SN474 – Selamatkan Malaysia Dengan Syariah Dan Khilafah

PDF

SN Keluaran 05 Ogos 2016

[SN474] Iklim politik Malaysia sekarang benar-benar berada dalam keadaan tidak menentu dan penuh kekeruhan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ketidakstabilan dan skandal yang berlaku dalam negara sekarang adalah yang terburuk dalam sejarah. Parti pemerintah berada dalam keadaan serba korup dan lemah dengan perpecahan dan kemelut dalaman yang semakin hari semakin parah. Manakala pihak pembangkang juga turut retak seribu dengan segala konflik dan musibah yang menimpa mereka. Meskipun demikian, anehnya pemerintah dan pembangkang cuba menunjukkan bahawa masing-masing masih berbelang dan bertaring. Semua ini dilakukan untuk tujuan propaganda demi menjaga survival politik masing-masing, walhal sudah semakin terang lagi bersuluh bahawa kesemuanya sudah kehilangan jati diri dan arah tuju perjuangan masing-masing. Apa yang tinggal kini hanyalah sisa-sisa manfaat dan kekuatan yang cuba dipertahankan untuk meraih simpati dan undi rakyat bahawa perjuangan mereka masih relevan.

Dalam masa yang sama, gerakan-gerakan baru yang terdiri daripada golongan yang kecewa cuba mengorak langkah mempamerkan bunga silat masing-masing dalam rangka menarik pemerhati, walaupun ternyata hala tujunya tetap kabur dan bekal yang ada hanyalah emosi dan semangat, tanpa fikrah yang benar. Semua ketidaktentuan ini belum mengambil kira persoalan ekonomi yang tidak terurus dan hanya menunggu masa untuk menjunam. Persoalan jenayah pun sudah tidak terbendung sehingga ke tahap pembunuhan dengan cara tembak secara terbuka di jalan-jalan raya semakin menjadi-jadi. Dalam bidang agama pula, berapa banyak daripada badan-badan Islam dan cerdik pandai agama yang bercakaran sesama sendiri sehingga tuduh-menuduh dan fitnah-memfitnah sudah menjadi santapan harian umat yang terus kebingungan dengan karenah mereka. Lebih buruk, tudingan sesat sesama Muslim terus berlegar di alam maya mahupun nyata tanpa rasa salah dan dosa sedikit pun oleh pelakunya. Pendek kata seribu satu macam musibah, ketidaktentuan dan kecelaruan menyelimuti rakyat kebelakangan ini.

Tukar Pemimpin Untuk Selamatkan Malaysia?

Deklarasi Rakyat yang berjaya menggamatkan politik tanahair beberapa bulan lepas nampaknya sudah lesu dan tidak ke mana. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun berjaya menggabungkan puluhan tokoh di Malaysia dalam rangka menuntut pengunduran Datuk Seri Najib Tun Razak, setakat ini gagal menurunkan Najib dari takhta. Biarpun terus ditekan, Perdana Menteri 1Malaysia itu masih tetap tidak berganjak, walau suku sentimeter pun, dari kerusi empuknya. Dalam masa yang sama, Najib bertindak memecat siapa sahaja yang boleh menggoncang kerusinya sehingga rakyat hanya mampu beristighfar dan team Mahathir pula terpaksa berputih mata melihat apa yang berlaku.

Berdasarkan realiti semasa, walaupun tidak mustahil, namun Gerakan Selamatkan Malaysia yang dipelopori Mahathir kelihatannya sudah tidak bermaya mencapai objektif mereka menyingkirkan Najib. Masih ramai ahli dan pemimpin UMNO yang menongkat presiden mereka itu dan yang lebih penting, pihak polis masih tegar setia dan sedia berkhidmat di belakang Perdana Menteri Malaysia keenam itu. Begitu juga dengan media arus perdana. Tidak lupa hubungan erat Najib dan Amerika, walaupun baru-baru ini Jabatan Kehakiman Amerika dilihat sebagai menambah tekanan kepada Najib. Semua ini merupakan benteng kekuatan dan kekuasaan Najib sehingga beliau masih boleh terus bertahan dengan taufan politik yang membadainya.

Walaupun kemarahan rakyat kepada Perdana Menteri kini boleh dikatakan sampai ke tahap maksimum sehingga ramai yang sudah tidak sabar melihat kejatuhannya, namun sebagai Muslim, kita perlu bertanya, adakah usaha menukar Najib merupakan jalan benar yang dapat menyelamatkan Malaysia dari musibah? Sebagai Muslim, kita mesti berfikir lebih jauh dan dengan cara yang syar’ie, kerana persoalan pemerintahan bukanlah suatu hal yang remeh. Setiap Muslim perlu fikir bahawa jika Najib berjaya disingkirkan, apakah orang yang bakal menggantikannya itu merupakan seorang yang berkelayakan, dari segi hukum syarak, untuk memimpin Malaysia dan mampu mengeluarkan Malaysia dari sebarang masalah? Adakah dengan turunnya Najib dan naiknya orang lain seperti Zahid Hamidi atau Hishamuddin Hussein yang juga rapat dengan Amerika, akan dapat menyelamatkan Malaysia? Kesimpulannya, adakah jalan untuk menyelamatkan Malaysia hanya seringkas menyingkirkan Perdana Menteri dan menggantikannya dengan yang baru? Adakah itu sahaja pertimbangannya?

Setiap Muslim seharusnya mengetahui, bukan sahaja jalan yang benar untuk menyelamatkan Malaysia, tetapi dari manakah ia perlu bermula. Jika inginkan perubahan, maka hendaklah tahu ‘apa’ yang ingin diubah dan ‘kenapa’ perlu diubah, barulah kemudian menjawab persoalan ‘bagaimana’ perlu mengubahnya. Kegagalan menjawab kesemua persoalan ini dengan benar (berdasarkan hukum syarak), akan menyebabkan kita semua terus berada dalam kitaran musibah yang tidak berkesudahan, seperti mana sekarang!

Kita telah menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri hasil dari ‘desakan’ ke atas mereka untuk berundur. Beberapa tahun terakhir Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau didesak hebat oleh pembangkang dan dari dalam UMNO juga, walaupun tidak kuat, agar berundur, kerana dikatakan zalim dan banyak skandal semasa pemerintahannya sehingga beliau digelar Maha Firaun. Mahathir lalu berundur dan diganti dengan Abdullah Badawi. Tidak lama setelah berkuasa, Pak Lah pula didesak habis-habisan dari dalam dan luar UMNO, agar berundur, kerana dikatakan ‘lembik’ dan banyak pembaziran projek mega di zamannya serta pemerintahannya dipengaruhi oleh orang lain. Dr. Mahathir dan Muhyiddin Yassin antara tokoh berpengaruh dalam UMNO pada waktu itu yang menggerakkan usaha menyingkirkan Pak Lah.

Pak Lah akhirnya akur, lalu berundur dan menyerahkan jawatan kepada Najib, sebagai calon favourite Mahathir. Pertukaran PM kepada Najib pada awalnya amat disukai dan dialu-alukan oleh Mahathir. Namun akhirnya Mahathir terpaksa mengakui kesilapannya, sama ada dalam melantik Pak Lah atau melobi untuk pelantikan Najib. Hasilnya, Mahathir kini hidup dalam kekesalan yang tak terhingga atas pelantikan Najib, sehingga beliau sanggup berjuang habis-habisan untuk menjatuhkan Najib walau apa risikonya sekali pun. Kesimpulannya, kita telah menyaksikan bagaimana pertukaran wajah Perdana Menteri semata-mata tidak akan menjadikan Malaysia lebih baik dan tidak pernah dapat menyelamatkan Malaysia, malah ternyata Malaysia lebih buruk setiap kali berlakunya pertukaran Perdana Menteri. Justeru, langsung tidak ada jaminan bahawa jatuhnya Najib dan naiknya muka lain, akan dapat mengubah keadaan, kerana sistem yang ada tidak pernah berubah.

Jadi, persoalan utama di sini bukanlah persoalan untuk selamatkan Malaysia dari siapa, tetapi untuk selamatkan Malaysia dari apa? Ini kerana, siapa pun yang memegang tampuk pemerintahan, jika ia menerapkan sistem sekular, maka natijahnya sama sahaja, walaupun pemimpin itu datang dari parti Islam sekalipun. Isunya di sini ialah “sistem apa”, bukannya “siapa” pelaksana sistem tersebut, yang perlu ditukar.

Hanya Syariah Dan Khilafah Membawa Kesejahteraan

Allah SWT telah menyempurnakan agama ini (Islam) dan menjadikannya sebagai agama rahmat untuk seluruh alam. Firman Allah SWT,

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kalian agama kalian dan Aku cukupkan untuk kalian nikmatKu serta Aku redhai Islam sebagai agama kalian” [TMQ al-Ma’idah (5):3].

Sesungguhnya kesempurnaan Islam itu akan terlihat dan dapat dirasakan hanya apabila hukum Allah SWT diterapkan secara kaffah. Jika manusia berhukum dengan hukum manusia, apatah lagi di bawah pemimpin yang jahat, maka sudah pasti tidak akan wujud kesempurnaan, malah dunia akan dipenuhi dengan ketidakadilan, kezaliman, keburukan dan segala macam kerosakan, walaupun mereka mendakwa bahawa mereka melakukan pembaikan.

Sebagai agama yang sempurna, Allah SWT menurunkan Islam untuk mengatur hubungan manusia denganNya yang merangkumi hal-hal akidah dan ibadat; mengatur hubungan manusia dengan diri sendiri yang merangkumi hal-hal makanan, pakaian dan akhlak; mengatur hubungan manusia dengan manusia lain yang merangkumi hal-hal mu’amalat (sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, polisi pendidikan dan polisi luar negeri) dan ‘uqubat (hudud, jinayat, ta’zir dan mukhalafat). Inilah kesempurnaan Islam sebagai sebuah ideologi yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.

Dalam Islam, negara wajib memastikan tiga keperluan asas setiap individu itu terpenuhi iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Setiap individu yang mukallaf mesti berusaha untuk memenuhi ketiga-tiga keperluan asas ini, baik untuk dirinya sendiri mahupun keluarganya. Namun tatkala ada individu yang tidak mampu memenuhi keperluan asasnya disebabkan faktor yang tidak dapat dielakkannya seperti seorang yang cacat, sakit, uzur dan dihimpit masalah yang tidak dapat diselesaikan, maka negara wajib memainkan peranan bagi memastikan individu terbabit tetap terpenuhi keperluan asasnya. Negara juga wajib mencipta lapangan kerja jika warganya tidak mempunyai pekerjaan. Inilah tanggungjawab negara sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Seorang pemimpin itu adalah pemelihara dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari dan Muslim].

Dalam masa yang sama, Islam mewajibkan negara untuk memenuhi keperluan-keperluan jama’ie (kolektif) warganya berupa pendidikan, keamanan dan kesihatan yang kesemuanya wajib disediakan secara percuma. Rasulullah SAW telah memberikan pendidikan percuma kepada warga Madinah di mana baginda telah mengarahkan tawanan Perang Badar (yang merupakan ‘hak’ Baitul Mal) untuk mengajar membaca dan menulis 10 anak kaum Muslimin sebagai syarat penebusan mereka. Dalam sejarah keKhilafahan Islam, setiap Khalifah berlumba-lumba membina Pusat Pengajian Tinggi Islam dan berusaha melengkapkannya dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan seperti auditorium, dewan mesyuarat, asrama, perumahan pensyarah dan ulama. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan bilik mandi, dapur dan dewan makan, malah terdapat juga taman rekreasi bagi keperluan dan keselesaan guru dan pelajar. Sepanjang zaman keKhilafahan, khususnya Khilafah Abbasiyyah, Islam telah membangun peradaban pendidikan yang luar biasa di dunia.

Dalam bidang kesihatan, Rasulullah SAW menyediakan doktor percuma kepada rakyat. Manakala pada zaman keKhilafahan Islam, lahirnya ramai doktor ternama dan Khalifah menyediakan banyak hospital kelas pertama berserta doktor di beberapa bandar raya antaranya  Baghdad, Damaskus, Cairo, Jerusalem, Alexandria, Cordova, Samarkand dan banyak lagi. Pendek kata, sejarah perkhidmatan kesihatan di zaman Khilafah adalah yang terbaik dan apa yang penting, kesemua perkhidmatan tersebut disediakan secara percuma oleh Khalifah kepada rakyat sesuai dengan tuntutan Islam.

Di bidang ekonomi, sistem ekonomi berdasarkan wahyu yang diterapkan di zaman pemerintahan Islam menjadi tinta emas sejarah dalam membuktikan betapa rakyat dan negara hidup dalam sejahtera. Islam mengharamkan kekayaan hanya berlegar di kalangan orang-orang kaya sahaja dalam masyarakat [rujuk Al-Hasyr (59):7] dan mengharamkan kanz al-mal (penimbunan harta/wang) [rujuk at-Taubah (9):35]. Islam juga mengharamkan segala bentuk riba, cukai, tol, saham, judi, insurans, monopoli dan lain-lain. Secara sistematiknya, Islam memperuntukkan al-qawa’id al-‘ammah al-iqtisadi al-Islamiyyah (kaedah-kaedah umum ekonomi Islam) meliputi tiga aspek utama iaitu:

(1) Al-milkiyyah (hukum-hukum kepemilikan)

(2) Kaifiyyah al-tasarruf fi al-mal (mekanisme pengelolaan harta/kekayaan), dan

(3) Al-tawzi’ al-tsarwah baina al-nas (distribusi kekayaan di antara manusia) di mana setiap kaedah ini mengandungi hukum syarak yang rinci mengenainya.

Syariat Islam membahagikan hukum al-milkiyyah (pemilikan) kepada tiga iaitu Pemilikan Individu, Umum dan Negara. Pemilikan Umum berupa air, api (tenaga), padang ragut, sungai, tasik, laut, jalan raya, tempat parkir awam, masjid, minyak, gas, emas, perak, arang batu, bijih dan sebagainya, ini semua wajib dikelola oleh negara dan dinikmati hasilnya oleh rakyat, kerana ia merupakan hak umum. Diharamkan ke atas negara mengaut walaupun satu sen keuntungan daripada harta milik umum. Negara mempunyai hasil pendapatannya sendiri iaitu jizyah, kharaj, ghanimah, fa’i, ‘usyur, 20% rikaz, harta si mati tanpa waris, harta orang murtad, pelbagai tanah dan bangunan milik negara dan lain-lain yang dibenarkan oleh syarak. Dengan Islam memperuntukkan hubungan antara negara dan rakyat sebagai “pemelihara-dipelihara” dan bukannya hubungan “peniaga-pembeli” atau “penindas-ditindas”, maka atas dasar ini ekonomi negara dan setiap warganegara berada dalam keadaan yang sangat baik.

Inilah secebis keindahan tentang kehidupan apabila Islam diterapkan dalam negara. Dalam masa yang sama, setelah segala fikrah Islam diajar, setelah segala hak setiap individu dan masyarakat dipenuhi, setelah segala kebaikan dan kesejahteraan dinikmati oleh setiap warganegara, setelah segala ruang maksiat ditutup rapat dan setelah masyarakat menegur dan mengingatkan, namun jika tetap berlakunya kemungkaran dan kemaksiatan, maka sudah selayaknya pelaku maksiat tersebut dihukum. Jadi, di sinilah sistem ‘uqubat Islam memainkan peranan, yang menjadi jalan terakhir untuk membetulkan pemimpin, individu dan masyarakat yang telah menyimpang dari jalan yang lurus, dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan sentiasa dapat dipelihara dalam negara.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sudah lebih 50 tahun Malaysia berada di bawah sistem pemerintahan buatan Barat yang jauh menyimpang dari Islam iaitu sistem demokrasi. Tidak ada alternatif lain untuk kita keluar daripada kesengsaraan dan keharaman sistem buatan manusia pada hari ini kecuali kita berusaha untuk menegakkan dan menjadikan agama Allah sebagai ideologi yang mengatur hidup dan pemerintahan negara kita. Tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan Malaysia dan membawa negara ini kepada keredhaan Allah SWT kecuali dengan kita berusaha melantik seorang pemimpin (Khalifah) yang bertakwa yang akan menerapkan syariatNya. Jadi, ayuhlah bersama Hizbut Tahrir dalam melakukan kewajipan mulia untuk menerapkan syariah secara kaffah dengan berusaha menegakkan negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah dan membai’ah seorang Khalifah melalui thariqah (metodologi) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Inilah satu-satunya jalan yang benar lagi syar’ie untuk menyelamatkan Malaysia dan negeri-negeri Muslim lainnya.

Wallahu a’lam.