SN639 – Bukan Hanya Golongan Pencen Berhak Mendapat Jaminan Kehidupan Di Dalam Islam – Setiap Individu Rakyat Berhak Mendapatkannya!
Bil: SN639 (PDF) – 8 Rabi’ulakhir 1445/ 23 Oktober 2023
Skim perkhidmatan pencen kembali hangat diperbincangkan. Baru-baru ini seorang bekas penasihat ekonomi perdana menteri mencadangkan agar skim pencen dimansuhkan untuk semua menteri dan ahli Parlimen dan ditukarkan kepada skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti pekerja swasta. Cadangan tersebut dikemukakan dengan alasan agar menteri dan ahli parlimen juga merasakan kesempitan hidup yang sedang dirasai oleh rakyat. Ada ahli parlimen yang bersetuju dan ada yang tidak. Namun rata-ratanya bersetuju memansuhkan pencen ahli parlimen yang sedang menerima lebih daripada satu bayaran pencen. Ini adalah kerana ada dari kalangan ahli parlimen yang sedang menerima beberapa pencen sekaligus kerana mereka pernah memegang beberapa jawatan sebelum ini (Malaysiakini, 22/9/2023). Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), melalui Presidennya Datuk Adnan Mat, seperti dijangka, tidak bersetuju dengan cadangan pemansuhan skim pencen kerana menurutnya, skim tersebut merupakan bentuk keistimewaan bagi para penjawat awam kerana sumbangan yang mereka berikan semasa berkhidmat dalam kerajaan. (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1157933/cuepacs-bidas-pihak-pertikai-pencen-penjawat-awam).
Skim pencen memang memberikan banyak keistimewaan kepada penjawat awam yang telah bersara. Para pesara menerima tunai pencen setiap bulan hingga ke akhir hayat bergantung kepada tempoh perkhidmatan mereka dan secara purata setiap pesara akan menerima lebih kurang 50% daripada jumlah pokok gaji terakhir mereka. Di samping itu, skim ini juga meliputi jaminan kesihatan pesara dan pasangannya di mana semua bil hospital akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan termasuklah sekiranya terpaksa mendapatkan rawatan di luar negeri apabila keadaan memerlukan.(www.kwap.gov.my).
Namun, di sebalik semua keistimewaan skim pencen, seorang bekas menteri dan ahli parlimen berpandangan bahawa skim pencen kakitangan awam adalah ibarat bom jangka, yang membawa maksud, pada bila-bila masa sahaja skim ini boleh menyebabkan kemampuan kewangan kerajaan menjadi lumpuh. Ini adalah kerana 10% daripada belanjawan tahunan negara diperuntukkan untuk menampung bayaran pencen bulanan dan segala keistimewaan lain bagi para pesara. (https://mykmu.net/2023/09/29/sistem-pencen-sedia-ada-boleh-jadi-bom-jangka-khairy/).
Hakikatnya, isu ini bukanlah berkaitan persoalan samada bekas kakitangan awam berhak menerima skim pencen atau tidak kerana ia merupakan hak negara untuk memberi imbuhan kepada mana-mana warganegara yang telah berjasa kepada negara di dalam urusan tertentu. Para pesara dari jawatan awam telah pun mendapatkan hak mereka dan ianya tidak wajar ditarik balik. Namun, apa yang menjadi persoalan adalah sejumlah besar peruntukan yang disalurkan kepada golongan tersebut merangkumi bekas pegawai tertinggi sektor awam yang diberikan jawatan utama di dalam syarikat-syarikat besar kerajaan dan swasta denganmu bayaran elaun yang tinggi, padahal pada masa yang sama mereka juga menerima bayaran pencen yang besar. Namun, pada masa yang sama, pesara yang bukan dari golongan kakitangan kerajaan hanya menikmati skim KWSP yang memperuntukkan bayaran tunai tanpa pelbagai kemudahan istimewa perubatan seperti yang dinikmati oleh kakitangan awam.
Fakta daripada Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 8/4/2023 menunjukkan bahawa terdapat lebih 15.07 juta orang penduduk bekerja di Malaysia dan kebanyakkan dari mereka ini tiada skim saraan yang kukuh atau sebarang keistimewaan sedangkan mereka juga memainkan peranan dalam menggerakkan aktiviti ekonomi negara. Mereka dibiarkan bekerja sehingga bersara dan menerima sejumlah wang daripada KWSP dan dari laporan semasa, seramai 6.7 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang dari RM10000 dan 26 peratus daripadanya sudah berusia lebih 40 tahun (Utusan Malaysia Online, 11/4/23). Apakah nasib mereka ini apabila bersara kelak? Ada yang masih menyewa rumah, anak masih bersekolah/belajar, bil-bil yang masih perlu dibayar serta terpaksa menanggung kos pengangkutan dan barang keperluan yang terus meningkat!
Penyelesaian dalam Islam
Pembentukan ekonomi yang mampan dan lestari wajib bermula daripada pembahagian kekayaan yang dilakukan secara adil menurut syarak. Setiap warganegara yang bekerja harus dianggap telah memberikan jasa kepada rakyat dan negara atas usaha yang telah mereka curahkan di dalam setiap sektor ekonomi. Justeru, mereka juga berhak mendapat jaminan hidup dan keistimewaan setelah mereka tidak bekerja nanti tanpa mengira status syarikat di mana mereka bekerja. Maka, untuk melaksanakan polisi ke arah pembangunan ekonomi yang mampan ini, beberapa jenis kekayaan terutamanya sumber alam, harus ditadbir urus oleh negara secara langsung untuk menampung perbelanjaan apa yang disebut sebagai ‘skim perkhidmatan persaraan’ dalam konteks ekonomi negara hari ini.
Kekayaan alam yang ditadbir urus secara langsung oleh negara ini akan menjadi pemangkin kepada agihan kekayaan yang lebih sekata dan adil. Bahkan, di dalam Islam, pembangunan ekonomi mampan seperti ini tidak perlu memandang isu persaraan dalam implementasinya. Ini adalah kerana setelah jaminan hidup diterapkan sebagai hak bagi setiap individu rakyat, tidak timbul isu persaingan untuk bekerja di sektor awam. Bahkan, sektor awam akan menjadi lebih produktif kerana setiap ringgit yang dibelanjakan akan mendapat imbalan tenaga kerja yang setimpal.
Islam menggalakkan setiap individu untuk terus bekerja selagi mereka masih sihat dan mampu kerana ini adalah kewajipan ke atas setiap lelaki Muslim. Menghadkan umur persaraan akan menghadkan peluang mereka menikmati kekayaan. Dan apabila mereka tidak lagi berdaya untuk bekerja, maka negara harus melaksanakan hukum syara berhubung penjagaan ibu-bapa yang telah tua. Bersamaan dengan itu juga, Islam telah pun mensyariatkan bahawa kewajipan terhadap jaminan warga tua terletak di atas tanggungjawab ahli waris. Setiap anak dan waris akan dipastikan agar mereka bertanggungjawab ke atas pesara/individu yang tidak lagi berdaya kerana ia adalah suatu kewajipan syarak ke atas mereka. Mereka yang dengan sengaja enggan menjaga orang tua atau waris yang tidak berdaya akan dikenakan hukuman. Namun, apabila pesara/individu itu hidup ‘sebatang kara’, maka negara wajib menjaga mereka sehingga ke akhir hayat. Tidak ada pesara/individu yang patut dibiarkan terlantar, terbiar dan melarat. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa sahaja yang membuat mudharat (celaka) orang lain, maka Allah akan membuat celaka kepadanya. Dan siapa sahaja yang membuat orang lain susah, maka Allah akan membuat orang itu susah.” [HR Ibnu Majah, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i dan Ahmad dari Abi Shirmah]
Tanggungjawab dan peranan seorang Muslim, terutamanya seorang anak, terhadap kedua ibubapa dan kaum Muslimin lainnya telah dinyatakan dengan jelas di dalam Al Quran, antaranya surah Al-Ahqaf : 15, Luqman : 14, An-Nisa’: 5, At-Thalaq: 6, Al-Baqarah: 83. Maka, adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk memastikan seseorang Muslim itu menjalankan perintah Allah ini atau bersedia menghadapi hukuman sekiranya tanggungjawab tersebut dilalaikan. Seterusnya, jika seorang anak sudah tiada, tanggungjawab memberi nafkah beralih kepada lelaki yang menjadi waris atau kerabat terdekat yang mempunyai lebihan harta. Negara akan memastikan hal ini berlaku. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
“Mulailah pemberian nafkah itu dari orang yang menjadi tanggunganmu: ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu, kemudian keluarga terdekatmu. [HR Nasa’i dari Thariq al-Muharabi]
Akhirnya, jika tiada sesiapapun yang berkewajipan dapat memberi nafkah kepadanya, maka syara’ mewajibkan nafkah diambil dari Baitul Mal milik negara. Lihat apa yang dilakukan Rasulullah tatkala menjadi pemimpin negara dari hadis riwayat Abu Hurairah. Sabda Baginda SAW:
“Siapa sahaja yang mati meninggalkan orang yang sebatang kara, maka dia menjadi tanggunganku. Dan siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka ia menjadi hak ahli warisnya.” [HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud]
Khatimah
Meskipun pelaksanaan skim pencen bagi pesara dilihat menyediakan jaminan kepada kakitangan awam,namun, isu yang wajar dibincangkan bukanlah samada pencen sepatutnya dihapuskan atau tidak. Apa yang seharusnya dibincangkan adalah bagaimana negara seharusnya memastikan bahawa jaminan kehidupan dapat diberikan kepada setiap warga samada yang bekerja mahupun yang tidak mampu bekerja. Di sinilah letaknya peranan negara untuk memastikan bahawa kekayaan dapat dinikmati secara menyeluruh melalui pembangunan ekonomi mampan berdasarkan polisi kepemilikan harta, pengagihan dan penetapan hukum ke atas setiap individu yang bertanggungjawab memelihara para pesara dan individu yang tidak berdaya untuk bekerja. Tatacara ini tidak akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh melainkan dengan mengimplementasi hukum hakam Islam secara kaffah di bawah payung kekhilafahan.
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (TMQ al-Anbiya: 107)
KOLUM SIYASAH
Antara Kedaulatan dan Sikap Negara Berhadapan Kuasa Besar
Terbaru Perdana Menteri (PM) Malaysia menegaskan bahawa Malaysia kekal mengambil sikap berkecuali dalam cabaran geopolitik antara China dan Amerika Syarikat (AS). China disifatkan sebagai jiran negara yang penting manakala AS secara tradisinya adalah rakan lama. Kenyataan PM ini mengesahkan bahawa beliau mengekalkan dasar luar negara yang telah dibina pasca kemerdekaan negara.
Sikap berkecuali ini selari dengan dasar Pergerakan Negara-negara Berkecuali atau NAM (Non-Aligned Movement) yang turut dianggotai Malaysia sejak 1970. Sebagai bekas negara jajahan, British secara tidak langsung mempunyai peranan terhadap keanggotaan Malaysia dan negara anggota Komanwel di dalam NAM.
Mesikpun begitu, kewujudan NAM telah mula menjadi perdebatan. NAM dicipta untuk menghindari keterlibatan dalam konflik ideologi Blok Barat dan Blok Timur (AS dan Kesatuan Soviet). Namun, percaturan geopolitik dunia telah banyak berubah dan konflik yang muncul saat ini berbeza dari situasi ketika Perang Dingin.
Sebagai negara anggota Komanwel, Malaysia pada dasarnya dipengaruhi ideologi Barat (British) meskipun kuasa besar dunia beralih tangan ke AS pasca Perang Dunia II.
Memasuki era globalisasi, faktor kelangsungan hidup telah menggerakkan banyak negara dunia termasuk Malaysia memilih untuk mengutamakan jalinan hubungan ekonomi dengan kuasa besar seperti China atau AS berbanding mengikuti prinsip dasar NAM.
Ini bermakna kelangsungan kebanyakan negara dunia tidak lagi terikat kepada faktor ideologis semata-mata sebaliknya bersikap pragmatik dalam menentukan dasar luar negara. Sikap pragmatik ini juga sering mengorbankan prinsip dan kedaulatan negara.
Namun hakikatnya, kedaulatan negara adalah perkara yang perlu dipertahankan dan diperjuangkan – apatah lagi apabila melibatkan kepentingan umat Islam. Sebagai contoh, isu konflik di Palestin. Sekalipun AS membela negara haram Israel, Malaysia terus mengukuhkan hubungan perdagangan dengan AS sekaligus mengenepikan perintah syariat:
“Muslim adalah saudara buat Muslim yang lain, tidak seharusnya Muslim menzalimi (saudaranya) atau membiarkan saudaranya (dizalimi).” [HR al-Bukhari]
Adalah mustahil sebuah negara kecil seperti Malaysia mampu mengimbangi pertembungan AS-China tanpa mengorbankan prinsip dan kedaulatan negara sekalipun dengan jalan diplomasi.
Senario dunia Islam saat ini adalah seperti buih di lautan yang digambarkan oleh baginda (saw). Hakikatnya, Malaysia dan dunia Islam tidak mempunyai pilihan melainkan bersatu di bawah Khilafah dengan model yang telah diwarisi oleh para Khulafa ar-Rasyidin daripada Rasulullah (saw). Hanya dengan kesatuan ini, dunia Islam dapat mengimbangi kuasa besar dunia, mempertahankan kedaulatan Negara dan melindungi nyawa serta harta umat Islam. Khilafah Islam tidak akan mengambil sikap berkecuali, malah akan terus melakukan dakwah dan jihad bagi menarik wilayah lain bergabung dengannya serta membawa cahaya Islam ke seantero dunia.