Kejayaan Islam di Masa Khilafah

Belum pernah wujud peradaban yang bertahan lebih dari 13 abad lamanya kecuali Khilafah Islamiyah. Sejak Rasulullah (saw) mendirikan Negara Islam yang pertama di Madinah dan kemudian diteruskan oleh para Khalifah, Islam diterapkan di tengah-tengah masyarakat yang majmuk secara nyata. Hasilnya, pelbagai kemajuan luar biasa telah dicapai.

Bukan hanya sebuah teori, kejayaan Islam itu adalah sebuah kenyataan. Bahkan kemajuan Islam itu telah mewarnai peradaban lain. Sebuah buku berjudul “What Islam Did For Us: Understanding Islam’s Contribution to Western Civilization” (London: Watkins Publishing, 2006), karya Tim Wallace-Murphy, memaparkan data tentang bagaimana perpindahan ilmu pengetahuan dari dunia Islam ke Barat pada zaman yang dikenali di Barat sebagai Zaman Pertengahan (the Middle Ages). Beliau mengatakan, bahawa Barat telah berhutang kepada Islam. ”Hutang Barat terhadap Islam adalah perkara yang tidak ternilai harganya dan tidak akan pernah dapat dibayar sampai bila pun,” menurut Tim Wallace-Murphy.

Sejarah keKhilafahan Islam memperlihatkan bagaimana “rahmatan lil alamin” memang ternyata wujud ketika umat Islam mengikuti dan menerapkan perintah Alllah (swt), di mana Al-Quran dipelajari dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dalam kehidupan dan pemerintahan negara. Umat Islam menjadi umat yang disegani dan dicontohi oleh bangsa dan negara lain.

Pendidikan

Pendidikan menjadi perhatian para Khalifah. Ini tidak lain kerana perkara itu telah dicontohkan oleh Nabi (saw). Perhatian Nabi terhadap bidang pendidikan ini sangat besar. Tidak hairan jika kemudian para Khalifah membangunkan pelbagai institusi pendidikan mulai pendidikan rendah sehingga ke peringkat pendidikan tinggi. Tujuannya tidak lain adalah untuk meningkatkan kefahaman umat terhadap agama, sains dan teknologi. Semuanya secara percuma.

Selama zaman keKhilafahan Islam tersebut, tercatat beberapa institusi pendidikan Islam yang terus berkembang dari dahulu hingga sekarang. Walaupun ada di antaranya hanya tinggal nama, namun nama institusi pendidikan Islam itu pernah mengalami puncak kejayaan dan menjadi simbol kegemilangan peradaban Islam. Beberapa institusi pendidikan itu, di antaranya, Nizhamiyah (1067 -1401 M) di Baghdad, Al-Azhar (975 M-sekarang) di Mesir, al-Qarawiyyin (859 M-sekarang) di Fez, Maroko dan Sankore (989 M-sekarang) di Timbuktu, Mali, Afrika.

Masing-masing institusi ini memiliki sistem dan kurikulum pendidikan yang sangat maju ketika itu. Beberapa institusi itu berhasil melahirkan tokoh-tokoh pemikir dan ilmuwan Muslim yang sangat disegani. Misalnya, al-Ghazali, Ibnu Ruysd, Ibnu Sina, Ibn Khaldun, Al-Farabi, al-Khawarizmi dan al-Firdausi.

Tidak hanya menerima pelajar dari kalangan warga negara sendiri, institusi pendidikan Islam ini juga menerima para pelajar dari Barat. Bahkan pemimpin tertinggi gereja Katolik, Pope Sylvester II, turut menjadi saksi keunggulan Universiti al-Qarawiyyin, kerana sebelum beliau menjadi Pope, beliau sempat menimba ilmu di salah satu universiti terkemuka di dunia saat itu.

Teknologi

Pada abad ke-8 dan 9 M, kaum Muslimin telah menemukan teknologi dalam bidang pertanian dan pengairan. Mereka telah mampu menghasilkan gandum yang tiada taranya.

Kecanggihan teknologi masa itu juga dapat dilihat dari peninggalan-peninggalan sejarahnya. Seperti senibina masjid Agong Cordoba; Blue Mosque di Konstantinopel; atau menara spiral di Samarra yang dibangun oleh Khalifah al-Mutawakkil. Istana al-Hamra (al-Hamra Qasr) yang dibangunkan di Seville, Andalusia pada tahun 913 M merupakan sebuah Istana terindah yang didirikan di atas bukit yang menghadap ke kota Granada.

Di bidang kesihatan, Khilafah memperkenalkan konsep hospital. Konsep ini belum pernah ada sebelumnya. Ketika itu di Eropah, orang yang sakit diubati secara mistik. Hospital yang pertama dibangunkan atas permintaan Khalifah al-Walid (705 M – 715 M). Pembangunan hospital secara masif dilakukan pada era Khalifah Harun ar-Rasyid (786-809 M). Setelah berdirinya hospital di Baghdad, sebuah bandar besar keilmuan ketika itu, kemudian muncul hospital-hospital yang lain di seluruh jazirah Arab.

Di setiap hospital, semua pesakit dari apa-apa agama dan suku kaum mana pun, dan dari kelas ekonomi apa pun boleh mendapatkan rawatan tanpa perlu sebarang bayaran. Tidak ada pesakit yang dinafikan hak untuk dirawat dan berubat. Wad pesakit lelaki terpisah dari pesakit perempuan.

Dalam bidang ketenteraan, mulai awal abad ke-12, para sarjana Islam menemukan dan mengembangkan peluru serbuk senapang serta senjata peledak. Pada masa pemerintahan Sultan Muhammad II, Khilafah Utsmaniyyah sudah mulai mengembangkan senjata meriam, yang paling maju ketika itu. Khilafah juga membangunkan tempat pembuatan kapal untuk menghasilkan kapal-kapal besar dan canggih sehingga mampu mengusai samudera.

Kesejahteraan

Hal lain yang menjadi ukuran sebuah peradaban adalah bagaimana suatu negara itu mampu menyejahterakan rakyatnya. Kejayaan ekonomi Khilafah telah muncul di awal-awal peradaban Islam.

Pada era pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab selama 10 tahun, di pelbagai wilayah yang diterapkan Islam, kaum Muslimin menikmati kemakmuran dan kesejahteraan. Buktinya, tidak ditemukan seorang miskin pun oleh Muadz bin Jabal di wilayah Yaman. Muadz adalah pembantu Rasulullah (saw) yang diutus untuk memungut zakat di Yaman. Pada masa Umar, Muadz pernah mengirimkan hasil zakat yang dipungutnya di Yaman kepada Umar di Madinah, kerana Muadz tidak menjumpai orang yang berhak menerima zakat di Yaman. Namun, Umar mengembalikannya. Demikianlah juga berulang pada tahun berikutnya. Umar pun memberikan gaji yang besar kepada para pegawai negara.

Hal yang sama terjadi di masa Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Semua rakyat pada waktu itu menjalani hidup dengan penuh kecukupan. Kemakmuran turut berlaku di Afrika, dan di merata penjuru wilayah Khilafah, seperti Iraq dan Basrah, sehinggakan tidak ada lagi orang miskin yang berhak menerima zakat.

Burung pun Diperhatikan

Khalifah Umar bin Abdul Aziz berhasil menyejahterakan rakyatnya, sehingga tidak ada lagi rakyatnya yang miskin. Pada suatu ketika, Umar Bin Abdul Aziz didatangi tetamu dari utusan wilayah Byzantium (Turki sekarang) untuk berbincang tentang penggunaan kelebihan gandum di perbendaharaan negara.

Umar pun memerintahkan mereka untuk menyalurkan gandum-gandum tersebut kepada seluruh fakir miskin, dan jika masih tersisa maka gandum-gandum itu disalurkan dalam bentuk bantuan ke negeri-negeri tetangga, termasuk negeri non-Muslim yang berdekatan.

Perintah itu pun dilaksanakan dan ternyata gandum masih tersisa sangat banyak. Tahun berikutnya, utusan tersebut datang lagi ke Damaskus untuk membahas hal yang sama dan jawapan Umar pun masih sama. Mereka pun melaksanakan perintah Khalifah.

Setelah itu, Khalifah memerintahkan, jika gandum itu masih tersisa: “Tebarkanlah gandum di puncak-puncak bukit, agar tidak ada orang yang berkata, ‘Ada burung yang kelaparan di negeri kaum Muslimin…” Subhanallah!

Disunting daripada artikel asal:

Sumber : Tabloid MU edisi 198

http://hizb-indonesia.info/2017/06/23/kejayaan-islam-di-masa-khilafah/