SN663 – Kerakusan Insurans dan Takaful Kesihatan
Bil: SN663 (PDF/Print) – 22 Jumada al-thani 1446 / 24 Disember 2024
Pengumuman untuk menaikkan bayaran premium insurans dan takaful kesihatan sebanyak 40% hingga 70% oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pada bulan November lepas telah mencetuskan perdebatan hangat dan sekiranya ia dilaksanakan, sudah pasti ramai yang akan merasa terbeban [Berita Harian Online, 5/12/24]. Cadangan kenaikan ini adalah disebabkan inflasi kos perubatan yang tinggi dan tren penggunaan perkhidmatan kesihatan yang meningkat.
Di antara faktor yang menyebabkan berlaku inflasi ini adalah peningkatan permintaan perkhidmatan, kos ubat-ubatan, alat perubatan, inovasi dalam rawatan perubatan yang lebih canggih dan kenaikan gaji dalam sektor kesihatan. Berdasarkan laporan malaysiagazette.com pada 9 Disember 2024, syarikat insurans dan takaful dikatakan mengambil kesempatan ketidakjelasan klausa polisi insurans Bank Negara untuk menaikkan premium secara sepihak tanpa mengambil kira suara rakyat.
Bahkan, bagi syarikat-syarikat insurans dan takaful ini, mereka langsung tidak peduli dengan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Apa yang penting bagi mereka adalah meraih seberapa banyak keuntungan yang boleh, tanpa rasa kemanusiaan dan ihsan. Bahkan, kerjasama strategi yang licik di antara pemilik hospital swasta dan syarikat-syarikat insurans dan takaful adalah sesuatu yang lumrah. Kedua-duanya akan mengambil kesempatan daripada ruang yang ada di dalam sistem kapitalis untuk mengaut keuntungan sebanyak yang mungkin.
Tidak cukup dengan bayaran premium, terdapat juga banyak bukti yang menunjukkan syarikat insurans mengambil kesempatan menaikkan kos rawatan berlipat kali ganda melalui Guarantee Letter (GL) kerana kegagalan Bank Negara menetapkan peraturan yang jelas dalam hal ini sehingga syarikat insurans mengaut keuntungan besar sepanjang tahun 2024. Laporan Bank Negara menunjukkan keuntungan keseluruhan insurans hayat dan takaful keluarga meningkat pada bahagian pertama 2024 sebanyak RM8.4 bilion iaitu dua kali ganda daripada bahagian kedua 2023 sebanyak RM3.2 bilion [Malaymail, 11/12/24].
Atas alasan inilah pengumuman untuk menaikkan bayaran premium dilihat tidak masuk akal dan melampau. Disebabkan kenaikan yang dicadangkan oleh pihak insurans dan takaful dilihat akan membebankan rakyat, barulah perbincangan dan rundingan dilakukan tetapi hanya berkisar bagaimana untuk menghadkan kenaikan bayaran premium dan bukannya menghalang kenaikan.
Yang menjadi persoalan sekarang adalah, apakah usaha kerajaan hanya setakat ini sahaja? Jikalau pun kerajaan berjaya mencapai persetujuan dari kalangan syarikat terlibat untuk menghadkan kenaikan dengan jumlah tertentu, adakah ia akan berakhir di situ sahaja? Yang pastinya, isu harga premium ini akan tetap berterusan di masa hadapan kerana ini adalah resam sistem kapitalisme!
Kebanyakan rakyat tidak sedar bahawa pemikiran mereka telah dibentuk dan diacu sehingga hanya melihat bahawa inilah sahaja penyelesaian yang terbaik bagi perkhidmatan kesihatan. Padahal, perkhidmatan kesihatan hari ini yang dibina di dalam ruang lingkup kehidupan sistem kapitalis yang berasaskan manfaat semata-mata, tidak akan terlepas daripada penyelewengan dan cengkaman para kapitalis yang rakus dan korup. Inilah yang menyebabkan kesengsaraan orang ramai dan kelelahan di kalangan kakitangan perubatan [Corruption in global health: The open secret, The Lance]. Bagaimana mungkin kita boleh mengharapkan jaminan kesihatan yang terbaik sekiranya seluruh perkhidmatan kesihatan di dalam sistem kapitalis ini penuh dengan korupsi?
Jaminan Perkhidmatan Kesihatan di dalam Islam
Islam mengajarkan umatnya untuk berfikir berlandaskan wahyu secara fitrah. Apa yang dimaksudkan dengan berfikir secara fitrah di sini adalah melihat masalah manusia yang muncul dari keperluan naluri dan jasmani sebagai masalah yang memerlukan penyelesaian yang menyeluruh. Sebagai contoh, keperluan pesakit terhadap penjagaan kesihatan dilihat oleh Islam sebagai masalah kemanusiaan yang tidak hanya terkait dengan aspek kesihatan semata-mata, tetapi juga melibatkan aspek pengagihan kekayaan, peranan dan tanggungjawab setiap ahli keluarga, individu dan pemimpin.
Sebagai contoh, sekiranya sumber kewangan di dalam sebuah negara Islam (Daulah Khilafah) benar-benar tidak mencukupi, negara berhak untuk mengenakan cukai kepada golongan kaya-raya seperti jutawan yang kekayaannya melebihi keperluannya untuk digunakan membiayai perkhidmatan kesihatan rakyat. Semuanya tidak terlepas daripada tanggungjawab sebagai sebahagian anggota masyarakat untuk menyediakan keperluan bagi seseorang pesakit samada untuk rawatan, pemulihan mahupun perbelanjaan sokongan untuk ia meneruskan kehidupan.
Di dalam Daulah Khilafah, semua warganegara berhak untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan tanpa mengira agama, jantina, bangsa, umur atau tempat tinggal. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Imam adalah seorang pengembala dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya,” [HR Bukhari]
Perkataan “rakyat” telah disebut dengan makna yang umum, menunjukkan keluasan, tanpa sebarang pengkhususan.
Hadis di atas menunjukkan bahawa peranan pemimpin bukan sekadar ‘menyediakan’ perkhidmatan kesihatan tetapi juga ‘memastikan’ bahawa setiap pesakit mendapat rawatan secara menyeluruh sehingga ia sihat dan dapat menjalani kehidupannya sesudah itu dengan sejahtera. Selagi ini tidak tercapai, selagi itulah tanggungjawab pemimpin belum selesai. Itulah yang dikatakan sebagai jaminan perkhidmatan kesihatan yang sebenar. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang memimpin salah satu urusan kaum Muslimin namun menyembunyikan dirinya dari persahabatan, keperluan, kemiskinan dan kekurangan mereka, maka Allah Taala akan menyembunyikan persahabatan dan keperluan darinya pada hari kiamat nanti.” [HR Al-Hakim]
Hadis ini menerangkan bahawa Islam telah mewajibkan seseorang pemimpin yang mengurus urusan manusia agar hidup bersama manusia untuk mengetahui keperluan mereka dan memenuhinya [Kitab Siyasat Al Riayah Al Sihiyah Fil Daulah Khilafah – Dasar Pengurusan Kesihatan Di Dalam Daulah Khilafah].
Dalil-dalil di atas dengan jelas telah menggariskan hukum dan tanggungjawab pemimpin dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan, bahkan semua ini telah dibuktikan perlaksanaannya selama tertegaknya Daulah Khilafah dahulu melalui catatan sejarah.
Suatu ketika dahulu, Rasulullah SAW pernah mengutus seorang doktor kepada Ubay bin Ka’b, yang memotong uratnya dan kemudian membakarnya. Al-Hakim pula meriwayatkan di dalam Al-Mustadrak dari Zaid bin Aslam dari ayahnya yang berkata:
“Saya jatuh sakit parah pada zaman Umar bin Al-Khattab, lalu Umar memanggil doktor untuk saya, yang melindungi saya. sehingga saya terpaksa menghisap sebiji kurma akibat demam yang teruk.”
Kedua-dua kisah ini menunjukkan bahawa penjagaan kesihatan dan perubatan adalah antara keperluan asas rakyat, yang mana pemimpin mesti menyediakan secara percuma kepada mereka yang memerlukannya dari kalangan rakyat dan dananya diambil daripada Baitul Mal.
Setelah itu, perkhidmatan kesihatan terus berkembang maju di zaman khilafah seterusnya sehingga pernah suatu ketika di Mesir, Khalifah al Mansur telah mendirikan Hospital Qalawun di Kairo pada tahun 1248M. Menurut catatan sejarah, Hospital Qalawun ini memiliki kapasiti sebanyak 8000 katil serta dilengkapi dengan masjid untuk pesakit Muslim dan gereja untuk pesakit beragama Kristian. Hospital ini juga dilengkapi dengan terapi muzik untuk para pesakit yang sedang mengalami gangguan jiwa. Setiap hari, hospital ini mampu melayani sebanyak 4000 pesakit. Perkhidmatan kesihatan di hospital ini diberikan kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira warna kulit, kaum dan agama. Bahkan yang lebih menariknya, pesakit boleh terus berada di hospital sehingga benar-benar sembuh. Dana dari Baitul Mal digunakan bagi membiayai mereka menerima rawatan termasuk untuk ubat dan makanan. Pesakit juga diberikan pakaian dan wang saku yang cukup sepanjang masa rawatan kerana mereka tidak dapat bekerja sepanjang tempoh berada di hospital. Semua hospital di dunia Islam ketika itu dilengkapi dengan ujian kelayakan untuk doktor dan jururawat, peraturan kesucian ubat, kebersihan dan kesegaran udara, serta pengasingan pesakit untuk penyakit tertentu [https://hekint.org/2017/02/23/bimarstan-al-mansouri/].
Semua bukti-bukti sejarah ini menunjukan dengan jelas bahawa dana operasi perkhidmatan kesihatan di dalam Daulah Khilafah diambil dari Baitul Mal. Persoalan yang timbul, apakah kewangan Daulah Khilafah mencukupi untuk menjamin perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat secara percuma, termasuk menampung berbagai kos rawatan, alat perubatan, inovasi teknologi rawatan terkini dan ubat-ubatan?
Untuk menjawab persoalan ini, kita harus berfikir berlandaskan wahyu dan secara fitrah. Hakikatnya, Daulah Khilafah mampu untuk membiayai perkhidmatan kesihatan untuk warganya kerana hukum yang diterapkan adalah hukum Islam dan teras pemerintahan adalah ketaqwaan. Penerapan hukum Islam mewajibkan negara untuk mengelola seluruh sumber daya alam dan harta milik umum, seperti hasil galian bumi, kekayaan laut, hutan dan lainnya agar dapat diagihkan kepada umat bukan sahaja di dalam bentuk jaminan perkhidmatan kesihatan, tetapi juga untuk pemenuhan hak asasi yang lain.
Khatimah
Kemunculan syarikat-syarikat insurans dan takaful ini sebenarnya adalah simptom kepada kerosakan akibat pelaksanaan sistem Kapitalisme sehingga pemerintah tidak dapat memberikan jaminan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh kepada rakyat yang memerlukan. Kehidupan kapitalis yang hanya berlandaskan manfaat semata-mata telah lama menimbulkan seribu satu macam kesengsaraan kepada manusia. Hanya penerapan Islam di bawah payung kekhilafahan dapat memberi menjamin perkhidmatan kesihatan kepada seluruh rakyat tanpa mengira warna kulit, agama dan kaum dengan memanfaatkan kekayaan alam dan keterlibatan seluruh elemen masyarakat sesuai dengan tuntutan syarak.