kapitalis. Sedangkan sebagai Muslim, kita wajib menolak sebarang bentuk cukai, sama ada banyak atau sedikit, menindas atau tidak, kerana ia adalah haram di sisi Islam. Islam sebagai sebuah mabda’ (ideologi) yang sempurna telah pun menggariskan sumber-sumber pendapatan negara yang tersendiri yang berlainan sama sekali dengan yang diajar oleh ideologi Kapitalis mahupun Sosialis.

Oleh yang demikian, umat Islam mestilah keluar dari cara berfikir (aqliyyah) dan cara bertindak (nafsiyyah) yang diajar oleh Kapitalis dan kembali kepada aqliyyah dan nafsiyyah yang diajar oleh Islam. Jika tidak, selagi itulah umat Islam tidak akan mampu untuk bangkit meraih kembali kemuliaan yang pernah dikecapi satu ketika dahulu di saat umat mengamalkan cara berfikir Islam yang unik dan tersendiri, jauh dari pengaruh pemikiran kufur mana pun, di bawah naungan Daulah Khilafah. Selain menyebabkan umat berpecah belah dan mundur, hilangnya penerapan syariah sejak runtuhnya Khilafah 94 tahun yang lalu, merupakan satu bentuk kemaksiatan yang terbesar di sisi Allah SWT sekiranya umat Islam tidak berusaha untuk mengembalikannya semula.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Ingatlah bahawa sesungguhnya segala perpecahan, penderitaan, kemunduran taraf berfikir dan rosaknya cara berfikir umat Islam tidak lepas daripada hakikat runtuhnya Khilafah yang menjadi mercu kemuliaan, kekuatan dan peradaban umat Islam sejak sekian lama. Bersempena dengan bulan Rajab ini, kita bukan sahaja sewajarnya mengambil iktibar daripada keruntuhan Khilafah tersebut, bukan pula perlu meratapi keruntuhannya, tetapi wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan peradaban dan kemuliaan umat ini sebagaimana yang dapat disaksikan tatkala Daulah Khilafah gagah berdiri di persada dunia satu ketika dahulu. Menegakkan Khilafah merupakan kewajipan yang agung yang telah sekian lama diabaikan oleh sebahagian umat Islam. Maka sempena bulan Rajab yang penuh kebaikan ini, Hizbut Tahrir sekali lagi menyeru kalian wahai saudara-saudara yang ikhlas lagi dikasihi sekalian, marilah bersama-sama dengan Hizbut Tahrir dalam usaha kami mengembalikan semula Khilafah yang hanya dengannya sahajalah, umat ini akan kembali menjadi umat yang mulia dan terbaik dan akan memerintah dunia untuk kali yang kedua, Insya Allah.