SN489 – Bagaimana Mengelola Hutan Menurut Syariah

PDF

SN Keluaran 1 Rabiulakhir 1438H/30 Disember 2016

[SN489] Pertikaian antara penduduk Orang Asli dengan pembalak dan kerajaan negeri Kelantan terus menemui jalan buntu. Walaupun isu ini bukanlah suatu isu yang baru, bahkan sudah berlangsung sejak sekian lama, namun ia menjadi panas kebelakangan ini hasil beberapa sekatan (blockade) yang dilakukan. Perbincangan demi perbincangan telah dijalankan melibatkan pihak-pihak terbabit, namun masih gagal menemui penyelesaian yang dapat menjamin keberlangsungan hak Orang Asli di Gua Musang khasnya. Komuniti Orang Asli mula melakukan sekatan secara agresif pada bulan Mac lepas, di laluan pembalakan, dalam usaha untuk menghentikan tindakan pembalakan yang menggugat kehidupan mereka. Aktiviti pembalakan berhampiran penempatan Orang Asli didakwa menjadi punca kepada kesan buruk seperti pencemaran kawasan tadahan air serta keadaan panas dan berdebu. Di samping itu, kegiatan pembalakan turut dikatakan menggugat aktiviti kehidupan harian Orang Asli yang telah diamalkan sejak bergenerasi lamanya. Kerajaan negeri Kelantan bertegas bahawa aktiviti pembalakan terkawal yang dilaksanakan selama ini dibuat mengikut peraturan dan undang-undang yang ada. Dalam sebuah kenyataan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan bahawa isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik sekiranya tiada dalang yang menghasut mereka.

Undang-undang tanah di Malaysia adalah berdasarkan sistem Torrens (sempena nama pengasasnya, Robert Richard Torrens), sebuah sistem yang berasal dari Australia dan diperkenalkan di Tanah Melayu pada penghujung abad ke-19 oleh W.E. Maxwellyang merupakan salah seorang Residen British merangkap Pesuruhjaya Negeri-negeri Selat pada waktu itu. Hal itu kemudian membawa kepada kewujudan FMS LandCode 1926, yang mana Kanun Tanah Negara 1965 (sekarang) adalah berdasarkan kepada FMS LandCode tersebut. Ringkasnya, undang-undang berkenaan tanah (termasuk hutan) yang ada di Malaysia sekarang adalah berdasarkan undang-undang yang dibuat oleh penjajah, dan bukannya berdasarkan hukum syarak.

Prinsip umum dan utama dalam sistem Torrens ialah kewujudan dan pengesahan hakmilik yang tidak boleh disangkal (irrebuttableownership) berdasarkan pendaftaran. Sesiapa sahaja yang namanya telah terdaftar sebagai pemilik tanah, maka orang lain tidak boleh menyangkalnya. Dengan kata lain, sesiapa sahaja yang menduduki tanah, walau berkurun dan bergenerasi lamanya, namun jika tidak mempunyai hakmilik berdaftar, maka tanah tersebut bukanlah miliknya dan boleh dirampas oleh kerajaan pada bila-bila masa. Untuk mendapatkan tanah kerajaan (termasuk hutan), ia hendaklah dipohon dan bergantung kepada kelulusan. Maka berdasarkan undang-undang yang ada, Orang Asli atau sesiapa sahaja yang tinggal di hutan, secara umunya, mereka telah menduduki tanah tersebut, yang merupakan tanah kerajaan, secara haram.

Pemilikan Tanah Menurut Syariah

Di dalam Islam, hak untuk menguruskan tanah terletak pada negara (Khilafah), tetapi negara tidak memiliki semua tanah, kecualitanah yang telah dirizabkan oleh pemerintah (Khalifah) sebagai milik negara. Setiap warganegara berhak memiliki tanah kosong (tanah tanpa pemilik) tanpa perlu mendapat izin daripada negara.Hal ini sesuai dengan ketentuan hukum menghidupkan tanah yang mati (ihya’ al-mawat) yang sangat terkenal dalam Islam. Siapa sahaja yang menghidupkan tanah yang mati, maka tanah tersebut menjadi miliknya. Tanah mati di sini bermaksud tanah yang memang diketahui tidak bertuan lagi tidak produktif, atau tanah yang sebelumnya bertuan, tetapi telah dibiarkan (tidak diusahakan) oleh pemiliknya lebih dari tiga tahun. Tanah mati dikenalpasti melalui tiadanya tanda-tanda yang ia dimiliki oleh sesiapa seperti tiadanya apa-apa tanaman, kolam buatan, perigi, bangunan, pagar, batu sempadan dan lain-lain tanda yang seumpamanya.

Syariat Islam telah mengizinkan siapa sahaja yang memiliki kemampuan, untuk menghidupkan tanah-tanah yang mati (tidak produktif) dengan cara mengelola atau menggarapnya, yakni dengan menanaminya. Setiap tanah yang mati, jika dihidupkan atau dikerjakan oleh orang, maka orang itu menjadipemilik tanah tersebut. Ketentuan ini didasarkan pada sabda Nabi SAW,

“Siapa saja yang menghidupkan sebidang tanah mati, maka tanah itu menjadi miliknya” [HR al-Bukhari].

Dalam riwayat Bukhari yang lain,

“Siapa saja yang telah mengelola sebidang tanah, yang bukan milik orang lain, maka dialah yang paling berhak.”

Manakala Abu Daud meriwayatkan

“Siapa saja yang memagari sebidang tanah (kosong) dengan pagar, maka tanah itu menjadi miliknya.”

Hadis-hadis ini berlaku mutlak bagi sesiapa sahaja warganegara, baik Muslim mahupun non-Muslim dan ia menjadi dalil bahawa mubah (harus) hukumnya bagi siapa sahaja untuk menghidupkan atau memagari tanah mati tanpa perlu izin daripada ketua negara.Namun, perlu diingat bahawa hak untuk menghidupkan tanah yang mati itu hanya bertahan untuk tempoh tiga tahun sahaja, di mana jika ia tidak dikerjakan selama tiga tahun berturut-turut, maka tanah tersebut akan diambil semula daripadanya. Ketetapan ini berdasarkan pada keputusan Umar bin al-KhaththabRA yang kemudian disepakati (ijmak) oleh para sahabat. Umar menyatakan,

“Orang yang memagari tanah tidak berhak (atas tanah yang dipagarinya itu) setelah (membiarkannya) selama tiga tahun”.

Dari sini kita dapat fahami bahawa sekiranya orang asli di Kelantan atau siapa sahaja dan di mana sahaja, yang telah melakukan ihya’ al-mawat, maka tanah tersebut merupakan miliknya secara sah dan tiada siapa pun, termasuk kerajaan yang boleh merampasnya sesuka hati. Adapun dari segi keluasan tanah yang boleh dimilikinya, ia hanyalah sebatas keluasan yang mampu diusahakannya. Jika ia memagari 3 ekar tanah, sedangkan dia hanya mampu menghidupkan satu ekar, maka dua ekar mesti dikembalikan. Dalam Kitab Al-Amwal, Abu Ubaid menuturkan riwayat dari Bilal bin al-Haris al-Muzni, yang pernah mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah memberinya seluruh lembah. Dia seterusnya menyatakan bahawa pada masa Umar, Umar berkata kepada Bilal,

“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak memberimu tanah sekadar untuk kamu pagari sehingga mencegah manusia lain (untuk memiliki/mengerjakannya). Sesungguhnya Rasulullah SAW memberimu tanah agar kamu dapat bekerja. Kerana itu, usahakan bahagian tanah yang sanggup kamu kerjakan dan kembalikanlah sisanya.”

Pengelolaan Hutan Menurut Syariah

Kawasan hutan di Malaysia dianggarkan seluas 18.23 juta hektar atau 55.19% daripada keluasan negara yang berjumlah 33.03 juta hektar. Daripada jumlah tersebut, 5.84 juta hektar hutan terdapat di Semenanjung, 4.32 juta hektar di Sabah dan 8.07 juta hektar lagi di Sarawak. Hutan di Malaysia menjadi milik kerajaan negeri, sebagaimana termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan di mana segala hal ehwal mengenai tanah adalah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tiada kuasa ke atasnya melainkan di bawah Perkara 83, 84, 85, 86. Atas dasar ini, segala hasil hutan khususnya balak, yang merupakan salah satu kekayaan alam terbesar, menjadi milik negeri dan setiap negeri bebas memberikannya kepada sesiapa sahaja. Manakala Sabah dan Sarawak pula mempunyai undang-undang tanahnya yang tersendiri. Dengan undang-undang tanah yang masih berpaksikan undang-undang penjajah, di sinilah letaknya punca kepada masalah.

Di dalam Islam, hutan wajib dikelola menurut hukum-hukum syarak yang terkait dengannya dan antara yang utamanya adalah seperti berikut:

Pertama:Hutan (al-ghabat) termasuk dalam kategori al-milkiyyahal-ammah (kepemilikan umum), bukan kepemilikan individu atau negara.Ketentuan ini didasarkan pada hadis Nabi SAW,

“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga hal (iaitu) air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah].

Hadis ini menunjukkan bahawa tiga perkara tersebut adalah milik umum, kerana sama-sama mempunyai sifat tertentu sebagai illat (alasan penetapan hukum), yakni menjadi keperluan hidup orang ramai (min marafiqal-jama’ah) dan hutan merupakan salah satu perkara yang diqiyaskankepada tiga perkara di atas berdasarkan sifatnya yang sama. Oleh itu, haram hukumnya bagi sesebuah kerajaan atau individu untuk menjadikan hutan sebagai miliknya dan mengaut hasil daripadanya.

Kedua:Pengelolaan hutan hanya dilakukan oleh negara, dan tidak ada syarikat (baik swasta mahupun asing) yang boleh diberi konsesi ke atasnya. Ada dua cara pemanfaatan kepemilikan umum iaitu pertama, bagi perkara-perkara umum yang mudah dimanfaatkan secara langsung, seperti jalan raya, sungai, laut dan seumpamanya, maka rakyat berhak memanfaatkannya secara terus. Namun disyaratkan tidak boleh menimbulkan dharar (bahaya) kepada orang lain dan tidak menghalangi orang lain untuk turut memanfaatkannya. Kedua, untuk perkara-perkara milik umum yang tidak mudah dimanfaatkan secara langsung, serta memerlukan kepakaran, dana dan infrastruktur yang besar untuk memanfaatkannya, seperti perlombonganminyak, gas, balak, bijih, emas dan lain-lain, hanya negaralah (sebagai pengurus dan wakil kaum Muslimin) yang berhak untuk mengelolanya. Atas dasar ini, maka pengelolaan hutan berada di tangan negara, yang wajib dikelola untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Dikecualikan dalam hal ini ialah pemanfaatan hutan yang mudah dilakukan secara langsung oleh individu ataukomuniti yang tinggal di sekitar hutan, dalam skala terbatas di bawah pengawasan negara. Misalnya, pengambilan ranting-ranting kayu, atau penebangan pohon dalam skala terbatas, atau pemanfaatan hutan untuk berburu haiwan liar, mencari herba, mengambil madu, rotan, buah-buahan dan air dalam hutan. Semua ini dibolehkan selama tidak menimbulkan dharar dan tidak menghalangi hak orang lain untuk turut memanfaatkan hutan tersebut. Sesuai dengan kewajipannya mengelola, negara juga wajib mencegah segala dharar atau kerosakan pada hutan dengan menjaga keanekaragaman hidupan (biodiversity), ekosistem, melakukan kajian dan pembangunan, tanam semula dan sebagainya.

Ketiga:Negara wajib memasukkan segala pendapatan hasil hutan (seperti balak) ke dalam Baitul Mal dan mengagihkan dananya menurut keperluan dan kemaslahatan rakyat dalam koridor hukum-hakam syarak.Haram hukumnya bagi negara memanfaatkan hasil hutan untuk kepentingan sendiri atau mana-mana syarikat/individu, kerana hasil hutan termasuk di bawah al-milkiyyahal-ammah, yang wajib diagihkan kepada masyarakat atau untuk kepentingan umum.

Keempat:Negara boleh melakukan hima(reserved) atas kawasan hutan tertentu untuk suatu kepentingan khusus. Hima termasuk di bawah kebijaksanaan pemerintah dan polisi negara dalam memanfaatkan suatu milkiyyahal-ammahuntuk keperluan tertentu, misalnya untuk keperluan jihad fisabilillah. Rasulullah SAW telah melakukan hima ke atas Naqi’ (padang gembalaan dekat Madinah) untuk kuda-kuda perang milik kaum Muslimin. Apabila suatu kawasan itu telah dihima untuk suatu tujuan, maka hasilnya juga akan digunakan untuk tujuan tersebut. Contohnya jika hutan di kawasan tertentu telah dihima untuk tujuan jihad, maka hasil balak dari kawasan tersebut juga akan diguna untuk keperluan jihad.

Kelima: Negara wajib melakukan pengawasan (monitoring) dan tinjauan (patrolling) terhadap hutan bagi memastikan tidak ada penyalahgunaan hutan oleh mana-mana orang. Fungsi ini dijalankan oleh lembaga pengadilaniaitu Muhtasib (QadhiHisbah) yang tugas pokoknya adalah menjaga terpeliharanya hak-hak masyarakat secara umum, termasuk hutan. Muhtasibakan menangani kes-kespembalakan liar, pencurian kayu balak, pembakaran dan perosakan hutan, penebangan melebihi batas, pemburuan yang dilarang oleh negara dan sebagainya.QadhiHisbah akan bertugas dengan disertai oleh sepasukan polis dan beliau berhak menjatuhkan hukum (ta’zir) di lapangan pada waktu itu juga, terhadap sebarang kesalahan.

Khatimah

Sebagaimana telah dijelaskan, sekarang ini segala hasil balak baik di Kelantan, Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan lain-lain, semuanya menjadi milik kerajaan negeri dan umum mengetahui  berapa ramai individu yang menjadi jutawan dengan sekelip mata hasil daripada kekayaan sumber daya alam yang merupakan hak milik umat ini melalui pemberian konsesi oleh kerajaan negeri kepada syarikat mereka.Pengagihan kekayaan yang tidak seimbang, penindasan, ketidakadilan dan segala kezaliman yang wujud, adalah akibat daripada sistem dan undang-undang yang ada, yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemerintah dan kroni-kroni mereka daripada kalangan kapitalis untuk mengaut kekayaan alam negara. Tegasnya, inilah yang menjadi sumber utama kegagalan pengelolaan hutan selama ini yakni ideologi kapitalisme yang diamalkan oleh negara yang membenarkan milik umat menjadi milik pemerintah/individu. Selain mengutamakan kepemilikan individu, ideologi kapitalisme yang utilitarian (mementingkan manfaat) telah melahirkan sikap eksploitatifterhadap sumber daya alam seraya mengabaikan aspek-aspek penjagaan ekosistem dan mengabaikan manusia lain demi kepentingan diri sendiri. Selagi ideologi kapitalisme ini diterapkan oleh pemerintah dan tidak diganti dengan ideologi Islam di dalam bingkai Negara Khilafah, selagi itulah kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat tidak akan ada titik noktahnya.

Wallahua’lam.