SN514 – Dua Peristiwa Penting Dalam Bulan Rabi’ul Awal

PDF

SN Keluaran 12 Rabi’ul Awal 1439H/1 Disember 2017

SN514 - Dua Peristiwa Penting Dalam Bulan Rabi'ul Awal

[SN514] Kita sedang berada dalam bulan Rabi’ul Awal. Ia merupakan bulan yang istimewa bagi umat Islam kerana di bulan inilah Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan sebagai utusanNya yang terakhir. Tanda-tanda keistimewaan baginda telah pun dapat dilihat sejak baginda masih kecil. Al Quran dalam surah al-Baqarah ayat 146 menceritakan bahawa daripada tanda-tanda kenabian ini kaum Yahudi dan Nasrani telah mengenali Rasulullah SAW sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri. Namun sayangnya mereka menyembunyikan kebenaran yang mereka ketahui itu.

Menghayati peristiwa-peristiwa yang menggambarkan keistimewaan baginda sejak daripada kecil, sudah tentu akan menerbitkan perasaan cinta yang amat mendalam  dalam diri seseorang mukmin terhadap  baginda SAW. Peribadi baginda SAW begitu istimewa sehingga Allah SWT dan para malaikat berselawat ke atas beliau. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” [TMQ al-Ahzab(33): 56].

Namun, berapa ramai di kalangan kita yang benar-benar memahami dan menghayati  tujuan sebenar Rasulullah SAW diutus? Padahal, Allah SWT telah pun menjelaskannya dalam al-Quran betapa pentingnya baginda diutus. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Tidaklah aku utus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam” [TMQ al-Anbiya’(21): 107]

Sehinggalah kewafatan baginda juga telah ditentukan setelah ajaran Islam sempurna disampaikan oleh baginda. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu” [TMQ al-Maaidah(5): 3]

Umum mengetahui bahawa ajaran Islam yang sempurna ini hanya dapat dilaksanakan secara menyeluruh setelah baginda SAW mempunyai  kekuasaan. Seluruh hukum dan peraturan hidup telah berjaya diterapkan setelah tertegaknya Negara Islam di Madinah. Hal ini demikian kerana, hanya dengan cara itu Islam dapat terus berkembang dan memberi rahmat serta keamanan kepada sekalian alam.

Bulan Kelahiran Rasulullah SAW Dan Bulan Kelahiran Negara Islam

Meskipun terdapat beberapa perbezaan pendapat di kalangan ulama’, namun telah diterima secara umumnya bahawa Maulidur Rasul jatuh pada tanggal 12 Rabi’ul Awal Tahun Gajah.

Antara fakta yang menarik dalam lipatan sejarah Islam yang jarang sekali dibincang dan diperdengarkan ialah bahawa pada bulan yang sama tahun pertama Hijrah, Rasulullah SAW telah berhijrah menjejakkan kaki ke bumi Madinah sebagai seorang Nabi dan Ketua Negara Islam yang pertama di dunia. Sebuah institusi agung umat Islam yang berkesinambungan selama 1342 tahun, sehingga kejatuhannya pada 3 Mac 1924.  Dicatatkan oleh Imam Al-Mubarakfuri di dalam kitab Al-Rahiq Al-Makthtum bahawa Rasulullah SAW sampai di Quba’ pada hari Isnin, 8 Rabi’ul Awal. Baginda tinggal di sana selama empat hari dan membina Masjid Quba’. Pada 12 Rabi’ul Awal, selepas solat Jumaat, barulah Baginda memasuki Yathrib yang kemudian ditukar nama kepada Madinah.

Pemesongan Fakta Oleh Orientalis Dan Sejarawan Barat

Dakwaan orientalis dan sejarawan Barat bahawa Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah disebabkan kerana takut kepada konspirasi yang ingin membunuhnya merupakan andaian yang tidak benar. Fakta yang sebenarnya ialah konspirasi untuk membunuh Baginda SAW itu dirancang disebabkan kekhuatiran kaum Quraisy kepada penghijrahan Rasulullah SAW.  Mereka tahu bahawa tujuan sebenar hijrah Rasulullah SAW ke Madinah adalah untuk menubuhkan sebuah Negara Islam dan untuk mengukuhkan Dakwah Islam.

Perkara ini dapat dibuktikan melalui penjelasan berikut:

  1. Kaum Muslimin telah melakukan hijrah ke Habsyah kali pertama dan kedua akibat daripada tekanan, ancaman, seksaan, dan pembunuhan yang bertujuan mengganggu-gugat keimanan mereka kepada Islam. Hijrah dalam konteks ini dianggap sebagai melarikan diri daripada ancaman musuh.
  2. Sambutan yang diberikan oleh penduduk daripada kalangan kaum Ansar di Madinah terhadap seruan aqidah yang disampaikan oleh Mus’ab bin Umair telah banyak membantu memberikan ruang dan gerak dakwah Islam di Madinah. Kegigihan usaha dakwah yang dilakukan oleh Mus’ab bin Umair selama setahun sehingga tidak ada rumah di Madinah yang tidak mendengar seruan kepada Islam telah menjadi asbab kepada tertegaknya Negara Islam di Madinah. Seramai 70 orang rombongan haji dari Madinah telah datang menemui Rasulullah SAW untuk memeterai perjanjian taat setia di bukit ‘Aqabah, membuktikan dengan jelas kejayaan dakwah Mus’ab bin Umair di sana. Sesungguhnya hijrah Rasulullah SAW ke Madinah ialah sebahagian daripada wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT untuk memastikan keberlangsungan dakwah Islam agar terus berkembang ke seluruh dunia. Perjanjian yang dikenali sebagai Bai’atul ‘Aqabah kedua atau Bai’atul Harb ialah sebuah bai’at yang menandakan terjadinya penyerahan kekuasaan di Madinah daripada kaum Ansar kepada baginda SAW.
  3. Kesan-kesan penting setelah termaterinya Bai’atul Harb, sebagaimana dicatatkan dalam sirah Ibn Hisyam dan kitab sirah yang lain dapat diringkaskan seperti berikut:
  4. Penduduk Madinah akan menerima dan menjaga Rasulullah SAW daripada apa sahaja bentuk serangan musuh dan siapa sahaja yang menyerang, jika Baginda SAW berhijrah ke sana.
  5. Memberi perlindungan kepada Nabi SAW sebagaimana mereka melindungi kaum kerabat dan keluarga mereka.
  6. Sebagai balasan, Rasulullah SAW akan memusuhi dan memerangi sesiapa sahaja yang memerangi dan memusuhi Kaum Aus dan Khazraj.
  7. Rela berkorban jiwa raga walaupun nyawa pemimpin kaum Aus dan Khazraj menjadi taruhan. [Sirah Ibn Hisyam]
  8. Menjadikan Rasulullah SAW sebagai pemimpin jika Baginda SAW berhijrah ke sana. [Dalailun Nubuwah, Abu Nu’aim Asbahani]
  9. Lanjutan daripada usaha dakwah Mus’ab bin Umair dan Bai’atul Harb tersebut, baginda hanya mempertimbangkan tentang ruang gerak dakwah di Yathrib adalah lebih baik dengan melihat bahawa Islam telah diterima oleh masyarakat bahkan diberikan jaminan keselamatan (himayah). Di Madinah mereka dapat mengembangkan dakwah dan beralih ke fasa yang lebih komprehensif, iaitu melaksanakan Islam dalam bentuk kekuatan negara dan pemerintahan.
  10. Kaum Quraisy merasa terancam lebih-lebih lagi apabila mereka mengetahui tentang ikrar sumpah setia (Bai’atul Harb) dan para sahabat Rasulullah SAW mula berhijrah beramai-ramai secara berasingan dan sembunyi. Hal ini berlaku kerana mengikut perkiraan mereka, penghijrahan tersebut bakal menghasilkan kekuatan yang satu hari nanti akan menghancurkan mereka. Hal ini telah menyebabkan mereka risau dan bertekad untuk menghalang penghijrahan tersebut. Justeru, untuk mengatasi masalah besar yang bakal dihadapi, mereka melakukan konspirasi licik, iaitu kesepakatan untuk membunuh Rasulullah SAW.
  11. Tujuan hijrah Rasulullah SAW ke Madinah adalah untuk Dakwah dan Mendirikan Negara Islam, manakala pencetus atau sebab langsung untuk Rasulullah SAW berhijrah ialah kerana adanya kekuatan Islam dan kesediaan mereka untuk menerima Rasulullah SAW dan untuk mendirikan Negara Islam. Manakala perancangan membunuh Rasulullah SAW merupakan usaha untuk menghalang usaha-usaha ini, dan perasaan takut kaum kafir Quraisy terhadap hijrah Nabi SAW. [Kitab Ad-Daulah Al-Islamiyah, Hizbut Tahrir dan Kitab Syakhsiah Islamiyah juz II/276, Hizbut Tahrir]

Kesimpulan

Bukti kecintaan kita kepada Rasulullah SAW perlu diterjemah dalam amalan kehidupan kita baik secara individu mahupun bernegara. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu’. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ ali–Imran (3): 31].

Kita perlu sedar bahawa kaum kuffar barat bekerja siang dan malam untuk menanamkan pemikiran mereka sehingga anak-anak umat Islam hari ini keliru terhadap konsep dalam ajaran agama sendiri. Umat Islam merupakan umat yang terpilih. Oleh itu tidak selayaknya mereka mempercayai segala propaganda dan penipuan yang dilakukan oleh pihak kuffar barat. Serangan pemikiran ini berlaku baik diperingkat golongan terpelajar mahupun masyarakat awam.

Kita harus kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagai bukti benar-benar mencintai Rasulullah SAW. Semoga dengan itu melayakkan kita mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW di hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan Allah SWT.