SN538 – Pengorbanan Suci Demi Meraih Kemerdekaan Hakiki

Bil: SN538 – 05 Zulhijjah 1439 / 17 Ogos 2018

SN538 - Pengorbanan Suci Demi Meraih Kemerdekaan Hakiki

Ketibaan Bulan Zulhijjah pastinya menggamit umat Islam di seluruh dunia untuk melakukan amalan-amalan taqarrub ilaLlah (mendekatkan diri kepada Allah) dalam nuansa ruhiyah yang menyelubungi bulan mulia ini. Bagi para jemaah haji tahun ini pula, ketibaan bulan ini merupakan kenangan terindah buat mereka selaku dhuyuf ar-Rahman (tetamu Yang Maha Pengasih) kerana dikurniakan kesempatan melaksanakan tuntutan rukun Islam kelima dan didoakan semoga mereka mendapat haji yang mabrur. Manakala umat Islam yang lain, mereka menyambut Eidul Adha se­bagai satu daripada dua hari raya yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Kegembiraan ini disambut dengan laungan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil, serta menunaikan solat Eidul Adha dan mendengarkan khutbah. Di sepanjang hari-hari Tasyrik, alunan kalimat thoyyibah akan terus kedengaran memenuhi segenap ruangan. Sebahagian daripada umat Islam turut melakukan ibadah korban sebagai bukti ketaatan dan keimanan mereka kepada Maha Pencipta. Bukti keimanan dan ketaatan dalam ibadah korban ini dirakamkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS di dalam al-Quran:

Maka ketika anaknya (Nabi Ismail) itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang di­perintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar[TMQ as-Saffaat (37): 1].

Ketika Ibrahim AS akan melakukan penyembelihan ke atas anaknya, Allah SWT memerintahkan agar beliau menggantikan Ismail AS dengan seekor haiwan ternakan.

“Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaring­kan anaknya atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggil dia, wahai Ibrahim sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar”  [TMQ as-Saffaat (37):103–107].

Ibrah yang kita boleh perolehi daripada kisah ini adalah bahawa keimanan dan ketakwaan yang sempurna kedua-dua bapa dan anak tersebut kepada Allah SWT  menjadikan mereka mentaati sepenuhnya perintah Allah SWT tanpa sebarang keraguan sedikitpun. Mereka tidak mempersoal­kan apakah perintah Allah SWT itu sesuai atau tidak dengan kehidupan masyarakat di zaman mereka ketika itu, atau meragui dan tertanya-tanya apakah perintah tersebut baik atau buruk untuk mereka. Malah mereka langsung tidak meminta agar perlaksanaan perintah tersebut di­tangguh­kan. Walaupun Nabi Ismail AS merupakan anak yang sangat disayangi oleh Nabi Ibrahim AS, namun demi keimanan ter­hadap Yang Maha Esa, mentaati perintah Allah SWT itu adalah jauh lebih utama. Inilah ciri-ciri keimanan dan ketakwaan yang sempurna bagi seseorang hamba Allah SWT. Sememangnya keimanan kepada Allah SWT menuntut ketaatan terhadap perintah-perintah dan hukum-hakam-Nya, manakala dalam memenuhi perintah-perintah tersebut pula menuntut pengorbanan dan keikhlasan. Maka timbul persoalan, sejauh mana pula tahap keimanan mereka yang bukan sahaja enggan mentaati perintah-Nya, bahkan jauh sekali hendak berkorban untuk melaksanakannya seperti yang seringkali kita saksikan pada hari ini?

Sekularisme Menyuburkan Kemaksiatan Terhadap Allah

Hari ini kita hidup dalam sebuah sistem buatan manusia, iaitu sistem kapitalisme dan demokrasi yang menyelubungi segenap aspek kehidupan. Akidah yang mendasari kedua-duanya ialah sekularisme iaitu doktrin yang memisahkan agama daripada kehidupan umum. Dalam ertikata lain, ia adalah akidah yang memisahkan agama daripada politik dan negara. Doktrin sekularisme mendorong manusia supaya mengehadkan agama hanya dalam permasalahan ke­hidupan individu dan sebahagian aspek kekeluargaan, tetapi meninggalkan agamanya dalam hal-hal kehidupan umum, politik dan negara sehingga negaralah yang berhak menentukan sesuatu perkara itu benar atau salah atas prinsip kebebasan dan suara majoriti. Doktrin sekularisme ini jugalah yang menjadikan fahaman liberalisme semakin dominan pasca PRU14 dan menggugat kefahaman umat Islam terhadap agama mereka sendiri.

Inilah natijah daripada penerapan sistem demokrasi-kapitalisme, undang-undang negara tidak lagi merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, sebaliknya hanya merujuk kepada akal manusia yang lemah dan serba terbatas. Baik, buruk, benar, dan salah tidak lagi ditentukan melalui wahyu Allah SWT, tetapi ditentukan dengan undian majoriti di Parlimen. Kononnya undian tersebut mewakili suara rakyat, sedangkan hakikatnya rakyat menjadi ‘hamba’ yang dipaksa menuruti keputusan undian tersebut sekalipun ia bertentangan dengan syariat Islam. Sebahagian wakil-wakil rakyat yang diharap­kan membawa aspirasi rakyat ternyata lebih mengutamakan kedudukan, pihak yang berkepentingan, atau kepentingan peribadi serta parti masing-masing sehingga akhirnya keputusan yang diambil tidak ber­pihak kepada kepentingan rakyat, mengguris sensitiviti umat Islam, bahkan bertentangan dengan hukum Islam. Lalu umat ini merasai derita kehidupan yang penuh tekanan, kelam dan sempit. Mengapa terjadi sedemikian rupa? Tidak lain kerana mereka telah berpaling daripada hukum-hukum Allah SWT dan mengambil hukum-hakam selain daripada-Nya. Firman Allah SWT:

“Dan barang siapa yang berpaling ingkar daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Toha (20):124].

Pengorbanan Menuju Kemerdekaan Hakiki

Hanya Islam merupakan satu-satunya cara hidup yang dapat mengeluarkan manusia daripada kehidupan yang gelap dan sempit ini. Firman Allah SWT; “Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya” [TMQ al-Baqarah (2): 257].

Oleh yang demikian, umat Islam perlu kembali kepada Islam secara sepenuhnya dengan membuang pemikiran sekular dan liberal dari dalam benak pemikiran mereka. Ini hanya dapat dilakukan dengan kembali menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pemutus dalam apa jua permasalahan, bukan hanya dalam aspek ibadah dan akhlak, malah meliputi urusan masyarakat dan negara. Hal ini selari dengan firman Allah SWT;

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka” [TMQ an-Nisa (4):65].

Jelaslah bahawa keterikatan dengan hukum syarak merupa­kan perkara asas dalam kehidupan seseorang Muslim. Namun, untuk kembali ke jalan yang benar itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana perubahan ke arah itu memerlukan pengorbanan yang agung. Perubahan yang bersifat mendasar itu mesti dilakukan bukan hanya sekadar bersifat kerohanian tetapi ia juga meliputi kesedaran pemikiran dalam semua aspek kehidupan. Umat Islam sewajarnya sedar akan tanggungjawab setiap individu untuk mempelajari dan memahami hukum-hakam Islam secara keseluruhan termasuklah hukum-hakam yang berkaitan ekonomi, pemerintahan, sosial dan dasar luar negara. Pada masa yang sama mereka juga harus mengenal pasti pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam seperti sekularisme, liberalisme, dan kapitalisme supaya mereka dapat menghindari dan menentangnya.

Namun begitu, semua hukum-hakam Allah tidak akan dapat dilaksanakan tanpa adanya sebuah institusi politik Islam untuk menerapkannya, iaitu sistem Khilafah. Perjuangan untuk mengembalikan mahkota kewajiban (tajul furud) yakni, institusi Khilafah ini perlu digalas oleh umat Islam melalui perjuangan politik dan pemikiran. Kesemua usaha ini tidak akan berhasil tanpa adanya pengorbanan masa, tenaga, harta bahkan nyawa setiap individu Muslim. Pengorbanan agung tersebut bukan sahaja memerlukan jiwa yang kental dan hati yang ikhlas, ianya juga tidak mengharapkan apa-apa balasan dan ganjaran di dunia melainkan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata. Inilah pengorbanan yang selayaknya dilakukan oleh orang-orang yang beriman agar memperoleh syurga sepertimana yang dijanjikan Allah SWT; “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka” [TMQ at-Taubah (9): 111].

Keutamaan yang ada pada bulan Zulhijjah seharusnya menjadikan seseorang agar istiqamah dalam menjalankan ketaatan kepada Allah dan menjauhkan dirinya daripada perbuatan dosa dan kemaksiatan serta selalu berpegang teguh dengan keimanan kepada Allah dan RasulNya.


KOLUM SEJARAH ISLAM

Jemaah Haji Tanah Melayu Penghujung Kekhilafahan Uthmaniyyah

Kaabah di Makkah sekitar tahun 1880-an

Pengurusan haji di negeri-negeri Melayu dari tahun 1920-an hingga berakhirnya Perang Dunia Kedua berada di bawah penyeliaan Biro Perisikan Politik, yang ditubuhkan oleh British pada tahun 1922 berpusat di Singapura. Jemaah haji dan ejen haji hanya sah setelah diberikan permit seterusnya mereka dikehendaki menyediakan laporan mengenai jemaah haji pada bulan pertama musim haji kepada Pengarah Biro. Selain itu, tempat penginapan jemaah haji akan sentiasa dipantau oleh Pengarah Biro dan pegawai polis berpangkat sarjan ke atas. Kegagalan untuk mematuhi apa sahaja peraturan ini akan menyebabkan permit dibatalkan.

Antara matlamat utama penubuhan Biro Perisikan Politik juga adalah untuk menghalang jemaah haji dari negeri-negeri Melayu daripada dipengaruhi oleh gerakan-gerakan politik yang telah berkembang di tanah Hijaz, terutamanya pergerakan “Pan-Islam”, “Gerakan Khilafah” dan propaganda Komunis Rusia. Penyebaran idea kebangkitan dan penyatuan Islam melalui jemaah haji menimbulkan ketakutan kepada British. Idea ini mula muncul di Timur Tengah dan menyebar dengan cepat ke negeri-negeri Melayu melalui peniaga-peniaga Arab Hadrami (Yaman) dan sepulangnya jemaah haji dari Tanah Haram.

Sebelum Perang Dunia Pertama, orang Melayu sangat yakin bahawa Kekhilafahan Uthmaniyyah memiliki kuasa yang luar biasa dan kuasanya tidak mampu dikalahkan oleh negara lain. Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain Mustafa al-Fatani memainkan peranan penting dalam menyebarkan idea ini, menanamkan dalam kalangan orang Melayu perasaan kagum pada kekuasaan Khilafah Uthmaniyyah. Buku beliau Hadiqatul Azhar war Rayahin yang ditulis pada tahun 1886 menggambarkan Khalifah sebagai kesultanan yang paling terkenal selepas Khulafa’ ar- Rashidin.

Khilafah Uthamaniyyah-lah yang akan menyerukan jihad terhadap musuh-musuh Islam, melindungi kedaulatan Tanah Suci, dan melindungi kebajikan jemaah haji dan dunia Islam secara keseluruhannya.

[Aiza Maslan@Baharuddin, 2014, Hajj and Malayan Exposure, 1860s-1941: Universiti Sains Malaysia]

Download PDF