SN547 – Perubahan Yang Tidak Membawa Erti
Bil: SN547 – 26 Jamadilawal 1440 / 1 Februari 2019
Sepanjang tahun 2018 menyaksikan pelbagai peristiwa yang memberikan impak ke atas umat Islam di negara ini. Peristiwa-peristiwa tersebut sewajarnya dinilai dan diambil pengajaran daripadanya agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sabda Rasulullah SAW, “Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali” [HR Bukhari dan Muslim]. Perubahan landskap politik negara yang drastik pada tahun 2018 telah membawa bersama harapan baru untuk tahun 2019. Perubahan yang dimaksudkan adalah kejayaan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan dan memecahkan monopoli penguasaan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah lebih 60 tahun pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu. Pelbagai isu dan skandal yang terpalit atas barisan kepimpinan BN akhirnya diubah melalui pilihanraya yang merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.
Isu seperti skandal 1MDB, rasuah, kos sara hidup dan lain-lain ternyata telah berjaya membentuk persepsi dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda untuk menolak pemerintahan kerajaan BN. Tidak menghairankan jika kemenangan PH pada PRU14 telah mencetuskan euforia dalam kalangan segelintir umat Islam, khasnya bagi mereka yang melihatnya sebagai kejayaan menumbangkan ‘rejim’ yang diterajui pemimpin yang terpalit dengan pelbagai skandal. . Ironinya, era “Malaysia Baharu” ini menyaksikan bagaimana parti-parti yang sebelumnya merupakan seteru politik sekarang menjadi ‘kawan’ dalam membentuk kerajaan, manakala yang dahulu kawan kini menjadi lawan yang berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Perkara ini menunjukkan betapa dalam politik demokrasi, tiada kawan dan lawan yang kekal. Yang kekal hanyalah manfaat yang ingin diraih.
Ikatan maslahat (ar-raabitah al-maslahiyah) sebegini merupakan ikatan yang sementara sifatnya, tidak boleh dijadikan pengikat antara manusia. Hal ini disebabkan adanya peluang tawar-menawar (berkompromi) dalam mengejar kemaslahatan yang lebih besar, sehingga kewujudannya akan hilang begitu sahaja apabila ada kemaslahatan lain yang lebih besar daripadanya. Ikatan ini juga akan berakhir dan memisahkan antara manusia apabila kemaslahatan mereka berbeza. Lebih-lebih lagi apabila kemaslahatan ini sudah terpenuhi, maka ikatan ini akan berakhir [Nizamul Islam, Sheikh Taqiyuddin an-Nabhani]. Oleh itu, tidak menghairankan jika parti-parti komponen yang membentuk barisan kerajaan mahupun pembangkang ini kembali menjadi lawan, hal ini tidak lain tidak bukan kerana tiada lagi manfaat yang boleh diraih dari sesama mereka.
Janji Suatu Amanah, Bukan Penghias Manifesto
Setelah masa berlalu, euforia tersebut mulai pudar setelah janji demi janji gagal ditepati. Sikap dan respon kerajaan yang mengalihkan punca kegagalan tersebut kepada natijah hutang yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu membuatkan sebilangan rakyat mulai muak dan kecewa. Kerajaan PH juga sedikit sebanyak kehilangan kredibiliti di mata rakyat kerana dilihat banyak membuat “pusingan U” dalam keputusan-keputusan yang dibuat. Hal ini telah dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang dalam memburuk-burukkan kerajaan. Sebahagian janji-janji yang dimuatkan dalam manifesto PRU14 lalu ternyata gagal dicapai, termasuklah janji dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih pemerintahan. Sikap sesetengah pemimpin kerajaan yang menyalahkan polisi kerajaan terdahulu juga menyebabkan rakyat menjadi semakin kecewa dan mulai berasa tertipu dengan janji-janji yang ditaburkan. Antara isu yang kerap dijadikan modal serangan termasuklah berkaitan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan isu pemansuhan tol. Di samping itu, terdapat juga polisi-polisi kerajaan terdahulu yang sebelum ini dikritik hebat, namun diteruskan oleh PH setelah penjenamaan semula. Misalnya Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diubah menjadi Bantuan Sara Hidup, dan skim bantuan baucar buku bagi mahasiswa.
Dari sudut ekonomi pula, di sebalik laporan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik seperti yang dicanangkan oleh pihak kerajaan, hakikatnya rakyat biasa masih berada di takuk yang sama. Pertumbuhan ekonomi yang baik dengan data-data ekonomi yang positif pada satu sudut manakala pada satu sudut yang lain pula rakyat biasa merasai bebanan kos sara hidup tinggi. Ia berbalik kepada asas ekonomi kapitalisme yang menjadikan parameter pengeluaran – KDNK dan KNK – sebagai tolok ukur utama keadaan ekonomi. Dalam masa yang sama, idea kebebasan hak milik telah membenarkan hak pemilikan umum seperti minyak, gas asli, bauksit, emas, kayu balak dan bekalan air di negara ini dimonopoli dan dikaut keuntungannya oleh syarikat tertentu. Akibatnya, walaupun pertumbuhan ekonomi semakin baik tetapi ia tidak dirasai oleh masyarakat kebanyakan. Sebaliknya, ia mewujudkan jurang yang semakin besar antara golongan terkaya dengan rakyat kebanyakan.
Sudahlah peralihan daripada GST kepada SST tidak membawa sebarang makna dalam mengurangkan beban hidup, rakyat pula terus dibebankan dengan beberapa cukai baharu yang bakal dilaksanakan pada tahun ini. Cukai sememangnya merupakan antara sumber utama pendapatan negara dalam sistem kapitalis. Inilah yang membezakan antara sistem ekonomi Islam dan kapitalis di mana Islam mengharamkan sebarang bentuk percukaian kecuali yang telah ditetapkan oleh syarak.
Tahun lalu juga merekodkan peningkatan kemiskinan bandar meskipun pelbagai inisiatif telah diambil bagi menanganinya. Berdasarkan Laporan Kanak-kanak Pinggiran Unicef Malaysia 2018, satu dalam 3 isi rumah mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Meskipun jumlah tersebut melebihi pendapatan garis kemiskinan (PGK), namun golongan miskin bandar khasnya masih berhadapan kesukaran dalam memenuhi keperluan asas bagi menjalani kehidupan. Laporan tersebut turut menyatakan 22% daripada isi rumah mempunyai tiga generasi yang tinggal bersama dan mempunyai masalah nutrisi kanak-kanak berdasarkan kajian yang dijalankan di lokasi penempatan perumahan kos rendah di negara ini. Dalam masa yang sama, terdapat pula golongan yang mempunyai kekayaan yang melimpah-ruah. Ketidakseimbangan pengagihan kekayaan dan jurang perbezaan yang ketara merupakan natijah daripada penerapan sistem kapitalisme. Kekayaan tidak sewajarnya bertumpu kepada golongan tertentu sahaja seperti yang terjadi dalam sistem kapitalisme yang diamalkan pada hari ini. Kesannya bukan sahaja dari aspek ekonomi, bahkan turut memberi impak buruk dari sudut kemasyarakatan dan kesepaduan sosial.
Pelaksanaan dasar tindakan afirmatif yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu masih gagal merapatkan jurang tersebut, sebaliknya dilihat membuka ruang kepada ketirisan, nepotisme, dan favouritisme. Persepsi sedemikian turut menyebabkan sebilangan kaum lain di negara ini bertindak balas dan mendiskriminasi kelompok ‘Bumiputera’, termasuklah dalam peluang pekerjaan bagi graduan di syarikat-syarikat milik kaum Cina seperti yang dilaporkan oleh pensyarah kanan Universiti Malaya, Dr. Lee Hwok Aun. Setakat ini tidak kelihatan sebarang usaha yang jelas diambil oleh kerajaan bagi menangani punca permasalahan tersebut.
Dalam pada itu, kesepaduan sosial di negara ini juga semakin terancam ekoran tindakan segelintir pihak yang memainkan sentimen perkauman demi meraih kepentingan politik. Tindakan kelompok tersebut boleh mengundang persengketaan antara kaum dan mencetuskan pergeseran yang boleh mengancam keharmonian dalam masyarakat. Sedangkan Islam hadir memecahkan sempadan perkauman dan menyatukan umat manusia di bawah ikatan akidah tanpa mengira bangsa dan kedudukan.
Era “Malaysia Baharu” juga menyaksikan para pendokong liberalisme semakin berani mempertikaikan norma dan ajaran Islam. Menurut sebahagian golongan ini, agama merupakan urusan peribadi dan tidak sewajarnya diterapkan dalam aspek kemasyarakatan mahupun kenegaraan. Pihak yang ikhlas ingin kembali menerapkan Islam pula dilabel sebagai kolot dan terlibat dalam proses “talibanisasi” negara ini. Amalan yang dikaitkan dengan Islam dan institusi agama turut menjadi sasaran kelompok ini, seperti yang dapat dilihat dalam isu pernikahan remaja ‘bawah umur’, poligami, hak penjagaan anak bagi pasangan berlainan agama, dan khitan wanita sebagai contoh. Gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin (IRLA) versi kerajaan baharu tidak ada bezanya dengan gagasan Islam Wasatiyyah yang dicipta kerajaan dahulu, bukan sahaja tidak membawa kebangkitan pemikiran umat Islam dan membangunkan negara atas landasan syariat, malah ia sebaliknya gagal membendung doktrin-doktrin yang menyesatkan seperti liberalisme, sekularisme dan pluralisme dengan mengambil langkah apologetik yang merugikan dan mengundang murka Allah SWT.
Jelaslah bahawa peralihan tampuk pemerintahan ternyata tidak membawa perubahan hakiki. Bahkan dalam sesetengah aspek keadaan menjadi semakin parah berbanding di bawah pentadbiran terdahulu. Boleh dikatakan bahawa Malaysia Baharu tidak banyak bezanya dengan Malaysia Dahulu. Inilah yang terjadi apabila perubahan yang terjadi tidak menempuh metodologi sepertimana yang telah digariskan oleh Islam. Perubahan yang berlaku pada 2018 tidak membawa erti seandainya sistem yang digunapakai pada hari ini masih lagi sama. Kemelut yang menghimpit umat di negara ini pasti akan berterusan, bahkan boleh menjadi lebih teruk selagimana sistem demokrasi-sekular-kapitalis dijunjung dan diamalkan di negara ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik . Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?“ [TMQ Al Maidah :49-50]
Sesungguhnya syariat Islam diturunkan kepada umat manusia adalah bertujuan untuk dijadikan panduan dalam segenap aspek kehidupan, termasuklah dalam aspek pemerintahan dan kenegaraan. Islam hadir untuk mengatur urusan kehidupan manusia bukan mengekang fitrah manusia. Sebagai hamba yang beriman, kita diperintahkan untuk tunduk dan patuh kepada syariat Islam, bukan tunduk kepada keinginan akal, nafsu mahupun doktrin yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Apa yang diperlukan pada hari ini bukan sekadar mengubah wajah-wajah yang mengisi tampuk pemerintahan, juga bukan rombakan kosmetik bagi menutupi kepincangan dan kelompongan yang berpunca daripada penerapan sistem kapitalis pada hari ini. Umat Islam di negara ini memerlukan perubahan yang bersifat sistemik menuju kepada penerapan sistem Islam secara kaffah di bawah naungan Khilafah Rasyidah. Sudah semestinya dengan berdirinya Khilafah tidak bererti tidak akan ada lagi sebarang masalah yang timbul. Namun di bawah sistem tersebut akan mengembalikan kedudukan Islam sebagai sebuah mabda (cara hidup) yang berperanan menangani segenap permasalahan manusia (mu’allajah lil masyakil insan). Khilafah Islam pasti akan kembali, sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah melalui lisan Rasul-Nya SAW. Masa hadapan adalah milik Islam, soalnya apakah kita ingin turut serta mengusahakannya atau sekadar menjadi pemerhati, atau lebih teruk lagi cuba menghalangnya? Semoga Allah SWT sentiasa membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya.