SN595 – Cara Hizbut Tahrir Menanggapi Perbezaan Pendapat

SN595

01 April 2022 M / 29 Sya’ban 1443 H

 

Sautun Nahdhah kali ini memaparkan jawapan Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah terhadap persoalan yang ditujukan kepada beliau mengenai cara Hizbut Tahrir menanggapi ikhtilaf (perbezaan pendapat) para imam mazhab / ulama, dengan pendapat yang ditabanni oleh Hizbut Tahrir, termasuklah dalam hal penetapan awal Ramadhan / Syawal.

———————————————————————————————————————————-

Sesungguhnya hukum yang diistinbath (digali) daripada dalil-dalil syarak dengan ijtihad syarie yang benar adalah hukum syarak bagi pemilik ijtihad itu dan merupakan pendapat yang Islami meski pun menyalahi pendapat yang kami katakan atau yang kami tabanni (adopted) khususnya jika pendapat itu merupakan pendapat mujtahid daripada kalangan imam mazhab yang masyhur dengan keilmuan dan ketakwaan seperti ijtihadnya para imam empat mazhab dan para mujtahid mazhab-mazhab mereka.

Kami telah pun menjelaskan bagaimana sikap kami terhadap pendapat-pendapat fiqhiyah yang berbeza dengan pendapat fiqhiyah yang kami tabanni di lebih daripada satu buku daripada buku-buku tsaqafah kami. Dengan izin Allah, saya petik di sini daripada dua sumber, yang akan menjadi jawapan kami atas pertanyaan anda:

1- Dinyatakan di dalam kitab Mafahim Hizb ut-Tahrir seperti berikut:

[Keimanan kepada Islam adalah berbeza dengan pemahaman mengenai hukum-hukumnya dan tasyri’nya. Ini kerana keimanan kepada Islam ditetapkan melalui jalan aqli atau dengan apa yang pada asalnya ditetapkan melalui jalan aqli. Oleh kerana itu, ia tidak dimasuki keraguan. Ada pun pemahaman mengenai hukum-hukum Islam, ia tidak bergantung kepada aqli sahaja, melainkan bergantung juga pada keilmuan dalam bahasa Arab, adanya kekuatan istinbath dan pengetahuan mengenai hadis-hadis sahih dan dhaif.

Atas dasar itu, para pengembang dakwah harus menganggap pemahaman mereka mengenai hukum syarak sebagai sebuah pemahaman yang benar/tepat tetapi mungkin mengandungi kesalahan (fahmu sawab yahtamilu al-khatha`) dan menganggap pemahaman orang lain sebagai pemahaman yang keliru/tersalah tetapi mungkin mengandungi kebenaran (fahmu al-khatha` yahtamilu as-sawab), sehingga dengan cara ini para pengembang dakwah boleh menyeru manusia kepada Islam dan hukum-hukumnya sebagai sebuah pemahaman yang benar tetapi tetap mengandungi kemungkinan keliru/tersalah.

Oleh kerana itu, tidak dibenarkan kepada para pengembang dakwah untuk mengatakan tentang pemahaman mereka, bahawa ini adalah (satu-satunya) pendapat Islam, tetapi mereka harus mengatakan tentang pemahaman mereka, bahawa ini merupakan (sebahagian) pendapat yang Islami. Dahulu, para pemilik mazhab daripada kalangan mujtahidin menganggap bahawa istinbath mereka terhadap sesuatu hukum sebagai pendapat yang benar/tepat yang mengandungi kemungkinan keliru/tersalah (sawaban yahtamilu al-khatha`). Masing-masing daripada mereka mengatakan, “Jika telah sahih sesuatu hadis, maka itu adalah mazhabku dan buanglah pendapatku (yang bertentangan dengan hadis tersebut)”.

Demikianlah juga dengan para pengembang dakwah, yang seharusnya menilai pendapat yang mereka tabanni atau yang mereka fahami daripada Islam itu, dengan anggapan bahawa pemahamannya itu benar/tepat tetapi mengandungi kemungkinan keliru/tersalah…] Selesai.

2- Dinyatakan dalam kitab Dukhul al-Mujtama’ seperti berikut:

[…ada pun dari aspek (pemikiran yang) masuk (ke dalam masyarakat), maka sama sekali tidak boleh dikompromi  kecuali yang masuk hanyalah pemikiran Islam yang murni, yang bersih daripada segala jenis kekotoran. Ini kerana kaum kafir, para penguasa dan politikus akan berusaha memasukkan pemikiran yang tidak Islami ke dalam masyarakat, atas nama Islam, sehingga mereka mewujudkan kesamaran di tengah-tengah masyarakat terhadap Islam. Oleh kerana itu, kaum Muslimin hendaklah mempunyai kesedaran yang sempurna dalam hal ini, dan wajib menyerang semua bentuk pemikiran yang bertentangan dengan Islam, sebagaimana serangan mereka terhadap setiap pemikiran kufur, sebab ia merupakan kekufuran yang nyata.

Cumanya serangan ini hendaklah ditujukan kepada pemikiran-pemikiran politik, hukum atau kepada pemikiran-pemikiran yang berkaitan dengan interaksi dalam masyarakat yang menjadi subjek pembahasan oleh negara, pada saat ia dikeluarkan (oleh negara). Contohnya pembahasan tentang larangan poligami, keabsahan koperasi, kebolehan terlibat dalam kabinet, keakraban antara para penguasa dalam dunia Islam dalam rangka mempertahankan kedudukan mereka, liga Islam, penanaman modal asing di dalam negara dan pemikiran-pemikiran lain yang seumpamanya. Semua ini merupakan pemikiran yang tidak Islami, yang masuk ke dalam masyarakat dengan label Islam, atau dikatakan tidak menyalahi Islam. Pemikiran-pemikiran seperti ini mesti diserang dan ditentang serta tidak boleh dibiarkan memasuki masyarakat, agar tidak terjadi ketidakstabilan di tengah-tengah masyarakat.

Ada pun mengenai pemikiran Islami yang berbeza dengan apa yang ditabanni oleh Hizb, maka Hizb menjelaskan di manakah kekeliruan pemahamannya. Hizb tidak menyerang pemikiran ini, akan tetapi menjelaskan bahawa ia merupakan pendapat yang Islami, tetapi dalilnya lemah. Contohnya ada mujtahid yang tidak membolehkan Khalifah kecuali daripada keturunan Quraisy, atau berasal daripada Ahlul Bait. Ada juga pandangan yang menyatakan bahawa wanita tidak boleh menjadi qadhi, atau pandangan bahawa emas dan perak boleh ditimbun, asalkan dikeluarkan zakatnya, atau ada pandangan bahawa menyewakan tanah pertanian dibolehkan dan lain-lain lagi.

Pendapat-pendapat ini semuanya merupakan pendapat yang Islami, dan tidak dihalang untuk masuk ke tengah-tengah masyarakat. Ini kerana pendapat-pendapat tersebut tidak akan melahirkan ketidakstabilan di tengah-tengah masyarakat, kerana pendapat-pendapat itu adalah Islami, sebagaimana pendapat-pendapat Islami yang ditabanni oleh Hizb, yang bersandar kepada dalil atau syubhah ad-dalil. Jadi, terkait dengan pemikiran-pemikiran yang Islami seperti ini, cukup dijelaskan kekeliruannya sahaja.

Dalam penulisan, nasyrah dan diskusi-diskusinya, Hizb secara mutlak tidak akan membawa pandangan apa pun yang bertentangan dengan pandangan yang telah ditabanninya. Namun demikian, boleh sahaja bagi Hizb menyebarkan pandangan-pandangan yang belum ditabanninya sebagai contoh terhadap pemahaman fiqhiyah atau tasyri’iy, tanpa menisbahkannya kepada sumbernya, tetapi cukup dengan menyertakan dalil-dalilnya sahaja. Ini dari sisi pendapat yang Hizb sebarkan.

Manakala terhadap penyebaran pandangan-pandangan Islami yang bukan berasal dari Hizb, yang bertentangan dengan pandangan Hizb, maka Hizb mencukupkan dirinya dengan mendiskusikan pandangan tersebut jika ada keperluan. Jika tidak ada keperluan, maka dibiarkan sahaja. Melalui cara inilah Hizb berusaha mencegah terjadinya ketidakstabilan di tengah-tengah masyarakat. Sesungguhnya peperangan antara Islam dengan kekufuran itu akan terus berlangsung sehingga kekufuran itu tumpas dan Islam memperoleh kemenangan]. Selesai.

Jelas dari petikan di atas bahawa Hizbut Tahrir tidak menafikan pendapat-pendapat fiqhiyah pihak lain yang menyalahi apa yang ditabanni oleh Hizb selama pendapat tersebut diistinbath daripada ijtihad syarie yang benar. Dalam hal seperti ini, Hizb berdiskusi dengan mereka tentang pendapat tersebut dan berusaha meyakinkan mereka akan kekeliruan pendapat mereka dan kebenaran pendapat Hizb berdasarkan dalil-dalil. Hizb tidak memerangi pendapat-pendapat mereka dan tidak menyerangnya, tetapi cukup bagi Hizb menjelaskan kekeliruan pendapat tersebut dan bertolak ansur dengan kewujudannya dalam masyarakat, kerana ia merupakan pendapat yang Islami meski pun marjuh dan lemah dalilnya pada pandangan Hizb.

Di antara contoh dalam hal ini ialah pendapat mengenai wajah dan dua telapak tangan wanita sebagai aurat. Ini merupakan pendapat fiqhiyah yang Islami yang dipegang oleh sebahagian fuqaha’ dan mujtahid. Kami tidak mengingkari orang-orang yang berpendapat sedemikian, tetapi kami menyeru mereka kepada pendapat kami bahawa wajah dan dua telapak tangan wanita bukanlah aurat, dan kami jelaskan kepada mereka dalil-dalil syarie yang kami pandang benar. Kami tidak menyerang pendapat mereka dan tidak menghalang siapa pun mengikutinya kerana itu merupakan pendapat Islami yang dihasilkan oleh fuqaha’ dan mujtahid.

Ada pun mengenai hisab astronomi (untuk penetapan awal Ramadhan / Syawal), maka di situ ada lebih daripada satu pendapat menurut mereka yang mengatakannya. Di antara mereka ada yang berpandangan bahawa jika telah terbit hilal (anak bulan) pada malamnya, maka malam itu merupakan awal Ramadhan. Ada pula yang mengatakan bahawa jika hilal telah terbit di siang hari dan tenggelam setelah tenggelamnya matahari, berapa lama pun tenggelamnya, maka malamnya menjadi awal Ramadhan. Ada pula yang berusaha “mengkompromi” antara hisab dengan rukyah, dengan mengatakan jika hilal terbit di siang hari dan tenggelam setelah tenggelamnya matahari dengan jangka waktu yang memungkinkan rukyah, maka malam itu merupakan awal Ramadhan. Kemudian mereka berbeza pendapat tentang lamanya jangka waktu itu apakah 10, 15 atau 20 minit…dan begitulah seterusnya.

Saya tidak cenderung untuk mengatakan bahawa ini merupakan ijtihad yang benar, kerana nas-nas begitu jelas mengaitkan puasa dan berbuka (berhari raya) dengan rukyah. Sabda baginda, “Berpuasalah kerana melihat hilal dan berbukalah kerana melihatnya” [HR Muslim]. Lalu bagaimana mereka boleh beralih daripada hal itu (rukyah) kepada hisab? Khususnya bahawa Rasulullah (saw) telah menjadikan kegagalan melihat hilal akibat mendung misalnya, walaupun hakikatnya hilal itu ada (di sebalik awan) sebagai sebab kepada penggenapan Sya’ban kepada 30 hari. Sabda baginda, “Dan jika tertutup mendung bagi kalian bulan itu maka genapkanlah 30 hari” [HR Muslim].

Semua itu menegaskan bahawa satu-satunya sabab kepada puasa dan berbuka (berhari raya) adalah rukyah dan bukan sabab lain sama sekali. Oleh kerana itu, ada sesuatu di dalam diri saya dalam menilai hisab astronomi sebagai pendapat yang diistinbath daripada ijtihad syarie yang benar. Kami telah mentabanni rukyah syarie sebagai muktamad (darihal penetapan awal Ramadhan / Syawal) berdasarkan ijtihad dan usul syarie yang benar dengan izin Allah.

Kesimpulannya, kami tidak menyerang pendapat Islami mana pun yang dikeluarkan oleh para mujtahid muktabar selama ia diistinbath daripada Islam dengan istinbath yang syarie. Namun demikian, kami berdiskusi dengan mereka secara baik bahawa pendapat kami adalah tepat/benar (sawab) dan kami sebutkan dalil-dalil dan kami mendengar daripada mereka.

Pada masa yang sama, kami bersikap tegas dalam menghadapi mereka yang ingin menyebarkan pendapat-pendapat yang tidak Islami dan menyesatkan orang dengannya, padahal pendapat itu sangat jauh daripada Islam sejauh Barat dan Timur! Kita tidak boleh lalai atau bersikap lemah dalam menjelaskan kepalsuannya. Contohnya pendapat yang membolehkan bunga bank, bolehnya menyertai sistem kufur atau berhukum dengan selain apa yang telah diturunkan oleh Allah, hingga kepada pendapat yang membolehkan perdamaian atau normalisasi hubungan dengan entiti Yahudi. Firman-Nya, “Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu” [TMQ an-Nahl (16): 59].

Begitu juga dengan pendapat-pendapat yang senada dengan itu yang banyak tersebar di zaman kita sekarang. Semua itu bukannya diistinbath dengan istinbath syarie yang benar, bahkan sebahagiannya jelas bertentangan dengan dalil-dalil qathie daripada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Kami langsung tidak menilai pendapat-pendapat seperti itu sebagai hukum syarak atau pendapat yang Islami. Bahkan kami mengingkari orang yang mengucapkannya atau mengambilnya, dan kami tentang serta kami halangi kewujudannya.

Saya berharap dalam jawapan ini ada kecukupan. Wallahu a’lam wa ahkam.

 

[Terjemahan daripada sumber asal: https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/74751.html].

 

Download PDF