Jaminan Kesihatan di Masa Khilafah Abbasiyyah

Abu Bakar Muhammad bin Zakaria ar-Razi, atau dikenali sebagai Rhazes di dunia Barat, merupakan salah seorang pakar sains yang hidup antara tahun 251-313 H / 865-925 M. Beliau hidup pada zaman Khilafah Abbasiyyah, bertepatan pada era lapan Khalifah. Mulai daripada Khalifah al-Muntashir (861-862 M) hinggalah Khalifah al-Muqtadir (902-932 M).

Sebagai ilmuan sekali gus seorang doktor, ar-Razi memberikan panduan kepada murid-muridnya, bahawa tujuan utama para doktor ialah menyembuhkan orang sakit yang mana ini lebih besar berbanding niat untuk mendapatkan upah atau imbalan material yang lain. Mereka diminta memberikan perhatian kepada orang fakir, sebagaimana mereka memberi perhatian kepada orang kaya mahupun pegawai negara. Mereka juga mesti mampu memberikan motivasi kesembuhan kepada pesakitnya, meskipun mereka sendiri tidak yakin. Ini kerana keadaan fizik pesakit banyak dipengaruhi oleh keadaan psikologinya (Abdul Mun’im Shafi, Ta’lim at-Thibb ‘Inda al-Arab, hal. 279).

Perhatian di bidang kesihatan seperti ini tidak hanya terbatas di kota-kota besar, bahkan di seluruh wilayah Islam, hingga sampai ke pelosok, bahkan di dalam penjara-penjara sekalipun. Pada era itu, sudah ada dasar Khilafah dengan hospital bergerak. Hospital seperti ini bergerak dan masuk dari satu desa ke satu desa. Perlu dicatat di sini bahawa Khilafah pada waktu itu benar-benar memberikan perhatian kepada rakyat dalam bidang kesihatan dengan perkhidmatan terbaik, tanpa membezakan lingkungan, status sosial dan taraf pendapatan.

Wazir Ali bin Isa al-Jarrah, yang menjadi wazir di masa Khalifah al-Muqtadir (908-932 M) dan al-Qahir (932-934 M), dan dikenal sebagai wazir yang adil dan ahli hadis yang jujur, juga penulis yang produktif, pernah mengirim surat kepada ketua doktor di Baghdad, katanya:

“Aku berfikir tentang orang-orang yang berada dalam tahanan. Jumlah mereka ramai, dan tempatnya pun tidak kondusif. Mereka boleh diserang penyakit. Maka, kamu perlu menyediakan doktor-doktor yang akan memeriksa mereka setiap hari, membawa ubat-ubatan dan minuman untuk mereka, meronda ke seluruh bahagian penjara dan mengubati mereka yang sakit.” (Ibn Qifthi, Tarikh al-Hukama’, hal. 148)

Wazir Ali sendiri terkenal seorang yang kaya raya. Pendapatannya sebanyak 700,000 dinar sebulan. Tetapi, daripada 700,000 dinar itu, beliau infakkan untuk kemaslahatan umat sebesar 680,000 dinar, termasuk untuk wakaf dan lain-lain.

Para Khalifah dan penguasa kaum Muslimin di masa lalu, bukan hanya bergantung kepada bajet negara, tetapi kerana mereka juga ingin mendapatkan pahala yang mengalir, maka mereka pun mewakafkan sebahagian besar harta mereka untuk membiayai hospital-hospital, kos rawatan dan pengubatan pesakitnya. Pada masa itu, terkenal istilah Waqf Khida’ al-Maridh (wakaf mengubah persepsi pesakit). Sebagai contoh, Saifuddin Qalawun (673 H / 1284 M), salah seorang pemerintah di zaman Abbasiyyah, mewakafkan hartanya untuk mencukupi biaya tahunan hospital, yang didirikan di Kairo, iaitu Hospital al-Manshuri al-Kabir.

Dari wakaf ini juga, gaji para petugas hospital ini dibayar. Bahkan, ada petugas yang secara khusus ditugaskan untuk meronda sekeliling hospital setiap hari. Tujuannya adalah untuk memberi motivasi kepada para pesakit, dengan suara lemah lembut yang boleh didengari oleh pesakit, meskipun tidak melihat orangnya. Bahkan, al-Manshur al-Muwahhidi, mengkhususkan hari Jumaat, seusai menunaikan solat Jumaat, untuk mengunjungi hospital, khusus memberikan motivasi kepada pesakit.

Di antara motivasi masyhur yang diberi oleh para penguasa kaum Muslimin kepada pesakit adalah ungkapan Wazir Ali al-Jarrah,

“Mushibatun qad wajaba ajruha khairun min ni’matin la yu’adda syukruha (Musibah yang pahalanya sudah ditetapkan lebih baik berbanding nikmat yang syukurnya tidak ditunaikan).”

[Disunting dari sumber: http://hizb-indonesia.info/2012/07/05/jaminan-kesehatan-di-masa-khilafah-%e2%80%98abbasiyah/]