SN439 – Perubahan Hakiki Hanya Dengan Syariah Dan Khilafah
SN Keluaran 2 Oktober 2015
PERUBAHAN HAKIKI HANYA DENGAN SYARIAH DAN KHILAFAH
[SN439] Sesungguhnya umat Islam merupakan umat yang satu. Kesatuan umat Islam bukanlah bersifat teori atau spiritual semata-mata tetapi lebih jauh dari itu, ia bersifat amali dan politik, yang walaupun tidak dapat dilihat pada hari ini, namun telah tersemat indah dalam lipatan sejarah yang tidak dapat dimungkiri oleh siapa pun. Selama lebih 1300 tahun umat Islam hidup dalam kesatuan sebuah negara dan memimpin dunia dengan sebuah peradaban yang sungguh hebat. Perpecahan hanya berlaku ke atas umat yang mulia ini setelah runtuhnya institusi politik agung yang mempersatukan mereka iaitu Daulah Khilafah. Sejak itu, umat Islam umpama anak ayam yang kehilangan ibunya. Dari Timur ke Barat, keadaannya amat menyedihkan. Mereka bukan sahaja menjadi bahan percaturan dan hidangan puak kuffar, malah lebih buruk dari itu, dizalimi oleh pemerintah mereka sendiri dengan segala bentuk kezaliman yang tidak pernah disaksikan oleh sejarah.
Sejak runtuhnya Khilafah yang merupakan penjaga Islam dan umatnya pada tahun 1924, kuffar Barat telah menyediakan pelan jangka panjang bagi memastikan Khilafah tidak tegak kembali yang sekali gus bermaksud umat Islam tidak akan bersatu kembali. Setidaknya hal itu tercermin daripada kata-kata Lord Curzon (Menteri Luar British) tidak lama setelah mereka berjaya meruntuhkan Khilafah, “Kita mesti hapuskan apa sahaja yang boleh membawa kepada penyatuan dalam kalangan umat Islam. Memandangkan kita telah berjaya menghancurkan Khilafah, jadi kita mesti pastikan yang umat Islam tidak akan bersatu kembali, sama ada secara intelektual atau kebudayaan…Faktanya sekarang adalah bahawa Turki telah mati dan ia tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan ruhnya (yakni) Khilafah dan Islam”.
Bagi menjayakan agenda jahatnya, Barat meletakkan pemerintah boneka di negeri-negeri umat Islam yang memerintah mengikut apa yang Barat kehendaki. Sistem demokrasi diperkenalkan dan Islam dibuang dari pemerintahan dan hanya dibenar diamalkan dalam hal ibadat, nikah kahwin, pusaka, doa di majlis-majlis dan seumpamanya sahaja. Manakala di peringkat antarabangsa pula, segala permasalahan umat Islam dirujuk kepada badan kufur tunggangan Amerika, PBB. Para penjajah kuffar juga memberikan sokongan penuh dari segi dana, senjata, ketenteraan dan menaja kumpulan liberal dan intelektual bagi memastikan hegemoni mereka ke atas umat Islam dan agar umat ini tidak bangkit mendirikan semula Khilafah sebagai kuasa dan kekuatan politik yang akan mempersatukan kaum Muslimin seperti mana dahulu.
Umat Mahukan Perubahan
Walaupun sebahagian umat Islam berjaya dihanyutkan dengan gaya hidup Barat sehingga terpesona dengan kehidupan dunia, namun sejak runtuhnya Khilafah, pelbagai usaha telah dilakukan oleh gerakan-gerakan Islam yang mempunyai kesedaran, bagi membangkitkan kembali umat ini. Umat mahukan perubahan dan ingin keluar dari segala kegelapan. Malangnya umat dan gerakan Islam yang cuba bangkit ini gagal meraih cita-cita mereka kerana tidak cukup persediaan di samping meredah jalan yang bersimpang siur. Kemuncak kepada usaha kebangkitan umat di era ini dapat dilihat pada revolusi di dunia Arab yang dikenali sebagai Arab Spring.
Arab Spring ternyata berjaya menjatuhkan pemimpin diktator yang dibenci umat, tetapi sayang seribu kali sayang, nasib umat tetap tidak berubah. Revolusi di Tunisia contohnya, berjaya mengusir diktator Zine El Abidin Ben Ali, setelah 23 tahun berkuasa. Setelah itu, kendali pemerintahan negara beralih ke tangan Mohammed Gannouchi, Kallal, Fuad Mebazza dan kerajaan kesatuan. Malangnya mereka adalah orang-orang Ben Ali yang tetap dekat dan setia kepada Barat.
Sebagaimana kita maklum, revolusi di Tunisia yang menginspirasi revolusi Arab lainnya hanya membuahkan perubahan rejim. Revolusi Mesir berjaya menggulingkan Husni Mubarak, revolusi Yemen berjaya menjatuhkan Ali Abdullah Salleh dan revolusi Libya menyaksikan terbunuhnya diktator kejam Muammar Qaddafi. Namun, kesemua revolusi itu hanya berakhir dengan penggantian rejim semata-mata tanpa merubah nasib umat Islam, baik di negara terbabit, apatah lagi di seluruh dunia. Ribuan nyawa melayang akibat revolusi yang terjadi tanpa disangka ini, namun sayangnya tiada apa-apa perubahan yang dinikmati oleh umat Islam, malah di sesetengah tempat, keadaan umat Islam lebih buruk daripada sebelumnya.
Revolusi seumpama itu bukanlah yang pertama di dunia Islam. Reformasi di Indonesia misalnya yang berlaku lebih awal, memang berhasil menumbangkan Soeharto, namun ternyata sehingga kini pelbagai masalah umat Islam di Indonesia masih belum selesai, malah bertambah buruk. Apa yang dikritik hebat di era Soeharto seperti parahnya kes rasuah dan penyelewengan, mafia peradilan, kemiskinan, jenayah dan lain-lain justeru terus berulang dan dalam banyak keadaan lebih buruk. Hal yang sama terjadi di Pakistan, si diktator Musharraf berhasil ditumbangkan dan diganti dengan pemerintahan demokrasi. Hasilnya, pemerintahan demokrasi itu saling tak tumpah dengan pemerintahan Musharraf sebelumnya dan pemimpin Pakistan tetap menghamba kepada Barat, khususnya AS. Umat Islam terus tertindas dan dizalimi dan kehidupan umat Islam di sana tetap tidak berubah.
Begitulah apa yang terjadi di seluruh dunia Islam. Sejarah telah mencatat di Bangladesh, pasca tumbangnya pemerintah militer Zia ul-Haq dan di negara Arab pasca tumbangnya Raja Faisal dan Saddam Husein di Irak, Raja Fuad dan Anwar Sadat di Mesir, Shah Reza di Iran dan banyak lagi, semuanya sama sahaja, yang hanya berakhir dengan penggantian rejim (orang/pemimpin) tanpa adanya perubahan sistem. Sudah puluhan tahun berlalu dan semua peristiwa ini menunjukkan yang umat Islam mahukan perubahan, namun sayangnya tidak kesampaian.
Meraih Perubahan Hakiki
Pelajaran penting untuk diambil oleh umat Islam dari semua itu adalah bahawa perubahan dan penggantian wajah pemimpin semata-mata bukanlah perubahan hakiki yang diperlukan oleh umat. Pangkal masalahnya bukanlah sosok Mubarak, Ben Ali, Soeharto, Musharraf, Qaddafi, Ali Abdullah Saleh, Raja Abdullah dan lain-lainnya. Pangkal masalahnya adalah ideologi dan sistem sekular yang diterapkan oleh pemimpin-pemimpin tersebut. Mereka tidak menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai pengatur kehidupan masyarakat dan negara, sebaliknya menjadikan ideologi dan sistem buatan manusia sebagai pegangan dan peraturan hidup! Kerana itulah, walaupun naiknya pemimpin baru dan nampak seolah-olah adanya perubahan, hakikatnya perubahan tersebut tidak lebih daripada perubahan semu semata-mata.
Sesungguhnya apa yang diperlukan oleh umat Islam bukan sekadar perubahan, tetapi perubahan yang hakiki. Perubahan hakiki adalah perubahan masyarakat dan negara menuju kebangkitan yang benar. Perubahan hakiki ialah perubahan seperti mana yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang mana baginda merubah bangsa Arab yang penuh kejahilan dan keterpurukan ketika itu, menjadi sebuah bangsa yang bertamadun dan menguasai dunia, atas dasar Islam. Inilah perubahan yang diperlukan dan wajib dilakukan oleh umat Islam. Dengan kata lain, perubahan yang hakiki tidak boleh lepas dari perubahan yang menjadikan wahyu sebagai panduan, bukannya perubahan berdasarkan akal atau hawa.
Allah SWT telah menyatakan bahawa Dia tidak akan merubah apa yang ada pada suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang merubahnya. Dari segi hakikatnya, ternyata “pemikiran”lah yang menjadi faktor kepada suatu kaum itu untuk berubah atau tidak. Ini kerana, suatu peradaban itu dibentuk oleh pemikiran tertentu, yang ada kalanya rendah dan ada kalanya tinggi. Bangsa Rom, Parsi dan Cina suatu ketika dulu merupakan bangsa besar dan kuat serta memiliki peradaban yang tinggi. Peradaban mereka ternyata lahir dari pemikiran tertentu yang mereka miliki dan terapkan (dalam kehidupan dan pemerintahan). Begitu juga di era moden di mana negara kuasa besar seperti Amerika, Rusia dan Britain mengalami perubahan dan kebangkitan kerana menganut dan menerapkan pemikiran tertentu. Rusia (di era keemasan) contohnya, mengalami kemajuan kerana menganut dan menerapkan ideologi Sosialisme-Komunisme. Manakala AS, Britain dan Perancis mengalami perubahan dan kebangkitan kerana menerapkan ideologi Kapitalisme. Begitu juga dengan umat Islam pada masa Kekhilafahan yang memiliki peradaban tinggi, bahkan tampil sebagai pemimpin dunia dengan menguasai hampir 2/3 dunia, kerana menganut dan menerapkan ideologi Islam dalam kehidupan dan pemerintahan.
Walaupun demikian, satu-satunya akidah dan ideologi yang benar adalah Islam. Kapitalisme dan Sosialisme terbukti gagal membawa manusia menuju kebangkitan hakiki. Walaupun keduanya mencapai kemajuan, namun ternyata keduanya telah menimbulkan kerosakan yang amat parah hampir di seluruh dimensi kehidupan manusia. Akibat penerapan kedua-dua ideologi buatan manusia ini, manusia terpuruk ke dalam kenestapaan global. Sosialisme-Komunisme menciptakan peradaban yang memandang manusia tak ubah seperti mesin produksi dan benda mati. Ideologi ini juga membawa manusia untuk menolak kewujudan Tuhan, berlawanan dengan fitrah manusia serta menjerumuskan manusia ke dalam pandangan yang aneh lagi sesat. Manakala ideologi Kapitalisme telah mengabadikan eksploitasi manusia atas manusia yang lain. Kapitalisme telah menjadikan segelintir manusia hidup kaya raya di atas penderitaan majoriti manusia. Persoalan akidah dan agama tidak ada tempatnya dalam kehidupan kecuali sebatas urusan individu belaka. Pendek kata, penerapan kedua-kedua ideologi buatan manusia ini telah membawa banyak malapetaka dan kehancuran kepada umat manusia.
Kerana itulah, perubahan yang hakiki untuk umat Islam ialah dengan menggantikan ideologi dan sistem buatan manusia yang ketika ini diamalkan dan diterapkan, kepada ideologi dan sistem Islam yang datangnya dari Allah SWT. Inilah perubahan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW ke atas masyarakat tatkala baginda diutus oleh Allah di tengah-tengah umat manusia lebih 13 abad yang lalu. Akidah dan sistem jahiliyah yang dianut dan diterapkan oleh masyarakat pada waktu itu, digantikan oleh Rasulullah SAW dengan akidah dan sistem Islam. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, pengganti baginda (para Khalifah) meneruskan penerapan sistem Islam (syariah) dalam bingkai Negara Khilafah dan Islam terus menguasai dunia dengan ketamadunan yang luar biasa selama lebih 1300 tahun.
Mungkin satu persoalan yang tersisa ialah, di manakah langkah yang harus dimulai untuk melakukan perubahan hakiki ini? Jawapannya, setelah memahami bagaimana dan apakah perubahan hakiki yang diperlukan, umat Islam perlu faham akan tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk melakukan perubahan. Umat Islam tidak boleh (haram) berpeluk tubuh dan hanya pasrah menyaksikan segala bentuk kekufuran, kemaksiatan dan kezaliman yang berlaku di depan mata mereka. Umat Islam juga tidak boleh hanya menunggu munculnya Imam Mahdi untuk menyelamatkan mereka atau hanya cukup sekadar berdoa agar Allah menyelamatkan mereka, tanpa melakukan apa-apa. Umat Islam wajib bangkit dan berjuang untuk melakukan perubahan yang hakiki ini, kerana perjuangan untuk menerapkan syariah dan menegakkan Khilafah (yang akan merealisasikan perubahan hakiki) bukanlah satu pilihan, tetapi merupakan satu kewajipan ke atas setiap individu Muslim.
Oleh sebab perjuangan menerapkan syariah dan mendirikan Khilafah ini tidak boleh dilakukan oleh orang-perseorangan, maka seseorang Muslim itu wajib bergabung ke dalam sebuah gerakan Islam yang berjuang ke arah tersebut. Dia bukan sahaja perlu mendukung, malah wajib berjuang bersama dengan kelompok yang benar-benar bergerak untuk menerapkan syariah dan mendirikan Khilafah. Bahkan bukan sekadar itu, dia wajib memastikan kelompok yang dia pilih itu berjuang di atas jalan yang sama sebagaimana jalan Rasulullah SAW, bukannya kelompok yang berjuang atas jalan demokrasi atau lain-lain jalan yang bertentangan dengan wahyu.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin yang ikhlas lagi prihatin! Sedarlah bahawa di tengah-tengah kalian sebenarnya sudah ada kelompok yang berjuang di atas kebenaran untuk menegakkan syariah dan Khilafah, yang sayangkan kalian, yang selalu membimbing, memuhasabah dan memimpin kalian agar berjalan di atas jalan yang lurus dan benar, yang tidak pernah berkompromi dengan kekufuran dan kemaksiatan. Kelompok inilah yang sedang menyeru kalian untuk melakukan perubahan hakiki, untuk menggantikan sistem kufur demokrasi dengan syariah Islam dan untuk menggantikan negara kufur dengan Negara Islam (Khilafah). Belajarlah dari kegagalan perubahan di Timur Tengah, yang mana salah satu faktor pentingnya ialah kerana perubahan tersebut tidak dipimpin oleh gerakan Islam yang benar-benar bersedia dan bersungguh-sungguh ingin menegakkan syariah dan Khilafah. Akibatnya, ketika rejim pemerintah berjaya dijatuhkan, umat Islam tidak tahu apa yang harus mereka lakukan. Dalam keadaan seperti itulah, kuffar Barat berjaya merampas revolusi yang diberkati itu ke arah yang mereka ingini dan menyebabkan umat terus gagal meraih apa yang umat ingini. Justeru, ayuhlah wahai kaum Muslimin, marilah kita bersatu dan berganding bahu menuju perubahan hakiki yang hanya akan tercapai dengan penerapan syariah di bawah naungan Negara Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah.
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.