SN497 – Hizbut Tahrir Dan Metode Penegakan Khilafah

PDF

SN Keluaran 1 Sya’ban 1438H/28 April 2017

SN497 - Hizbut Tahrir Dan Metode Penegakan Khilafah

[SN497] 28 Rajab 1438 H yang baru sahaja berlalu menandakan genapnya 96 tahun keruntuhan Daulah Khilafah di Istanbul, Turki. Runtuhnya institusi agung penerap syariah dan pemersatu ummah ini adalah hasil kejahatan dan pengkhianatan Mustafa Kamal Ataturk yang bersekongkol dengan British dan merupakan agen nyata kepada kafir penjajah itu, yang amat membenci dan memusuhi Islam. Sejak kejatuhan Daulah Islam yang telah memayungi umat selama lebih 13 abad itu, umat Islam telah terpecah belah kepada negara bangsa yang kecil lagi lemah, diperintah dengan sistem kufur oleh para pemimpin yang menyambung pengkhianatan Ataturk dan sentiasa tunduk kepada kuffar penjajah hingga kini. Sejak hilangnya Daulah Khilafah sebagai perisai umat, umat Islam hidup dalam penderitaan dan kesengsaraan di seluruh dunia, baik di tanah air sendiri mahupu yang berada di negeri-negeri kaum kafir. Sejak keruntuhannya, memang terdapat usaha-usaha untuk menegakkan semula Khilafah oleh beberapa gerakan Islam, dan termasuklah oleh para ulama yang ikhlas dan sedar akan kewajipan untuk mengembalikan Negara Islam ini. Namun sayangnya pada peringkat awal kejatuhannya, gerakan Islam berada dalam keadaan lemah dan tidak ada sokongan daripada kaum Muslimin sendiri yang ketika itu telah banyak terpengaruh dengan tsaqafah dan pemikiran yang dibawa oleh kafir penjajah. Akibatnya, segala usaha menemui kegagalan, apatah lagi dengan adanya usaha keras kaum kuffar siang dan malam untuk memastikan Khilafah tidak akan tegak kembali.

Melihat kepada perpecahan, penderitaan dan kemunduran berfikir umat Islam serta memahami kewajipan untuk mempersatukan semula umat dan mengembalikan Khilafah yang telah runtuh, maka pada tahun 1953, Syeikh Taqiyuddin al-Nabhani (rahimahullah) telah mendirikan sebuah parti politik Islam, Hizbut Tahrir, dengan rasminya di al-Quds, Palestin. Hizbut Tahrir didirikan dalam rangka memenuhi seruan/perintah Allah SWT, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali Imran (3):104]. Hizbut Tahrir bertujuan untuk membangkitkan kembali umat Islam dari kemerosotan yang amat parah dan membebaskan umat dari pemikiran-pemikiran kufur, sistem-sistemnya dan undang-undangnya serta membebaskan umat dari kekuasaan dan dominasi negara-negara kafir. Hizbut Tahrir juga bertujuan untuk mengembalikan Daulah Khilafah Islamiyyah sehingga urusan pemerintahan kembali berjalan menurut apa yang diturunkan oleh Allah SWT.

Objektif Hizbut Tahrir adalah untuk isti’naf al-hayah al-Islamiyyah (mengembalikan semula kehidupan Islam) dan memikul dakwah Islam ke seluruh penjuru alam. Objektif ini bererti mengembalikan umat Islam kepada cara hidup yang Islami di dalam Darul Islam dan dalam masyarakat Islam di mana seluruh aktiviti kehidupan di dalamnya diatur sesuai dengan hukum-hakam syarak dan menjadikan halal dan haram sebagai sudut pandang kehidupan, di bawah naungan Daulah Islamiyah iaitu Daulah Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang diangkat dan dibaiat oleh kaum Muslimin untuk didengar dan ditaati, yang menjalankan roda pemerintahan dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya SAW serta menyebarkan risalah Islam ke seluruh penjuru dunia dengan jalan dakwah dan jihad. Hizbut Tahrir berusaha untuk membangkitkan umat Islam dengan kebangkitan yang benar dan berusaha untuk mengembalikan kedudukan umat Islam ke masa kejayaan dan kemuliaannya seperti dahulu di mana umat Islam akan mengambil alih kendali negara-negara dan bangsa-bangsa di dunia ini dan kembali menjadi negara super power di dunia sebagaimana yang terjadi pada masa silamnya dengan memimpin dunia menurut apa yang diturunkan oleh Allah SWT.

Metode Hizbut Tahrir

Thariqah (metode) yang ditempuh oleh Hizbut Tahrir dalam memikul dakwah adalah berdasarkan hukum-hakam syarak yang diambil dari thariqah perjalanan dakwah Rasulullah SAW, kerana Rasulullah SAW itu merupakan suri teladan yang wajib diikuti sebagaimana perintah Allah SWT di dalam al-Quran. Melihat kepada realiti di mana kaum Muslimin pada hari ini (setelah kejatuhan Khilafah) hidup di dalam Darul Kufur kerana para penguasa mereka menerapkan hukum selain daripada apa yang diturunkan oleh Allah SWT, maka keadaan negeri kaum Muslimin hari ini sama sahaja seperti Makkah, yang merupakan Darul Kufur ketika Rasulullah SAW diutus. Oleh yang demikian, dalam aspek kewajipan mendirikan Negara Islam, Hizbut Tahrir telah menjadikan fasa Makkah sebagai acuan dalam dakwah dan menjadikan segala aktiviti Rasulullah SAW pada waktu itu sebagai teladan.

Dengan mendalami sirah Rasulullah SAW semasa di Makkah sehingga baginda berjaya mendirikan Daulah Islamiyah di Madinah, akan tampak jelas bahawa baginda menjalankan dakwahnya melalui beberapa peringkat yang sangat nyata ciri-cirinya. Baginda juga melakukan aktiviti-aktiviti tertentu yang amat jelas tujuan-tujuannya. Daripada jejak langkah Rasulullah SAW inilah, Hizbut Tahrir mengambil thariqah dakwah dan tahapan-tahapannya beserta aktiviti-aktiviti yang wajib dilakukan pada seluruh tahapan ini iaitu dengan menjadikan seluruh aktiviti Rasulullah SAW sebagai teladan pada seluruh tahapan dakwah. Berdasarkan jejak langkah Rasulullah SAW tersebut, Hizbut Tahrir menetapkan metode perjalanan dakwahnya dalam tiga marhalah (tahapan) berikut:

Pertama: Marhalah tasqif wa taqwin (tahapan pembinaan dan pengkaderan), untuk mewujudkan kader-kader yang memegang pemikiran dan metode Hizbut Tahrir untuk membentuk kerangka dan bergerak dalam sebuah parti;

Kedua: Marhalah tafa’ul ma’al ummah (tahapan interaksi dengan umat), agar umat turut memikul kewajipan dakwah Islam sehingga umat menjadikan Islam sebagai permasalahan utamanya serta supaya umat berjuang untuk mewujudkannya dalam realiti kehidupan.

Ketiga: Marhalah istilam al-hukm (tahapan mengambil alih kekuasaan dan menerapkan Islam secara menyeluruh dan sempurna) serta menyebarkan risalah Islam ke seluruh dunia.

Tahapan pertama telah dirintis oleh Hizbut Tahrir di al-Quds, Palestin pada tahun 1372 H (1953 M) melalui tangan pengasasnya yang alim lagi dihormati, seorang pemikir besar serta ahli politik yang ulung yang juga seorang qadhi di Mahkamah Rayuan al-Quds iaitu Syeikh Taqiyuddin al-Nabhani (rahimahullah). Pada masa itu Hizb telah melakukan hubungan secara langsung dengan anggota-anggota masyarakat, mengenengahkan kepada mereka fikrah dan metode Hizb secara per individu. Sesiapa yang menerima dakwahnya,  diatur untuk melakukan pengajian intensif dalam halqah-halqah (kelas) Hizb hingga ia menyatu dengan pemikiran Islam serta hukum-hakamnya. Pemikiran dah hukum-hakam ini kemudian diambil dan dijadikan pedoman yang seterusnya menjadikannya seorang Muslim yang memiliki syakhsiyyah Islamiyyah (keperibadian Islam) dan akhirnya bergerak memikul dakwah Islam kepada umat manusia.

Selepas Hizb berjaya membentuk kelompok parti dan masyarakat mula merasakan serta mengenal Hizb beserta pemikiran-pemikirannya dan apa yang diserukan oleh Hizb kepada masyarakat, maka Hizb beralih ke tahapan yang kedua iaitu tahapan berinteraksi dengan umat agar umat turut memikul dakwah Islam. Dalam tahapan ini, Hizb berusaha membentuk wa’yu wa ra’yul am (kesedaran dan pandangan umum) mengenai pemikiran dan hukum-hakam Islam yang telah ditabanni oleh Hizb hingga dijadikan sebagai pemikiran umat yang seterusnya (umat) akan berusaha mewujudkannya ke dalam realiti kehidupan serta ia (umat) berjalan bersama dengan Hizb untuk mendirikan Daulah Khilafah, melantik seorang Khalifah untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dan memikul dakwah Islam ke seluruh penjuru alam.

Pada tahapan ini Hizb mula beralih kepada penyampaian yang lebih menyeluruh dan kolektif dengan Hizb melakukan aktiviti-aktiviti berikut:

(1) Tasqif murakkazah (pembinaan intensif) melalui halqah-halqah yang diadakan untuk individu-individu (pengikut Hizb) dalam rangka mengembangkan tubuh Hizb, meramaikan penyokong serta mewujudkan individu-individu yang bersyakhsiyah Islam yang mampu memikul dakwah, mengharungi medan kehidupan dengan pergolakan pemikiran dan perjuangan politik.

(2) Tasqif jama’iyah (pembinaan massa), yang disampaikan kepada umat secara umum dengan pemikiran serta hukum-hakam Islam yang telah ditabanni oleh Hizb. Ini dilakukan dalam pengajian-pengajian umum di masjid-masjid atau di forum-forum, seminar-seminar dan tempat-tempat berkumpul, juga melalui melalui media massa, buku-buku dan nasyrah-nasyrah, penerbitan dan termasuklah internet, bagi mewujudkan kesedaran umum pada diri umat dan berinteraksi dengan mereka.

(3) Al-sira’ al-fikri (pertarungan pemikiran), untuk menentang kepercayaan/ideologi kufur, sistem, undang-undang, peraturan serta semua akidah yang rosak, pemikiran yang keliru dan persepsi yang salah, dengan menjelaskan kepalsuan, kesalahan dan pertentangannya dengan Islam; juga membersihkan umat dari semua pengaruh dan implikasinya.

(4) Al-kifah al-siyasi (perjuangan politik), dalam bentuk perjuangan menghadapi negara-negara kafir penjajah yang menguasai dan mendominasi negeri-negeri Islam dan menghadapi semua bentuk penjajahan sama ada berupa pemikiran, politik, ekonomi mahupun ketenteraan, menyingkap agenda mereka dan membongkar persekongkolan mereka, demi membersihkan umat daripada kekuasaan mereka dan membebaskan umat daripada sebarang pengaruh dan dominasi mereka. Perjuangan politik juga dilakukan dalam bentuk penentangan terhadap penguasa-penguasa di negeri-negeri Arab dan negeri Islam lainnya, membongkar kejahatan mereka, menyampaikan nasihat atau kritikan dan berusaha untuk mengubah mereka setiap kali mereka melahap hak-hak umat atau pada ketika mereka tidak melaksanakan  kewajipan mereka terhadap umat atau ketika mereka mengabaikan salah satu urusan umat dan setiap kali mereka menyalahi hukum-hakam syarak. Perjuangan politik dilakukan oleh Hizb dalam rangka menghilangkan kekuasaan mereka, dan menggantikannya dengan kekuasaan Islam.

(5) Mengambil dan menetapkan kemaslahatan umat dan memelihara semua urusannya sesuai dengan hukum-hakam Islam. Hizb telah melaksanakan semua aktiviti ini dengan mengikuti jejak langkah yang dilakukan Rasulullah SAW setelah turunnya ayat di mana baginda diperintah berdakwah secara terang-terangan. Rasulullah SAW menyeru orang-orang Quraisy ke Bukit Safa dan memberitahu mereka bahawa baginda adalah seorang Nabi yang diutus dan meminta supaya mereka beriman kepadanya (mengakui kerasulannya). Rasulullah SAW mula menyampaikan dakwahnya kepada kelompok-kelompok manusia mahupun kepada individu-individu secara terbuka. Baginda menentang orang-orang Quraisy, menentang sistem dan undang-undang Jahiliyyah, menentang kepercayaan dan tuhan-tuhan mereka serta akidah dan pemikiran mereka, dengan menjelaskan kerosakan dan kesalahannya. Ayat-ayat al-Quran turun dan menyerang apa yang dilakukan oleh orang-orang Quraisy seperti menyembah berhala, memakan riba, membunuh anak perempuan hidup-hidup, mengurangkan timbangan, melakukan perzinaan dan lain-lain.

Demikianlah Hizbut Tahrir, dalam menyampaikan dakwah Islam dan menghadapi pemikiran-pemikiran lain yang menyimpang dari Islam, menghadapi kelompok-kelompok yang lain, serta dalam menghadapi negara-negara kafir penjajah dan para penguasa, sikap Hizb dalam perkara ini adalah menyampaikan pendapatnya secara terang-terangan, menyerang dan mencabar (dari segi pemikiran), tidak dengan cara nifaq (berpura-pura), mengampu, bermanis muka terhadap mereka, berbelit-belit dan tidak juga dengan cara mengutamakan jalan yang lebih selamat. Hal ini dilakukan Hizb tanpa melihat lagi apakah akibat yang bakal ditanggung atau terpengaruh dengan situasi. Hizb menentang semua perkara mahupun pihak yang menyimpang dari Islam dan hukum-hakamnya, walaupun ternyata hal ini telah menyebabkan Hizb dan anggotanya menerima ujian yang pedih daripada para penguasa sama ada dipenjara, diseksa, dihalau, dipantau, diputuskan mata pencariannya dan diboikot kepentingannya serta dihalang keluar dari negara dan malah dibunuh.

Meskipun dalam menempuh perjalanannya, Hizb menyampaikan dakwah secara terang-terangan, mencabar sesuatu yang bertentangan dengan Islam, namun Hizb telah menghadkan aktivitinya dalam aspek politik tanpa menempuh jalan kekerasan (perjuangan fizikal/senjata) dalam menentang para penguasa atau menentang orang yang menghalang jalan Islam. Hal ini kerana Hizb adalah parti politik dan mengikuti jalan dakwah Rasulullah SAW di Makkah yang terhad kepada dakwah secara lisan/pemikiran tanpa melakukan apa jua aktiviti yang bersifat kekerasan sehinggalah baginda berhijrah dan berdirinya Daulah Islamiyyah di Madinah al-Munawwarah.

Tatkala masyarakat telah menjadi beku (statik) dengan seruan Hizb akibat hilangnya kepercayaan umat terhadap para pemimpin dan tokoh-tokoh mereka yang pernah menjadi tumpuan harapan mereka, juga akibat keadaan yang serba sukar yang sengaja dibuat oleh kaum penjajah supaya taktik penjajahan mereka tetap berlangsung, di samping akibat dominasi kekuasaan dan sikap keras dan kejam para penguasa yang menindas rakyatnya dan juga penganiayaan kejam yang dilakukan oleh para penguasa terhadap Hizb dan para anggotanya, pada masa masyarakat telah menjadi beku akibat keadaan ini, maka Hizb mula melakukan aktiviti thalab al-nusrah (mencari pertolongan) daripada ahlu al-quwwah (golongan yang memiliki kekuatan). Perkara ini dilakukan untuk dua tujuan. Pertama: untuk tujuan himayah (membela Hizb bersama anggota-anggotanya), supaya tetap mampu untk memikul dakwahnya dalam keadaan aman. Kedua: sebagai perantara untuk meraih kekuasaan dengan mendirikan Khilafah dan menerapkan Islam.

Dengan nusrah (pertolongan) yang diberikan oleh ahlu al-quwwah, maka Insya Allah Hizb akan berjaya menegakkan kembali Daulah Khilafah. Hal ini sudah pasti berjalan seiring dengan kejayaan Hizb membentuk wa’yu dan ra’yul am di dalam tubuh umat serta mendapat dukungan daripada umat, di samping persediaan rapi Hizb itu sendiri untuk memikul amanah pemerintahan sebagaimana yang dibebankan oleh Allah. Hizb mengakui bahawa usaha menegakkan Khilafah bukanlah mudah dan tidak ada jalan yang singkat untuk mencapai kemenangan, namun apa yang penting ialah untuk kita melakukan perjuangan yang bertepatan dengan syarak, yakni dengan mengikuti sepenuhnya thariqah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan bukan mencipta thariqah kita sendiri dan bukan juga dengan mengikuti thariqah demokrasi yang diajarkan oleh Barat. Dengan izin Allah, fajar Khilafah akan menyingsing tidak lama lagi melalui tangan para pejuangnya yang ikhlas, dan tiada siapa pun yang dapat menghalangnya, sebagaimana tiada siapa yang dapat menghalang terbitnya matahari di pagi hari. Wallahu a’lam.