SN605 – Hukuman Mati: Demokrasi vs Islam
SN605
17 Jun 2022 M / 18 Zulkaedah 1443 H
Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022. Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut. “Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau juga mengesahkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah [Astro Awani].
Dalam perkembangan sama, Wan Junaidi dan juga Menteri Hal Ehwal Agama berkata, antara cadangan penggantian hukuman mati mandatori ialah dengan diyat, yang sekarang ini dalam peringkat kajian dan perbincangan. Walaupun usaha ini kelihatan seperti ingin berhukum dengan hukum Islam, namun ia sebenarnya jauh panggang dari api. Ia hanyalah usaha untuk “memasukkan” atau mengkompromi antara hukum Islam dengan hukum kufur, setelah para penguasa itu merasakan undang-undang kufur sedia ada tidak lagi relevan, tidak berkesan, tidak berperikemanusiaan dan sebagainya. Persoalannya, jika para penguasa ini benar-benar menginginkan hukum Islam, kenapa tidak kembali sahaja kepada hukum Islam sepenuhnya? Sesungguhnya Allah (swt) tidak membenarkan yang haq untuk dicampuradukkan dengan yang batil. Tidak cukupkah segala perintah, larangan dan peringatan Allah (swt) di dalam Al-Quran untuk para penguasa ini sedar akan kewajipan mereka?
Hukum Demokrasi vs Hukum Islam
Perkembangan terbaru ini seharusnya semakin menyedarkan setiap Muslim akan hakikat sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Dalam sistem yang berasal dari Barat ini, kedaulatan berada di tangan manusia atau dengan kata lain hak untuk membuat, meminda dan memansuhkan undang-undang berada di tangan manusia, yang diwakili oleh ahli-ahli badan legislatif. Atas dasar itu, undang-undang digubal, dipinda dan dimansuhkan mengikut kepentingan dan hawa nafsu para pembuatnya, sesuka hati mereka. Berbeza orang dan berbeza masa, maka berbeza pula kepentingan dan hawa nafsu masing-masing.
Maka, tidak hairanlah kalau kerajaan atau ahli-ahli Parlimen sekarang memandang baik untuk dihapuskan hukuman mati mandatori, sedangkan pada masa hukuman tersebut digubal, para penggubalnya memandang hukuman mati mandatori adalah yang terbaik. Pokoknya, hak berbuat demikian telah diberi oleh demokrasi kepada mereka. Demokrasi telah menetapkan bahawa dalam urusan pembuatan undang-undang, akal manusialah yang wajib diguna pakai, dan kedudukan akal manusia itu lebih tinggi berbanding perintah Allah dan Rasul-Nya!
Sedangkan menurut Islam, akal itu wajib digunakan untuk memahami hukum Allah, kemudian melaksanakannya dengan penuh pasrah dan ketundukan kepada-Nya. Dia ialah Tuhan yang mencipta manusia, Yang Maha Mengetahui akan segala keperluan dan kelemahan ciptaan-Nya. Dia ialah Tuhan Yang Maha Mengatur, dan Dia adalah sebaik-baik Pengatur, dan manusia wajib terikat dengan segala peraturan-Nya.
Berbeza dengan demokrasi, hukum Islam itu tidak dibuat oleh manusia, tetapi lahir atau terpancar daripada akidah Islam. Dengan kata lain, kita melaksanakan hukum Islam kerana keyakinan kita bahawa itu adalah perintah Allah, yang kita tidak ada pilihan dalamnya. Mengerjakannya akan mendapat pahala manakala meninggalkannya akan mendapat dosa dan seksa di akhirat. Hukum Islam itu dilaksanakan kerana mematuhi perintah Allah semata-mata, bukan kerana kelulusan manusia. Manusia luluskan atau tidak, manusia suka atau tidak, hukum Allah wajib diterapkan, dan apabila diterapkan sudah pasti akan mendatangkan kebaikan buat manusia. Inilah perbezaan ketara antara hukum Islam dan hukum demokrasi!
Hukum Bunuh Dalam Islam
Dalam Islam, terdapat seperangkat hukuman mati yang telah ditetapkan-Nya, yang tidak boleh diubah oleh siapa pun sampai kiamat. Hukuman mati ini telah ditetapkan dengan jelas sama ada di dalam Al-Quran mahu pun As-Sunnah. Antaranya ialah qisas (bunuh balas). Firman-Nya:
“Diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita..” [TMQ al-Baqarah (2): 178].
Al-Quran juga memperuntukkan hukuman mati kepada qutha’ ath-thariq (perompak jalanan) yang melakukan pembunuhan dan rompakan sekali gus. Firman-Nya:
“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya)..” [TMQ al-Ma’idah (5): 33].
Hukuman mati juga terkena ke atas kesalahan sihir berdasarkan firman Allah:
“Padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitanlah yang kafir (mengerjakan sihir)..” [TMQ al-Baqarah (2): 102].
Ayat ini menjelaskan bahawa tukang sihir adalah kafir, yang bermaksud jika seseorang Muslim mengerjakan sihir, maka dia telah menjadi kafir (murtad). Jadi hukuman bunuh akan dijalankan oleh negara atas kemurtadannya itu.
Hukuman mati ke atas orang yang murtad dinyatakan dengan jelas di dalam hadis. Sabda Rasulullah (saw):
“Barangsiapa mengganti agama (Islam)nya, maka bunuhlah dia” [HR al-Bukhari].
Taubat daripada seorang murtad hanya diterima jika ia tidak mengulangi kemurtadannya. Jika ia mengulangi kemurtadannya, maka taubatnya tidak lagi diterima dan wajib dihukum bunuh berdasarkan firman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman (pula), kemudian kafir lagi, kemudian bertambah kekafirannya, maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka..” [TMQ an-Nisa’ (4): 137].
Hukuman bunuh juga terkena ke atas kesalahan liwat. Sabda Nabi (saw):
“Barang siapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya” [HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tirmizi].
Begitu juga dengan penzina muhsan (telah berkahwin), hukuman bunuh (rejam) wajib dikenakan ke atasnya sebagaimana telah diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah,
“Bahawa seorang lelaki berzina dengan perempuan. Nabi (saw) memerintahkan untuk menyebatnya, kemudian diberitahu bahawa dia adalah muhsan, maka Nabi (saw) memerintahkan untuk merejamnya.”
Selain itu, hukuman mati juga berlaku ke atas Khalifah yang dibaiat setelah kaum Muslimin membaiat Khalifah yang pertama secara sah. Sabda Rasulullah (saw):
“Jika dibaiat dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya” [HR Muslim].
Begitu juga jika ada orang yang ingin memecah-belahkan kesatuan kaum Muslimin setelah kaum Muslimin berada di bawah pimpinan seorang Khalifah yang sah. Sabda Rasulullah (saw):
“Siapa sahaja yang mendatangi kalian dalam keadaan kalian telah berkumpul/bersatu di bawah kepimpinan seorang lelaki (Khalifah), kemudian dia ingin memecahkan persatuan kalian atau ingin memecah belah jemaah kalian, maka perangilah/bunuhlah orang tersebut” [HR Muslim].
Masih ada beberapa hukum bunuh yang terdapat dalam Islam seperti kes penghinaan ke atas Nabi; orang yang menggantikan sistem dan undang-undang kufur setelah sebelumnya diterapkan hukum Islam; orang-orang daripada negara kafir yang melakukan tajassus (pengintipan / spying) dalam negara Islam; orang-orang kafir harbi atau kafir musta’min yang bersekongkol dengan kumpulan bughat (pemberontak) melawan pemerintah yang sah, dan beberapa kes yang lain seperti yang terdapat dalam nas. Dalam semua kes yang melibatkan hukuman mati yang telah disebutkan di atas, seseorang hakim tidak mempunyai kuasa budi bicara untuk merubah atau menggantikannya.
Peranan Hakim Menurut Islam
Hakim ialah orang yang memutuskan sesuatu berdasarkan hukum Allah dan keputusannya bersifat mengikat. Hakim itu sendiri terikat dengan hukum syarak. Walaupun hakim boleh memutuskan hukum berdasarkan ijtihadnya, namun perlu difahami bahawa ijtihad di sini hendaklah selari dengan hukum syarak, bukan terkeluar daripadanya. Sebagai contoh, bagi tujuh kesalahan hudud (zina, mencuri, minum arak, liwat, murtad, qazaf, qutha’ ath-thariq / bughat), hakim tidak punya pilihan atau budi bicara kecuali wajib mengenakan had (batas) yang telah ditetapkan oleh syarak untuk setiap kesalahan, tanpa boleh dikurangi atau dilebihkan.
Begitu juga dengan kesalahan jinayat (pembunuhan dan kecederaan badan) di mana hakim terikat dengan hukum syarak dan wajib memutuskan hukum sesuai dengan nas yang telah ditetapkan. Untuk kesalahan bunuh, nas telah memberikan hak kepada waris mangsa sama ada untuk mengenakan qisas, diyat atau memaafkan si pembunuh. Tiga pilihan ini bukannya terletak di tangan hakim, tetapi di tangan waris si mangsa. Apa sahaja pilihan yang diputuskan oleh waris si mangsa, maka hakim tidak punya budi bicara kecuali wajib memenuhinya, walaupun hakim digalakkan untuk menasihati waris agar memberi maaf sesuai tuntutan hadis.
Jika waris menuntut dilaksanakan qisas, maka hakim wajib mengqisas si pembunuh. Begitu juga dengan kesalahan lain yang melibatkan hukuman bunuh seperti murtad, penzina muhsan, liwat, sihir dan lain-lain seperti yang dinyatakan di atas, hakim tidak mempunyai budi bicara dan tidak diberi pilihan oleh syarak, kecuali wajib menjatuhkan hukuman bunuh kepada mereka yang telah terbukti bersalah. Hukuman mati mandatori wajib dijalankan atas kesalahan-kesalahan tersebut!
Manakala dalam kes jinayat yang melibatkan kecederaan anggota badan, nas telah memperuntukkan sejumlah diyat yang tertentu untuk setiap kecederaan, dan jumlah diyat ini tidak boleh dikurangi atau dilebihkan mengikut budi bicara hakim. Peranan hakim dalam setiap kes ialah memutuskan berdasarkan hukum Allah. Firman-Nya:
“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguh dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33): 36].
“Budi bicara” hakim hanya boleh berlaku untuk kesalahan ta’zir dan mukhalafat. Itu pun ia bukannya budi bicara mutlak yang membolehkan hakim memutuskan menurut hawa nafsunya, tetapi wajib terikat dan tidak boleh terkeluar daripada bentuk-bentuk hukuman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) dan Khulafa’ ar-Rasyidin. Hukuman ta’zir yang paling ringan ialah nasihat (pengampunan), manakala yang paling berat ialah hukuman mati di mana berat dan ringannya hukuman bergantung kepada berat dan ringannya kesalahan dan juga sifat pesalah. Telah diriwayatkan dari Aisyah (ra) bahawa Nabi (saw) berpesan kepada qadhi (hakim):
“Ringankanlah (ta’zir) bagi orang yang memiliki perangai terpuji atas pelanggaran mereka, kecuali hudud.”
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Cukuplah memberi mandat kepada manusia untuk menjadi pembuat undang-undang. Ingatlah bahawa dosa itu bukan hanya ditanggung oleh si pembuat undang-undang yang menggubal dan merubah hukum menurut hawa nafsu mereka, tetapi turut ditanggung oleh orang yang memberikan mandat kepada mereka! Ingatlah bahawa kerana sistem demokrasilah, Al-Quran dan As-Sunnah tidak ada tempatnya di parlimen, malah sistem kufur ini telah memberikan hak kepada manusia untuk menjadi seumpama Ahbar dan Ruhban sebagai Arbab! Para pembuat undang-undang ini dengan angkuh dan tanpa rasa bersalah mengambil hak Allah sebagai Pembuat Hukum. Inilah hakikat demokrasi. Justeru, ayuhlah kita berusaha untuk menegakkan negara Khilafah yang akan menegakkan hukum Allah secara kaffah. Inilah satu-satunya cara untuk kita kembali berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah, yang akan membawa keberkatan dan rahmat kepada kita semua insya Allah.