Man La Ya’mal La Ya’kul (Sesiapa Yang Tidak Berkerja Maka Dia Tidak Berhak Untuk Makan)

Dalam sebuah buku karya Karl Marx dan Friedrich Engels yang bertajuk Communist Manifesto ada menyebutkan bahawa pertarungan kelas antara Borguise dan Proletariat (golongan kaya dan golongan miskin) terjadi kerana wujudnya ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat. Manakala dalam sistem kapitalisme yang memegang prinsip kebebasan pemilikan telah menyebabkan terjadinya keadaan di mana golongan miskin menjadi bahan eksploitasi oleh golongan kaya. Sejarah telah membuktikan wujudnya perjuangan golongan miskin dan buruh menuntut hak mereka yang hidup tertindas dalam kedua-dua sistem ekonomi ciptaan manusia tersebut.

Sedangkan Islam pula melihat isu jurang pendapatan ini secara bersepadu. Al-Quran dan as-Sunnah menerangkan bahawa masalah ikatan antara buruh dengan majikan sebagai ikatan memanfaatkan khidmat buruh dengan bayaran tertentu. Malah, Islam juga meletakkan sebahagian harta orang kaya terdapat hak bagi orang miskin.  Islam tidak mengenal istilah perjuangan kelas, bahkan melihat bahawa kedua kelompok masyarakat yakni golongan kaya dan golongan miskin harus hidup tolong-menolong dan saling membantu antara satu sama lain. Namun persoalannya, bagaimana pula Islam menguruskan nasib golongan separa produktif atau tidak produktif seperti orang yang tidak mampu bekerja?

Nasib Golongan Tidak Produktif

Sesiapa yang tidak bekerja, maka dia tidak berhak untuk makan (If you don’t work, you don’t eat) adalah ungkapan popular dalam sistem ekonomi kapitalis dan komunis.  Dalam sistem ekonomi kapitalis, ungkapan ini dipopularkan kononnya bersumber daripada kitab Bible, namun beberapa aliran Kristian mengkritik tindakan negara kapitalis yang menyalahgunakan ungkapan tersebut untuk kepentingan politik ekonomi mereka. John Smith mengeluarkan kata-kata “He who does not work, neither shall he eat” semasa berada dalam koloni Jamestown. Ungkapan ini kemudiannya telah dijadikan sebagai sebuah prinsip dalam sistem ekonomi kapitalis yang bererti “sesiapa sahaja yang tidak bekerja maka dia tidak dapat makan”.

Prinsip sedemikian telah menjadikan sistem ekonomi kapitalis sebuah sistem yang terlalu menekankan nilai kebendaan semata-mata yang akhirnya meminggirkan soal akhlak, kemanusiaan dan nilai keagamaan.  Dengan kata lain, dalam sistem ekonomi kapitalis ini jika anda tidak produktif, maka anda tidak layak untuk mendapat bekalan barangan dan perkhidmatan.

Realiti tersebut dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat di Amerika Syarikat ketika ini. Bilangan gelandangan (homeless) dan rakyatnya yang kebuluran sangat tinggi sekali. Dalam satu kempen minggu kesedaran gelandangan dan kebuluran, anjuran Gereja dan Komuniti termasuk pelajar universiti, dilaporkan seramai 46.7 juta rakyat Amerika Syarikat hidup di bawah garis kemiskinan, 587 000 orang hidup sebagai gelandangan dan seramai 49 juta berisiko kebuluran [www.hhweek.org, Nov 2016].  Keadaan tersebut merupakan hasil daripada konsep sesiapa yang tidak produktif maka mereka tidak berhak untuk makan.

Peradaban barat yang dihasilkan daripada sistem ekonomi kapitalis tidak pernah memandang aspek spiritual, akhlak dan kemanusiaan sebagai komponen asas dalam kehidupan, tetapi hanya mementingkan manfaat semata-mata. Kesannya golongan yang tidak memberikan manfaat (tidak produktif) akan terpinggir dan tertindas secara sistematik. Akhirnya pihak NGO dan gerejalah yang akan berperanan menampung kerosakan yang dihasilkan oleh sistem ekonomi kapitalis.

Perkara ini telah disinggung oleh Hizbut Tahrir dalam kitab Nizhamul Islam; “Wajar, dalam peradaban Barat tidak terdapat nilai moral, rohani dan kemanusian, yang ada hanya nilai-nilai kebendaan dan manfaat semata-mata. Atas dasar inilah misi bantuan kemanusian diambil alih oleh NGO seperti, palang Merah serta misi kebajikan anjuran Gereja…” [Taqiyuddin an-Nabhani, Nizhamul Islam, hal 111]

Lenin juga memegang prinsip yang sama.  Dalam teori Equality (sama rata) yang ditulis dalam bukunya The State and Revolution 1917, Lenin menyatakan “Sesiapa yang tidak bekerja, tidak berhak makan”. Selain itu, berdasarkan prinsip “An equal amount of products for an equal amount of labor”,   jumlah agihan barangan mestilah sesuai dengan jumlah tenaga kerja yang dicurahkan.  Ini memberi maksud bahawa golongan yang tidak mampu atau separa mampu akan hanya menikmati barangan sekadar tenaga mereka. Prinsip tersebut melihat bahawa golongan yang tidak produktif adalah bebanan.

Pada tahun 1932 berlaku “Holodomur” atau “wabak kebuluran” di Ukraine kerana protes petani yang enggan bergabung dengan pertanian bersepadu anjuran Kremlin. Ekoran itu, aktivis parti komunis telah dihantar ke Ukraine untuk merampas hasil pertanian mereka. Kesannya dianggarkan 3 hingga 10 juta rakyat Ukraine terbiar mati kebuluran  [Ekstrak dari Sumber : BBC, 27 Nov 2007].

Berbeza dengan Islam, kewajipan paling utama bagi seorang ketua isi rumah adalah untuk menyediakan keperluan asas kepada orang yang berada di bawah tanggungjawabnya. Bahkan jika seseorang individu tidak mampu untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, Islam mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan masalah tersebut.  Dalam sistem ekonomi Islam, antara sebab adanya pemilikan individu adalah kerana keperluan setiap manusia kepada harta untuk menjalani kehidupan dengan terpenuhinya segala keperluan asas.

Hidup dengan terpenuhinya segala keperluan asas adalah hak asasi bagi setiap manusia, tidak kira agama, bangsa dan darjat. Oleh itu, dalam prinsip sistem ekonomi Islam, setiap manusia mempunyai hak untuk hidup dengan terjamin keperluan asasnya, bukan sebagai hadiah, mahupun belas kasihan. Salah satu mekanisme yang ditetapkan dalam sistem ekonomi Islam agar seseorang dapat memenuhi keperluan asasnya adalah dengan bekerja. Negara berkewajipan menyediakan keperluan pekerjaan yang mencukupi kepada rakyatnya. Hal ini demikian kerana, negara ialah “pengembala” (ar ra’i) rakyat, serta bertanggungjawab terhadap terpenuhinya keperluan-keperluan hidup rakyatnya. Rasulullah SAW bersabda:

الإِمَامُ رَاعٍ وَ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Imam ialah pemelihara. dan hanya dialah yang bertanggungjawab terhadap (urusan) rakyatnya.” [HR Imam Bukhari dari Abdullah Ibnu Umar]

Lebih Utama ‘Mencuri’ daripada Memakan Benda Haram

Bagi seseorang yang tidak mampu untuk bekerja (tidak produktif) disebabkan oleh kecacatan fizikal, mempunyai penyakit, terlalu tua dan lain-lain lagi sehingga tidak mampu untuk bekerja, maka keperluan asasnya wajib ditanggung oleh ahli keluarga terdekat. Jika pihak yang wajib menanggung keperluan asasnya tidak ada, ataupun tidak mampu, maka keperluan asas orang tersebut wajib ditanggung oleh Baitul Mal yang merupakan institusi negara. Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَعْلُومٌ (24) لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ (25)

“Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu, bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mau meminta).” [TMQ  al-Ma’arij (70): 24-25]

Ia membawa maksud hak yang wajib diberikan oleh orang kaya kepada orang yang miskin. Allah SWT juga berfirman:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin..” [TMQ at-Taubah (9): 60]

 فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ

 “Sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah.” [TMQ at-Taubah (9): 60]

Namun begitu, jika negara gagal menjalankan kewajipan memastikan rakyatnya mendapat keperluan asas yang diperlukan dan umat Islam pula tidak melakukan muhasabah ke atas pemerintah di atas kelalaian tersebut, maka dari segi hukum-hakam Islam, seseorang yang kelaparan dan tidak mempunyai wang untuk membeli dibenarkan untuk ‘mencuri’ makanan daripada orang lain, baik ia milik pribadi (private property) ataupun harta milik negara (state property). Dalam keadaan sedemikian, seseorang tidak dibenarkan untuk memakan makanan yang haram seperti bangkai jika masih terdapat makanan halal yang dimiliki oleh orang lain. Namun, jika tidak mampu mendapatkan makanan halal dengan cara ‘mencuri’, maka barulah seseorang itu diperbolehkan untuk memakan makanan yang diharamkan bagi tujuan menyelamatkan nyawanya.

Menyambung nyawa ini adalah salah satu sebab untuk mendapatkan harta, maka syara’ tidak menganggap bahawa mengambil makanan yang berada di tangan orang lain dalam keadaan kelaparan termasuk dalam kategori mencuri yang dikenakan hukum hudud iaitu potong tangan:

لَا قَطْعَ فِي مَجَاعَةِ مُضْطَرٍّ

Dari Abi Umamah daripada Nabi SAW, bahawa beliau SAW bersabda: “Tidak ada potong (tangan) pada musim kebuluran”

Islam bukan sahaja menjamin setiap manusia mempunyai hak untuk hidup dengan terpenuhinya segala keperluan asasnya, tetapi Islam juga mengajarkan bagaimana manusia untuk menjadi produktif agar keperluan asas untuk hidup dapat diperolehi. Imam Ahmad meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَيُّما أَهْلُ عَرْصًةٍ أَصْبَحَ فِيهِمْ امْرُؤٌ جَاءِعٌ فَقَدْ بَرِءَتْ مِنْهُمْ ذِمَّةُ اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

“Siapa pun penghuni sebidang tanah yang membiarkan di antara mereka ada orang kelaparan, maka telah lepas dari mereka jaminan Allah Tabaraka Wa Ta’ala.” [HR Imam Ahmad]

مَا آمَنَ بِي مَنْ بَاتَ شَبْعَان وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ وَهُوَ يَعْلَمُ بِهِ

“Tidaklah beriman kepadaku, orang yang tetap kekenyangan, sedangkan tetangga di sampingnya kelaparan, sementara dia mengetahuinya.” [HR al Bazzar dari Anas Bin Malik]

Kesimpulannya, Islam tidak mengenal istilah “tidak produktif, maka tidak boleh makan”. Berbeza halnya dengan sistem kapitalis dan sosialis, kedua-dua sistem tersebut memandang manusia yang tidak produktif sebagai beban dan tidak berhak untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan. Oleh itu, sudah masanya kita kembali kepada sistem ekonomi Islam, yang secara asasnya negara berkewajipan menjaga kesemua golongan manusia, sama ada yang produktif dari segi ekonomi atau tidak.

Ahmad Mustafa
(Artikel ini telah ditulis dalam Buletin Khaira Ummah edisi Januari 2017)