Mengkritik pemimpin: Demokrasi vs Kediktatoran

Kejutan demi kejutan terus menimpa Malaysia dengan pelbagai isu yang melibatkan Perdana Menteri. Terbaru, tangkapan ke atas seorang wanita pemilik akaun TikTok yang menggunakan nama Jorjet Myla, di bawah Akta Hasutan 1948 dan beberapa Akta lain, gara-gara mengkritik orang nombor satu negara itu. Myla kemudiannya telah direman selama tiga hari, yang menyaksikan beberapa pihak berhimpun di depan Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi sebagai tanda solidariti untuknya.
Siapa pun yang menonton video TikTok tersebut (yang kini sudah tidak lagi dapat diakses) akan mendapati bahawa kritikan yang dilontarkan oleh Myla bukanlah suatu yang baru, malah kesemua point kritikannya itu merupakan point-point yang telah pun diketahui rakyat, dan diperkatakan oleh banyak pihak sejak dulu hingga kini. Ringkasnya, Myla bukannya memfitnah Perdana Menteri dan bukan juga bercakap bohong, sebaliknya kritikannya itu berdasarkan fakta dan track record Perdana Menteri yang semua rakyat sudah tahu.
Sebelum ini, dan ia masih hangat hingga kini, negara dikejutkan apabila Perdana Menteri Malaysia telah mengarahkan polis untuk melakukan tangkapan terhadap peserta himpunan anti rumah ibadat (kuil) haram, serta mengugut untuk menghumban mereka ke dalam penjara. Perhimpunan yang berlangsung pada hari yang sama dengan lawatan Perdana Menteri India ke Malaysia itu telah menyaksikan beberapa orang aktivis, termasuk peguam, telah ditangkap oleh sepasukan polis.
Inilah yang menjadikan banyak pihak bersimpati dan bersolidariti terhadap Myla kerana ramai yang telah “bengang” dengan Perdana Menteri yang kelihatannya langsung tidak boleh dikritik, dan siapa yang berbuat demikian berisiko diangkut ke balai, dan bermalam di sebalik tirai besi. Sedangkan kritikan merupakan sebahagian daripada hak bersuara rakyat yang dijamin di bawah sistem demokrasi, bahkan dijamin secara khusus di bawah perlembagaan itu sendiri. Perdana Menteri bagaimana pun nampaknya tidak peduli dengan semua itu.
Namun, terdapat isu lain yang turut mengundang kontroversi apabila beberapa video Myla telah ditularkan kemudian, mendedahkan perangai wanita berkenaan yang banyak menggunakan kata-kata kesat dalam kritikannya. Video-video ini turut mengundang kritikan dan kecaman netizen ke atasnya, yang mungkin sahaja terdiri daripada “laskar-laskar” kerajaan, sebagai serangan balas terhadap para penyokong Myla.
Perdebatan di alam maya terus berlegar sekitar isu akhlak wanita berkenaan di satu sisi, dengan isu tangkapan oleh pihak berkuasa ke atasnya akibat mengkritik Perdana Menteri, di sisi lain. Apa yang jelas, satu pihak cuba “menghentam” pentadbiran Anwar yang dilihat anti-kritik, manakala pihak yang satu lagi cuba mempertahankan Anwar dengan menunjukkan yang wanita berkenaan memang wajar ditangkap.
Isunya mudah sahaja – jika dirasakan Myla telah memfitnahnya, boleh sahaja bagi Anwar menyaman wanita berkenaan dan lawan sahaja di mahkamah sebagaimana kes-kes fitnah lainnya. Wanita berkenaan boleh sahaja ditangkap atas kesalahan-kesalahan lain yang melibatkan moral. Namun, menangkap beliau atas kesalahan mengkritik Perdana Menteri, ini bukan sahaja tidak wajar, malah ternyata bertentangan dengan perlembagaan yang disanjung sendiri oleh Anwar.
Realitinya, bukan sahaja rakyat Malaysia, malah seluruh dunia mengetahui bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berstatus pembangkang, merupakan orang yang paling lantang mengkritik setiap Perdana Menteri di zamannya, dan berjuang bermati-matian untuk menghapuskan undang-undang yang disifatkannya sebagai draconian, termasuk Akta Hasutan.
Ironinya, sejak menjadi Perdana Menteri, Anwar bukan sahaja mengekalkan Akta draconian berkenaan, tetapi telah banyak kali memanfaatkannya dengan cara yang sama seperti yang dimanfaatkan oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini yang telah dikecamnya. Selain itu, apa yang menambah api kemarahan rakyat ialah Anwar selama menjadi pembangkang sering menonjolkan dirinya sebagai ikon demokratik, mangsa kezaliman kerajaan, pejuang kebebasan bersuara, terbuka untuk dikritik dan sebagainya, yang kini semuanya telah terbalik ke atas dirinya setelah menduduki bangku empuk Perdana Menteri.
Kita memang tidak bersetuju dengan individu yang tidak bermoral, tetapi jika kritikan individu tersebut betul, maka pihak yang dikritik seharusnya mengambil pelajaran dan berubah ke arah yang lebih baik. Inilah harapan kita. Ini dari satu sisi.
Namun dari sisi lain, harapan kita sebenarnya telah lama tinggal harapan. Hakikatnya, dalam demokrasi, penguasa dibentuk oleh sistem, dan sistem dibentuk oleh penguasa. Penguasa menjaga sistem dan sistem menjaga penguasa. Yang tidak terjaga ialah rakyat. Oleh sebab itu, kita menyaksikan yang demokrasi akan selamanya berpihak kepada penguasa dan menjaga penguasa, bukannya berpihak kepada rakyat atau menjaga rakyat. Makanya, kita menyaksikan dalam sistem demokrasi yang rakyat sering menjadi mangsa kepada penguasa dan sistem.
Demokrasi dan kebebasan bersuara hanya akan berfungsi (ke atas rakyat) jika pemimpin itu dipuji dan diampu. Namun demokrasi akan hilang fungsinya jika pemimpin dikritik atau dimuhasabah. Rakyat hanya bebas bersuara jika ia adalah selari dengan kehendak pemimpin. Namun, padah menanti rakyat jika menyuarakan sesuatu yang tidak disukai oleh pemimpin. Hal ini bukanlah satu fenomena baru di bawah demokrasi, dan ia bukan hanya berlaku di Malaysia. Dalam demokrasi, rakyat kononnya diberi hak untuk memilih memimpin. Realitinya, rakyat diberi hak untuk memilih “diktator” manakah yang akan memimpin mereka!
Wallahu a’lam.