SN449 – Dua Kejahatan Digandingkan Bersama: “Gencatan Senjata” Dalam Syria Dan Rundingan Saudi Di Luar
SN Keluaran 25 Disember 2015
Bismillahirrahmanirrahim
Dua Kejahatan Digandingkan Bersama: “Gencatan Senjata” Dalam Syria Dan Rundingan Saudi Di Luar
Beratus-ratus pejuang yang menentang Basyar dan rakyat awam dilaporkan telah dibawa keluar dari kawasan al-Waar pada hari Rabu lalu, yang merupakan titik penguasaan terakhir mereka di bandar Homs, wilayah tengah Syria. Ia dilaksanakan dalam rangka mematuhi perjanjian yang telah dimeterai minggu lalu bersama dengan wakil pihak kerajaan di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Menurut laporan seorang wartawan dari agensi berita AFP, “bas yang mereka naiki disertai oleh sepuluh buah ambulan Bulan Sabit Merah milik kerajaan Syria, sepuluh kenderaan SUV PBB, di samping kenderaan tentera Syria yang turut mengiringi konvoi tersebut…” Perjanjian yang telah dicapai di bawah pemantauan PBB di antara pejuang yang menentang Basyar dan rejim Syria pada awal Disember ini, telah menetapkan pengusiran dua ribu pejuang dan orang awam dari kawasan al-Waar. Pengarah Badan Pemerhati Bagi Hak Asasi Manusia di Syria, Rami Abdel Rahman menyatakan kepada AFP bahawa, “bas tersebut akan bergerak ke bandar Homs dan dari sana ia akan menuju ke Istana al-Madiaq di wilayah Hama dan kemudiannya akan bergerak ke arah wilayah Idlib yang dikuasai oleh tentera Jaish al-Fath, yang telah menjadi kubu kuat bagi Briged al-Nusra semenjak musim panas yang lalu (Monte Carlo Doualiya, 09/12/2015).
Pada masa yang sama, persidangan gabungan pembangkang telah diadakan di Riyadh untuk “menghasilkan” satu pasukan delegasi yang dapat berunding dengan rejim Syria berkenaan pemerintahan transisi bagi membentuk sebuah negara sivil sekular di Syam ibukota Islam! “Mesyuarat pembangkang politik dan tentera Syria telah bermula pada hari ini di Riyadh untuk mencapai kesepakatan yang kukuh, di hadapan Menteri Luar Saudi Adel al-Jubair. Para perwakilan telah berusaha untuk mencapai kesepakatan terhadap dasar-dasar penyelesaian politik dan membentuk sebuah delegasi untuk mengambil bahagian dalam apa jua bentuk rundingan dengan pihak rejim yang ingin diadakan oleh negara kuasa-kuasa besar pada minggu pertama dalam bulan Januari. Pada hari Selasa lepas, beberapa kumpulan pembangkang telah mengadakan mesyuarat tidak rasmi lebih awal, yang sebahagiannya dihadiri oleh para diplomat Barat dan Rusia di Hotel Intercontinental Riyadh” (Al Arabiya.net, 09/12/2015)
Mesyuarat kemudiannya diteruskan lagi sehingga hari Rabu dan Khamis (9-10/12/2015) di mana kenyataan akhir telah dikeluarkan. Ia menyatakan bahawa…“Sebagai respon terhadap jemputan daripada kerajaan Saudi, para pejuang revolusi dan pembangkang politik di Syria telah mengadakan mesyuarat yang panjang di kota Riyadh pada hari Khamis…untuk menyatukan barisan dan mencapai wawasan bersama mengenai rundingan penyelesaian politik untuk isu Syria berdasarkan kepada Deklarasi Geneva 1…Para wakil telah menyatakan persetujuan mereka terhadap penyatuan wilayah Syria dan kepercayaan mereka terhadap pemerintahan negara sivil Syria; juga menyatakan komitmen mereka terhadap mekanisme demokrasi dalam pemerintahan dan berikrar untuk berusaha mengekalkan institusi negara Syria…mereka telah bersetuju bahawa matlamat bagi penyelesaian politik yang diusahakan ini adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang berdasarkan kepada prinsip kewarganegaraan, dengan dimansuhkan kekuasaan Basyar al-Assad serta tonggak dan simbol rejimnya dalam sebarang urusan politik di masa depan…Para wakil ini telah menyatakan kesanggupan mereka untuk menyertai rundingan dengan wakil rejim Syria, berdasarkan kepada deklarasi Geneva 1 yang dikeluarkan pada 30hb Jun 2012 dan beberapa resolusi antarabangsa yang berkaitan dan bahawa Basyar al-Assad serta tonggak dan simbol pemerintahannya haruslah turun dari kekuasaan di permulaan tempoh peralihan” (24 SPA, 10/12/2015).
“Dalam sidang media yang diadakan pada petang Khamis, presiden Pusat Penyelidikan Teluk, Abdul Aziz as-Saqer -yang mempengerusikan sidang itu- berkata bahawa delegasi dari kumpulan pembangkang dijangka akan bertemu dengan delegasi daripada rejim Syria dalam masa sepuluh hari pertama bulan Januari depan. Mengulas perkembangan yang berkaitan, as-Saqer telah mengesahkan bahawa deklarasi akhir rundingan ini telah ditandatangani oleh semua wakil, termasuklah wakil dari gerakan Ahrar al-Syam yang mempunyai hubungan dengan gerakan pemberontakan bersenjata, yang diwakili oleh pemimpin pergerakan itu, Labib al-Nahas. Namun, makluman itu dikeluarkan selepas pergerakan itu mengumumkan di laman Twitter bahawa ia telah memutuskan untuk menarik diri daripada sidang tersebut…Perjanjian itu telah menyetujui pembentukan sebuah Majlis Tertinggi yang akan dianggotai oleh 32 orang ahli, yang terdiri daripada 10 orang wakil dari setiap puak di Syria, 9 anggota gabungan pembangkang, 5 ahli daripada badan penyelaras dan 8 ahli bebas” (Al Jazeera.net, 11/12/2015)
Siapapun yang memerhati dengan teliti perkembangan rundingan dan gencatan senjata ini akan mendapati bahawa kesemuanya adalah hasil dari perancangan yang sangat jahat terhadap al-Syam, ibukota Negara Islam, yang benangnya ditenun oleh negara dari Timur dan Barat, yang diketuai oleh Amerika yang memiliki dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya. Mereka yang bertanggungjawab menyediakan benang-benang ini untuk Amerika adalah para ejen dan talibarut rejim dan rakan kongsi mereka serta pemerintah boneka dari negara-negara jiran.
Termasuk juga dari kalangan mereka adalah beberapa spektrum kumpulan pembangkang politik dan tentera yang berselindung di sebalik perjuangan menentang Basyar, walhal mereka sebenarnya telah banyak melakukan rundingan dan kompromi dengan Basyar di belakang. Tindakan mereka seperti telah melupakan darah suci umat Islam yang telah tertumpah dan tidak lagi menjadi penting buat mereka untuk ditukarkan dengan sedikit wang haram yang menjijikkan atau dijanjikan kekuasaan dan pemerintahan yang pada hakikatnya amat rapuh! Gencatan senjata dan persidangan Riyadh yang dianjurkan pembangkang ini merupakan suatu ciri khas yang ditunjukkan oleh mereka dalam usaha menentang revolusi al-Syam dan warganya.
* Mengenai perjanjian gencatan senjata yang telah dimeterai, mereka pada hakikatnya sedang menyerahkan negeri ini dan rakyatnya kepada orang yang kejam lagi zalim. Kita harap agar mereka yang telah dijadikan sebagai tukaran oleh pihak zalim yang telah menandatangani perjanjian ini, tetap tinggal dengan selamat di tempat mereka sendiri, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya di mana mereka telah dipindah serta dikumpulkan agar mudah untuk diserang dengan pelbagai senjata dari segenap sisi dan penjuru…Dalam perjanjian gencatan senjata kawasan Zabadani yang telah dimeterai, mereka diminta untuk pergi ke utara ke arah Idlib, begitu juga dalam kes kawasan al-Waar, mereka juga disuruh pergi ke utara ke arah Idlib! Setiap orang yang waras pasti mengerti bahawa untuk rejim Basyar melanggar perjanjiannya adalah mudah seumpama kerdipan mata!
Sebelum ini pihak rejim telah pun menandatangani beberapa gencatan senjata semenjak 2011 dan kemudian melanggarnya apabila ia kelihatan tidak memihak kepada mana-mana kepentingannya; telah dimeterai gencatan senjata yang dipelopori oleh Kofi Annan sebelum ini pada 10/04/2012 dan oleh Lakhdar Brahimi semasa Idul Adha 18/10/2012 dan telah dimeterai gencatan senjata di kawasan Barza pada bulan Januari 2014, gencatan senjata kawasan Qaboun dalam September 2014, gencatan senjata di bandar-bandar berhampiran Kefraya dan al-Foah di kawasan pedalaman di utara Idlib dan seterusnya di bandar Zabadani dan Madaya di luar Damsyik pada 20/9/2015.
Dalam perjanjian Zabadani, telah ditetapkan bahawa semua pejuang dan orang awam yang bersama-sama dengan mereka dipindahkan dari Zabadani ke arah Idlib! Sekarang tiba pula giliran pelaksanaan gencatan senjata di kawasan al-Waar pada Disember 2015 dan perjanjian itu menetapkan bahawa kumpulan bersenjata dan para penentang harus keluar dari kawasan ini menuju ke arah kawasan luar bandar di Idlib… Dengan terlaksananya perjanjian al-Waar ini, semua daerah di bandar Homs, yang sebelum ini dikenali sebagai “Bandar Revolusi” selepas tercetusnya protes terhadap rejim pada tahun 2011, kini telah berada di bawah kawalan tentera rejim…dan seterusnya setiap gencatan senjata akan mengheret kepada gencatan senjata yang lain sehinggalah api revolusi terhadap kezaliman Basyar ini akhirnya padam. Firman Allah SWT,
“Dan janganlah kamu (menjadi) seperti perempuan yang merungkai benang yang sudah dipintalnya dengan kuat, menjadi cerai berai kembali. Kamu menjadikan sumpah (perjanjian)mu sebagai alat yang menipu di antara kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain. Sesungguhnya Allah hanya menguji kamu dengan hal itu dan sesungguhnya di hari Kiamat akan dijelaskanNya kepadamu apa yang kamu perselisihkan itu” [TMQ al-Nahl (16):92].
Perjanjian gencatan senjata ini pada hakikatnya adalah jalan untuk memanjangkan lagi jangka hayat rejim ini dan memperkukuhkan semula kuasanya yang telah terhakis dan secara senyap ia telah menetapkan syarat untuk membentuk penggantinya, seperti apa yang sedang dipersiapkan di dalam Persidangan Riyadh dengan pemantauan Amerika dan pengikutnya. Inilah sebabnya mengapa Presiden Amerika Syarikat telah merestui gencatan senjata di al-Waar dan telah menyeru agar gencatan senjata ini diperluaskan (dan para pejuang bersama keluarga mereka dipindahkan ke kawasan-kawasan yang dikuasai oleh pembangkang bersenjata di Barat Laut sempadan Turki di bawah perjanjian itu) yang menjadi model bagi perjanjian gencatan senjata lain yang dilaksanakan di beberapa tempat lain. Obama mengatakan yang “ia boleh dilaksanakan di Syria dalam skala yang lebih besar” (Reuters, 9 Disember 2015)
Kami memberi amaran kepada orang-orang yang mempercayai gencatan senjata ini, khususnya kepada gerakan yang telah bersumpah bahawa “Tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad Rasulullah”, bahawa gencatan senjata ini adalah perangkap di mana mereka sedang dikumpul untuk dihapuskan. Itu belum mengambil kira lagi hakikat yang mereka ini sedang diusir secara beransur-ansur dari tempat mereka agar rejim zalim ini boleh mengukuhkan kedudukan mereka di sana. Kami menasihatkan mereka agar tidak menyerahkan diri dan ahli keluarga mereka kepada rejim. Rejim ini tidak akan mengotakan janjinya dan ia telah berlaku banyak kali sebelum ini seperti yang telah kami terangkan. Rasulullah SAW bersabda, “Seorang Mukmin itu tidak akan dipatuk dari lubang yang sama dua kali” [HR Bukhari], jadi, bagaimana pula dengan mereka yang telah dipatuk berkali-kali?
* Berdasarkan kenyataannya, adalah jelas bahawa Persidangan Riyadh sedang membentuk sebuah delegasi dari pakatan pembangkang untuk berunding dengan rejim Bashar dan rejim ini akan terus kekal semasa rundingan ini berlaku, setelah sebelum ini mereka menolaknya! Persidangan Riyadh ini juga menyeru kepada penubuhan sebuah negara sivil sekular dengan menggunakan demokrasi…dan resolusinya adalah berdasarkan kepada Deklarasi Geneva 1, iaitu penubuhan sebuah kerajaan transisi dan kerajaan transisi ini akan menjalankan kuasa eksekutif penuh. Lebih-lebih lagi di dalamnya terdiri daripada anggota kerajaan sekarang ini, para pembangkang dan beberapa kumpulan lain yang dibentuk atas dasar persetujuan bersama…dengan diteruskan institusi kerajaan yang sedia ada…dan lembaga ini akan mewujudkan sebuah negara demokratik yang plural…inilah kenyataan utama hasil dari persidangan itu.
Dengan melihat lebih mendalam terhadap latar belakang persidangan itu dan sebab-sebab ia diadakan, kita dapati yang Amerika Syarikat ternyata (sebelumnya) telah gagal membentuk gabungan dari pelbagai kelompok moderat ataupun gagal dalam usahanya untuk mengubahsuai pakatan pembangkang dengan disertai oleh pelbagai puak untuk mendapatkan penerimaan dari rakyat Syria. Jadi, AS mencari ejen alternatif yang akan menggantikan ejennya sekarang, dengan AS beralih meminta pertolongan pemerintah zalim dari Tanah Suci, dengan anggapan ia akan berjaya kali ini, kerana ia mempunyai dana dan helah.
Inilah sebabnya mengapa John Kerry telah memuji-muji persidangan di Riyadh ini. Di Paris, John Kerry berkata, “Rundingan yang dipimpin oleh Saudi untuk menyatukan pembangkang Syria ini telah mencapai kemajuan dalam satu langkah penting dalam usaha untuk mendesak rundingan politik yang bertujuan untuk menamatkan konflik di Syria.” (Reuters Arab, 10/12/2015). Ini kerana Amerika berpendapat bahawa, jika raja Saudi yang menyeru kepada pembentukan negara sivil, sambil menyarung baju Islam, ia akan lebih diterima jika dibandingkan dengan seruan dari kafir penjajah. Ternyata pemikiran ini salah, kerana perkara yang haq itu telah jelas, dan umat ini tidak akan tertipu oleh kaum kuffar mahupun para munafik.
Persidangan Riyadh pada hakikatnya telah gagal dengan sendirinya, sama ada dari aspek peserta mahupun apa yang mereka deklarasikan. Warga Syam bukanlah orang yang dengan mudahnya dihimpunkan di Intercontinental Hotel demi wang dan kesesatan…warga Syam pada hakikatnya adalah singa yang dikenali oleh umat dengan sifat kejujuran dan dedikasi mereka dan mereka mengetahui bahawa kebaikan akan sentiasa berada di dalam umat ini sehingga ke hari kiamat. Merekalah orang-orang yang meneriakkan dengan sepenuh hati dan suara mereka “Revolusi ini adalah untuk Allah, ia adalah untuk Allah”. Merekalah orang-orang yang berusaha agar wilayah Syam yang dicintai Allah SWT dan RasulNya SAW ini menjadi “Ibukota Negara Islam adalah al-Syam” [HR Thabrani dalam al-Kabir, dari Salamah bin Nafeel].
bersambung di minggu hadapan…