SN604 – Bon Odori: Apa Sikap Kita?

SN604

10 Jun 2022 M / 11 Zulkaedah 1443 H

 

Sekarang ini sedang hangat isu mengenai Festival Bon Odori, sebuah pesta asal Jepun yang bakal diadakan di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam pada 16 Julai nanti. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai festival tersebut kerana ia mengandungi unsur agama lain. Manakala Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, festival seperti itu dibimbangi akan membawa kepada syirik. Bon Odori merupakan sebuah acara tarian yang sudah ratusan tahun diamalkan di Jepun, yang dari segi sejarahnya terkait dengan kepercayaan penganut Buddha terhadap roh nenek moyang mereka. Terdapat beberapa interpretasi terhadap pesta ini, antaranya dikatakan sebagai aluan dan hiburan kepada roh nenek moyang yang datang menziarahi sanak saudara mereka di alam dunia pada tarikh yang tertentu, sehingga disambut dengan nyanyian dan tarian yang tertentu. Bagaimana pun ada pihak yang mendakwa bahawa unsur mistik tersebut sudah tidak lagi wujud dan Bon Odori sekarang hanya disambut sebagai pesta kebudayaan dan hiburan, dengan mengekalkan seni tarian tradisi Jepun.

Sama ada kita sedar atau tidak, Bon Odori sebenarnya telah lama disambut di Malaysia dan ada yang menyatakan sudah lebih 30 tahun ia disambut. Setakat ini negeri yang dikatakan aktif menyambut Bon Odori ialah Selangor, Pulau Pinang dan Sabah. Kelantan juga pernah menyambutnya beberapa tahun lepas. Festival ini hanya terhenti sambutannya semasa dua tahun Malaysia dilanda pandemik Covid-19. Tahun ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Festival Bon Odori dibenarkan di Selangor dan umat Islam tidak dihalang untuk menghadirinya. Banyak lagi polemik sekitar isu ini yang menjadi perbualan hangat warga maya, baik dari sudut pro atau kontranya. Demikianlah realiti Malaysia, yang tidak habis-habis dibadai dengan pelbagai isu kontroversi. Ramadhan dan Syawal yang mulia baru sahaja meninggalkan kita, kini kita terpaksa berhadapan dengan sebuah pesta nyanyian dan tarian, yang sudah pasti pesta seumpama ini tidak akan kita saksikan di bulan Ramadhan. Malah kita yakini akan pasti mendapat tentangan daripada seluruh umat Islam jika ingin dilangsungkan di bulan Ramadhan. Lalu apa bezanya apabila pesta tersebut dilangsungkan di luar Ramadhan?

Hukum Yang Terkait

Sekiranya kita bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa Festival Bon Odori sekarang ini sudah tidak lagi mengandungi unsur kepercayaan agama lain, maka persoalannya, apakah hal ini menjadikan hukum menyambutnya diperbolehkan oleh Islam? Realitinya, Bon Odori tetap merupakan sebuah pesta tarian dan nyanyian, yang dalam konteks ini tidak ada bezanya dengan segala jenis pesta nyanyian dan tarian lainnya, samada yang datang dari Barat atau Timur. Dalam pesta seperti ini wujudnya sekumpulan orang yang berjoget dan bernyanyi dengan segala jenis peralatan muzik. Inilah realiti sebuah pesta joget dan nyanyian, yang wajib kita ketahui hukumnya.

Budaya hidup berjoget dan bernyanyi beramai-ramai ini bukanlah budaya hidup Islam. Apatah lagi apabila diadakan dalam skala yang cukup besar dan rutin yang boleh mencecah hingga ribuan hadirin yang kadang-kadang turut sama bernyanyi dan berjoget. Hal ini sama sekali bukan budaya hidup Islam, tetapi budaya hidup orang-orang kafir. Gaya hidup untuk mencari keseronokan atau bersuka ria tanpa mengira halal-haram (hedonisme) ini merupakan suatu yang sangat bertentangan dengan Islam. Islam mengajar penganutnya bahawa tujuan hidup seseorang Muslim ialah untuk beribadah kepada Allah dan mencari redha-Nya, dengan meninggalkan segala keharaman dan juga perbuatan yang sia-sia.

Islam dengan jelas melarang penganutnya untuk tasyabbuh bil kuffar (menyerupai orang-orang kafir), baik dalam aspek perbuatan, perkataan, cara berpakaian dan sebagainya, apatah lagi gaya hidup. Rasulullah (saw) selalu menyelisihi apa jua yang dilakukan oleh orang-orang kafir hatta dalam hal menyimpan janggut dan misai sekali pun, apatah lagi dalam hal yang lebih besar yang melibatkan perayaan atau kepercayaan orang-orang kafir. Baginda sering memerintahkan para Sahabat agar menyelisihi apa yang dilakukan oleh orang-orang kafir, agar kaum Muslimin tidak dilihat sama seperti mereka. Baginda bersabda:

“Tidak termasuk golongan kami orang yang menyerupai kaum lain”

dan sabda baginda yang lain:

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk salah seorang daripada mereka” [HR Ahmad].

Bon Odori jelas merupakan pestanya orang-orang kafir, yang sudah menjadi tradisi mereka sejak turun-temurun. Justeru, tindakan seorang Muslim yang turut serta dalam pesta ini, lebih-lebih lagi turut terlibat dengan nyanyian dan tarian atau berpakaian seperti mereka, sangat jelas merupakan sebuah tasyabbuh bil kuffar yang dilarang oleh Rasulullah (saw)!

Selain itu, dalam sesebuah pesta nyanyian dan tarian yang dihadiri oleh ratusan atau ribuan manusia, sudah pasti akan terjadinya ikhtilath (percampuran) antara lelaki dan perempuan yang diharamkan oleh Islam. Berkumpulnya lelaki dan wanita ajnabi (asing) itu sendiri adalah haram jika tiada keperluan yang syarie untuk berbuat demikian.

Adapun jika lelaki dan perempuan ajnabi berkumpul untuk suatu keperluan yang syarie, hal ini memang diperbolehkan, tetapi tetap sahaja wajib mengikuti aturan yang syarie pula. Ini kerana Islam merupakan sebuah agama yang mengatur pergaulan antara lelaki dan wanita, dan tidak membiarkan kedua-dua jantina itu bebas bergaul semahunya. Contohnya apabila berkumpulnya lelaki dan wanita untuk solat di masjid, belajar di kelas-kelas seperti sekolah atau universiti, menghadiri majlis ilmu, kenduri dan sebagainya, maka wajib adanya infisal (pemisahan) antara mereka.

Persoalannya, adakah wujud satu keperluan yang syarie untuk lelaki dan wanita Muslim berkumpul di sebuah pesta nyanyian dan tarian? Dan adakah wujudnya infisal di pesta tersebut? Perlu diingat bahawa jika ada infisal sekali pun di sesebuah majlis maksiat, maka hal itu sama sekali tidak ada gunanya kerana majlis itu sendiri sudah melanggar syarak!

Di samping itu, Islam juga mewajibkan lelaki dan wanita agar menjaga pandangan. Firman Allah (swt):

Katakanlah kepada lelaki yang beriman, ‘Hendaklah mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya..” [TMQ an-Nur (24): 30].

Dalam ayat berikutnya Allah menyatakan:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya..” [TMQ an-Nur (24): 31].

Seorang lelaki tidak diperbolehkan melihat aurat wanita dan begitu juga sebaliknya. Malah, bahagian badan yang bukan aurat pun tidak dibenarkan untuk dilihat (oleh lawan jenis) dengan maksud untuk menikmati kecantikannya atau dengan pandangan syahwat. Hanya pandangan yang pertama kali sahaja yang dibenarkan oleh Islam, dan selepas itu wajib bagi lelaki dan wanita menundukkan pandangan terhadap lawan jenis masing-masing. Persoalannya, dalam sebuah pesta nyanyian dan joget, mampukah seorang lelaki atau wanita menundukkan pandangan mereka, apatah lagi terhadap para penari, kerana tujuan mereka hadir adalah untuk melihat para penari itu sendiri?

Justeru, walau benar sekali pun bahawa Festival Bon Odori tidak mengandungi unsur kepercayaan agama lain yang bertentangan dengan Islam, masih banyak hukum Islam lainnya yang terkait dengan festival nyanyian dan tarian yang wajib diperhatikan oleh setiap Muslim sebelum menghadirinya atau terlibat secara langsung dengannya.

Perlu difahami bahawa dengan tidak menghadiri atau menasihati saudara-saudara kita agar tidak hadir dalam sebuah majlis maksiat, bukanlah bermaksud bahawa kita mahu bermusuh atau anti dengan penganut agama lain, tetapi kita melakukannya semata-mata kerana tuntutan hukum. Islam tidak pernah mengajar kita untuk bermusuh dengan orang-orang kafir yang tidak memusuhi Islam, tetapi bukan begini caranya (hadir pesta maksiat) untuk menunjukkan kebaikan atau toleransi kita terhadap orang-orang kafir.

Jika pihak berkuasa agama merasakan bahawa pesta seumpama ini tidak bertentangan dengan Islam, dan mereka mengaku bahawa hal ini tidak menyalahi ajaran Ahlu Sunnah Wal Jamaah, mereka seharusnya menunjukkan di manakah nas (al-Quran dan as-Sunnah) yang membenarkan umat Islam hadir atau terlibat dengan sebuah pesta nyanyian dan tarian, khususnya lagi pesta yang menjadi tradisi orang-orang kafir. Buktikan Imam Mazhab atau Ulama Ahlu Sunnah manakah yang membolehkan umat Islam bercampur baur antara lelaki dan perempuan menyaksikan sebuah pesta nyanyian dan joget kaum kafir!

Masalah Berakar Pada Sistem

Gaya hidup hedonisme yang wujud dalam sesebuah negara kaum Muslimin saat ini memang tidak boleh dipisahkan daripada sistem yang mengatur negara tersebut. Sistem demokrasi yang bertunjangkan kebebasan yang dipaksakan di banyak negara kaum Muslimin, ternyata telah melahirkan banyak kerosakan dan malapetaka yang dahsyat ke atas umat Islam. Idea kebebasan telah meracuni umat Islam untuk hidup tanpa terikat dengan hukum-hakam agama. Tujuan hidup mereka juga telah berjaya dipesongkan oleh sistem yang datang daripada Barat ini, daripada hidup untuk beribadah kepada Allah, kepada hidup untuk meraih sebanyak mungkin kesenangan dan kenikmatan duniawi. Inilah antara kejayaan Barat dengan sistem demokrasi yang mereka bawa dan terapkan di negeri-negeri kaum Muslimin yang mereka jajah.

Melalui sistem yang rosak ini, parti Islam sekali pun apabila bergelumang dengannya, malah apabila berada di tampuk pemerintahan pun, turut hanyut dan tenggelam dalam arus kerosakan yang dibawanya. Dalam sistem yang membenarkan segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan berlaku secara terbuka ini, satu-satunya benteng yang dapat mencegah seseorang daripada dosa hanyalah ketakwaan yang ada pada dirinya sahaja. Di sinilah umat Islam perlu sedar bahawa selagi sistem ini masih ada, dan selagi negara diperintah oleh pemimpin yang mempertahankan sistem ini, maka selagi itulah kemaksiatan dan kerosakan akan terus menyelimuti umat Islam.

Satu-satunya jalan keluar daripada kerosakan yang dibawa oleh sistem ialah dengan menggantikan sistem tersebut. Sejarah dan bukti terpampang jelas di depan mata bahawa dengan hanya bertukarnya wajah pemimpin, tanpa berlaku pertukaran pada sistemnya, kerosakan bukan sahaja tidak dapat dibendung, malah bertambah parah dari semasa ke semasa.

Dalam sebuah negara yang diatur oleh sistem Islam (Khilafah), negara dan sistem itu sendiri akan menutup segala pintu kemaksiatan, sehingga mana-mana individu yang ingin melakukannya akan tercegah dengan sendirinya. Contohnya, dalam negara Khilafah tidak akan wujud perbankan ribawi, yang mana hal ini secara automatik akan mencegah mana-mana orang daripada mengambil riba. Namun, jika tetap ada orang yang melakukan transaksi ribawi sesama mereka, dan hal ini diketahui oleh negara, maka uqubat (hukuman) akan dikenakan ke atas mereka.

Begitu juga dengan segala kelab malam dan apa jua pesta maksiat yang sudah pasti tidak akan dibenarkan wujud dalam negara Khilafah, Hal ini secara automatik akan mencegah manusia daripada menghadirinya. Namun jika ia tetap diadakan oleh mana-mana orang secara tertutup, dan hal ini diketahui oleh negara, maka uqubat akan dikenakan ke atas pelakunya. Beginilah cara sebuah Negara Islam menutup pintu kepada segala kemaksiatan.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita masih agak baru memasuki fasa endemik, dengan kes Covid-19 yang sebenarnya masih tinggi, namun sudah kelihatan bunga-bunga kemaksiatan kembali mekar di bumi Malaysia. Hal ini bukanlah menghairankan kerana semasa pandemik pun, kemaksiatan tetap sahaja berlaku. Sebahagian kecil hanya di’pause’ sahaja oleh pemerintah. Kita menyaksikan di fasa pandemik bagaimana ahli-ahli politik bercakaran merebut kuasa tanpa mempedulikan rakyat. Kita menyaksikan bagaimana pemerintah mengenakan SOP yang tidak masuk akal sehingga berapa ramai rakyat yang hilang mata pencarian, hidup dalam tekanan hingga ada yang membunuh diri. Kita menyaksikan bagaimana masjid-masjid ditutup dan dihadkan bilangan serta saf dijarakkan. Kita menyaksikan bagaimana pemerintah berdoa kepada Allah agar Dia mengangkat segala wabak dan malapetaka. Kini, belum pun lagi Allah mengangkat sepenuhnya wabak, tetapi Dia telah pun dilupakan! Musibah apa lagi yang ingin kita undang?

Wal iyyazu billah.

 

Download PDF