SN441 – TPPA: Sebuah Perjanjian Haram!
SN Keluaran 16 Oktober 2015
TPPA: SEBUAH PERJANJIAN HARAM!
[SN441] Perbincangan mengenai Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) kembali hangat setelah selesainya rundingan yang turut ditandatangani oleh Malaysia di Atlanta, Amerika Syarikat baru-baru ini. Persetujuan untuk memeterai perjanjian ini sudah sewajarnya menimbulkan kritikan daripada banyak pihak kerana langkah kerajaan yang terlalu banyak berahsia dalam hal ini, yang menggambarkan adanya sesuatu yang tidak kena. Apatah lagi negara yang mengetuai perjanjian ini adalah musuh nombor satu umat Islam iaitu Amerika Syarikat. Untuk meredakan kemarahan rakyat, sebagai langkah akhir sebelum perjanjian ini ditandatangani, kerajaan memilih untuk membawanya ke Parlimen, walaupun hakikatnya ia tidak akan membawa apa-apa berita gembira kepada rakyat. Ini kerana ahli Parlimen hanya merupakan wakil parti dan bukan wakil rakyat yang sudah semestinya memutuskan perkara untuk kepentingan parti dan mengikut arahan parti, bukannya demi kepentingan rakyat. AS juga dilaporkan akan membawa TPPA ke persidangan Kongres sebagai langkah akhir. Selain Malaysia, perjanjian antarabangsa ini turut dipersetujui untuk ditandatangani oleh Jepun, Vietnam, Brunei, Chile, Mexico, New Zealand, Australia, Canada, Peru dan Singapura. Menurut rekod, perjanjian ini bakal menjadi perjanjian ekonomi terbesar di dunia kerana ia melibatkan 40% daripada perdagangan dunia dan meliputi seramai 793 juta penduduk.
Di Malaysia, penentangan terhadap TPPA ini bukan hanya dilakukan oleh orang perseorangan, malah ia turut disuarakan oleh beberapa gerakan Islam dan juga persatuan seperti MTUC yang mewakili kesatuan buruh di Malaysia. Mereka mendakwa yang kesan daripada perjanjian ini akan menjejaskan kebajikan pekerja. Selain itu, kebimbangan turut disuarakan oleh persatuan pengguna seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang bimbang akan kenaikan kos kepada pesakit akibat meningkatnya kos ubat-ubatan. Selain kos, perjanjian ini akan memberi impak terhadap perkhidmatan kesihatan itu sendiri yang sudah sedia dipertikaikan mutunya. Pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut bimbang lantaran kedudukan mereka yang bakal terjejas kerana perjanjian ini akan merubah beberapa peraturan berkaitan dengan GLC yang akhirnya bakal menguntungkan syarikat asing. Selain itu, di Amerika sendiri, perjanjian ini turut mendapat tentangan daripada kesatuan buruh mereka, AFL-CIO (American Federation of Labor and Congress of Industrial Organizations) yang merasakan mereka bakal berhadapan dengan kekurangan peluang pekerjaan kerana pelabur bakal berpindah ke negara yang memiliki kos buruh yang lebih rendah seperti Vietnam dan Malaysia.
Perjanjian Antarabangsa Yang Menjerat Dan Menjerut
Sejak kejatuhan Daulah Khilafah yang merupakan penjaga Islam dan umatnya, para pemerintah umat Islam yang berjumlah lebih daripada 50 ini telah menandatangani pelbagai bentuk perjanjian antarabangsa dengan musuh-musuh Islam, yang dengannya, ia semakin melemahkan umat Islam dan menguatkan musuh. Berapa banyak perjanjian yang telah mengekalkan hegemoni kaum kuffar ke atas kaum Muslimin dan dalam masa yang sama memberikan segala kekayaan alam yang ada di negeri umat Islam kepada puak kuffar. Malah lebih buruk, wujudnya perjanjian yang telah menyerahkan tanah umat Islam kepada musuh Islam seperti perjanjian damai antara Palestin dan entiti Yahudi yang ditaja oleh Amerika, yang telah menggadaikan tanah suci Palestin dan melenyapkannya dari peta dunia.
Manakala Perjanjian Pencegahan Penularan Nuklear (NPT) pula telah menghalang negeri- negeri kaum Muslimin daripada menguasai teknologi nuklear. Sebaliknya, Amerika memberi teknologi ini kepada entiti Yahudi dan India yang tidak menandatangani NPT. Selain daripada TPPA, Malaysia sebelum ini turut menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Asia Tenggara (AFTA) yang membenarkan syarikat asing dari negara yang turut serta dalam perjanjian ini untuk mengeksport produk mereka tanpa sebarang halangan.
Bukannya sukar untuk difahami bahawa Amerika, sebagai sebuah negara Imperialis dan Kapitalis, sudah pasti tidak akan menandatangani apa-apa perjanjian yang akan merugikan mereka. Hal ini sudah menjadi rahsia umum dan kita tidak perlu mempunyai pendidikan yang tinggi pun untuk memahami realiti ini. Melalui perjanjian antarabangsa-lah, AS berjaya mengawal politik, ekonomi dan lain-lain urusan dalam negara kaum Muslimin sehingga menjadikan mereka bukan sahaja bergantung, bahkan tunduk kepada segala kehendak AS. Kita hendaklah faham bagaimana kelicikan AS serta kebodohan dan pengkhianatan pemerintah umat Islam, menyebabkan umat Islam terus menerus terjerumus ke lembah kebinasaan dan menjadi santapan lazat puak kuffar seperti Amerika.
Dalam setiap perjanjian seperti TPPA ini, AS hanya perlu mengumpan pemerintah umat Islam dengan sedikit gula-gula, yang kemudian akan terus disambar oleh pemerintah ini. Dilaporkan bahawa perjanjian ini bakal mengheret mana-mana negara anggota ke mahkamah antarabangsa dan menghadapi risiko disaman oleh syarikat asing sekiranya pelaburan mereka terjejas akibat perubahan polisi atau undang- undang dalam negara. Sudah berapa banyak perjanjian antarabangsa yang tidak lain kecuali merupakan perangkap Barat ke atas umat Islam. Jadi, dengan adanya TPPA ini, umat Islam nampaknya akan terus terjerat dan terjerut dengan perangkap kuffar Barat.
Perjanjian Antarabangsa: Yang Boleh Dan Yang Haram
Dalam melaungkan kritik dan bantahan ke atas TPPA, kebanyakan pihak membantahnya dari sudut ekonomi atau lain-lain kesan fizikal semata-mata. Selain itu, faktor-faktor seperti kebimbangan tidak dapat bersaing dan persoalan kedaulatan negara merupakan hujah yang biasa di gunakan. Tidak kurang pula pihak yang memandang baik dan menjadi pengampu kerajaan dalam hal ini yang menyokong TPPA. Ada pula yang berpendapat bahawa perjanjian ini boleh sahaja ditandatangani oleh kerajaan dengan meletakkan beberapa syarat. Ya benar, kita tidak nafikan keburukan dan kebaikan yang bakal terhasil dari sesebuah perjanjian seperti ini. Namun, apa yang jauh lebih penting dari semua itu ialah kita wajib terlebih dahulu menilai perjanjian tersebut dari perspektif hukum syarak. Adakah perjanjian antarabangsa tersebut bertepatan dengan syarak atau tidak, inilah persoalan utama yang perlu dijawab. Setelah ternyata bertepatan dengan syarak, maka barulah dinilai baik dan buruknya dari segi manfaat material. Dalam konteks ini, maka hukum-hakam mengenai perjanjian antarabangsa dalam Islam wajib dikaji dan difahami dengan benar.
Perlu difahami bahawa di dalam Islam, perjanjian antarabangsa hanya berlaku di antara Negara Islam dengan Negara Kufur, maksudnya tidak akan berlaku perjanjian di antara sesama negeri kaum Muslimin. Ini kerana, umat Islam adalah umat yang satu dan negara kaum Muslimin juga adalah negara yang satu (Khilafah). Tidak boleh (haram) bagi umat Islam memiliki lebih dari satu Negara. Secara umumnya, Islam telah menggariskan beberapa syarat bagi membolehkan Negara Islam memasuki perjanjian antarabangsa dengan Negara Kufur. Antaranya: –
(1) Negara Kufur yang dibuat perjanjian bukanlah negara muharibah fi’lan (negara kufur yang sedang berperang dengan umat Islam) seperti Amerika, entiti Yahudi, Rusia mahupun sekutu-sekutu mereka yang turut memerangi umat Islam. Hanya satu perjanjian yang dibenarkan untuk dimeterai dengan negara muharibah fi’lan ini, iaitu perjanjian gencatan senjata. Manakala dengan negara muharibah hukman (negara kufur yang tidak dalam keadaan berperang dengan umat Islam), Islam membenarkan perjanjian dibuat dengan mereka, dengan syarat perjanjian itu tidak boleh menjadikan Negara Kufur tersebut semakin kuat dan bakal mengancam keselamatan dan kewujudan Negara Islam.
(2) Perjanjian yang dibuat di antara Negara Islam dengan Negara Kufur itu hendaklah tidak bersifat merosakkan perjanjian yang telah dimeterai sebelum itu (jika ada). Ini kerana, adalah wajib bagi Negara Islam untuk menepati janji yang telah dilakukan semasa menandatangani perjanjian yang sebelumnya dan tidak boleh merosakkannya. Sekiranya perjanjian yang akan ditandatangani merosakkan perjanjian terdahulu, perkara ini adalah dilarang.
(3) Terma-terma perjanjian wajib dinyatakan secara jelas tanpa menimbulkan kekeliruan atau salah faham kerana perjanjian tersebut dibuat untuk mengatur suatu perkara/hubungan. Oleh itu, terma perjanjian haruslah dirangka dengan teliti, tiada ungkapan yang kabur dan segala peruntukan mestilah disebut dengan jelas. Hal ini bertepatan dengan perjanjian yang pernah dibuat oleh Rasulullah SAW yang telah dibuat dengan susunan ayat yang sangat teliti, sehingga setiap patah perkataan dirundingkan sama ada untuk dimasukkan atau dibuang. Setelah semuanya jelas tanpa kekaburan sedikit pun, maka barulah ia ditandatangani.
(4) Perjanjian yang dimasuki wajiblah demi kepentingan penyebarluasan Islam. Perjanjian merupakan uslub (teknik) yang amat baik yang boleh dilakukan oleh Negara Islam ketika melakukan aktiviti politik, sekali gus dapat memudahkan pertarungan secara fizikal. Salah satu contoh perjanjian yang memberi kelebihan kepada pasukan tentera Islam adalah seperti yang dimasuki oleh panglima tentera Islam yang hebat, Salahuddin al-Ayyubi dengan Raja-raja Kristian semasa perjanjian Ramlah. Melalui perjanjian tersebut, Negara Islam berjaya memecah-belahkan musuh dan membebaskan al-Quds dari tangan kaum Kristian.
(5) Perjanjian juga mestilah tidak mengandungi syarat yang batil (rosak) kerana Rasulullah SAW bersabda: “Kaum Muslimin itu (terikat) dengan syarat-syarat mereka kecuali syarat yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkanNya” [HR Tirmizi]. Sebagai contoh, perjanjian yang membenarkan Negara Kufur membina pangkalan tentera mereka di dalam Negara Islam yang memberi ruang kepada mereka melakukan kerja-kerja pengintipan terhadap Negara Islam. Ini adalah haram. Begitu juga dengan perjanjian kerjasama teknologi yang memberi ruang kepada Negara Kufur mengetahui kekuatan dan kelemahan yang ada dalam Negara Islam, hal ini adalah dilarang. Jika perjanjian teknologi itu bersifat sebaliknya, yakni semakin memberi kekuatan kepada Negara Islam dan melemahkan Negara Kufur, maka hal ini diperbolehkan.
(6) Perjanjian hendaklah ditulis dalam bahasa Arab, kerana bahasa Arab merupakan bahasa Islam dan bahasa rasmi Negara Islam. Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita bagaimana baginda mengirimkan surat kepada raja dan pemimpin Negara Kufur, dengan menggunakan bahasa Arab sedangkan baginda mampu untuk menuliskan surat tersebut dalam bahasa mereka. Ini merupakan sunnah yang wajib diikuti oleh umatnya. Bahasa lain hanya boleh digunakan dalam keadaan darurat sahaja yakni tatkala munculnya suatu keadaan bahaya dalam suasana tertentu.
(7) Dari segi tempoh masa, perjanjian yang dibuat wajib bersifat sementara dan memiliki batas waktu tertentu. Tidak boleh (haram) mengadakan perjanjian tanpa batas waktu. Al- Thabari telah menyebutkan tentang ijma’ seluruh fuqaha dalam masalah ini di mana para fuqaha berpendapat tentang haramnya perjanjian tanpa batasan waktu [Al-Jihad li al- Thabari]. Rasulullah SAW telah mengehadkan Perjanjian Hudaibiyah selama 10 tahun sahaja.
Berdasarkan syarat-syarat di atas dan melihat kepada realiti TPPA, ternyata merupakan sebuah keharaman untuk kerajaan Malaysia menandatangani TPPA kerana perjanjian tersebut bukan sahaja dimeterai dengan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara muharibah fi’lan, bahkan Amerika-lah yang menjadi dalang kepada TPPA. Justeru, jika ada manfaat material sekali pun dari TPPA, tiada gunanya memasuki perjanjian ini kerana ia hanya mengundang kemurkaan Allah SWT, kerana telah memasuki perjanjian dengan cara yang menyalahi perintah Allah dan RasulNya. Hubungan antara negeri kaum Muslimin dengan AS yang merupakan negara muharibah fi’lan, hanyalah hubungan perang (jihad), bukannya hubungan dagang dan lain-lain.
Setiap perjanjian antarabangsa dalam Islam merupakan perjanjian untuk kepentingan Islam dan umatnya. Sejarah Islam telah membuktikan hal ini. Perjanjian antarabangsa dalam Islam bukan dilakukan untuk kepentingan pemilik modal (kapitalis) yang terdiri daripada syarikat-syarikat besar, yang sebahagiannya dikuasai oleh pemerintah itu sendiri, sebagaimana yang kita saksikan pada hari ini. Oleh yang demikian, TPPA ini wajib dibantah dan kerajaan Malaysia tidak sepatutnya menandatangani perjanjian haram yang didalangi oleh AS yang merupakan musuh Allah, musuh RasulNya dan musuh kaum Mukminin ini.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Alasan kurangnya pasaran dan demi perkembangan ekonomi atau apa sahaja alasan lainnya yang diberikan oleh kerajaan, bukanlah suatu alasan yang syar’ie untuk memeterai TPPA. Umat Islam yang berjumlah lebih kurang 1.6 bilion di serata dunia merupakan suatu ‘pasaran’ yang sudah cukup besar untuk melakukan aktiviti ekonomi dan lain-lain, tanpa perlu bergantung pada Amerika dan Negara Kufur yang lain. Malangnya sempadan negara bangsa (nation states)-lah yang membantutkan banyak potensi dan kekuatan umat Islam, baik dari segi ekonomi, politik, ketenteraan, teknologi dan banyak lagi. Justeru, ayuhlah kita tolak pemerintah yang mengkhianati kekuatan dan penyatuan umat Islam dan kita sama-sama berusaha untuk mendirikan semula Negara Islam (Khilafah) yang bukan sahaja akan mempersatukan umat Islam di bawah satu bendera dan satu pemerintahan, malah akan mengembalikan kekuatan dan kemuliaan umat Islam. Sesungguhnya janji Allah dan RasulNya bahawa Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwah akan kembali tegak, sudah amat dekat dan rugi serta berdosalah mereka yang tidak mengusahakannya. Wallahu a’lam.