SN540 – Sebat Di Khalayak Umum: Hina Atau Mulia, Apa Sandarannya?

Bil: SN540 – 04 Muharram 1440 / 14 September 2018

SN540 - Sebat Di Khalayak Umum: Hina Atau Mulia, Apa Sandarannya?

Pelaksanaan kes sebatan terhadap dua wanita yang disabit kesalahan musahaqah (hubungan seks luar tabie sesama wanita / lesbianism) di Terengganu baru-baru ini mendapat liputan meluas dalam media serta menimbulkan reaksi yang pelbagai daripada segenap lapisan masyarakat. Hukuman tersebut diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dan dilaksanakan pada 3 September lalu dengan disaksikan kira-kira 100 orang [Berita Harian, 3/9/2018].

Meskipun umat Islam rata-rata menyambut baik pelaksanaannya, namun terdapat sebahagian pihak pula yang menentang keras hukuman tersebut. Tidak kurang juga yang bersetuju dengan hukumannya, namun mengkritik cara pelaksanaan hukuman tersebut dibuat secara terbuka untuk tatapan umum. Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed menyatakan bahawa kabinet kerajaan telah membincangkan kes ini dan berpendapat bahawa hukuman tersebut telah mem­berikan gambaran buruk terhadap Islam [Astro Awani, 6/9/2018]. Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa menyatakan keperluan untuk melihat semula peruntukan berhubung kehadiran orang awam sewaktu proses sebatan pesalah syariah [Bernama, 3/9/2018]. Di samping itu, hukuman tersebut juga dipertikaikan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menganggapnya tidak wajar untuk dilaksanakan. Dalam pada itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pula mengecam hukuman sebatan tersebut dan menganggapnya menghina, merendahkan dan memalukan wanita-wanita terbabit [Astro Awani, 15/8/2018]. Kenyataan yang senada turut dikeluarkan oleh pihak Amnesty International Malaysia yang mendakwa hukuman tersebut “telah menghantar Malaysia kembali ke zaman kegelapan” [New York Times, 3/9/2018].

Sekiranya diperhatikan, kenyataan-kenyataan tersebut menjurus kepada pembentukan persepsi yang menggambarkan hukuman sebatan di khalayak ramai sebagai satu bentuk hukuman mengaibkan dan menghina pesalah. Meskipun suara-suara sebegini tidak mewakili pandangan seluruh umat Islam di negara ini, namun pandangan sebegini semakin mendapat tempat setelah menerima sokongan daripada pucuk pimpinan kerajaan dalam era Malaysia Baharu. Bahkan, isu ini turut dibincangkan oleh bukan Islam yang mencampuri urusan berkaitan Islam. Hal ini dapat dilihat melalui respon daripada Setiausaha Publisiti DAP Pahang merangkap Ahli DUN Tras, Chow Yu Hui menyatakan bahawa hukuman sebatan itu “membawa pengaruh buruk” serta bercanggah dengan undang-undang negara yang melarang hukuman sebat terhadap wanita [laman web rasmi DAP, 5/9/2018]. Dalam perkembangan yang sama, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir telah menzahirkan rasa sedih atas hukuman tersebut dan menghargai pihak yang menyeru kepada toleransi dan hak asasi manusia [@usembassykl, 3/9/2018]. Ironinya, AS sendiri terpalit dengan rekod buruk penyeksaan tahanan di Teluk Guantanamo dan penjara Abu Ghuraib, Iraq dalam ‘Perang Melawan Keganasan’ tajaannya semenjak 2001.

Meletakkan Hina dan Mulia pada Tempatnya

Dalam pelaksanaan syariat Islam, kita tidak perlu melihat sama ada ia selari dengan hak asasi manusia menurut acuan Barat ataupun tidak, kerana sesungguhnya baik (khair), buruk (syar), terpuji (hasan), dan juga tercela (qabih) itu dinilai bukanlah berdasarkan akal manusia, sebaliknya mengikut ketetapan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Akal manusia sifatnya terbatas dan terpengaruh dengan keadaan di sekelilingnya. Oleh demikian, norma dan nilai yang terbina berlandaskan akal manusia sentiasa berubah-ubah dan adakalanya bertentangan dengan fitrah manusia sendiri. Maka, ia tidak layak untuk dijadikan sebagai tolok ukur dalam menentukan baik atau buruk sesuatu perkara. Sedangkan Allah SWT selaku Sang Pencipta pastinya Maha Mengetahui apa yang terbaik buat makhluk ciptaan-Nya. Firman Allah SWT;

…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua-lah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya[TMQ al-Baqarah (2): 216].

Dalam pada itu, terdapat pula segelintir umat Islam yang mengambil pendirian apologetik ketika memberikan respon kepada serangan terhadap Islam. Mereka cuba membela Islam namun pada masa yang sama mengetepikan bentuk hukuman yang digambarkan sebagai ‘kejam’ dan ‘mengaibkan’ ini di bawah slogan ‘rahmatan lil ‘alamin’. Sedangkan hakikatnya Islam hadir dengan pakej yang lengkap dalam mengatur kehidupan manusia, termasuklah dalam bab ‘uqubat (hukuman) tanpa perlu tunduk kepada nilai-nilai moral dan sudut pandang kehidupan yang bukan datang daripada Islam. Islam juga melarang kita membiarkan perasaan belas kasihan mempengaruhi keputusan dalam menerapkan hukum Islam. Firman Allah SWT;

… dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat…[TMQ al-Nur (24): 2]. Ketika mentafsirkan ayat tersebut, Syeikh Dr. Muhammad Ali al-Hassan dan Syeikh Dr. Abdurrahim Faris Abu ‘Ulbah menyatakan: “Kata ra’fah merujuk kepada tahap pertama dalam belas kasihan (rahmat). Maksudnya, dilarang memberi keringanan dalam had, memberikan pengampunan, atau tidak melaksanakannya di hadapan khalayak umum[Tafsir Surah an-Nur].

Peranan ‘Uqubat Sebagai Penebus Kesalahan (Jawabir) dan Pencegah (Zawajir)

Dalam kita mencermati isu ini, sewajarnya kita melihat kepada sistem ‘uqubat dalam Islam dan prinsip di sebalik pelaksanaannya terlebih dahulu agar kita tidak terkeliru dalam memahami akar permasalahannya. ‘Uqubat terbahagi kepada beberapa kategori iaitu hudud, takzir, jinayat, dan mukhalafat. Kesalahan musahaqah ini bukan di bawah kategori hudud sepertimana zina yang kesalahan dan bentuk hukumannya telah ditetapkan syarak melalui nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Sebaliknya musahaqah terletak di bawah kategori takzir, dan bentuk hukumannya tidak dijelaskan oleh sesuatu nas yang khusus. Justeru, hukumannya boleh dijatuhkan dalam pelbagai bentuk seperti hukuman sebat, penjara, dan sebagainya [Abdurrahman Al-Maliki, Nizham Al-Uqubat]. Maka, tidak menjadi kesalahan bagi seorang hakim menjatuhkan hukuman di khalayak umum demi menjaga kemaslahatan masyarakat yang tercapai melalui peranan ‘uqubat sebagai penebus kesalahan (jawabir) dan pencegah (zawajir).

Peranan sistem ‘uqubat dalam menebus seksa di akhirat kelak (jawabir) dapat disaksikan dalam kisah sahabat Maiz al-Aslami dan al-Ghamidiyah yang membuat pengakuan di hadapan Rasulullah SAW atas perbuatan zina yang mereka lakukan. Rasulullah SAW menjelaskan hal ini dalam sabda baginda SAW: “Kalian berbaiah kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anakmu, tidak membuat-buat dusta yang kalian ada-adakan sendiri dan tidak menolak melakukan perbuatan yang makruf. Siapa sahaja yang menepatinya maka Allah akan menyediakan pahala; dan siapa sahaja yang me­langgarnya kemudian dihukum di dunia maka hukuman itu akan menjadi penebus (seksa akhirat) baginya…[HR Bukhari].

Di samping itu, ‘uqubat juga dapat mendidik masyarakat agar tidak melakukan sesuatu jenayah. Fungsi tersebut di­jelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya; “Dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagi kalian, wahai orang-orang yang berakal, supaya kalian bertakwa[TMQ al-Baqarah (2): 179]. Dalam tafsirnya, Ibnu Kathir menyatakan bahawa dalam qisas itu terdapat hikmah yang agung, iaitu terpeliharanya darah (kehidupan) manusia. Dengan mengetahui bahawa hukuman bagi seorang yang membunuh itu akan dibalas dengan hukuman bunuh, pastinya membuatkan individu yang berakal untuk berfikir panjang untuk membunuh seseorang. Justeru, di sinilah letaknya peranan qisas (yang merupakan sebahagian daripada ‘uqubat) sebagai pencegah (zawajir). Bagi memastikan peranan ini berlaku secara berkesan, di sinilah letaknya tujuan hukuman tersebut dilaksanakan secara terbuka di khalayak ramai. Dalam hal ini, aib bukanlah pertimbangan syarak dalam melaksanakan hukuman terhadap pesalah atas perbuatan jahat atau jenayah (al-jarimah) yang dilakukannya.

Sungguhpun demikian, perlu difahami bahawa pelaksanaan hukuman ini merupakan benteng terakhir dalam memelihara masyarakat daripada terdorong untuk melakukan kesalahan atau menerima kesan buruk daripadanya. Melalui penerapan Islam dalam segenap aspek kehidupan, misalnya melalui pendidikan awal oleh ibu bapa, pengaturan sistem pergaulan, pembentukan syakhsiyah Islam di bawah polisi pendidikan, pemenuhan keperluan asas, jaminan pekerjaan, etika pakaian, serta sekatan terhadap kemasukan anasir-anasir seperti pornografi dan budaya kuning dapat membentuk kehidupan yang sejahtera serta mencegah menularnya jenayah dalam masyarakat. Seandainya masih ada lagi pihak yang melakukan kesalahan, maka ‘uqubat dijatuhkan terhadap pelakunya setelah melalui proses kehakiman yang adil.

Bahkan sesungguhnya hanya melalui pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh sahaja objektif-objektif atau maqasid syari’ah dapat dicapai dan seterusnya merealisasi­kan konsep ‘rahmatan lil ‘alamin’ dalam ertikata sebenarnya. Sistem warisan penjajah yang sedang membelenggu umat Islam pada hari ini bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, bahkan ia menjadi penghalang terbesar dalam usaha untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sistem tersebut telah memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada kelompok liberal dan sekular serta kaum kuffar untuk menyerang sebarang usaha untuk menegakkan agama Allah.

Sama ada disedari ataupun tidak, mereka telah di­pergunakan oleh Barat untuk menyerang Islam dengan melabel individu yang berpegang kepada ajaran Islam sebagai berfikiran sempit dan ekstrim. Islam pula cuba digambarkan sebagai agama yang tidak selari dengan arus pemodenan. Mereka juga sentiasa mencari ruang memperlekeh hukum-hakam Islam sebagai jumud dan tidak relevan untuk dilaksanakan pada zaman mutakhir ini. Mereka kemudiannya mendesak kerajaan untuk mengehadkan hukum-hakam Islam yang dilihat bertentangan dengan doktrin-doktrin kebebasan yang didukung oleh sistem warisan penjajah hari ini. Isu pelaksanaan hukuman sebat di khalayak umum ini telah dijadikan peluang keemasan bagi mengukuhkan lagi persepsi buruk yang cuba ditempelkan terhadap Islam, meskipun hukuman tersebut dijatuhkan oleh mahkamah yang tidak menerapkan hukum syarak sepenuhnya akibat kekangan perlembagaan di bawah sistem demokrasi-sekular.

Umat Islam yang ikhlas tidak seharusnya terpengaruh dengan serangan persepsi ini dan berkompromi sehingga akhirnya bersetuju bahawa Islam perlu ditundukkan agar selari dengan realiti pada hari ini. Hal ini termasuklah propaganda keji mereka yang cuba menggambarkan hukuman sebat di khalayak umum sebagai suatu yang kejam, menghina dan mengaibkan individu yang di­hukum. Janganlah kita akur dalam perkara ini semata-mata demi mencari redha manusia sehingga tanpa disedari menggadaikan maruah Islam. Sebaliknya, umat Islam wajib membantah kebiadapan golongan-golongan tersebut dan bingkas membela Islam. Rasulullah SAW bersabda, “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya[HR ad-Daruquthni]. Umat Islam juga perlu bersatu menolak idea-idea rosak daripada kelompok ini dan kembali menyeru kepada penerapan hukum-hakam Islam secara kaffah dalam bingkai Khilafah Rasyidah agar dengannya barulah kehidupan yang penuh berkat dan rahmat dapat dikecapi di dunia dan juga di akhirat kelak.

Download PDF