SN667 – Gencatan Senjata Gaza: Mengapa Kita Terus Dipermainkan

Bil: SN667 (PDF/Print) – 17 Sha’aban 1446 / 16 Februari 2025

Gencatan senjata antara Hamas dan entiti haram Yahudi akhirnya dimeterai dan berkuat kuasa pada 19 Januari 2025, selepas lebih 465 hari malapetaka yang meragut puluhan ribu nyawa dan kemusnahan seluruh infrastruktur serta fasiliti yang diibaratkan sebagai “neraka” dunia. Sejurus gencatan senjata, Malaysia menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Jepun di bawah kerangka Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi membangunkan semula Gaza di bawah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza. CEAPAD diperkenalkan oleh Jepun sejak tahun 2013 sebagai inisiatif diplomatik dan ekonomi untuk menyokong pembangunan Palestin. Kos membangunkan semula Gaza bakal menelan belanja ratusan bilion hingga trilion ringgit, satu jumlah yang amat besar, selepas kemusnahan total akibat dibedil bom yang disalurkan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada entiti haram Yahudi.

          Usaha sama ini membawa pelbagai reaksi masyarakat di Malaysia, umumnya menyokong, namun terdapat segelintir pihak yang menolak. Adalah munasabah jika ada masyarakat bukan Islam menolak usaha sama ini kerana pandangan dunia mereka yang kufur. Namun, jika seorang Muslim mempertikaikan peranan ini dengan alasan mengutamakan kebajikan negara sendiri, maka ia jelas merupakan kesan dari barah doktrin nasionalisme yang dipelopori Barat, yang menjadi ancaman dan racun terhadap kaum Muslimin.

          Sebagai umat Islam, kita tidak perlukan sebarang justifikasi untuk melakukan apa sahaja bagi membebaskan dan membangunkan semula bumi Palestin, selain ia adalah tanggungjawab seluruh umat Islam yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Sewajarnya, kita berani dan berbangga dengan tuntutan ajaran Islam yang mulia untuk membela dan bersatu dengan seluruh umat Islam tanpa mengenal bangsa dan bahasa, bukan berselindung atas nama tanggungjawab sosial, perjanjian antarabangsa, dan sebagainya.

          Kita harus berani menangkis naratif gagasan sekular yang mengelirukan, yang mentafsirkan malapetaka ini hanya sebatas peperangan antara dua entiti dan krisis kemanusiaan. Umat Islam harus berani mengungkap bahawa ini adalah peperangan antara keimanan dan kekufuran. Seluruh proksi kekufuran dunia bersatu merobek jantung keimanan, tetapi malangnya, kita bagaikan buih di lautan.

          Sudah pasti usaha membangunkan semula Gaza adalah penting, namun apa yang mendukacitakan adalah apabila usaha pembangunan semula Gaza menjadi tumpuan utama, meskipun menyedari bahawa gencatan senjata yang berlaku hanyalah “keamanan” yang rapuh dan tidak kekal. Meskipun gencatan ini memberi kelegaan kepada penduduk Gaza, hakikatnya ia memberikan lebih masa kepada entiti haram Yahudi untuk merancang operasi seterusnya dan mendapatkan bantuan daripada AS. Bahkan seluruh masyarakat dunia mengenali sikap entiti haram itu yang sering melanggar perjanjian gencatan senjata.

          Sudah berapa kali dan berapa banyak dana yang disumbangkan oleh negara dunia untuk pembangunan infrastruktur dan fasiliti di Gaza yang akhirnya hancur dibedil entiti haram Yahudi. Hal ini sudah pun terbukti apabila mereka terus melancarkan serangan besar-besaran di Tebing Barat sejurus gencatan senjata di Gaza bermula. Adakah wajar bagi dunia Islam menumpukan usaha membangunkan semula Gaza, yang menjadi mangsa, dalam keadaan pemangsa masih berkuasa dan bermaharajalela? Adakah ini benar-benar menyelesaikan masalah?

          Kemudian dunia dikejutkan pula dengan kenyataan Presiden AS, Trump yang berulang kali menyatakan rancangannya untuk mengusir rakyat Gaza dan mengambil alih semenanjung Gaza!  Sungguh ironi bagaimana pemimpin dunia Islam seakan tidak menyedari dan mengambil iktibar daripada segala perancangan jijik entiti haram Yahudi dan AS selama ini. Dunia Islam seperti dipukau dan sering dipermainkan seakan tidak menyedari ditipu berkali-kali.

          Meskipun umat Islam masih yakin akan pertolongan Allah dan menolak sebarang bentuk penjajahan di bumi Palestin apatah lagi menjalinkan hubungan dengan entiti haram Yahudi, namun para pemimpin dunia seolah hilang jati diri dan gagal memahami hegemoni kuasa besar yang zalim. Apa yang berlaku telah menjadikan seluruh masyarakat dunia menyedari wajah sebenar entiti haram Yahudi dan kejahatan serta hipokrasi AS dalam mengejar hegemoninya.

          Meskipun ramai yang sedar bahawa solusi dua negara yang dicanangkan sejak dahulu hanyalah helah untuk meneruskan hegemoni AS dan entiti haram Yahudi, para pemimpin Islam masih menaruh harapan kepada badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menegakkan keadilan dan membela dunia Islam. Dunia Islam seolah buta dari melihat PBB hanya menjadi alat percaturan hegemoni AS atas nama komuniti dunia. Selain dari Resolution 181 (1947) yang ditentang dunia Islam kerana membenarkan entiti haram Yahudi merampas lebih separuh tanah Palestin, entiti haram Yahudi tidak pernah sekalipun mengundi sebarang resolusi PBB yang menyokong kemerdekaan Palestin.

          Manakala AS pula hanya memberikan harapan palsu kepada dunia seperti mana syaitan memberikan harapan palsu kepada pengikutnya. AS telah menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB sekurang-kurangnya 44 kali sejak 1972 untuk menyekat sebarang resolusi yang mengkritik entiti haram itu atau menyokong kemerdekaan Palestin.

          Malangnya, ketika tangan AS masih dipenuhi darah umat Islam, negara-negara Arab terus-menerus mengkhianati dunia Islam. Bahkan, Muhammad Bin Salman (MBS), Perdana Menteri Arab Saudi, menghubungi Trump untuk merancang perluasan hubungan pelaburan dan perdagangan dengan AS dengan komitmen sebanyak 600 bilion dolar dalam tempoh empat tahun. Sebelum menjadi Putera Mahkota pada tahun 2017, MBS telah membina hubungan dengan pentadbiran Trump, terutamanya dengan Jared Kushner, menantu Trump yang juga merupakan penasihat kanan Rumah Putih. Kushner memainkan peranan penting dalam menyokong MBS semasa perebutan kuasa dalaman di Arab Saudi, termasuk operasi penyingkiran Putera Mahkota terdahulu, Mohammed bin Nayef.

          Hubungan Istimewa Trump-MBS inilah yang telah membawa keberhasilan selangkah ke arah normalisasi dan pengiktirafan Arab Saudi, UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi ke atas entiti haram Yahudi melalui Perjanjian Abraham Accords sewaktu penggal pertama pemerintahan Trump. Inilah antara sebab utama Hamas melancarkan operasi Taufan Aqsa dengan harapan dapat menggagalkan usaha AS untuk memastikan semua negara Arab mengiktiraf entiti haram Yahudi.

          Namun kita perlu faham bahawa tidak kira siapapun Presiden AS, polisi luar negara AS yang didasari Doktrin Monroe, Manifest Destiny dan Doktrin Truman untuk menguasai dunia tidak pernah berubah. Yang berubah hanyalah strategi dan pendekatan AS. Di antara strategi AS untuk menguasai Timur Tengah adalah melalui agenda “kestabilan serantau” yang penuh muslihat dah pengkhianatan.

          Trump akan meneruskan rancangan jahatnya pada penggal kedua ini dan lebih buruk apabila dia mengancam untuk merampas seluruh semenanjung Gaza dengan menghalau seluruh penduduk Gaza ke negara Arab lain. Bahkan Trump telah memberi bayangan kepada pemerintahan Mesir dan Jordan supaya tunduk kepada rancangannya sebagai balasan atas segala “bantuan” yang telah diberikan oleh AS kepada mereka selama ini.

          Sesungguhnya, segala rancangan jahat AS dan pemimpin Ruwaibidhah tidak akan berjaya dan tidak akan terlepas daripada kemurkaan serta keadilan Allah Azza wa Jalla, seperti firman-Nya:

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedangkan di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.”

[Surah Ibrahim: 46]

          Semangat solidariti dan kecintaan umat Islam terhadap bumi Palestin yang diberkati ini membuktikan bahawa satu-satunya penghalang kepada pembebasan dan pembelaan tanah serta rakyat Palestin adalah para pemimpin Ruwaibidhah. Sesungguhnya, di saat pemimpin Ruwaibidhah digantikan dengan pemimpin yang bertakwa serta dunia Islam bersatu dalam sebuah institusi Khilafah, maka itulah saat pengakhiran kepada entiti haram Yahudi dan hegemoni AS ke atas dunia Islam.

          Namun, impian ini tidak akan tercapai selagi dunia Islam tidak mencontohi kesungguhan, keberanian, dan ketabahan rakyat Gaza dalam menghadapi ujian yang begitu berat. Hanya dengan usaha penyatuan dunia Islam di bawah payung kekhilafahan, kekuatan dapat dibentuk untuk membela diri dan menegakkan keadilan.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka.”

[Surah Ar-Ra’d: 11]