Islam tidak menghukum orang yang mencuri makanan kerana lapar

Sedih juga bila mendengar kisah seorang pembantu kedai di Ipoh di penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencuri dua bungkus susu tepung. Tertuduh, Ku Mohd Nashrudeen Ku Mohd Nasir, 28, mengaku berbuat demikian kerana terdesak memerlukan keperluan asas selepas tidak bekerja akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jika benar beliau berbuat demikian kerana ingin memenuhi keperluan asasnya untuk hidup, maka sesungguhnya perbuatan tersebut tidak boleh dihukum menurut Islam. Hudud (potong tangan) tidak akan dikenakan ke atas siapa sahaja yang mencuri kerana kelaparan. Terdapat nas yang mengecualikannya, yakni apabila seseorang itu mencuri makanan yang telah tersedia bagi memenuhi hajatul udhawiyyahnya. Dari Hasan (ra) ia berkata, Rasulullah (saw) bersabda,

«لاَ قَطْعَ فِيْ الطَّعَامِ الْمُهَيِّاِ لْلأَكْلِ»

“Tidak ada potong tangan pada makanan yang tersedia untuk dimakan.”

Dalam kes ini, tidak ada perbezaan samada makanan itu disediakan untuk dimakan oleh pemilik rumah, atau disediakan oleh pemilik kedai untuk dijual. Ini kerana, hadis di atas membawa makna umum yang merangkumi semua makanan yang telah tersedia untuk dimakan. Berbeza kedudukannya jika makanan tersebut belum tersedia, atau berada di tempat simpanan (stor).

Demikian juga tidak berlaku hukum potong tangan pada masa kebuluran, yakni pada saat terjadi kemarau panjang atau kelaparan. Sebagaimana diriwayatkan dari Makhul (ra) bahawa Nabi (saw) bersabda,

«لاَ قَطْعَ فِيْ مُجَاعَةِ مُضْطَرٍّ»

“Tidak ada potong tangan di musim kelaparan”.

Pada satu musim kebuluran, diriwayatkan dari Hasan dari seorang lelaki, ia berkata,

“Aku melihat dua orang lelaki yang (dalam keadaan) terikat dan seorang pemilik daging mendatangi Umar bin Khattab. Pemilik daging berkata, ‘Kami memiliki seekor unta bunting dan kami menjaganya sebagaimana kami menjaga kebun, kemudian aku mendapati dua orang lelaki ini telah menyembelihnya.’ Umar berkata, ‘Apakah engkau merelakan untamu yang bunting itu kepada dua orang ini? Sesungguhnya kami tidak memotong tangan pada (kes pencurian) kurma yang ada ditandan dan pada masa kebuluran, yakni musim kemarau (kelaparan).”

Justeru, pada musim kebuluran, hudud (potong tangan) tidak dikenakan kepada pencuri sekiranya ia mencuri untuk memenuhi keperluan asasnya berupa makanan atau minuman. Sama juga dengan kes pencuri yang kelaparan yang tidak menjumpai apa pun untuk dimakan, maka jika ia mencuri untuk menghilangkan kelaparannya, maka tidak ada potong tangan baginya. Ini kerana, kes seperti ini termasuk dalam sabda Rasulullah (saw) di atas.

Pemerintah seharusnya mencari rakyatnya yang tidak cukup makan, apatah lagi pada masa PKP ini yang telah menjejaskan ramai rakyat khususnya yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja, bukannya dengan menghukum dan menambahkan lagi penderitaan mereka yang tidak berpendapatan dan juga keluarga mereka.

Umar al-Khattab semasa menjadi Khalifah sering meninjau kehidupan rakyatnya dan beliau diriwayatkan keluar pada waktu malam untuk memastikan kehidupan rakyatnya dalam keadaan terpenuhi keperluan mereka. Kemudian beliau menjumpai seorang ibu dengan tiga anaknya yang sedang menangis kelaparan di mana si ibu hanya mampu memasak batu untuk menghiburkan anaknya bagi memastikan anak-anaknya tertidur. Setelah melihat hal itu, Umar terus pergi mengambil sendiri makanan dari Baitul Mal dan memasaknya sendiri untuk ibu dan anak-anak tersebut.

Beginilah sikap seorang pemerintah yang menjaga rakyatnya, sesuai tuntutan hadis,

«الإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ»

“Imam (Khalifah / Pemimpin) itu laksana penggembala, dan ia bertanggungjawab terhadap gembalaannya.” [HR Bukhari dan Muslim].

Malangnya sistem dan undang-undang sekular yang diterapkan di Malaysia hari ini sentiasa menzalimi rakyat, walaupun dalam keadaan rakyat yang sudah cukup tertekan.

Semoga melalui usaha keras tangan-tangan kita, Allah (swt) menyegerakan berdirinya Khilafah yang akan menyelamatkan umat ini dari sebarang penderitaan.