SN545 – Hukuman Mati: Ikut HAM Atau Ikut Islam

Bil: SN545 – 22 Rabiulawwal 1440 / 30 November 2018

SN545 - Hukuman Mati: Ikut HAM Atau Ikut Islam

Keputusan kabinet memansuhkan hukuman mati  bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta pada 10 Oktober yang lalu telah mendapat kritikan dan bantahan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Menurut laporan Amnesty International (2015), hukuman mati (capital punishment) masih diamalkan sepenuhnya di 56 buah negara, enam mengekalkan hukuman tersebut dalam kesalahan tertentu, 30 cenderung ke arah penghapusannya, manakala 103 daripadanya telah menghapuskannya secara keseluruhannya. Rata-rata pihak yang menentang hukuman mati berpandangan bahawa hukuman tersebut bersifat kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina pesalah yang dijatuhkan hukuman mati. Dalam pada itu, mereka melihat bahawa hukuman mati bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia kerana ia dikatakan merampas nyawa seseorang sekali gus menafi­kan haknya untuk menikmati kehidupan. Prinsip hak asasi manusia (HAM) merupakan gagasan yang tercetus melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang dibuat semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada 10 Disember 1948. Perisytiharan ini mengetengahkan pelbagai aspek hak-hak asasi manusia merangkumi hak-hak sivil dan politik sehinggalah hak ekonomi, sosial, dan kebudayaan. Berhubung hukuman mati, hal ini terangkum di bawah Perkara 5 iaitu ‘Kebebasan daripada seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan’.

Antara hujah yang digunakan oleh pejuang HAM untuk menolak hukuman mati adalah bahawa jika mahkamah ter­silap dan hukuman bunuh telah dijatuhkan, nyawa seorang insan yang tidak berdosa hilang begitu sahaja.  Hal ini dapat dilihat dalam kes Timothy Evans, seorang remaja kulit hitam yang dihukum mati atas dakwaan membunuh dua jirannya lebih seabad yang lalu. Evans didapati tidak bersalah setelah hukuman mati dilaksanakan. Di sebalik hujah ini, ia bukan­lah menjelaskan  sebab penolakan  hukuman bunuh, bahkan ia menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap sistem kehakiman yang sudah semakin terhakis sehingga mereka menuntut pemansuhan hukuman mati sama sekali. Sedangkan, dalam Islam terdapat kaedah berbunyi al-aslu bara’atu ad-dzimmah  (hukum asal manusia tidak bersalah) merupakan sebuah prinsip yang dititik beratkan bagi memasti­kan keadilan dapat dicapai bagi pihak yang mendakwa dan yang didakwa. Islam juga menekankan peri pentingnya seseorang hakim bersikap berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman. Sabda Rasulullah SAW, “Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud daripada Muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), lebih baik daripada yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak ber­salah),” [HR Tirmizi dan Ibnu Majah].

Di samping itu, para aktivis dan pejuang HAM juga berhujah bahawa hukuman mati tidak mencegah daripada ber­lakunya jenayah, sebaliknya ia hanya menghukum pesalah setelah jenayah tersebut terjadi. Kajian oleh Radelet dan Lacock (2009) yang diterbitkan dalam Journal of Criminal Law and Criminology menunjukkan sebanyak 88% daripada pakar kriminologi di Amerika Syarikat berpandangan bahawa “hukuman mati tidak mencegah daripada ter­jadinya kes pembunuhan”. Namun kajian soal selidik ter­sebut boleh di­pertikaikan kerana jumlah responden kajian tersebut kecil dan tidak mewakili pandangan keseluruhan pakar kriminologi. Bahkan dalam kajian berasingan yang dilakukan oleh Quintero (2010) mendapati bahawa tempoh prosedur pelaksanaan hukuman mati yang terlalu lama merupakan punca sebenar hukuman mati tidak begitu berkesan dalam menurunkan kadar jenayah. Sebaliknya dalam Islam, selain daripada bertujuan untuk menebus kesalahan (jawabir), sistem uqubat (hukuman) dalam Islam turut berperanan dalam mencegah (zawajir) terjadinya jenayah. Dalam Islam, hukuman dijatuhkan secara terbuka sebagai suatu pengajaran dan peringatan kepada hadirin yang menyaksi­kan hukuman tersebut, di samping mendatangkan keinsafan dalam diri mereka. Pelaksanaan hukuman qisas misalnya, dapat memelihara kehormatan, nyawa, jaminan kehidupan, dan mendatangkan keamanan dalam masyarakat. Firman Allah SWT, “Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa,” [TMQ al-Baqarah (2):179]. Namun, hukuman qisas hanya boleh dilaksanakan oleh institusi negara, dan bukannya di peringkat individu mahupun kumpulan, sekali gus menolak dakwaan bahawa ia menggalakkan budaya keganasan dan balas dendam antara pihak yang terlibat. Bahkan dalam menjatuhkan hukuman qisas, badan pelaksananya dilarang daripada melampaui batas sepertimana firman Allah SWT, “…Janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak),” [TMQ al-Israa (17): 33].

Selain itu, pejuang HAM juga berpandangan bahawa hukuman mati juga kebiasaannya cenderung untuk dijatuh­kan ke atas golongan minoriti dan miskin. Hal ini turut disuara­kan dalam kenyataan sekumpulan pakar HAM di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OHCHR) bersempena Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia 2017. Perkara sebegini terjadi dalam sistem kehakiman yang cenderung untuk bias dan dicorakkan oleh aturan kehidupan yang menggalakkan diskriminasi seperti demokrasi-kapitalis. Sedangkan dalam Islam, keadilan dilaksanakan tanpa mengira latarbelakang sosial, warna kulit, dan status seseorang. Sabda Rasulullah SAW, “Demi Allah, sungguh jika Fatimah binti Muhammad mencuri, aku sendiri yang akan memotong tangannya,” [HR Bukhari dan Muslim].

Hipokrasi HAM dan Keadilan Islam

Sesungguhnya, cetusan gerakan pemansuhan hukuman mati ini bertitik-tolak daripada prinsip HAM yang ber­landaskan logik akal dalam menilai keadilan dan hak-hak ke­manusiaan. Bahkan prinsip-prinsip tersebut cenderung kepada sudut pandang dan nilai-nilai daripada tamadun Barat yang berasaskan akal manusia, lalu diperjuangkan agar diterima sebagai nilai sejagat. Sedangkan hakikatnya akal manusia bersifat terbatas serta cenderung untuk dicorakkan oleh persekitaran. Mereka hanya melihat hak manusiawi (huquq) dari perspektif pembunuh, tanpa memikirkan hak manusiawi mangsa bunuh dan ahli keluarga mereka dalam mendapatkan keadilan. Inilah antara bentuk hipokrasi dan ironi yang terjadi apabila mereka terikut-ikut dengan produk pemikiran daripada hadharah kufur Barat. Konsep HAM ini lahir akibat daripada penindasan dan ketidakadilan yang berlaku di sana. Sedangkan Islam mempunyai pandangan yang khas berhubung prinsip keadilan dan jaminan hak manusiawi yang bersumber daripada wahyu Allah SWT.

Maka, sebagai seorang Muslim, kita wajib untuk mengatur kehidupan berlandaskan tuntutan Islam, ini termasuklah dalam segala aspek penerapan hukum-hakam yang  telah disyariatkan. Sistem uqubat Islam pada dasarnya terbahagi kepada hudud, ta’zir, jinayat, dan mukhalafat. Manakala hukuman mati yang merangkumi kesalahan-kesalahan seperti murtad, zina (muhsan), pem­bunuhan (qisas), dan se­bagainya terdapat dalam bahagian hudud, ta’zir dan jinayat. Allah SWT selaku al-Khaliq (Pencipta) pastinya Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Firman Allah SWT, “…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya,” [TMQ al-Baqarah (2): 216]. Umat Islam yang berfahaman liberal dan men­dukung pemansuhan hukuman mati bukan sahaja telah mengingkari ayat-ayat al-Quran berhubung hukuman mati bagi bentuk-bentuk kesalahan yang telah dinyatakan, bahkan turut menafikan huquq keluarga mangsa bunuh dalam menuntut keadilan sama ada melalui hukuman balas bunuh atau diyat.  Hukuman mati apabila dilaksanakan dalam sistem ciptaan manusia, ia cenderung dilihat daripada perspektif akal dan tidak berlaku adil sama ada ke atas pihak tertuduh atau yang pihak menuduh. Manusia bebas untuk menentukan hukum yang mereka mahukan. Jadi, samada hukum bunuh di­mansuhkan ataupun tidak, keadilan ke atas manusia tetap tidak akan tercapai. Sedangkan apabila hukuman mati ini dil­aksanakan di bawah naungan syariat Islam, ia sudah tentu akan memberikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat kerana ia dilaksanakan atas perintah dan panduan daripada wahyu Allah SWT. Jadi, hanya hukuman mati di dalam Islam sahaja yang mampu untuk memberikan keadilan dan kepuasan kepada manusia di samping mendapat keredhaan daripada Allah SWT.

Dalam pada itu, perlu diperhatikan juga bahawa sistem ke­hakiman pada hari ini, sepertimana juga aturan kehidupan lainnya tidak diatur mengikut syariat Islam sepenuhnya. Sebaliknya, sistem sekular-demokrasi-kapitalis kini men­dominasi segenap aspek kehidupan umat Islam di negara ini. Justeru, tidak menghairankan apabila undang-undang dan peraturan digubal mengikut akal dan hawa nafsu tanpa ber­landaskan wahyu. Sehubungan itu, wajib bagi kita untuk menuntut penerapan syariat Islam yang hakiki, dan berusaha mengembalikan semula institusi khilafah agar hukum-hakam Islam dapat diterapkan secara menyeluruh dalam kehidupan sekaligus membawa gagasan rahmatan lil alamin.


DIYAT DALAM UQUBAT ISLAM

Diyat merupakan harta yang wajib dikeluarkan oleh pesalah yang menjadi ganti rugi (tebusan) atau pampasan kepada mangsa atau waris mangsa. Diyat berlaku ke atas dua kesalahan jinayat, iaitu pembunuhan dan penganiayaan ke atas anggota badan. Antara dalil al-Quran yang menerangkan tentang diyat ialah ayat ke-92 daripada surah an-Nisa’ yang bermaksud,

“Dan tidaklah layak bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin (yang lain), kecuali karena tersalah (tidak sengaja) dan barangsiapa membunuh seorang mukmin karena tersalah (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar dia yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh itu), kecuali jika mereka (keluarga terbunuh) bersedekah. Jika ia (si terbunuh) dari kaum yang memusuhimu, padahal ia mukmin, maka (hendaklah si pembunuh) memerdekakan hambasahaya yang mukmin. Dan jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka denganmu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar Diyat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang mukmin. Barangsiapa yang tidak memperolehnya, maka hendaklah ia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut sebagai cara taubat kepada Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Di dalam kes pembunuhan, diyat merupakan pilihan bagi keluarga mangsa sekiranya mereka memilih untuk tidak menjatuhkan qisas ke atas pesalah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Barangsiapa yang terbunuh, maka walinya memiliki dua hak, boleh meminta diyat (tebusan) atau membunuh si pelakunya (qisas)” [HR Bukhari].

Abdul Rahman Al-Maliki di dalam kitabnya Nizham al-Uqubat telah menerangkan bahawa terdapat empat jenis pembunuhan dalam kesalahan jinayat iaitu pembunuhan sengaja (qatlu al-amad), mirip sengaja (shibhul amad), tersalah (khata’) dan tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’) di mana jumlah diyat yang perlu dikeluarkan adalah tertakluk kepada jenis pembunuhan yang berlaku. Bagi kes sengaja dan mirip sengaja, ia tergolong di dalam diyat mughallazah (berat) di mana pesalah perlu menyediakan 100 ekor unta di mana 40 darinya mestilah bunting. Manakala bagi kes tersalah dan tidak sengaja, ia dikategorikan sebagai diyat mukhaffafah (ringan) di mana jumlah diyat adalah 100 ekor unta tanpa syarat unta yang bunting.

Berkenaan diyat yang melibatkan penganiayaan anggota badan, menurut Ahmad bin Muhammad Ibnu Qudamah al-Maqdisy di dalam kitabnya al-Mughni, ia juga terbahagi kepada empat kategori  iaitu i) hilangnya salah satu anggota badan, ii) hilangnya suatu manfaat dari anggota badan, iii) luka di kepala, wajah atau badan dan iv) yang mengakibatkan patah tulang. Jumlah diyat juga adalah berbeza tertakluk kepada empat jenis kecederaan tersebut.

Download PDF