SN568 – Tanggungjawab Pemerintah Menurut Islam

SN568

3 September 2021 M / 26 Muharram 1443 H

 

Malaysia telah mendapat Perdana Menteri yang baru pada 21 Ogos lepas, setelah 17 bulan Tan Sri Muhyiddin Yassin bergelut mempertahankan jawatannya. Muhyiddin berjaya memegang jawatan nombor satu negara melalui pengkhianatan dalam persekutuan politik dan jawatan beliau juga berakhir melalui pengkhianatan dalam persekutuan politik. Dengan kata lain, beliau telah menerima balasan atas apa yang beliau lakukan. Begitulah lumrah politik kotor demokrasi, mereka bersekutu kerana manfaat dan mereka berkhianat kerana manfaat. Asas kepada segala tindakan adalah manfaat dan untuk mencapai manfaat tersebut, matlamat menghalalkan segala cara. Itulah yang menjadi pegangan kesemua politikus demokrasi walau dari parti Islam sekali pun. Pada 27 Ogos, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia ke-9, telah mengumumkan barisan kabinetnya yang terdiri daripada 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri, sebuah kabinet yang disifatkan sebagai kitar semula daripada sebuah kerajaan yang terbukti gagal sebelumnya.

Siapa pun Perdana Menteri dan siapa pun yang duduk di barisan pemerintahan, apa yang penting untuk mereka fahami ialah tanggungjawab dan amanah yang Allah (swt) letakkan di bahu mereka. Walaupun kita yakin bahawa barisan kabinet baru ini tidak akan berbeza dengan kesemua barisan kabinet sebelum-sebelum ini sebagai penerus kepada sistem sekular demokrasi tinggalan kafir penjajah, namun ia tidak melepaskan kita daripada tanggungjawab untuk memuhasabah dan mengingatkan mereka. Kita mengingatkan mereka bukan sahaja untuk kebaikan mereka, tetapi juga untuk kebaikan kita di dunia dan akhirat, kerana muhasabah itu merupakan sebuah kewajipan yang jika tidak dilakukan, akan pasti dipertanyakan oleh Allah (swt) di padang Mahsyar kelak.

Pemerintah Wajib Terapkan Hukum Allah

Terdapat banyak ayat mengenai pemerintahan di dalam Al-Quran, atau dengan kata lain ayat-ayat yang ditujukan oleh Allah (swt) kepada pemerintah untuk menerapkan hukum-Nya. Terdapat banyak juga ayat yang merupakan perintah Allah (swt) kepada kaum Muslimin secara umum, tetapi dari aspek pelaksanaannya memerlukan solahiyyah (bidangkuasa) daripada pemerintah, khususnya yang menyangkut persoalan uqubat (hukuman) seperti hukum bunuh, sebat, potong tangan dan lain-lain.

Siapa sahaja, yang menjadi pemerintah dalam sebuah negara, maka menjadi kewajipan ke atasnya untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah (keseluruhan), dan tanpa bertahap, dan dia tidak memiliki hujah sedikit pun di hadapan Allah untuk tidak menerapkan hukum-hukum-Nya. Ini kerana ayat-ayat mengenai penerapan hukum Allah adalah qath’ie dan tidak ada kesamaran sedikit pun. Firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Setelah Allah (swt) menyempurnakan agama Islam dengan selesainya penurunan Al-Quran, maka kaum Muslimin diperintahkan agar menerapkan dan melaksanakan seluruh hukum Islam secara total, baik hukum yang menyangkut persoalan akidah, ibadah, akhlak, muamalah mahu pun uqubat. Tidak terkecuali hukum-hukum yang melibatkan interaksi kaum Muslimin dengan orang-orang kafir, dalam dan luar negeri, termasuklah politik antarabangsa dalam keadaan damai dan perang. Allah (swt) memerintahkan agar kaum Muslimin menerapkan hukum-Nya secara kaffah, tanpa apa-apa alasan lagi. Malah Dia mengancam siapa sahaja khususnya para penguasa yang tidak menerapkan hukum-Nya dengan ancaman yang pedih.

Hatta menerapkan sebahagian sahaja daripada hukum-Nya sudah menjadikan orang itu hina dan diancam dengan azab yang pedih, apatah lagi jika tidak menerapkan semuanya. Firman-Nya: “Apakah kamu beriman dengan sebahagian Al-Kitab dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Dan Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan” [TMQ al-Baqarah (2): 85].

Firman-Nya yang lain: “Apa sahaja yang diberikan Rasul kepadamu, maka ambillah. Dan apa sahaja yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukuman-Nya” [TMQ al-Hasyr (59): 7]. Allah (swt) memerintahkan agar kaum Muslimin mengambil dan melaksanakan semua yang dibawa oleh Rasul, dan meninggalkan apa yang dilarang oleh baginda. Kata “Ma” dalam ayat tersebut merupakan lafaz umum yang mencakupi apa sahaja kewajipan dan apa sahaja larangan, tanpa kecuali dan tanpa boleh dipilih-pilih. Perintah untuk mengambil dan meninggalkan dalam ayat tersebut merupakan perintah yang bersifat jazm (tegas), yang membawa maksud wajib. Dengan adanya qarinah (indikasi) di penghujung ayat tersebut, yang berupa perintah untuk bertakwa, serta terdapat ancaman azab yang pedih bagi siapa sahaja yang tidak mahu mengambil atau tidak mahu meninggalkan larangan yang dibawa baginda, ia menambahkan lagi akan kewajipan dalam ayat tersebut.

Dalam ayat lain Allah (swt) berfirman: “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” [TMQ al-Maidah (5): 49]. Ayat ini juga merupakan perintah yang tegas dari Allah (swt) yang ditujukan kepada Rasul-Nya serta para penguasa Muslim setelah baginda, tentang wajibnya menerapkan kesemua hukum yang telah diturunkan-Nya, baik berupa perintah mahupun larangan. Ini kerana, kata “Ma” yang ada dalam ayat tersebut berbentuk umum, sehingga mencakup seluruh hukum yang telah diturunkan, tanpa kecuali.

Dalam ayat tersebut, Allah (swt) juga mengingatkan Rasul-Nya (serta para penguasa Muslim setelah baginda) terhadap orang-orang yang ingin memalingkan baginda daripada hukum-Nya. Allah (swt) menegaskan bahawa manusia yang ingin memalingkan manusia lain dari hukum-Nya, merupakan manusia yang menyesatkan orang lain. Justeru, akan tersesatlah siapa yang berjaya dipalingkan oleh manusia daripada menerapkan hukum Allah (swt).

Lebih tegas lagi Allah (swt) mengingatkan pemerintah kaum Muslimin bahawa: “Siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5): 44]. Seterusnya: “Siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5): 45]. Seterusnya: “Siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang fasiq” [TMQ al-Ma’idah (5): 47].

Di dalam ketiga-tiga ayat ini, Allah (swt) menjatuhkan vonis kepada siapa saja yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan-Nya sebagai kafir, zalim dan fasiq. Lafaz “Ma” dalam ketiga-tiga ayat tersebut berbentuk umum yang mencakupi semua hukum yang telah diturunkan oleh Allah, baik berupa perintah mahu pun larangan. Seseorang akan menjadi kafir jika mengingkari atau tidak yakin dengan hukum Allah (swt), manakala akan menjadi zalim dan fasiq jika masih yakin dan mengakui hukum Allah (swt) tetapi tidak menerapkannya.

Semua ayat yang telah dijelaskan di atas secara tegas dan tidak ada sedikit pun kekaburan, menyatakan bahawa seluruh kaum Muslimin, baik sebagai individu, jemaah, apatah lagi negara (pemerintah), wajib menerapkan keseluruhan hukum Allah (swt), tanpa kompromi dan tanpa alasan. Tidak ada pengecualian atau keizinan apa pun dari Allah (swt) untuk tidak menerapkan hukum-Nya, atau untuk menerapkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian, atau untuk menangguh, atau untuk menerapkan secara bertahap akan hukum-hukum-Nya. Tidak ada!

Berdasarkan ayat-ayat di atas, dan banyak lagi ayat-ayat lainnya, jelas menunjukkan bahawa kewajipan pemerintah adalah untuk menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah. Tidak ada satu alasan pun ke atas mana-mana pemerintah untuk tidak menerapkan hukum-Nya! Allah (swt) tidak memberi apa-apa pengecualian kepada mana-mana pemerintah, malah Dia telah menegaskan bahawa Dia akan mengazab dengan azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum-Nya.

Sesungguhnya kewajipan menerapkan hukum Allah (swt) tidak pernah berubah sejak dahulu hingga sekarang, malah hingga kiamat, dan kewajipan ini tidak boleh dikompromi oleh mana-mana orang yang mengaku dirinya Muslim. Rasulullah (saw) menolak delegasi dari Bani Tsaqif, ketika delegasi tersebut meminta kepada baginda agar membiarkan berhala mereka, Latta dan Uzza selama tiga tahun serta melepaskan mereka daripada kewajipan solat ketika mereka masuk Islam. Permintaan mereka itu langsung tidak dipedulikan oleh Rasulullah (saw). Malah baginda tetap menghancurkan berhala tersebut tanpa menunda-nunda sedikit pun, serta memaksa mereka agar menunaikan solat tanpa berlengah lagi setelah mereka masuk Islam. Begitulah tegasnya Rasulullah (saw) dalam melaksanakan perintah Allah (swt) tanpa terpengaruh atau mengikuti kehendak manusia, tanpa kompromi dan tanpa menunda-nunda sedikit pun.

Justeru, kewajipan dalam menerapkan hukum Allah (swt) ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh secara main-main dan tidak boleh secara bertahap, dan tidak ada bezanya antara satu kewajipan dengan kewajipan lainnya, begitu pula antara satu keharaman dengan keharaman lainnya. Tidak ada beza antara kewajipan solat dengan kewajipan potong tangan, begitu juga antara kewajipan puasa dengan kewajipan jihad, dan tidak ada beza antara keharaman zina dengan keharaman riba, dan begitulah seterusnya. Sebab, hukum Allah (swt) itu semuanya sama, sama-sama wajib diterapkan, tanpa ada alasan sedikit pun untuk tidak menerapkannya. Azab yang pedih menanti bagi siapa pun, khasnya pemerintah yang tidak menerapkan hukum-Nya.

Khatimah

Seperkara penting yang perlu difahami dalam hal pemerintahan ini ialah mengenai sistem pemerintahan itu sendiri. Sesungguhnya sistem pemerintahan Islam yang diwajibkan oleh Tuhan semesta alam ialah Khilafah, tidak yang lain, tidak demokrasi, tidak autokrasi dan tidak juga monarki. Khilafah ialah kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia untuk menegakkan syariat Islam dan mengembang risalah Islam ke seluruh penjuru alam. Khilafah merupakan satu-satunya sistem pemerintahan yang diwariskan oleh Rasulullah (saw) kepada umat Islam. Sabda baginda:

“Dahulu, Bani Israel dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi wafat, digantikan dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada Nabi sesudahku (tetapi) nanti akan ada ramai Khalifah’. Para sahabat bertanya, ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab, ‘Penuhilah baiat yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka” [HR Bukhari & Muslim].

Kewajipan untuk menegakkan Khilafah ini merupakan suatu yang qath’ie, dan tidak ada kesamaran sedikit pun. Malah jumhur ulama menyifatkannya sebagai ahammul wajibat (kewajipan yang paling utama). Setiap Muslim berkewajipan untuk mendirikannya kembali, apatah lagi mereka yang sudah berada di kekuasaan, yang dengan cukup mudah boleh menukar negara-bangsa dan sistem kufur demokrasi yang ada ini kepada negara dan sistem Khilafah. Pilihan ada di tangan masing-masing, dan kini Allah (swt) sedang melihat kerajaan baru Malaysia yang diterajui oleh Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, dengan semua barisan kabinetnya, termasuk daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS), samada mereka akan menerapkan hukum-Nya atau tidak. Walaupun berdasarkan track record kita sudah boleh mengagak apakah pilihan yang mereka akan ambil, namun kita tetap mengingatkan mereka bahawa untuk setiap pilihan, ada syurga dan neraka yang sedang menanti.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF