SN544 – Ratifikasi ICERD Menurut Perspektif Islam

Bil: SN544 – 08 Rabiulawwal 1440 / 16 November 2018

SN544 - Ratifikasi ICERD Menurut Perspektif Islam

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang dilaporkan berkata Malaysia akan meratifikasi ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) – Konvensyen Antarabangsa yang dikeluar­kan oleh PBB mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum –  serta lima perjanjian lain berkaitan hak asasi manusia [Berita Harian, 31/10/2018] telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak terutamanya sebahagi­an besar  kaum Melayu di kalangan rakyat, tokoh dan juga parti pembangkang yang menentang usaha ini kerana dikatakan mengancam kedudukan Islam dalam negara ini. Di antaranya termasuklah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menurut­nya ICERD akan merugikan Bumiputera kerana per­laksanaannya akan menyebabkan Bumiputera kehilangan keistimewaan yang diperuntukkan kepada mereka selama ini.  Datuk Salleh Buang yang merupakan bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara juga menyatakan bahawa hal itu akan mengancam institusi sedia ada seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Rejimen Askar Melayu Diraja terpaksa dimansuhkan. Bahkan beberapa undang-undang lain seperti Enakmen Tanah Rezab Melayu juga terpaksa di­mansuhkan [Utusan Online 30 Oktober 2018].

Diskriminasi Kaum Di Belahan Dunia

Mengapakah isu ratifikasi ICERD ini diketengahkan di negara ini? Tidak lain kerana terdapat sentimen dan persepsi kaum-kaum tertentu di Malaysia yang merasa bahawa mereka ber­hadapan dengan diskriminasi akibat perlaksanaan polisi-polisi negara yang dilihat menafikan hak mereka. Perkara sebegini turut dapat dilihat di segenap belahan dunia, apabila diskriminasi dan penindasan terhadap kaum yang mem­bentuk golongan minoriti di sesebuah negara terjadi di peringkat individu, masyarakat, mahupun dalam dasar-dasar negara. Antaranya termasuklah apa yang menimpa etnik Uighur di China, Rohingya di Myanmar dan di Barat yang juga menyaksikan bagaimana rakyat Amerika Syarikat (AS) berkulit hitam, Hispanic, dan orang asal Amerika (Red Indian) masih lagi berhadapan dengan implikasi akibat dasar diskriminasi di negara tersebut. Namun, diskriminasi tidak hanya terhad kepada kaum-kaum minoriti semata-mata. Bahkan terdapat juga kaum majoriti di sesebuah negara yang mengalami diskriminasi, misalnya dasar apartheid yang menindas kaum berkulit hitam di Afrika Selatan dahulu. Di Malaysia pula, meskipun kaum Melayu membentuk majoriti di negara ini, mereka juga turut berhadapan diskriminasi khususnya ter­hadap peluang pekerjaan bagi graduan di syarikat-syarikat milik kaum Cina seperti yang dilaporkan oleh pensyarah kanan Universiti Malaya, Dr. Lee Hwok Aun. Dr Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya yang berjudul The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia turut mengupas realiti peluang dan jurang perbezaan pengagihan kekayaan negara di antara etnik di Malaysia. Media Barat turut melaporkan statistik diskriminasi kaum yang terjadi di AS dan Eropah melibatkan jurang perbezaan antara orang berkulit putih dengan orang berkulit hitam, imigran termasuklah peluang mendapatkan pekerjaan setelah ditemuduga [Washington Post, 15/5/2013]. Dengan kata lain, diskriminasi masih berleluasa di segenap penjuru dunia, meskipun pelbagai triti (treaty) dan konvensyen diterap­kan di persada antarabangsa.

Agenda ICERD dan Kejahatan Kapitalisme

Secara umumnya, objektif yang ingin dicapai melalui konvensyen tersebut kelihatan murni dalam menjamin kesaksamaan antara kaum. Namun realitinya, sepertimana konvensyen dan perjanjian lain yang ditaja oleh PBB, ia tidak lebih sekadar menampal sulam kerosakan dan kezaliman yang dihasilkan akibat penerapan sistem kapitalisme-demokrasi di kalangan negara-negara anggota dan dijadi­kan sebagai alat bagi mengekalkan status quo PBB agar tetap dilihat relevan sehingga hari ini. Konvensyen ini, sepertimana jua kebanyakan triti dan konvensyen PBB lainnya seakan-akan tidak mempunyai impak dalam memasti­kan diskriminasi kaum dihapuskan meskipun boleh dikatakan hampir kesemua negara-negara di dunia ini telah menandatangani dan meratifikasinya, Misalnya, China selaku salah sebuah negara yang mengiktiraf konvensyen ini di bawah Artikel 14, masih menindas dan mendiskriminasi etnik Muslim Uighur di Xinjiang. Bahkan negara tersebut cuba menghapuskan identiti Muslim Uighur di kem-kem “pendidikan semula” dengan alasan kononnya untuk memerangi ekstremisme. Sedangkan hakikatnya, penindasan tersebut berpunca daripada kerakusan China dalam meraih kekayaan di wilayah tersebut serta kepentingan ekonomi dan strategik Xinjiang kepada China. Perkara yang sama dapat dilihat dalam krisis di Arakan, Myanmar apabila rejim di sana mengusir dan cuba menghapuskan bukti bahawa Muslim Rohingya merupakan penduduk asal wilayah tersebut. Penemuan lapangan gas asli yang terbesar di Asia Tenggara di pesisir pantai Arakan menjadi antara punca rejim bertindak sedemikian terhadap Muslim Rohingya [Decentralizing Natural Resource Management in Myanmar, Arakan  Oil  Watch, 2016]. Dalam ertikata lain, kerakusan penguasa yang bersekongkol dengan kelompok pemodal dalam mengaut keuntungan merupakan antara punca  berlakunya diskriminasi kaum. Semua ini merupakan kebiasaan yang terjadi dalam aturan kehidupan yang ber­tunjangkan ideologi kapitalisme. Oleh yang demikian, tampak jelas bahawa ICERD merupakan instrumen PBB yang gagal menjamin kesaksamaan dan menghapuskan diskriminasi kaum. Malangnya, masih ada di kalangan umat Islam yang masih bergantung harap kepada PBB untuk menyelesaikan konflik yang menimpa umat Islam hari ini dan menjamin keadilan sejagat.

Islam Membawa Rahmat dan Menolak Diskriminasi

Sesungguhnya Islam menolak segala bentuk diskriminasi yang menindas dan meminggirkan hak mana-mana kaum, jantina, dan individu. Bahkan Islam memperakukan keberadaan pelbagai bangsa serta menjelaskan bahawa ke­pelbagaian ini sewajarnya diraikan dengan keharmonian. Hal ini bersandarkan firman Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih ke­turunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).[TMQ Al-Hujurat (49): 13]. Islam juga telah menggariskan bahawa negara wajib mem­berikan jaminan pemenuhan hak-hak setiap individu Muslim dan ahlu zimmah yang menetap di dalam negara Islam. Islam turut menghormati hak-hak kafir zimmi dalam hal-hal melibat­kan ibadah, kekeluargaan, dan nikah kahwin mengikut adat dan kepercayaan mereka. Sejarah juga mem­buktikan bahawa terdapat ahlu zimmah yang menduduki jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran Khilafah. Islam turut menjamin hak-hak primer (makan, minum, pakaian, dan tempat tinggal) secara adil tanpa membezakan kaum. Siapa sahaja di kalangan warganegara yang menghadapi kesulitan akan menerima bantuan. Dakwaan bahawa ahlu zimmah merupakan warganegara kelas kedua oleh se­setengah Orientalis Barat ternyata tidak benar sama sekali. Bahkan di saat kerajaan Sepanyol mengusir umat Islam dan penganut Yahudi ketika peristiwa Spanish Inquisition pada penghujung kurun ke-15, Khilafah Uthmaniyah telah menerima kesemua pelarian tersebut dan memberikan per­lindungan kepada mereka. Sesungguhnya, Islam telahpun mempunyai tatacara dalam menjamin kesejahteraan dan keadilan buat manusia sejagat, tanpa perlu kepada hak asasi manusia versi Barat yang penuh hipokrasi dan ironi. Sementara itu, perlaksanaan dasar tindakan afirmatif yang dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi positif juga tidak sewajarnya dilakukan sehingga menindas dan meminggirkan hak kaum-kaum lain. Sebaliknya, mekanisme yang lebih adil dan inklusif perlu diterap­kan oleh negara bagi menjamin agar kemakmuran dapat dikecapi oleh semua. Ketidakseimbangan dari segi pengagihan kekayaan dan jurang yang meluas antara yang miskin dan kaya tidak seharusnya dilihat melalui kacamata perkauman, sebaliknya berpunca daripada penerapan sistem kapitalisme yang mencengkam negara ini.

Prinsip Islam juga menekankan bahawa kemuliaan sesuatu kaum itu hanya wujud apabila Islam menjadi dukungannya dan bukan terletak pada warna kulit atau DNA sesuatu kaum. Umar RA berucap ketika umat Islam berjaya membebaskan kota suci Baitul Maqdis: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah SWT memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain daripada apa yang Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina Allah[Al-Hakim, Al-Mustadrak, 1/237]. Justeru, berbekalkan semangat daripada ungkapan Umar RA ini, umat Islam di negara ini sewajarnya meluruskan kembali agenda perjuangan ke arah meraih kembali kemuliaan dengan Islam. Bantahan terhadap ratifikasi ICERD seharusnya dilakukan dengan asas yang benar, bukan hanya bersandarkan kepada sentimen yang sempit. Kita juga perlu menyedari bahawa akar permasalahan yang berlaku dalam dunia Islam pada hari ini berpunca daripada penerapan hukum selain daripada syariat Islam dalam segenap aspek ke­hidupan. Justeru, perubahan seharusnya dilakukan secara sistemik dengan mendukung ideologi Islam yang berlandaskan bimbingan wahyu, bukan selain daripadanya.


KOLUM SEJARAH ISLAM

Perang Dunia Pertama Dan Runtuhnya Khilafah

Sebelum terlibat dalam Perang Dunia Pertama, Khilafah Uthmaniyah berada dalam keadaan tenat. Antara 1908-1913 Khilafah menghadapi ancaman dari dalam dan luar, iaitu Revolusi Turki Muda dan tuntutan kemerdekaan dari wilayah-wilayah di semenanjung Balkan. Pada 1914, beberapa kekuatan besar Eropah melibatkan diri di dalam peperangan, termasuk Khilafah Uthmaniyah yang bergabung dengan Jerman menentang Pasukan Bersekutu.

Dengan dukungan dana, persenjataan, dan penasihat ketenteraan dari Jerman, Khilafah Uthmaniyah menentang Rusia, Inggeris, dan Perancis serta menyerukan jihad untuk melawan Pasukan Bersekutu di beberapa wilayah Muslim. Pasukan Khilafah menang  di Gallipoli, Mesopotamia, dan Gaza sebelum kemenangan kembali berpihak kepada Pasukan Bersekutu.

Pada 1 Februari 1915, Pasukan Khilafah Uthmaniyah bergerak ke barat Terusan Suez ketika ribut pasir melanda. Sementara Pasukan Sekutu yang menguasai Terusan Suez tidak mampu membuka mata, komandan Jerman dan Uthmaniyah memanfaatkan ribut tersebut. Kehadiran mereka dikesan dan disahut oleh salakan anjing milik Pasukan Besekutu. Dalam waktu yang sama, Pasukan Bersekutu terus membuat serangan. Pasukan Uthmaniyah yang dipimpin Komanden Laut  Uthmaniyah Ahmed Cemal kalah teruk akibat diserang bertubi-tubi dari darat, laut, dan udara. Kekalahan di Terusan Suez ini memburukkan lagi keadaan Khilafah Uthmaniyah. Kota-kota besar seperti Baghdad, Baitul Maqdis dan Damaskus jatuh ke tangan Pasukan Bersekutu sebelum pemerintah Uthmaniyah terpaksa bersetuju menandatangani gencatan senjata pada 1918.

Dalam pertemuan pada April 1920 di San Reno, Itali, Eropah telah membahagi-bahagikan wilayah Khilafah Uthmaniyah kepada setiap Pasukan Bersekutu. Yang tersisa hanyalah di daerah Bursa, Ankara dan Samsun di perairan Laut Hitam. Gerakan Nasionalis Turki yang dipimpin Mustafa Kamal mengakui bahawa Khilafah Uthmaniyah tidak mampu lagi mengembalikan wilayah yang telah dijajah lalu menentang setiap perjanjian yang dimeterai. Pada 1922, Mustafa Kamal membawa pasukannya dalam tiga pertempuran melawan Armenia, Perancis, dan Greek dan memenangi ketiga-tiga pertempuran tersebut. Kemenangan tersebut hakikatnya hanyalah hadiah hasil konspirasi dengan kuasa-kuasa besar Eropah dalam usaha menjatuhkan Daulah Khilafah Uthmaniyah.

Kemenangan ini menyebabkan dia dianggap sebagai pahlawan dan berhasil menguasai politik dalam negara. Pada 1 November 1922, dia bersama Perhimpunan Agung Kebangsaan (Grand National Assembly) merancang untuk mengakhiri riwayat Khilafah Uthmaniyah dan secara rasminya Khilafah dibubarkan pada 3 Mac 1924.

Sumber: Prof. Eugene Rogan (2015). The Fall of the Ottomans: The Great War in the Middle East. Basic Books, New York.

Download PDF