SN589 – Di Manakah Al-Mu’tasim?

SN589

18 Februari 2022 M / 17 Rejab 1443 H

 

Video keberanian seorang pelajar Muslimah dari Karnataka, India yang berhadapan dengan para pembenci dan pencacinya, menjadi tular di seluruh dunia Islam hanya dalam beberapa jam. Beliau seorang diri dengan teguh dan tegar menghadapi puluhan lelaki ekstremis Hindu, demi mempertahankan sebuah kewajipan yang datang dari Tuhannya, sekali gus mempertahankan agamanya. Keberanian dan keteguhannya terhadap Islam, walaupun dalam keadaan dikelilingi oleh puluhan lelaki kafir yang dalam keadaan seperti ingin menerkamnya, telah menaut hati seluruh umat Islam. Beliau hanya melaungkan “Allahu Akbar” yang menunjukkan kebergantungan dan kepasrahan dirinya hanya kepada Allah, yang malah menjadi sebab kepada keberaniannya. Sejak itu, ungkapan “Allahu Akbar” dan “Sherni” (singa betina) telah menjadi trending di Twitter. Sesungguhnya inilah apa yang diperlukan oleh umat ini apabila berhadapan dengan musuh-musuh Allah (swt) – keberanian dan keteguhan mempertahankan agamanya, serta kebergantungan sepenuhnya kepada Allah (swt). Ironinya, di manakah para pemimpin umat Islam? Di manakah para pemimpin yang seharusnya menjaga kaum Muslimah? Di manakah mereka yang wajib melindungi anak-anak perempuan umat ini, sama ada di Karnataka, Kashmir, al-Quds, Arakan, Xinjiang dan lain-lain? Di manakah mereka?

Pelajar Muslimah di Karnataka, yang kini merebak ke Uttar Pradesh, tidak dibenarkan memasuki kelas dalam keadaan berhijab. Itulah ketetapan yang dibuat oleh pihak sekolah dan kolej, yang dibelakangi oleh pihak berkuasa Hindu, ke atas anak-anak perempuan kita di Karnataka. Musuh-musuh Allah itu sungguh benci melihat agama Allah diamalkan oleh kita semua, walaupun hanya dalam bentuk amalan peribadi berupa pakaian. Pemimpin kaum Muslimin yang jumlahnya lebih 50 orang yang mempunyai kekuatan senjata dan anggota yang begitu ramai di bawahnya, hanya menjadi penonton kepada kejadian ini, sebagaimana mereka menjadi penonton ketika negara Yahudi dan Perancis merentap tudung para Muslimah di khalayak ramai. Pemimpin Pakistan yang hanya berada selangkah sahaja di sebelah India pun hanya turut menjadi penonton yang bacul lagi khianat kepada umat Muhammad (saw). Jika keseluruhan Kashmir pun sanggup diserahkannya kepada India untuk “disembelih” para penduduknya oleh India, apatah lagi hanya seorang Muslimah di Karnataka yang diganggu kerana tudungnya! Inilah realitinya dengan pemimpin Pakistan, dan bukan hanya Pakistan, malah keseluruhan pemimpin negeri kaum Muslimin!

Pengkhianatan Pemimpin

Kita tentunya tidak lupa tragedi seorang Muslimah yang ditikam sebanyak 18 kali dalam sebuah mahkamah di German pada tahun 2009, hanya kerana beliau bertudung. Marwa el-Sherbani, berasal dari Mesir, ibu kepada seorang anak berusia tiga tahun, yang ketika itu sedang mengandung anak kedua, ditikam di hadapan suaminya sebaik sahaja hakim memutuskan yang beliau menang kes terhadap Alex (pembunuhnya) atas saman terhadap Alex yang menuduhnya sebagai pengganas hanya kerana beliau bertudung.

Tidak cukup dengan itu, suaminya yang bergelut untuk menyelamatkannya turut ditikam sebanyak tiga kali dan kemudiannya ditembak pula oleh polis ketika pergelutan! Pembunuhan kejam tersebut langsung tidak mendapat reaksi apa pun daripada para pemimpin kaum Muslimin! Hal ini sungguh berbeza jika ada seorang Yahudi yang dibunuh oleh Muslim, yang mana seluruh pemimpin dunia, termasuk dunia Islam, akan bangkit mempertahankan Yahudi tersebut, dan sudah pasti si Muslim tadi akan dituduh sebagai pengganas.

Beberapa tahun sebelumnya iaitu pada 2003, Dr. Aafia Siddiqui, asal Pakistan dan ibu kepada tiga anak yang juga seorang penghafaz al-Quran, telah ditangkap oleh pihak mata-mata Pakistan, lalu diserahkan kepada tentera Amerika di Afghanistan dan dipenjarakan di Bagram. Beliau dituduh terlibat dalam keganasan, termasuklah tuduhan “ajaib” bergelut dengan tentera Amerika, berjaya merampas senjata dan menembak tentera Amerika dalam pergelutan tersebut.

Beliau berulang kali diseksa dengan kejam dalam penjara selama bertahun-tahun. Moazzam Begg dan beberapa mantan tawanan dari Amerika melaporkan bahawa seorang tahanan wanita bergelar “Tawanan 650” (merujuk kepada Dr. Aafia) telah ditangkap di Pangkalan Udara Bagram. Yvonne Ridley dari cageprisoners.com menulis tentang “Tawanan 650” bahawa dia telah diseksa dan diperkosa secara berulang-ulang selama lebih empat tahun.

Dalam tulisannya, Yvonne menyatakan, “Jeritan yang tidak berdaya daripada wanita ini (Dr. Aafia) atas seksaannya, bergema di penjara itu sehingga memaksa tahanan-tahanan lain melakukan mogok lapar”. Yvonne menyebut Dr. Aafia sebagai “seorang perempuan beruban yang keadaannya  seperti ‘hantu’ yang menangis dan meraung, yang menghantui orang-orang yang mendengarnya. Hal ini tidak akan pernah terjadi pada seorang wanita Barat.”

Hingga sekarang, kita tidak mengetahui apakah nasib Dr. Aafia. Namun apa yang pasti ialah kesemua penguasa kaum Muslimin, termasuk penguasa Pakistan sendiri yang telah bersilih ganti sejak tahun 2003, tidak pernah mempedulikan nasib wanita mulia ini. Bayangkan jika kisah kekejaman yang sangat menyayat hati yang dilakukan oleh puak kuffar ke atas wanita Muslim, ini pun tidak dipedulikan oleh penguasa kaum Muslimin, maka apatah lagi jika hanya melibatkan soal seorang Muslimah yang tidak dibenarkan memasuki kelas akibat bertudung! Sungguh bacul dan khianatnya pemerintah Muslim pada hari ini!

Rasulullah Dan Khalifah Sebagai Pembela Muslimah

Dalam Islam, wanita merupakan aurat dan kehormatan yang wajib dijaga. Selain menjadi kewajipan atas Muslimah untuk menjaga aurat dan kehormatannya sendiri, seorang bapa wajib menjaga aurat dan kehormatan anak-anak perempuannya; seorang suami wajib menjaga aurat dan kehormatan isterinya; dan seorang ketua negara wajib menjaga aurat dan kehormatan seluruh kaum Muslimah di bawah pemerintahannya. Penjagaan di sini bukan hanya bermaksud memastikan kaum Muslimah menutup aurat sebagaimana diperintahkan oleh Allah, tetapi wajib menjaga maruah dan aurat Muslimah ketika maruah dan auratnya diperlecehkan atau cuba dipermainkan oleh orang lain, apatah lagi oleh musuh-musuh Islam. Ketua negara wajib menjaganya!

Rasulullah (saw) sebagai ketua negara sangat menjaga aurat dan kehormatan kaum Muslimah, sehingga baginda mengisytiharkan jihad kepada kaum Yahudi yang mempermainkan aurat dan kehormatan seorang Muslimah di khalayak ramai. Diriwayatkan bahawa seorang wanita Arab telah pergi ke pasar Yahudi Bani Qainuqa’ dengan membawa perhiasan. Wanita itu duduk di kedai tukang emas milik salah seorang Yahudi. Kemudian datang seorang Yahudi dari arah belakang wanita itu secara mengendap, lalu mengikat baju wanita itu dari belakang. Ketika ia berdiri, auratnya terus tersingkap dan sekumpulan Yahudi yang ada di situ ketawa terbahak-bahak sambil menghina wanita tersebut.

Seorang lelaki Muslim yang kebetulan melihat peristiwa itu tidak dapat menahan kemarahan lalu menikam tukang emas Yahudi itu hingga mati. Pembunuhan itu mengundang kemarahan kaum Yahudi yang kemudian secara beramai-ramai memukul Muslim tadi sehingga mati. Keluarga Muslim yang terbunuh kemudian menjerit meminta tolong kepada kaum Muslimin untuk menghadapi kumpulan Yahudi tadi, lalu kaum Muslimin datang dan menyerang kaum Yahudi.

Maka terjadilah rusuhan antara kaum Muslimin dan orang-orang Yahudi dan berita tersebut sampai kepada Rasulullah (saw). Baginda sebelumnya telah pun meminta kaum Yahudi agar menghentikan gangguan mereka ke atas kaum Muslimin, namun kaum terkutuk itu tidak pernah mempedulikannya. Rasulullah (saw) kemudian keluar bersama ketumbukan tentera kaum Muslimin dan mengepung Bani Qainuqa’ dengan ketat hingga akhirnya mereka mengaku kalah.

Rasulullah (saw) kemudian memutuskan untuk membunuh seluruh Yahudi Bani Qainuqa’. Namun Abdullah bin Ubay bin Salul, seorang munafik tokoh Yahudi yang menjadi sekutu Bani Qainuqa’ meminta belas kasihan Rasulullah (saw) tanpa henti. Baginda pada awalnya tidak mengendahkannya, namun kerana desakan yang berterusan daripada Abdullah bin Ubay, akhirnya baginda memenuhi permintaannya dan memutuskan agar seluruh Yahudi Bani Qainuqa’ diusir dari kota Madinah. Mereka akur dengan keputusan Nabi (saw), lalu keluar dari Madinah menuju arah utara hingga mereka sampai di perbatasan Syam.

Selain kisah pengepungan Yahudi Bani Qainuqa’ yang sudah terkenal dalam sirah ini, terdapat satu lagi kisah yang cukup terkenal mengenai penaklukan kota Amuriyah, Rom oleh Khalifah al-Mu’tasim, yang juga berpunca daripada kehormatan dan maruah seorang wanita yang dinodai oleh puak kuffar. Al-Mu’tasim telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang ketua negara yang takut kepada Allah darihal kewajipannya terhadap Muslimah.

Amuriyah merupakan kota terpenting Rom selain Konstantinopel. Al-Qalqasyandi, dalam Ma’atsiru al-Inafah, menjelaskan salah satu sebab penaklukan kota itu pada tanggal 17 Ramadhan 223 H adalah kerana penguasa Amuriyah (salah seorang Raja Rom), telah menawan wanita mulia daripada keturunan Rasulullah. Wanita itu ditangkap dan diseksa. Ia menjerit meminta tolong dengan laungan “Wahai Mu’tasim! Wahai Mu’tasim.” Raja Rom memperlekehkannya dengan berkata, “Tidak akan ada yang membebaskanmu, kecuali dengan menaiki beberapa ekor Balaq (kuda yang mempunyai warna hitam-putih).” Jeritan wanita tersebut akhirnya sampai ke telinga Khalifah al-Mu’tasim, yang tanpa berlengah terus mengisytiharkan jihad ke atas Amuriyah. Beliau menghimpun 4000 pasukannya dengan menaiki Balaq.

Menurut penukilan Ibn Khalikan dalam Wafyatu al-A’yan wa Anba’ Abna’ az-Zaman dan Ibn al-Atsir, dalam al-Kamil fi at-Tarikh, dinyatakan bahawa, “Ketika berita mengenai wanita tersebut sampai ke telinga Mu’tasim, beliau berada di atas tempat tidurnya, maka seketika itu juga beliau menyambut jeritan itu sambil berkata, ‘Aku penuhi panggilanmu! Aku penuhi panggilanmu!’ Lalu dia berteriak di dalam istananya, “Berangkatkan pasukan! Berangkatkan pasukan!”

Mu’tasim lalu keluar memimpin pasukannya menuju Amuriyah dan berjaya menaklukkannya. Diriwayatkan bahawa 3000 tentera Rom terkorban manakala 30,000 yang lain menjadi tawanan. Mu’tasim kemudian menuju kepada Muslimah tersebut dan membebaskannya. Beliau berkata kepadanya, “Jadilah saksi untukku di hadapan datukmu nanti (Rasulullah), bahawa aku telah datang untuk membebaskanmu dengan memimpin pasukanku, yang terdiri daripada 4000 Balaq.” 

Ini hanyalah secebis kisah bagaimana Rasulullah (saw) dan al-Mu’tasim, salah seorang Khalifah yang hebat dalam sejarah keKhilafahan Islam, telah menunaikan kewajipan mereka kepada Allah (swt) dengan menjaga aurat dan kehormatan kaum Muslimah. Ia bukan sebarang penjagaan, kerana ternyata Rasulullah (saw) dan al-Mu’tasim (yang mengikuti jalan Rasulullah) langsung tidak teragak-agak untuk menggerakkan bala tentera apabila ada Muslimah, dan walaupun hanya seorang Muslimah, yang diperlecehkan kehormatan mereka oleh puak kuffar.

Sejak runtuhnya Khilafah hinggalah ke hari ini, sudah tidak terhitung jumlah kaum Muslimah yang diganggu, dihina dan dinodai kehormatan mereka, malah ramai yang telah dibunuh dengan kejam oleh puak kuffar, namun tidak ada seorang pemimpin Muslim pun yang berani untuk menjawab kejahatan puak kuffar tersebut. Jika mengeluarkan kenyataan politik atau amaran pun mereka tidak berani, apatah lagi untuk mereka mengisytiharkan jihad ke atas negara kuffar yang memang jelas menghina dan memusuhi Islam! Benarlah sabda Rasulullah (saw) bahawa Imam (Khalifah) itu umpama perisai yang melindungi umat Islam. Apabila perisai ini telah lenyap, maka lenyaplah segala perlindungan atas umat ini.

Khatimah

Sudah lebih 100 tahun umat ini kehilangan Mu’tasim dan diganti dengan Ruwaibidhah (pemimpin bodoh yang mengurusi urusan orang ramai). Puak kuffar tidak henti-henti menggunakan seluruh kekuatan mereka bagi menghalang kembalinya “Mu’tasim” ke tengah-tengah umat. Namun demikian, sentiasa ada segelintir daripada umat ini yang tidak pernah putus asa dalam mencari Mu’tasim, di saat sebahagian lainnya telah melupakannya. Kepedulian umat ini terhadap seorang Muslimah yang dipermainkan kehormatannya di Karnataka menunjukkan yang umat ini masih “hidup”, dan selagi umat ini masih hidup, maka harapan kembalinya Mu’tasim sentiasa ada insya Allah. Apa yang penting ialah usaha berterusan oleh umat ini ke arah merealisasikannya, yang akan pasti membuahkan hasil dengan izin-Nya.

 

Download PDF