SN458 – Isu Pembuangan Pekerja: Angkara Siapa?

PDF

SN Keluaran 11 Mac 2016

Isu Pembuangan Pekerja: Angkara Siapa?

[SN458] Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah umpama nasib yang menimpa sebilangan daripada rakyat Malaysia yang telah kehilangan pekerjaan akibat situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa ini. Akhir tahun lepas Malaysian Airline System (MAS)  telah memberhentikan kira-kira 6000 orang pekerja ekoran proses penstrukturan semula syarikat penerbangan tersebut. Situasi ini diburukkan lagi dengan penurunan harga minyak mentah dunia yang turut menyebabkan banyak syarikat yang berkaitan dengan industri minyak dan gas terpaksa memberhentikan pekerja ataupun melakukan pemotongan gaji demi mengurangkan kos operasi. Syarikat milik kerajaan yang menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan negara iaitu Petronas telah mengumumkan akan menamatkan kira-kira seribu pekerja dalam rangka mengurangkan kos operasinya (The Star, 1 Mac 2016). Utusan Malaysia bertarikh 22 Januari 2016 melaporkan bahawa kerajaan tidak dapat melakukan apa-apa bagi membantu para pekerja dalam industri minyak dan gas yang berhadapan dengan risiko dibuang kerja di negara ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, walaupun tidak mampu membantu golongan terbabit tetapi ia tidak bermaksud kerajaan ‘lepas tangan’ dalam isu tersebut.

Selain dari industri penerbangan serta minyak dan gas, krisis pembuangan pekerja pada jumlah yang besar juga berlaku dalam sektor pembuatan, perkilangan dan automotif. Bagi individu yang berperanan menyara keluarga, kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja tentunya  akan turut memberi kesan kepada anggota keluarga yang menjadi tanggungan mereka. Ditambah pula dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin menghimpit sejak GST dilaksanakan pada tahun lepas. Sepanjang tahun 2015, Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi makanan dan minuman bukan beralkohol naik sebanyak 54.1% manakala bagi perumahan dan utiliti meningkat sebanyak 25.9%. Walaupun harga minyak mengalami penurunan, namun rakyat tetap dibebani dengan kenaikan tol di 18 lebuh raya dan juga kenaikan harga tiket pengangkutan awam. Dianggarkan rakyat Malaysia membelanjakan sebanyak 70% daripada jumlah pendapatan untuk makanan dan  minuman, perumahan, utiliti dan pengangkutan. Selain daripada itu, tindakan perundangan daripada institusi kewangan akibat kegagalan membayar ansuran bulanan rumah, kereta, kad kredit dan sebagainya telah menyebabkan individu yang kehilangan pekerjaan hidup dalam tekanan.

Krisis Ekonomi Dan Pembuangan Pekerja

Sepanjang sejarah sistem kapitalis menguasai ekonomi dunia, sudah berkali-kali dunia mengalami krisis ekonomi. Ia adalah perkara yang sistemik dalam sistem ekonomi kapitalis. Setiap kali berlaku krisis, maka para pekerjalah yang sering menjadi mangsa keadaan. Apa yang pasti, di hujung hayat kapitalisme kini kitaran antara krisis ekonomi menjadi semakin pendek, dari sepuluh tahun kini menjadi hanya lima tahun dan kemungkinan akan terus menjadi semakin pendek. Ia umpama seorang tua yang saban tahun semakin kerap sakit sebelum ajalnya tiba.

Krisis kewangan Asia yang berlaku pada tahun 1998 telah menjejaskan ekonomi hampir kesemua negara-negara Asia termasuklah Malaysia. Banyak syarikat dan kilang pembuatan di Malaysia terpaksa gulung tikar kesan daripada krisis tersebut. Akibatnya ramai rakyat Malaysia yang telah kehilangan pekerjaan. Belum pun sempat ekonomi Malaysia kembali pulih dan stabil dalam jangka masa yang panjang, krisis sub-prima di Amerika Syarikat pada tahun 2008 dan krisis kewangan Eropah pada tahun 2012 telah secara langsung mewujudkan persekitaran ekonomi dunia yang tidak sihat. Maka, Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka dan banyak bergantung kepada hasil dagangan daripada Amerika Syarikat dan Eropah turut merasai kesan negatifnya. Ketika ini, penurunan harga minyak mentah dunia sekali lagi menjadi punca kelembapan ekonomi di banyak negara terutama negara-negara yang menjadi pengeluar minyak seperti mana yang pernah terjadi pada tahun 70an.

Hakikatnya, adalah satu perkara yang wajar bagi sistem ekonomi kapitalis terdedah kepada krisis ekonomi kerana ianya digerakkan berdasarkan kepada non-real economy iaitu pasaran kewangan. Pasaran kewangan hakikatnya adalah sektor ekonomi yang tidak mengeluarkan apa-apa barang atau perkhidmatan. Sebaliknya hanya menyediakan peluang kepada kapitalis untuk mengaut keuntungan daripada faedah (riba), pasaran saham dan manipulasi matawang. Dilaporkan bahawa pada tahun 2014, sektor ekonomi non-real ini dinilai berjumlah USD893 trilion berbanding sektor ekonomi sebenar yang hanya berjumlah USD74 trilion. Sektor ekonomi non-real inilah yang  kerap menjadi punca kepada berlakunya krisis ekonomi sehingga membawa kepada ramai warga dunia kehilangan pekerjaan.

Realiti ini menunjukkan secara jelas bahawa sistem ekonomi kapitalisme adalah sebuah sistem ekonomi yang pincang dan sering menimbulkan kesusahan dan penderitaan kepada kehidupan manusia.

Sistem Ekonomi Yang Mampan

Islam menawarkan sistem ekonomi yang bersumber daripada wahyu, iaitu al-Quran dan al-Sunnah yang sama sekali berbeza  dengan kapitalisme yang berasal dari akal manusia yang bersifat terbatas.

Pertama, ekonomi Islam  hanya di bangun oleh real economy. Ekonomi Islam melarang dan tidak menerima sistem riba dan pasaran kewangan yang sememangnya sangat dipengaruhi oleh unsur spekulasi. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba’” [TMQ al-Baqarah (2):275].

Ibnu Majah telah menuturkan riwayat dari Ibnu Mas’ud RA yang bermaksud:

“Nabi SAW telah melaknat pemakan riba, pembayarnya, para saksi dan pencatatnya” [HR Ibnu Majah].

Sebaliknya, sistem ekonomi Islam menjana kekayaan melalui aktiviti real economy seperti pengurusan kepemilikan, penghasilan  barangan dan perkhidmatan. Ini tentu sahaja dapat menjamin rantaian ekonomi yang kukuh dan stabil, serta secara sistemiknya mencegah  wujudnya  penjanaan ekonomi berasaskan unsur spekulasi.

Kedua, penggunaan matawang bersandarkan emas dan perak dapat mewujudkan ekonomi yang stabil dalam jangka pendek mahupun dalam jangka panjang. Ini berikutan tiada mana-mana negara yang boleh mencetak matawang sesuka hati seperti mana yang dilakukan oleh Amerika Syarikat pada hari ini.

Mekanisme Islam Dalam Mengurus Individu Yang Hilang Pekerjaan

Islam memandang mulia orang yang bekerja. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang makan sesuap makanan yang lebih baik dari makanan hasil jerih payahnya sendiri” [HR Bukhari].

“Siapa saja yang mencari dunia demi mendapatkan yang halal, seraya menjaga dari kehinaan, untuk memenuhi nafkah keluarganya atau kerana simpati kepada tetangganya maka dia akan menemui Allah SWT dengan wajah bagai sinar purnama” [Hadis ini tercantum dalam Al-Mushannaf karya Ibn Abi Syaibah dari jalur Abu Hurairah].

Islam memandang negara sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab secara langsung untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Diriwayatkan bahawa pernah suatu ketika Rasulullah SAW telah menjual barangan milik seorang pemuda Ansar yang tidak mempunyai pekerjaan dengan harga dua dirham. Satu dirham dibelanjakan untuk bekalan makanannya dan satu dirham lagi untuk membeli kapak. Selepas lima belas hari kemudian pemuda tersebut telah datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa beberapa dirham, menunjukkan produktivitinya.

Di dalam Negara Islam, sekiranya pekerja diberhentikan daripada pekerjaan tetapi masih berupaya untuk bekerja namun belum mendapat pekerjaan sehingga tidak mampu memenuhi keperluan asasnya yang lain seperti tempat tinggal, maka ia layak untuk menerima santunan daripada negara. Dan sekiranya kehilangan pekerjaan menyebabkan seseorang individu jatuh miskin, maka ia layak untuk menerima zakat.

Ini bertitik tolak  daripada  politik (pengaturan) ekonomi Islam untuk menjamin terpenuhnya semua keperluan asas (makanan, pakaian dan tempat tinggal) setiap warganya secara menyeluruh dan terpenuhnya keperluan sekunder (kenderaan, perabot dan lain-lain) sesuai dengan kemampuannya sebagai individu yang hidup dalam sebuah masyarakat yang mempunyai taraf hidup tertentu. Kewajipan ini berdasarkan hadis daripada Ibnu Umar yang mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Imam (ketua Negara) adalah pengurus rakyat. Dia bertanggungjawab atas pengurusan rakyatnya” [HR Bukhari].

Khatimah

Pemberhentian pekerja dengan skala yang besar ketika ini merupakan natijah daripada krisis ekonomi. Ia adalah suatu yang sistemik dan akan terus berulang tanpa jalan keluar selagi mana ekonomi dunia diuruskan berdasarkan sistem ekonomi kapitalisme.

Penyelesaian bagi masalah ini hanyalah dengan kembali kepada sistem ekonomi Islam. Sistem inilah yang telah terbukti memberi kesejahteraan hidup bukan hanya kepada umat Islam tetapi juga kepada masyarakat dunia umumnya. Namun sistem ekonomi ini tidak akan mampu berdiri  tanpa dibangunkan institusi pemerintahan Islam iaitu sistem Khilafah. Maka, sudah sampai masanya para pemimpin, ulama, ahli akademik, ahli ekonomi dan umat Islam secara umumnya memikirkan secara serius dan bertindak untuk mengembalikan semula  sistem kehidupan Islam dengan menegakkan semula Daulah Khilafah ala minhaj Nubuwwah .

“Bertakwalah kalian kepada Allah dan taatlah kepadaku. Janganlah kalian mentaati  perintah orang-orang yang melampaui batas; mereka adalah para pembuat kerosakan di muka bumi dan tidak melakukan perbaikan” [TMQ al-Syuara’ (26):150-152].