SN539 – Meneladani Hijrah Menuju Perubahan Hakiki

Bil: SN539 – 26 Zulhijjah 1439 / 7 September 2018

SN539 - Meneladani Hijrah Menuju Perubahan Hakiki

Ketibaan tanggal 1 Muharram pada tahun ini menandakan genap 1,440 tahun berlalu semenjak bermulanya catatan kalendar Hijriyah yang disandarkan kepada salah satu peristiwa agung dalam lipatan sejarah Islam, iaitu peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat radhiallahu anhum ke Madinah al-Munawwarah. Hijrah Rasulullah SAW ini berlaku pada tahun ke-14 kenabian, sekali gus menandakan bermulanya era baharu bagi umat Islam. Peristiwa agung tersebut kemudiannya dijadikan sebagai penanda bermulanya pengiraan tahun Hijriyah oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab RA untuk melancarkan urus tadbir Khilafah Islam. Pemilihan peristiwa hijrah menunjukkan betapa peristiwa tersebut mempunyai kesan yang sangat signifikan dalam sejarah peradaban Islam. Peristiwa ini merupakan manifestasi thariqah (metodologi) dakwah yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan risalah Islam ke seluruh dunia. Peristiwa hijrah yang berlandaskan wahyu ini turut menandakan peralihan fasa dakwah Rasulullah SAW daripada proses thalabun nusrah (meminta pertolongan) kepada fasa penerapan hukum-hakam Islam dalam bentuk kenegaraan sejajar dengan penubuhan Daulah Islam pertama di Madinah al-Munawwarah. Dalam ertikata lain, thalabun nusrah merupakan jalan yang merintis kepada berlakunya peristiwa hijrah sehingga tertegak institusi kenegaraan Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam dan menggoncangkan dua kuasa terbesar pada waktu itu iaitu Rom dan Parsi dalam tempoh kurang daripada satu abad.

Sebelum turunnya perintah untuk berhijrah, Rasulullah SAW telah mendatangi ketua-ketua kabilah dan suku Arab bagi menyampaikan risalah Islam serta mendapatkan dokongan agar syariat Islam dapat diterapkan secara sempurna. Seruan baginda SAW akhirnya disahut oleh Bani Aus dan Khazraj dari Yathrib. Mereka kemudian menyatakan kesediaan untuk menerima Islam dan memberikan sumpah setia dalam Baiah Aqabah Pertama pada tahun ke-12 kenabian. Rasulullah SAW kemudiannya mengutuskan Mus’ab bin Umair RA. bagi menyebarkan Islam ke setiap pintu-pintu rumah di Yathrib. Beliau kemudian kembali ke Makkah pada tahun berikutnya bersama-sama 73 orang lelaki dan dua orang wanita daripada Bani Aus dan Khazraj seterusnya mereka memberikan sumpah setia kepada Rasulullah SAW dalam Baiah Aqabah Kedua, iaitu baiah yang merujuk kepada perlantikan baginda sebagai pemimpin mereka atau dinamakan baiah iniqad.  Setelah itu, perintah hijrah diturunkan dan sejurus ketibaan baginda SAW di Yathrib hukum-hakam Islam berkaitan masyarakat dan negara diterapkan dan nama Yathrib ditukarkan kepada Madinah.

Sesungguhnya hijrah bukanlah sekadar perubahan menjadi insan yang lebih baik, bahkan mendorong setiap individu Muslim untuk berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai ketundukan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan. Dengan kata lain, hijrah meliputi perubahan dari kemaksiatan menuju ketaatan, daripada segala bentuk kejahilan menuju Islam, dan daripada masyarakat jahiliyah menuju masyarakat Islam. Antara aspek yang jarang disentuh termasuklah pembahasan hijrah dari sudut politik dan ideologi. Sedangkan para fuqaha’ telah mendefinisikan hijrah dari sudut syarie sebagai meninggalkan Darul Kufur menuju Darul Islam [an-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, jilid II]. Menurut kitab Masyrû’ Dustûr li ad-Dawlah al-Islâmiyyah – “Darul Islam ialah negara yang di dalamnya diterapkan hukum-hakam Islam dan keamanan negara tersebut berada di bawah keamanan Islam manakala Darul Kufur ialah negara yang di dalamnya diterapkan hukum-hakam kufur dan keamanan negara tersebut berada di bawah keamanan bukan Islam“.

Oleh yang demikian, usaha untuk membawa perubahan daripada Darul Kufur kepada Darul Islam sudah semestinya tidak akan mampu dilaksanakan melainkan dengan adanya gerak kerja yang tersusun rapi melalui sebuah kelompok atau parti yang bergerak secara politik. Hal ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat yang membentuk sebuah kutlah atau hizb ar-Rasul dalam menjalankan metodologi dakwah Islam sehingga membawa kepada perubahan menyeluruh yang bersifat inqilab fikriyah (revolusi pemikiran) dalam istilam hukm (penerapan hukum).

Menjejaki Erti Perubahan Hakiki

Semenjak berlakunya perubahan lanskap politik tanah air pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, sebilangan umat Islam di negara ini melihatnya sebagai satu sinar harapan yang menjanjikan masa depan yang lebih baik berbanding pentadbiran kerajaan terdahulu. Namun setelah berlalunya 100 hari pemerintahan kerajaan baharu hakikat yang dilihat tidak banyak berbeza berbanding zaman kerajaan terdahulu. Bak pungguk rindukan bulan, majoriti rakyat berasa begitu kecewa apabila harapan melihat perubahan tidak kesampaian malah hati mereka bertambah remuk apabila janji-janji manis telah dimungkiri begitu sahaja.

Mengapa tiada sebarang perubahan yang signifikan berlaku sungguhpun telah bertukar kerajaan? Hal ini kerana sistem yang diterapkan masih lagi tidak berubah iaitu sistem demokrasi-sekular-kapitalis yang menjunjung tinggi kedudukan akal manusia dan memisahkan agama daripada urusan kehidupan dengan mengehadkan peranannya kepada hal-hal peribadi semata-mata. Meskipun umat Islam di negara ini merupakan kelompok majoriti, namun jika dilihat dari perspektif yang lebih menyeluruh, keadaan masyarakat hari ini begitu mirip seperti keadaan masyarakat jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Hal ini dapat disaksikan dalam aspek penerapan hukum dan undang-undang buatan manusia, penindasan, kecurangan dalam aktiviti ekonomi, serta berleluasa gejala sosial dan keruntuhan akhlak. Bahkan dalam sesetengah aspek, keadaan masyarakat hari ini lebih dashyat daripada masyarakat jahiliyah.

Sebagai respons kepada kerosakan yang melanda, muncul pihak yang cuba melakukan perbaikan (islah) dalam masyarakat melalui pendekatan tadarruj (berperingkat). Meskipun berniat baik, namun pendekatan sebegini hanya memaksa umat agar berkompromi dengan sistem yang sedia ada dan bukannya mengubah sistem yang rosak tersebut. Inilah yang menyebabkan usaha dan tenaga umat disia-siakan kerana dialihkan daripada menuju perubahan yang benar. Sedangkan apa yang perlu diusahakan pada hari ini adalah melakukan perubahan secara sistemik dan bersifat inqilab fikriyah. Tambahan lagi, usaha perbaikan (islah) dalam sistem sedia ada akan hanya memanjangkan lagi tempoh hayatnya, serta menjauhkan umat Islam daripada fokus perubahan yang sebenar. Perubahan hakiki hanya akan dapat dicapai apabila kita kembali mengamalkan kehidupan Islam dalam segenap perkara, termasuklah dalam aspek sosial, ekonomi, politik dan pemerintahan. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Justeru, demi mencapai perubahan hakiki, perlulah kita bersama-sama berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan menggabungkan diri kita ke dalam gerakan/kutlah Islam yang meneladani thariqah dakwah Rasulullah SAW. Antara ciri-ciri yang perlu ada pada gerakan tersebut termasuklah: (1) berdiri di atas dasar fikrah yang jelas, dan murni (iaitu tidak bercampur aduk dengan fikrah asing), (2) mempunyai thariqah yang jelas dalam menerapkan fikrahnya, (3) membina anggota-anggotanya sehingga mereka mempunyai kesedaran yang benar berlandaskan akidah Islam, dan (4) menjadikan ikatan yang berasaskan akidah Islam bagi menyatukan anggota-anggotanya, bukan sekadar ikatan struktur organisasi semata-mata, serta tidak sama sekali menjadikan ikatan manfaat untuk menyatukan anggotanya [an-Nabhani, at-Takattul al-Hizbi].

Gerakan seumpama inilah yang mampu memperjuangkan perubahan bersifat inqilabiyah tanpa berkompromi dengan menceburkan diri dalam sistem demokrasi-sekular-kapitalis. Malah, gerakan tersebut menjunjung tinggi Islam di samping meletakkan Islam sebagai mualajah lil masyakil insan (penyelesaian permasalahan manusia). Sudah semestinya gerakan ini memperjuangkan penegakan kembali institusi Khilafah Islam sebagai satu-satunya institusi yang menjamin penerapan syariat Islam dalam segenap aspek kehidupan. Melalui usaha sebegini, objektif sebenar hijrah iaitu meninggalkan Darul Kufur menuju Darul Islam akhirnya akan tercapai, sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Walhasil, melalui usaha sebegini juga barulah kita akan berjaya mengecapi perubahan hakiki dalam mencapai redha Ilahi.


KOLUM SEJARAH ISLAM

Hijrah Para Sahabat Ke Habsyah

Hijrah kali pertama yang berlaku di dalam sejarah Islam ialah hijrah para sahabat Rasulullah SAW ke Habsyah pada tahun kelima kerasulan baginda Muhammad SAW. Rombongan hijrah ini telah disertai beberapa sahabat terkemuka seperti Uthman bin Affan dan juga Ja’afar bin Abi Talib. Hijrah tersebut telah dibenarkan Rasulullah SAW ketika penyiksaan dan penindasan kaum Muslimin ketika itu menjadi semakin hebat sehingga memudaratkan nyawa mereka. Tiada jalan lain yang dapat mengurangkan penyiksaan mental dan fizikal ini melainkan dengan cara berhijrah bagi mereka yang mampu. Walaupun seksaan yang dihadapi kaum Muslimin akan meningkatkan lagi keimanan mereka, namun dari satu sudut yang lain, keadaan tersebut akan menyebabkan kaum Muslimin akan tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan kemampuan diri untuk menghadapi seksaan fizikal dan mental ber­banding meningkatkan kemampuan mereka untuk berfikir lebih mendalam tentang Islam dan memperkuat­kan pemahaman mereka. Tambahan pula, adalah menjadi kewajipan bagi kaum muslimin yang mampu berhijrah untuk keluar daripada penyiksaan dan halangan yang memudaratkan nyawa mereka dan menghalang mereka untuk menjalankan syariat Islam. Maka atas dasar ini, Rasulullah SAW telah memerintahkan beberapa orang daripada sahabatnya untuk berhijrah ke habsyah dan meminta suaka politik daripada Raja Najasyi yang memerintah waktu itu.

Selepas rombongan kaum Muslimin selamat tiba di Habsyah, berita berkenaan penghijrahan mereka telah sampai ke para pemuka kafir Quraisy dan hal tersebut telah menimbulkan kemarahan mereka. Dua orang utusan kafir Quraisy iaitu ‘Amru bin ‘Ash dan ‘Abdullah bin Rabi’ah segera dihantar menghadap Raja Najasyi untuk mendapatkan semula kaum Muslimin yang telah berjaya mendapatkan suaka politik. Ketika berhadapan dengan Raja Najasyi, ‘Amru bin ‘Ash dan ‘Abdullah bin Rabi’ah telah berusaha dengan segala tipu daya mereka untuk memujuk agar kaum Muslimin dipulangkan kepada mereka. Namun setiap tipu daya mereka telah dijawab satu persatu oleh Ja’afar bin Abi Talib sehingga Raja Najasyi melihat Islam adalah agama yang sangat hampir kepada agama Nasrani yang dianutinya. Dengan demikian, Raja Najasyi ber­tegas untuk tidak menyerahkan rombongan kaum Muslim kepada kafir Quraisy dan kedua-dua utusan tersebut pulang dalam keadaan malu dan terhina.

Situasi ini sangat berbeza dengan apa yang dilalui kaum Muslimin pada hari ini. Jika suatu masa dahulu, tokoh Nasrani seperti Raja Najasyi sendiri mempunyai qimah insaniyah (nilai kemanusiaan) tekad untuk membela kaum Muslimin daripada kezaliman musuh, namun pada hari ini tiada sesiapa lagi yang dapat diharap­kan untuk melindungi kehormatan dan darah kaum Muslimin yang dizalimi luar batas kemanusiaan seperti yang berlaku di Palestin, Syria, Myanmar, dan Kashmir hatta daripada para pemimpin kaum Muslimin sendiri sekalipun mereka mempunyai kekuatan.

Download PDF