SN602 – Sekuriti Makanan Menurut Islam
SN602
20 Mei 2022 M / 20 Syawal 1443 H
Dalam seminggu dua ini telah kecoh isu food security (sekuriti makanan) yang dikatakan tercetus rentetan perang Rusia-Ukraine yang masih tak berkesudahan. Apa yang lebih mengecohkan keadaan ialah apabila kerajaan India telah menghentikan eksport gandum dalam usaha menangani ancaman keselamatan bekalan makanan negara itu susulan kenaikan mendadak dalam harga bijirin global. India yang merupakan pengeluar gandum kedua terbesar di dunia dianggap sebagai negara yang dapat membantu menampung kekurangan bekalan global yang terjejas akibat pencerobohan Russia ke atas Ukraine. Pengumuman itu dibuat ketika kadar inflasi melonjak kepada 7.79 peratus pada bulan lalu, dengan harga gandum sahaja meningkat ke paras tertinggi di India. Faktor cuaca iaitu gelombang haba akibat panas terik dikatakan turut menjadi punca kepada sekatan eksport oleh India.
Bagaimana pun, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bekalan tepung gandum negara dijangka tidak terjejas, kerana Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya adalah dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine. Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengakui bahawa konflik bekalan makanan bukan sahaja dirasai oleh Malaysia, tetapi membabitkan semua negara di seluruh dunia disebabkan peningkatan kos pengangkutan termasuk pengeluaran. Katanya kerajaan sentiasa mengambil langkah dan tindakan untuk mengurangkan kesan yang dihadapi rakyat, di saat beberapa produk pertanian yang mengalami kenaikan harga pada ketika ini. Untuk rekod, jumlah import makanan negara terus meningkat pada kadar purata 4.1 peratus setahun daripada RM45.3 bilion pada 2015 kepada RM55.4 bilion pada tahun 2020. Lima jenis bahan makanan import utama Malaysia bagi tahun 2020 ialah kopi, koko, teh dan rempah; bijirin; sayuran (RM5.1 bilion); bahan makanan ternakan (RM6.2 bilion) serta keluaran dan sediaan makanan lain (RM6.6 bilion).
Maksud Food Security Dan Kesannya
Makanan merupakan salah satu keperluan asas manusia bagi memastikan kelangsungan hidup di samping aspek penjagaan kesihatan. Setiap manusia memerlukan sejumlah makanan setiap hari bagi memastikan keselamatan dan keamanan hidupnya terjaga. Sabda Rasulullah (saw),
“Siapa saja di antara kalian yang bangun di pagi hari sihat badannya, aman jiwa, jalan dan rumahnya, dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seakan-akan ia telah memiliki dunia seisinya” [HR Tirmizi].
Begitulah perumpamaan yang sangat besar dan penting yang diberikan oleh Rasulullah (saw) perihal makanan yang dimiliki oleh seseorang pada setiap harinya.
Itu merupakan soal makanan di sisi setiap individu. Manakala apabila kita berbincang mengenai soal makanan dalam skala yang lebih besar iaitu dari sisi pengaturannya, maka hal ini lebih penting lagi kerana terdapat banyak hukum mengenainya. Islam telah mengatur urusan makanan agar berjalan sesuai dengan fitrah manusia dan selaras dengan hukumnya. Islam turut mengatur bagaimana untuk mengatasi masalah pemakanan yang wujud dalam sesebuah masyarakat dan negara.
Kekurangan makanan dalam sesebuah masyarakat atau negara sudah pasti mengakibatkan masalah yang sangat serius, dan hal ini boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya monopoli, wabak penyakit, cuaca, bencana alam, konflik yang berpanjangan, peperangan dan sebagainya. Masalah kekurangan makanan ini boleh merebak ke peringkat global apabila pelbagai konflik yang terjadi melibatkan banyak negara, apatah lagi yang mempunyai hubungan import-eksport antara satu sama lain.
Faktor-faktor tersebut akan melahirkan krisis makanan global atau dikenali dengan istilah food security (sekuriti makanan). Sekuriti makanan secara umumnya bermaksud keupayaan sesebuah negara untuk mencapai pengeluaran pertanian ke tahap yang mencukupi atau berlebihan, untuk keperluan rakyatnya, supaya negara itu tidak lagi bergantung kepada makanan yang diimport dari negara lain. Dengan kata lain sekuriti makanan adalah kemampuan sesebuah negara untuk menyediakan keperluan asas makanan (termasuk air) kepada rakyatnya, baik dalam keadaan biasa mahupun luar biasa seperti peperangan, kemarau, embargo dan sebagainya.
Dalam konteks politik, ketidakupayaan sesebuah negara menyediakan makanan yang mencukupi kepada rakyatnya akan menyebabkan negara tersebut bergantung kepada negara lain, dan membolehkan negara lain “mengawal” mereka dengan lebih mudah. Hal ini sangat bahaya jika terjadi antara negara Islam dan negara kafir sehingga boleh menyebabkan negara kafir menguasai negara Islam. Atas dasar itu, negara Islam wajib mandiri dalam soal food security sehingga tidak perlu bergantung kepada mana-mana negara kafir dalam urusan makanan negara.
Kita tidak menafikan bahawa krisis makanan dunia kadang-kadang bermula atau terjadi akibat “ramalan” oleh pihak-pihak tertentu. Walaupun ramalan tersebut disandarkan kepada fakta, tetapi kita tetap tidak menolak kemungkinan bahawa ia sebenarnya adalah sebuah “perancangan”, apatah lagi oleh negara-negara kapitalis yang penuh dengan agenda jahat untuk menakluki dunia dan mengaut semua sumber alam ke kantung mereka. Ada yang pernah menyatakan bahawa krisis makanan dunia terjadi akibat ketidakseimbangan antara pertumbuhan jumlah penduduk, bekalan makanan/air dan tanah pertanian. Namun realitinya China tidak mengalami krisis makanan, sedangkan ia mempunyai lebih daripada satu bilion orang untuk diberi makan. Manakala, di negara-negara Afrika, populasi kecil yang tinggal di tebing-tebing sungai menghadapi kebuluran yang serius dan berterusan!
Jika dicermati, masalah sekuriti makanan global langsung tidak boleh dipisahkan daripada realiti dunia hari ini yang berada di bawah cengkaman Kapitalis. Negara-negara kapitalis bersaing antara satu sama lain dalam menjajah dan menjarah segala sumber alam di negara-negara yang lemah, khususnya negara Dunia Ketiga. Akhirnya negara-negara ini terus berada dalam kemiskinan walau pun memiliki sumber alam yang melimpah ruah. Akibat ketamakan negara kapitalis inlah, di samping pengkhianatan dan korupnya pemerintah di negara yang lemah tersebut, isu sekuriti makanan tidak dapat dielakkan.
Jaminan Islam Terhadap Food Security
Islam secara asasnya menafikan kewujudan krisis makanan, apatah lagi di peringkat global. Ini kerana Allah (swt) menjelaskan bahawa Dia telah pun menetapkan rezeki untuk setiap manusia sejak sebelum kelahirannya lagi, dan ajal tidak akan menjemput manusia sehinggalah rezekinya disempurnakan. Dengan kata lain, Allah (swt) tidak menzalimi manusia dengan rezeki, kerana rezeki Allah di muka bumi ini sesungguhnya berlimpah ruah dan tidak akan terhitung oleh manusia. Oleh itu, dari mana boleh wujudnya krisis makanan?
Isu sebenar dalam sekuriti makanan ini adalah terletak pada pengaturan dan pengagihan makanan oleh negara. Menyediakan dan memastikan setiap individu rakyat mempunyai makanan yang mencukupi merupakan kewajipan pemerintah. Tidak boleh terjadi (haram) dalam sesebuah negara apabila ada, walaupun hanya seorang rakyat, yang tidak mempunyai makanan. Pemerintah akan menanggung dosa jika keadaan ini wujud, dan dia wajib menyelesaikannya dengan segera.
Umar al-Khattab, semasa menjadi Khalifah, pernah melakukan rondaan dalam memastikan setiap rakyatnya mempunyai keperluan asas yang mencukupi. Dalam rondaannya, beliau terjumpa dengan seorang ibu dengan tiga orang anak yang tidak mempunyai makanan, di mana ibu tersebut hanya memasak batu bagi memastikan anaknya yang kelaparan itu tertidur. Melihat hal itu, Umar terus mengambil sendiri gandum daripada Baitul Mal, lalu memasakkannya untuk keluarga tersebut. Kisah ini sudah amat terkenal yang menunjukkan bagaimana sikap dan tanggungjawab yang wajib ada pada seorang pemerintah terhadap rakyatnya.
Dalam memastikan rantaian makanan dalam negara tidak akan terputus, pemerintah wajib memastikan bahawa bekalan makanan di pasaran sentiasa ada, dengan harga yang stabil. Jika wujud kekurangan sehingga harga menjadi tinggi, pemerintah wajib mendapatkan bekalan daripada luar bagi menstabilkan kembali jumlah bekalan makan di pasaran, yang sekali gus akan menstabilkan kembali harganya.
Dalam isu sekuriti makanan, perlu difahami bahawa Islam sangat mementingkan pertanian kerana pertanian merupakan tulang belakang kepada bekalan makanan. Dengan pertanianlah, sesebuah negara akan mampu bertahan untuk memenuhi keperluan makanan rakyatnya, apatah lagi untuk jangka masa panjang. Terkait dengan hal ini, Islam telah meletakkan hukum yang terperinci mengenai tanah pertanian agar manusia sentiasa memanfaatkannya. Islam telah menetapkan kepemilikan tanah pertanian hanya selama tiga tahun, dan jika tidak diusahakan, maka seseorang itu akan terlucut haknya ke atas tanah tersebut, dan negara akan menyerahkannya kepada orang lain untuk mengusahakannya.
Islam juga membolehkan i’tha’ (pemberian tanah pertanian secara percuma kepada oleh negara kepada rakyat). Apabila tanah-tanah pertanian ini diusahakan secara efisien dan berterusan, apatah lagi dengan campur tangan daripada negara dari sudut modal, peralatan, teknologi dan sebagainya, sudah pasti akan dapat mewujudkan bekalan makanan yang berpanjangan untuk negara. Malah, dengan jumlah kawasan tanah yang cukup luas dan subur yang ada di banyak wilayah kaum Muslimin, kita akan mempunyai lebihan produk untuk dieksport ke negara-negara yang memerlukan.
Sungguh terdapat banyak hukum Islam yang mengatur urusan pemakanan agar sampai kepada rakyat dengan cara yang seharusnya. Sebagai contoh, Islam mengharamkan ihtikar (monopoli), sebuah aktiviti yang menyebabkan kurangnya barangan di pasar yang sekali gus menyebabkan harga melambung. Dalam dunia kapitalis hari ini, monopoli telah berlaku dalam pelbagai bentuk yang menjadikan satu pihak tunggal berkuasa menentukan harga barangan. Islam juga mengharamkan tas’ir (penetapan harga siling/lantai) oleh pemerintah, kerana sifat harga pasar itu mesti terbuka.
Kita tidak menafikan yang kebuluran mungkin terjadi akibat kekurangan makanan, malah ia pernah terjadi pun dalam sejarah Islam. Namun ia tidak mungkin terjadi di semua tempat atau berlaku ke atas semua penduduk dunia dalam satu masa yang sama. Tidak mungkin, dan tidak pernah berlaku pun dalam sejarah manusia! Jika terjadinya kebuluran di sesebuah kawasan, maka Islam telah pun menyediakan jalan keluar untuk masalah ini, sebagaimana yang pernah terjadi di Madinah pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab (ra). Umar menyelesaikannya dengan memerintahkan gabenornya di Mesir, Amr bin al-As, untuk membawa masuk bijirin dari Mesir ke Hijaz, sehingga kekurangan makanan berjaya diatasi. Pokoknya, pemerintah wajib memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, samada dengan membeli atau membawa masuknya dari luar, atau dengan cara-cara yang lain.
Dalam pada itu, Islam juga turut mengatur kewajipan hidup bermasyarakat sehingga masalah tidak cukup makan atau kebuluran dapat diatasi. Sabda Rasulullah (saw),
“Tidaklah beriman kepadaku orang yang tidur kekenyangan sementara jirannya kelaparan sedangkan dia mengetahuinya” [HR Ath-Thabrani].
Manakala dalam hadis lain Rasulullah (saw) bersabda,
“Penduduk negeri mana pun yang bangun pagi hari, di tengah mereka ada orang yang kelaparan, maka sungguh jaminan Allah telah terlepas daripada mereka” [HR al-Hakim].
Selain itu, terdapatnya hukum-hukum zakat dan banyak lagi ajaran Islam yang menegaskan bahawa kaum Mukminin itu bersaudara dan tidak boleh membiarkan saudaranya berada dalam kebuluran atau kesusahan. Pendek kata, sekiranya hukum Islam berjalan, sekuriti makanan tidak akan menjadi isu!
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Wujudnya krisis makanan dunia tidak boleh lepas daripada keburukan sistem kapitalis atau dengan kata lain ia wujud secara sistemik. Ini kerana dunia hari ini didominasi oleh sistem kapitalis yang secara tabiatnya merupakan sebuah sistem di mana pihak yang kuat akan memakan dan menghisap darah pihak yang lemah, tanpa peraturan dan tanpa belas kasihan. Satu-satunya sistem yang mengatur keseluruhan hidup manusia, termasuk dalam aspek pemakanan, dengan penuh lengkap dan rahmat, ialah Islam. Di sinilah pentingnya untuk kita kembali kepada Islam, dan perlu difahami bahawa Islam yang sempurna ini tidak akan dapat diterapkan dan ditegakkan kecuali dengan adanya sebuah negara (Khilafah). Dengan izin Allah (swt) negara ini akan tegak sedikit masa lagi, yang akan menjadikan istilah krisis makanan’ hilang dari perbendaharaan kata dan kebaikan akan tersebar ke seluruh alam insya Allah.
Wallahu a’lam.