SN438 – Krisis Pelarian: Antara Hipokrasi Barat, Pengkhianatan Pemerintah Dan Penyelesaian

PDF

SN Keluaran 18 September 2015

banner_snKRISIS PELARIAN: ANTARA HIPOKRASI BARAT, PENGKHIANATAN PEMERINTAH DAN PENYELESAIAN

[SN438] Berita penemuan mayat Alan Kurdi, seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang terdampar di pinggir pantai Turki kembali menarik perhatian masyarakat antarabangsa khususnya pihak media terhadap krisis pelarian yang telah berlarutan sejak sekian lama. Alan menemui ajalnya setelah bot yang dinaiki bersama-sama keluarganya dan sejumlah pelarian dari Iraq terbalik dipukul ombak. Menurut laporan, Alan merupakan sebahagian daripada pelarian Kurdish yang melarikan diri dari Kobane, Syria setelah bandar tersebut ditawan oleh kumpulan Islamic State (IS). Sebelum itu, krisis pelarian merentasi Laut Mediterranean ini mendapat liputan meluas media setelah berlaku tragedi bot karam yang mengorbankan lebih daripada 1200 mangsa pada April lalu.

Sumber daripada Suruhanjaya Tinggi Bagi Pelarian, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) menyatakan bahawa sebanyak 71% pelarian yang berjaya merentasi Laut Mediterranean yang menuju ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU) terdiri daripada mereka yang berasal dari Syria, Afghanistan dan Eritrea. Manakala selebihnya terdiri daripada pelarian dan pencari suaka politik yang datang dari Pakistan, Bangladesh, Somalia, Sudan, Nigeria, Iraq, Yemen dan beberapa buah negara lain. Turut dilaporkan bahawa jumlah pelarian dari Syria melonjak naik kepada 3.9 juta orang sejak tercetusnya revolusi di rantau tersebut. Sesungguhnya musibah yang menimpa saudara kita di negara Arab dan Eropah ini tidak ubah dengan apa yang berlaku ke atas Muslim Rohingya dan lain-lain.

Negeri-negeri kaum Muslimin yang berada berhampiran dengan wilayah yang di landa krisis ternyata gagal dan tidak mahu melakukan pembelaan yang sepatutnya ke atas saudara seakidah mereka. Meskipun terdapat usaha untuk membantu pelarian dengan mendirikan kem-kem berhampiran dengan sempadan wilayah yang bergolak, namun usaha tersebut hanyalah bersifat sementara dan simptomatik semata-mata, selain bantuan diberi atas dasar perikemanusiaan semata-mata dan bukannya atas dasar akidah, persaudaraan dan kewajipan Islam. Manakala dalam masa yang sama punca yang mencetuskan krisis pelarian itu sendiri tidak pernah ditangani secara tuntas, meskipun pemerintah negeri-negeri Muslim tersebut mampu melakukannya.

Negara-negara yang bersempadan dengan Syria melihat saudara seakidah mereka dari wilayah tersebut sebagai pelarian atau “pendatang” yang tidak perlu dilayan sebagai manusia. Justeru, tidak menghairankan jika kita melihat bagaimana layanan yang diberikan oleh negara-negara seperti Jordan, Turki dan Arab Saudi terhadap pelarian Syria amat buruk sehingga berapa ramai daripada pelarian yang bukan sahaja hidup dalam kedaifan, malah meninggal dunia kerana kedaifan, walhal dari segi kekayaan dan kemudahan, kesemua negara terbabit lebih dari mencukupi untuk membantu kesemua pelarian!

Hipokrasi Barat – Madu Di Tangan Kanan, Racun Di Tangan Kiri

Sesungguhnya sikap hipokrit Barat tidak dapat disembunyikan meskipun media massa cuba memaparkan imej positif dan menggambarkan negara-negara Eropah sebagai hero dalam menangani krisis migran di Eropah. Di sebalik imej tersebut, setiap manusia yang mempunyai mata hati pastinya mengetahui bahawa hakikatnya Baratlah yang menjadi dalang kepada meletusnya krisis yang melanda dunia Islam pada hari ini. Di rantau tersebut, segalanya bermula apabila kuasa-kuasa Barat yang terdiri daripada Perancis, Britain dan Rusia (di bawah pemerintahan Tzar) membuat rencana licik untuk memecah-belahkan kesatuan umat Islam melalui perjanjian Sykes-Picot sewaktu Perang Dunia Pertama.

Perjanjian tersebut menjadi batu asas kepada pembentukan negara-negara bangsa yang ada di rantau itu sehingga ke hari ini. Ketegangan dan konflik sengaja dibuat dari semasa ke semasa oleh Barat agar rantau Asia Barat itu berterusan tidak stabil, sebagai justifikasi untuk mereka campur tangan di dalamnya. Sempadan berasaskan Sykes-Picot juga menjadi tembok penghalang yang menyebabkan ikatan persaudaraan Islam digantikan dengan semangat assabiyyah dan wathaniyyah yang haram lagi merosakkan. Natijahnya umat Islam berpecah-belah mengikut sempadan palsu yang dilakar ke atas mereka dan Barat meletakkan penguasa-penguasa boneka mereka, yang zalim lagi khianat, di negara-negara tersebut yang menambah burukkan lagi keadaan.

Inilah realitinya, pelbagai konflik yang terjadi di negara kaum Muslimin sesungguhnya tidak boleh lepas daripada polisi dan percaturan imperialisme negara-negara Barat. Lihat sahaja Afghanistan sebagai contoh, penjajahan Barat telah mengheret rakyat negara itu ke dalam penderitaan yang berpanjangan. Hal ini diperparah dengan dukungan negara-negara Barat terhadap pemerintah diktator di negeri-negeri konflik, yang tidak segan-segan membantai rakyatnya sendiri seperti apa yang dapat kita saksikan. Justeru, dalam keghairahan media memaparkan “kemuliaan” sikap negara-negara EU menerima kemasukan pelarian dan pencari suaka ke negara mereka, setiap Muslim hendaklah sedar bahawa hakikatnya kuffarBaratlah yang menjadi punca kepada krisis pelarian itu sendiri! Tangan kanan mereka kononnya membelai umat Islam walhal dalam masa yang sama tangan kiri mereka menyuapkan racun yang mematikan!

Hukum Islam Terhadap Pelarian

Jika ditelusuri sejarah peradaban Islam, kita akan dapati betapa umat Islam terdahulu di bawah naungan DaulahIslamiyyah sangat memberikan perhatian terhadap nasib yang menimpa saudara seakidah mereka. Hal ini dapat diperhatikan sejak awal tertubuhnya Daulah Islam di Madinah lagi, bilamana Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar sebaik sahaja baginda tiba di Madinah. Kaum Muhajirin yang berstatus sebagai “pelarian” dari Mekah ketika itu, tidak pernah dianggap sebagai pendatang atau warga asing, sebaliknya terus dibantu oleh penduduk setempat (kaum Ansar), malah kesemua mereka terus diberi perlindungan dan mendapat kewarganegaraan yang sama serta mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama. Inilah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi hukum syarak kepada kita yakni tidak ada istilah “pendatang asing” apatah lagi “pendatang haram” terhadap sesama Muslim yang datang dari negara mana sekalipun demi mendapatkan perlindungan atau untuk berhijrah ke wilayah kaum Muslimin lainnya.

Dalam pada itu, Islam juga tidak mengehadkan bantuan ke atas mereka yang beragama Islam sahaja. Hal ini dapat dilihat sewaktu kerajaan Kristian Sepanyol melakukan penindasan terhadap umat Islam dan Yahudi di Sepanyol, Sultan Bayezid II telah menghantar angkatan laut Khilafah Uthmaniyah di bawah pimpinan Kemal Reis untuk menyelamatkan pelarian yang diusir. Sang Khalifah bukan sekadar menerima pelarian tersebut, bahkan memberikan kewarganegaraan serta layanan yang baik setelah mereka diterima masuk ke dalam Negara Khilafah. Demikianlah hukum syarak dan kemuliaan yang ditunjukkan oleh seorang Khalifah yang memayungi bukan sahaja umat Islam, malah seluruh umat manusia di bawahnya tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Sejak runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada 1342H (1924M) hingga kini, perkara seumpama ini tidak lagi dapat disaksikan.

Pada hari ini, kita menyaksikan pengkhianatan pemimpin Muslim yang sangat nyata. Mereka bukan sahaja tidak membantu pelarian dengan menyelesaikan masalah ini secara tuntas, malah mereka menyerahkan masalah kepada badan kufur antarabangsa seperti PBB yang merupakan musuh Islam dan terbukti tidak pernah menyelesaikan masalah. Lihat sahaja masalah Palestin yang masih dalam  koridor PBB sejak lebih 50 tahun dan sampai sekarang masih “lari setempat” bahkan semakin buruk dan kompleks. Ini belum masuk lagi isu-isu lain yang melibatkan umat Islam yang diserahkan kepada PBB! Para penguasa Muslim juga sering menyerahkan urusan umat Islam kepada negara kafir harbi Amerika, yang bukan sahaja haram untuk dilakukan, malah turut terbukti tidak pernah menyelesaikan masalah!

Penyelesaian Tuntas Masalah Pelarian

Kita semua tahu yang penguasa Muslim sekarang tidak pernah dan tidak mahu menyelesaikan masalah umat Islam, baik dalam jangka masa pendek mahupun panjang. Manakala sebahagian umat Islam pula sering memfokuskan usaha untuk menyantuni mangsa yang tertindas (pelarian), namun tidak mempunyai keazaman politik (political will) atau usaha untuk bertindak ke atas “pemangsa” iaitu kaum kuffar dan rejim-rejim pemerintah yang menindas umat. Setiap Muslim seharusnya sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka untuk berjuang menggantikan rejim ini dengan Negara Khilafah yang akan dipimpin oleh seorang Khalifah yang bertakwa yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Dengan berdirinya Daulah Khilafah sedikit masa lagi, Insya Allah Sang Khalifah akan berusaha menyelesaikan masalah pelarian ini yang dapat diringkaskan seperti berikut:-

Pertama: Membuka sempadan negara – Khilafah akan menghapuskan konsep negara bangsa yang sekali gus bermaksud menghapuskan seluruh sempadan di antara negeri-negeri kaum Muslimin. Kita semua tahu yang wujudnya masalah pelarian sekarang ialah kerana wujudnya negara bangsa yang haram dan dipertahankan oleh para pemerintah zalim yang ada. Setelah para pelarian ini masuk ke dalam negara, Khilafah bukan sahaja akan melindungi mereka, malah akan mengurus segala keperluan mereka, sampai ke tahap memberi kewarganegaraan kepada mereka, yang bermaksud mereka akan mendapatkan segala hak seperti pendidikan, kesihatan, keamanan, pekerjaan dan lain-lain. Ini kerana menurut Islam, kewarganegaraan seseorang itu berdasarkan tempat yang dipilihnya untuk menetap. Oleh itu, jika ia memilih untuk tinggal di dalam wilayah Khilafah dan bersetuju untuk tunduk kepada hukum-hakam Islam yang diterapkan dalam negara, maka dia dapat menjadi warganegara Khilafah tanpa dipandang lagi bangsa atau agamanya. Bukan sekadar membuka sempadan, Khilafah malah akan mempersatukan keseluruhan negeri kaum Muslimin dengan menggabungkannya dan menjadikannya negara yang satu.

Kedua: Mengirim misi penyelamat kepada pelarian yang masih dalam proses melarikan diri, baik di darat mahupun di laut – Atas dasar kewajipan sebagai Muslim dan pemerintah Islam, Khalifah tidak akan membiarkan seorang Muslim pun dari dihina atau berada dalam keadaan tertindas ataupun daif. Khalifah wajib menjaga darah, harta dan kemuliaan seseorang Muslim yang mana atas dasar inilah (bukannya atas dasar perikemanusiaan semata-mata), Khalifah sudah pasti akan membantu setiap Muslim dan setiap orang yang memerlukan bantuan. Oleh itu, Khalifah akan mengerahkan tentera atau badan penyelamat khas bagi membantu mangsa pelarian yang masih dalam usaha melarikan diri dari tempat asal mereka.

Ketiga: Melakukan tekanan politik pada rejim pemerintah agar menghentikan semua kezaliman dan penindasan mereka terhadap umat Islam di negara mereka – Tekanan politik seperti kenyataan-kenyataan amaran yang keras, termasuk pemutusan hubungan politik dan ekonomi, malah sampai ke tahap ancaman kerahan tentera akan dilakukan oleh Khalifah kepada mana-mana negara yang terlibat dalam menindas, mengusir atau membunuh kaum Muslimin.

Keempat: Mobilisasi tentera – Jika tekanan politik tidak diendahkan oleh negara terbabit, maka kekuatan militer akan dikerahkan demi menjaga kehormatan dan kemuliaan umat Islam yang ditindas, tanpa mengira berapa pun kos dan risikonya. Jika negara terbabit merupakan sebahagian daripada negeri kaum Muslimin (yang masih belum bergabung ke dalam Negara Khilafah), maka kerahan tentera dilakukan dalam rangka menundukkan negara tersebut dan memasukkannya (menggabungkannya) ke dalam Khilafah. Jika negara terbabit merupakan negara kafir, maka jihad fi sabilillah akan dilancarkan setelah proses nasihat, dakwah dan ancaman tidak dihiraukan. Perlu difahami bahawa Khilafah adalah negara yang berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah, berprinsip, bermaruah, berakhlak dan menempatkan kehormatan jiwa manusia di tempat yang tinggi, yang mewajibkannya bukan sahaja untuk melindungi darah kaum Muslimin, tetapi juga mempersatukan kesemua negeri kaum Muslimin dan membuka (futuhat) kesemua negeri kafir dalam rangka menerapkan hukum Allah SWT dan sekali gus menyebarkan rahmat Allah ke seluruh alam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Usahlah tertipu dengan propaganda Barat yang menampakkan mereka seperti bermurah hati membantu umat Islam yang menjadi pelarian, kerana sesungguhnya merekalah punca kepada segala krisis yang berlaku. Tragedi yang menimpa pelarian yang sebahagian besarnya beragama Islam ini, semakin menunjukkan betapa perlunya umat Islam kepada sang pelindung. Ketiadaan Khilafah telah membuatkan umat Islam kehilangan pemimpin dan pelindung yang mengakibatkan umat ini terpaksa melarikan diri dari tanah airnya sendiri dalam keadaan yang cukup menyedihkan. Sesungguhnya Khilafah ialah sebuah negara yang tidak akan membiarkan maruah seorang Muslimah dinodai dan sanggup berperang kerananya. Khilafah ialah sebuah negara yang tidak akan membiarkan seorang janda yang tidak mempunyai makanan untuk anak-anaknya. Khilafah ialah sebuah negara yang tidak ingin orang-orang mengatakan bahawa seekor burung kelaparan di negaranya. Khilafah ialah sebuah negara yang tidak akan membiarkan seekor kambing terjatuh ke dalam parit di negaranya. Inilah Negara Khilafah, sebuah negara yang bukan sahaja akan menjaga dan melindungi manusia, bahkan haiwan dan pepohonan. Sesungguhnya Khilafah ialah sumber kemuliaan, kesatuan dan kehebatan umat Islam, yang wajib didirikan oleh setiap Muslim.

Wallahua’lam.