SN659 – Belanjawan 2025: Penghapusan Subsidi Rakyat dan Peningkatan Cukai untuk Menampung Bayaran Faedah (Riba) Hutang

Bil: SN659 (PDF/Print) – 30 Rabi’ al-thani 1446 / 2 November 2024

Salah satu objektif utama Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah pengurusan hutang negara dan defisit fiskal. Menurut beliau, “Paras hutang negara kini berada pada 1.2 trilion atau lebih 64 peratus daripada KDNK. Jika termasuk liabiliti, jumlah ini meningkat kepada 1.5 trilion ringgit, atau 80 peratus KDNK. Setiap seringgit kutipan cukai, 16 sen perlu digunakan semata-mata untuk membayar faedah hutang, tidak termasuk hutang pokok”.

              Beban kewangan ini disalurkan untuk membayar riba daripada hutang dalam sistem yang dinilai sebagai korup. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menyatakan pada Januari bahawa negara telah membayar RM46.1 bilion hanya untuk faedah hutang negara. Jumlah ini adalah pembaziran yang ketara dalam peruntukan dana negara yang sepatutnya boleh disalurkan kepada kebajikan rakyat.

              Dalam usaha mencapai objektif ini, kerajaan merancang untuk meningkatkan hasil negara dengan menghapuskan subsidi kepada golongan T15, terutama subsidi minyak dan pendidikan. Kaedah penentuan golongan ini masih dalam perdebatan, sama ada berdasarkan pendapatan isi rumah atau pendapatan boleh guna. Selain itu, kerajaan memperluas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dengan pengecualian cukai hanya pada barang makanan asas. Cukai dividen dan cukai perkhidmatan kewangan turut diperkenalkan.

Kemungkaran dalam Belanjawan 2025

              Pendekatan yang diambil oleh kerajaan Madani dalam menghapuskan subsidi dan meluaskan cukai untuk mengurangkan defisit negara dilihat selaras dengan cadangan IMF dan Bank Dunia. Antara kemungkaran yang tampak jelas dalam aspek ini adalah:

  1. Pengambilan Harta Rakyat Tanpa Hak

              Tindakan kerajaan mengenakan cukai hampir kepada semua barang, kecuali makanan asas, melanggar prinsip Islam. Menurut hadis Rasulullah SAW:

“Tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai”

[HR Ahmad, ad-Darimi, dan Abu Ubaidah]

              Jika cukai ini dihapuskan, harga barang akan berkurang, seterusnya meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan menggalakkan ekonomi domestik.

  1. Keterlibatan dalam Sistem Ribawi

              Negara membayar faedah hutang yang melibatkan komitmen sehingga 16% daripada hasil negara. Riba didefinisikan sebagai: “Riba adalah setiap tambahan bagi salah satu pihak yang berakad dalam akad pertukaran tanpa pengganti, atau riba adalah tambahan sebagai pengganti waktu (tempoh)” [Abdul Aziz al-Khayyath].

              Dalam Islam, riba adalah haram dan jelas terlarang, seperti mana firman Allah:

“…Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”

[Al-Baqarah (2): 275]

              Mereka yang terlibat dalam pembayaran riba, sama ada sebagai pembayar atau penyaksi, semuanya dianggap melakukan dosa, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Allah melaknat pemberi riba, pemakan riba, penulis dan penyaksi; mereka semuanya sama”

[HR Muslim]

              Oleh itu, memaksa rakyat membayar faedah hutang berunsur riba adalah bertentangan dengan syariat dan merupakan penindasan terhadap rakyat.

  1. Penghapusan Subsidi yang dianggap ‘Sedekah’ kepada Golongan Kaya

              PM Anwar menyatakan bahawa subsidi dianggap sebagai ihsan atau sedekah kepada rakyat, dan golongan kaya tidak perlu mendapat manfaat ini.

“Subsidi dari segi prinsip, sepertimana juga sedekah, tidak sewajarnya diambil manfaat oleh golongan maha kaya,” kata PMX dalam Belanjawan 2025. Namun, pandangan ini berbeza dengan prinsip Islam yang menegaskan bahawa sumber seperti minyak dan mineral galian yang banyak adalah milik umum.

              Hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi menjelaskan bahawa Rasulullah SAW menarik balik pemberian lombong garam kepada Abyadh bin Hammal setelah mengetahui ia adalah milik umum:

“Sesungguhnya dia telah meminta kepada Rasulullah saw. untuk mengelola lombong garamnya, lalu baginda memberikannya. Setelah dia pergi, ada yang berkata, ‘Wahai Rasulullah, tahukah engkau, engkau telah memberikan sesuatu yang seperti air mengalir.’ Rasulullah kemudian bersabda, ‘Kalau begitu, cabut kembali lombong tersebut daripadanya”

[HR at-Tirmidzi]

              Minyak fosil, yang digali dalam jumlah besar di negara ini hakikatnya merupakan  pemilikan bersama rakyat. Rasulullah SAW bersabda:

“Manusia itu bersyarikat dalam tiga perkara: air, padang ragut, dan api”

[Riwayat Abu Daud & Ahmad]

              Hadis ini menegaskan bahawa perkara-perkara penting seperti air, api, dan padang ragut adalah hak milik umum yang tidak boleh dimiliki oleh individu atau syarikat swasta. Minyak fosil, sebagai sumber tenaga yang penting, termasuk dalam kategori ini.

              Selain itu, pendidikan, kesihatan, dan keselamatan adalah keperluan asas yang mesti dijamin oleh negara secara percuma kepada seluruh rakyat tanpa mengira status ekonomi. Rasulullah SAW bersabda:

“Imam (Ketua Negara) adalah pengurus rakyat, dia bertanggungjawab ke atas urusan rakyatnya”

[HR Bukhari]

              Dengan demikian, sebarang penghapusan subsidi terhadap keperluan asas ini, terutama kepada golongan kaya, bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan tanggungjawab pemerintah dalam menjaga kebajikan rakyat.

              Selain tiga kemungkaran di atas, kami juga mendapati bahawa ketika subsidi kepada rakyat ditarik dan cukai diperluaskan, kerajaan Madani memberikan pengecualian cukai serta subsidi kepada pelabur asing sebagai insentif untuk menarik mereka melabur di Malaysia.

              Pengarah Urusan Savillis Malaysia, Datuk Paul Khong, mengulas kepada akhbar The Edge, bahawa insentif cukai diberi kepada pelabur asing termasuk pengecualian cukai 100% bagi pusat data dan pelaburan awan. Kenyataan ini disokong oleh Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Budi Arie Setiadi, yang menyatakan bahawa pengecualian cukai di Malaysia adalah faktor utama pelabur ekonomi digital memilih Malaysia berbanding Indonesia.

              Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah, turut menyatakan bahawa Malaysia telah mengecualikan cukai ke atas pendapatan sumber asing dan keuntungan modal untuk unit amanah. Ini bertujuan untuk memberi keuntungan sepenuhnya kepada pelabur agar mereka terus melabur di Malaysia.

              Dasar ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan memberikan keuntungan kepada pelabur asing tetapi melaksanakan tindakan sebaliknya terhadap rakyat.

Kesimpulan

              Belanjawan yang dibentangkan oleh PM Anwar Ibrahim bagi tahun 2025 merupakan belanjawan yang tidak memenuhi prinsip syarak, di mana ia mengambil harta rakyat tanpa hak melalui cukai, terlibat dalam pembayaran faedah ribawi, serta merampas hak pemilikan umum rakyat dalam hal minyak dan pendidikan. Pada masa yang sama, kerajaan memberi pengecualian dan subsidi kepada pelabur asing, tindakan yang dilihat berat sebelah.

              Pemimpin yang menganggap subsidi pendidikan dan minyak sebagai ‘sedekah’ menunjukkan ketidakprihatinan terhadap tanggungjawab mereka sebagai pengurus rakyat. Tindakan sebegini bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi juga menimbulkan persoalan tentang kelayakan pemimpin dalam menjaga kebajikan rakyat.

              Umat Islam hari ini perlu sedar bahawa punca masalah ini adalah ideologi kapitalisme yang berakar umbi dalam sistem pentadbiran negara. Kapitalisme membolehkan hak rakyat dirampas demi keuntungan korporat. Sistem ini perlu diganti dengan sistem yang diwahyukan oleh Allah SWT, iaitu Khilafah Islamiyyah, yang berlandaskan hukum syarak. Di bawah sistem Khilafah, hak rakyat akan terjamin, dan kekayaan akan diagihkan dengan adil tanpa diskriminasi antara yang kaya dan miskin. Marilah kita berusaha ke arah penerapan sistem ini dalam usaha untuk memperoleh keredhaan Allah SWT dan meraih kesejahteraan yang dijanjikan olehNya.


PEDULI PALESTIN

Wahai Tentera Islam, Dimanakah semangat kepahlawanan Sang Salahuddin dari Kalangan Kalian Untuk Menghapuskan Entiti Haram Yahudi?

              Wahai umat Islam yang mulia, lihatlah bumi Palestin yang diberkati kini berada di bawah cengkaman Yahudi Zionis yang zalim. Orang tua, wanita, dan kanak-kanak tidak terlepas daripada kezaliman; masjid-masjid, sekolah, dan hospital dimusnahkan tanpa belas. Mereka telah mengorbankan para syuhada di Gaza, namun para pemimpin umat Islam tetap membisu! Pahlawan suci seperti Yahya Sinwar, pejuang dari Hamas, telah gugur tanpa sokongan kalian! Negara-negara sekeliling Palestin – dari Mesir (Kinanah) hingga ke Jordan, Arab Saudi, Syria, Iraq, Türkiye, dan Iran – masih diam tanpa tindakan!

              Wahai tentera umat Islam, bukankah kalian adalah tentera dari umat terbaik yang diangkat untuk manusia? Bukankah kalian juga ingin tergolong dalam golongan Ahl al-Bushra melalui jihadmu? [At-Taubah: 21]. Tidakkah ayat-ayat Allah menggoncangkan jiwa kalian? [Al-Baqarah: 191]. Lihatlah kemenangan dan syahid yang telah dijanjikan oleh Allah! Tidakkah kalian ingat pendirian Rasulullah SAW terhadap Bani Qaynuqa, Bani Nadir, Qurayzah, dan Khaibar ketika mereka mencetuskan kerosakan di muka bumi? Di manakah semangat Khulafa’ ar-Rasyidin yang memuliakan Islam dan umatnya?

              Adakah kalian lupa sosok-sosok pahlawan seperti Qutaybah, Ibn al-Qasim, Ibn Ziyad, al-Mu’tasim, Salahuddin, Qutuz, dan Baybars, yang dengan keimanan dan keteguhan mereka menundukkan musuh-musuh Allah dan membebaskan bumi yang tercinta? Bukankah kalian keturunan pahlawan terbaik ini?

              Ketahuilah, penghapusan entiti Yahudi adalah janji daripada Allah yang Maha Esa. Semakin mereka mengganas, semakin hampir kehancuran mereka.

              Firman Allah:

“Dan apabila amaran kedua datang, musuh-musuh kamu akan dibiarkan menghina kamu sepenuhnya..”

[Al-Isra’: 7]

Rasulullah SAW  bersabda,

“Kamu akan memerangi orang Yahudi dan kamu akan membunuh mereka…”

[Riwayat Muslim dari Nafi’ dari Ibnu Umar]

              Semoga Allah merahmati para syuhada dan memberi mereka tempat di taman syurga yang luas. Semoga Allah menyembuhkan yang terluka dan memberi mereka kekuatan, serta mengangkat umat ini dengan kembalinya Khilafah yang berlandaskan jalan kenabian, demi mendapatkan kemenangan dan kemuliaan.

“Namun segala kemuliaan dan kekuasaan adalah milik Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahuinya”

[Al-Munafiqun: 8]