SN607 – Politik Demokrasi Semakin Menyerlahkan Kekotorannya

SN607

1 Julai 2022 M / 2 Zulhijjah 1443 H

 

Di saat UMNO mencanangkan kepada rakyat bahawa kekuatannya semakin pulih, tiba-tiba rakyat dihidangkan dengan satu lagi “drama” yang menunjukkan ketidakstabilan UMNO, dan tidak mustahil akan menggoncang parti Melayu terbesar itu dalam persediaan mereka menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Tajuddin Abdul Rahman yang baru sahaja dipecat daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, telah membuat pendedahan mengenai usaha beberapa orang ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, selain pendedahan mengenai usaha menggantikan Zahid sebagai Presiden UMNO oleh beberapa pimpinan UMNO. Rentetan krisis yang berlaku, PAS pula mengambil kesempatan menyuarakan kesediaannya untuk menerima Tajuddin jika ahli parlimen Pasir Salak itu ingin menyertai PAS, malah menawarkan Tajuddin untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili PAS dalam PRU akan datang.

Dalam perkembangan lain, semasa perbicaraan kes rasuahnya beberapa hari lepas, Zahid telah memberi keterangan kepada mahkamah bahawa tiga orang ahli parlimen UMNO daripada Masjid Tanah, Jeli dan Bagan Serai keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU14 yang lalu kerana mahu menyelamatkan diri daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkait dana parti yang berjumlah puluhan juta ringgit. Dalam perbicaraan sebelumnya berhubung sistem visa luar negara (VLN), satu lejar rahsia Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang mengandungi nama kod dan butiran dakwaan pembayaran yang dibuat syarikat itu kepada beberapa ahli politik antara 2014 dan 2018, telah dikemukakan di mahkamah sebagai bahan bukti. Selain Zahid, nama-nama lain yang terdapat dalam lejar tersebut ialah Muhyiddin Yassin, Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein, Reezal Merican Naina Merican, Shafie Apdal dan Anifah Aman. Setakat ini mereka menafikan mendapat apa-apa sumbangan daripada UKSB.

Hubungan Antara Politikus dan Kapitalis 

Pendedahan Tajuddin bukanlah suatu yang mengejutkan, cuma ia menambahkan lagi bukti ketamakan kuasa dan jawatan yang sudah sedia maklum dalam UMNO. Ia juga menambahkan bukti bahawa ikatan yang wujud dalam UMNO hanyalah ikatan manfaat, tidak lebih daripada itu. Mereka akan bersatu dan menyokong satu sama lain selagi ada manfaat, dan setelah manfaatnya hilang, mereka akan mengutuk dan memburukkan satu sama lain.

Begitu juga dengan pendedahan mengenai lejar UKSB di mahkamah, ia juga bukanlah suatu yang mengejutkan. Siapa pun yang mengkaji politik demokrasi yang lahir daripada ideologi kapitalisme ini, akan mengetahui bahawa para politikus demokrasi merupakan orang-orang yang “didanai” oleh syarikat-syarikat kapitalis. Kos untuk menjadi ahli politik bukanlah murah, apatah lagi untuk bertanding dalam pilihan raya sistem demokrasi, ia sangatlah mahal. Hampir mustahil untuk dikatakan bahawa calon dan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya tidak mendapat dana daripada kapitalis.

Kerjasama antara ahli atau parti-parti politik dengan para kapitalis adalah ibarat aur dengan tebing, malah lebih rapat lagi. Para kapitalis akan membekalkan dana kepada para politikus, manakala para politikus akan memberikan segala macam projek (setelah mereka berkuasa) kepada para kapitalis yang mendanai mereka. Hasil-mahsul daripada segala projek akan dikongsi bersama antara kedua-dua pihak. Malah segala undang-undang dan polisi negara yang dibuat oleh mereka yang berkuasa, akan dipastikan menjaga dan melindungi kepentingan para kapitalis ini. Inilah realiti sistem demokrasi yang slogan sebenarnya ialah “dari kapitalis, oleh kapitalis, untuk kapitalis”.

Atas dasar itu, rasuah dan penyelewengan sangat subur dalam politik demokrasi. Sebesar mana pun rasuah dan penyelewengan yang dilakukan, selagi kuasa masih di tangan, maka orang-orang yang berkuasa serta kroni mereka akan terus selamat. Mereka hanya akan menerima padah apabila kuasa telah hilang, dan tampuk kekuasaan dipegang oleh orang-orang yang memusuhi mereka. Namun keadaan boleh sahaja berubah apabila mereka kembali berkuasa. Inilah situasi yang kita saksikan pada hari ini sehingga umum telah pun mengetahui akan usaha “kluster mahkamah” untuk kembali berkuasa bagi menyelamatkan diri mereka.

Antara Dana Politik, Hadiah Dan Rasuah

Jika sebelum meletusnya kes 1MDB, mungkin ramai yang masih belum tahu mengenai kewujudan dana politik yang boleh mencecah berbilion ringgit. Dana ini boleh datang dari pelbagai sumber, sama ada dari dalam mahu pun luar negeri. Apa yang pasti ialah ia datangnya daripada para pemilik modal (kapitalis) yang sangat kaya. Suatu yang pasti juga bahawa dana ini bukan diberi begitu sahaja tanpa apa-apa kepentingan atau imbalan yang diharapkan oleh si pemberi!

Atas nama dana politik, selalunya tidak ada tindakan undang-undang yang diambil ke atas pemberi dan juga penerima, kerana ia tidak disifatkan sebagai “rasuah” oleh undang-undang sedia ada. Apatah lagi jika dana tersebut diberi kepada individu atau parti yang sedang berkuasa, segalanya akan selamat dan “sah-sah” sahaja. Dana ini juga bukannya mudah untuk dibuktikan kerana transaksinya yang penuh rahsia dan sering kali terselindung di sebalik perkara-perkara lain, selain terdapat peraturan kerahsiaan antara bank dan pelanggan.

Selain istilah dana politik, para politikus ini juga sering terselamat dengan istilah “hadiah” yang juga dianggap bukan rasuah. Isu ahli politik menerima hadiah bukanlah baru, dan bukan sedikit jumlah hadiah yang mereka terima, dan jumlah mereka yang terlibat. Mereka sering menerima hadiah daripada pelbagai pihak dengan hadiah-hadiah yang sangat berharga. Lihat sahaja baju Perdana Menteri (PM) yang sangat mahal, yang dikatakan sebagai tidak pelik oleh ahli parlimen Padang Rengas kerana PM sering menerima hadiah yang mahal-mahal dari banyak pihak [Malaysiakini].

Apa pun yang mereka istilahkan, kesalahan rasuah dalam Islam sangatlah jelas, kerana ia telah dijelaskan oleh nas dengan sangat terang lagi tegas. Siapa sahaja yang memiliki autoriti yang mewajibkannya untuk memenuhi suatu kepentingan, maka apa sahaja harta yang diambilnya (selain gaji / elaun) dalam menunaikan tugas tersebut, adalah rasuah.

Dengan kata lain, rasuah merupakan satu imbalan untuk melaksanakan satu pekerjaan yang wajib dikerjakan tanpa imbalan, oleh orang yang berautoriti mengerjakannya, atau sebagai imbalan untuk tidak dilaksanakan pekerjaan yang wajib dikerjakan olehnya. Tidak ada bezanya samada kepentingan tersebut merupakan suatu yang mendatangkan manfaat atau menolak mudarat (menghindari bahaya), dan tidak ada bezanya sama ada kepentingan tersebut benar atau batil. Semuanya adalah rasuah dan semuanya adalah haram!

Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah telah meriwayatkan dari Abdullah bin Amru, dia berkata: Rasulullah (saw) bersabda:

Laknat Allah atas pemberi dan penerima rasuah.”

Ahmad juga meriwayatkan dari Tsauban, dia berkata:

“Rasulullah (saw) melaknat pemberi dan penerima rasuah, dan perantara iaitu orang tengah di antara keduanya.”

Hadis-hadis ini berbentuk umum sehingga merangkumi semua bentuk rasuah. Tidak ada bezanya sama ada rasuah itu berlaku dalam usaha untuk mencari kebenaran atau mencari kebatilan, untuk menolak kerugian atau mendatangkan keuntungan, untuk menghilangkan kezaliman atau menimpakan kezaliman. Semuanya sama sahaja, dan semuanya adalah haram!

Lalu bagaimana puIa dengan “hadiah”? Imam Bukhari meriwayatkan:

“Bahawa Nabi (saw) menugaskan Ibnu Lutaibah untuk mengurusi zakat Bani Sulaim. Ketika beliau sampai kepada Rasulullah (saw) dan melaporkan kepada baginda, beliau berkata: ‘Ini (harta) untuk anda, dan ini hadiah yang diberikan kepadaku.’ Maka, Rasulullah (saw) bersabda: ‘Kenapa kamu tidak duduk sahaja di rumah ayah atau ibumu, sampai datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar?’ Lalu Rasulullah (saw) berdiri dan berucap kepada orang ramai. Baginda mengucap syukur kepada Allah dan memuji-Nya, lalu bersabda: ‘Amma ba’du. Sesungguhnya aku menugaskan beberapa orang lelaki di antara kalian untuk mengurusi hal-hal yang dikuasakan kepadaku oleh Allah. Lalu salah seorang daripada kalian datang dan berkata: ‘Ini (harta) untuk anda, dan ini adalah hadiah yang diberikan kepadaku.’ Kenapa dia tidak duduk sahaja di rumah ayah atau ibunya, sampai datang kepadanya hadiahnya, jika dia benar? Demi Allah, tidak ada seorang pun daripada kalian yang mengambil sesuatu daripadanya (hadiah tersebut), kecuali dia akan memikul (kesalahan) pada hari kiamat.’”

Rasulullah (saw) telah menamakan hadiah sebagai suht, ertinya harta yang haram. Dalam Talkhishul Mutasyabih, al-Khathib mengeluarkan dari Anas, bahawa Nabi (saw) bersabda:

“Hadiah untuk para petugas adalah suht.” Diceritakan daripada Masruq daripada Ibnu Mas’ud, bahawa ketika beliau ditanya tentang suht, apakah itu rasuah, beliau menjawab: ‘Bukan, tetapi suht adalah bahawa seorang lelaki meminta bantuanmu untuk menghilangkan ketidakadilan atasnya, lalu dia memberikanmu hadiah. Maka jangan kamu terima.’”

Terdapat banyak lagi hadis lainnya dalam bab ini yang jelas menunjukkan bahawa hadiah dan rasuah yang diterima oleh penguasa itu tidak ada bezanya, kerana kedua-duanya adalah haram. Begitulah sebenarnya dengan dana politik yang realitinya sama sahaja seperti hadiah, tidak ada bezanya. Hadiah hanya dibolehkan (tidak haram) jika di antara kedua-dua pihak telah saling memberi hadiah sebelum salah satu pihak memegang apa-apa jawatan. Ukuran halal-haramnya ialah, jika individu tersebut duduk sahaja di rumah atau dengan kata lain tidak memiliki apa-apa jawatan, apakah mereka akan mendapat segala hadiah atau dana politik tersebut?

Demokrasi Yang Kotor

Melalui segala pendedahan yang kita saksikan kebelakangan ini, dari satu sudut ia hanyalah tambahan kepada senarai panjang kebobrokan politik yang telah dan sedang terjadi di Malaysia, khususnya sejak Langkah Sheraton. Manakala dari sudut lain, ia seharusnya menjadi pengajaran bagi umat Islam untuk meletakkan titik noktah kepada segala kebobrokan ini. Sekiranya umat Islam tidak melakukan apa-apa, maka sudah pasti senarai kebobrokan ini akan terus panjang dan semakin memburuk, dan umat Islam sendirilah yang akan menanggung segala kerugiannya.

Persoalannya, apakah yang perlu umat Islam lakukan bagi meletakkan titik noktah kepada segala kebobrokan ini? Secara congaknya semua orang tahu bahawa setiap masalah itu mesti ada puncanya, dan masalah tidak akan pernah selesai jika puncanya tidak diselesaikan. Sesungguhnya segala masalah yang menimpa umat Islam pada hari ni dapat dikembalikan kepada satu hal iaitu tidak diterapkan Islam dalam kehidupan. Sejak runtuhnya Khilafah pada 1924, Islam telah dicampakkan oleh pemerintah dan diganti dengan sistem dan undang-undang sekular yang datangnya dari Barat.

Sejak runtuhnya Khilafah, umat Islam hidup dalam sistem sekular yang buruk dan diperintah pula oleh penguasa yang buruk. Sekularisme merupakan akidah kepada ideologi kapitalisme, sebuah cara hidup yang memisahkan agama daripada kehidupan dan pemerintahan. Daripada akidah ini jugalah, lahirnya demokrasi, sebuah sistem yang meletakkan kedaulatan (sovereignity) di tangan manusia, bukannya di tangan syarak. Atas dasar itulah, manusia boleh melakukan semahunya dalam sistem ini tanpa terikat dengan agama.

Dengan apa yang berlaku kebelakangan ini, wajah buruk demokrasi yang selama ini sudah terserlah, semakin menyerlah. Memang benar ungkapan umum bahawa politik itu kotor. Cumanya apa yang harus difahami dengan ungkapan ini ialah, politik yang kotor itu ialah politik demokrasi, bukannya politik Islam. Politik demokrasi itu kotor kerana ia memberi kuasa untuk menentukan baik dan buruk, puji dan tercela serta halal dan haram, kepada manusia. Di sinilah umat Islam perlu sedar bahawa sistem demokrasi bukan sahaja bertentangan dengan Islam, malah membawa pelbagai kerosakan kepada manusia secara umumnya.

Khatimah

Titik noktah kepada segala keburukan yang menimpa umat Islam tidak akan ditemukan selagi umat Islam tidak mencampakkan sistem dan undang-undang sekular ini, lalu kembali kepada sistem dan undang-undang Islam. Keputusan itu ada di tangan setiap Muslim, sama ada ingin terus dibelenggu dengan kegelapan sekularisme atau untuk kembali kepada cahaya Islam. Ingatlah bahawa Allah (swt) tidak akan merubah apa yang ada pada suatu kaum, kecuali kaum itu sendiri merubahnya.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF