SN668 -Perpecahan Persekutuan Ahzab Baru Semakin Ketara Selepas Pelantikan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump

Bil: SN668 (PDF/Print) – 26 Sha’aban 1446 / 25 Februari 2025

Masyarakat umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Eropah merupakan sekutu kuat yang sangat proaktif dalam memerangi umat Islam masa kini. Pakatan mereka dalam memusuhi umat Islam, yang mempunyai persamaan dengan peristiwa peperangan Khandaq, boleh digambarkan sebagai ‘pakatan Ahzab baru’ untuk era moden. Sejak keruntuhan Kesatuan Soviet, AS dan Eropah telah rancak melancarkan peperangan terhadap Islam atas nama “memerangi keganasan” (War on Terror).

            Mereka kerap menuduh umat Islam sebagai dalang kepada semua peristiwa yang berkaitan dengan keganasan. Mereka juga telah menyerang umat Islam di Afghanistan, Iraq, Palestin dan Syria dengan alasan membanteras keganasan serta menghalang kebangkitan semula negara Khilafah. Niat mereka ini jelas berdasarkan kenyataan bekas Presiden AS, George W. Bush pada September 2006, di mana beliau menyatakan bahawa umat Islam mahu mewujudkan Khilafah yang merentang dari Sepanyol hingga ke Indonesia, dan perkara ini mestilah dihalang sepenuhnya.

            ‘Pakatan Ahzab’ ini juga telah membantu secara langsung entiti haram Yahudi untuk memerangi umat Islam di Gaza sejak 7 Oktober 2023. Namun begitu, pakatan ini mula rapuh selepas perlantikan Presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump, selaku presiden ke-47 pada 20 Januari 2025. Perlantikan beliau telah memberikan kesan besar terhadap pola politik dan ekonomi dunia.

            Sebelum dan selepas upacara pelantikan rasmi, politik global mula kucar-kacir akibat beberapa kenyataan beliau yang mencetuskan spekulasi serta membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa. Akibatnya, polisi dan tindakan terkini Presiden Trump telah membawa cabaran besar kepada pakatan tradisional AS, mendorong ‘pakatan Ahzab baru’ ini untuk menilai semula strategi keselamatan mereka dan masa depan kerjasama mereka dengan Amerika Syarikat.

Dasar Trump: Aspirasi untuk Mengembalikan AS sebagai Kuasa Super

            Donald Trump merupakan Presiden AS yang gemar mengeluarkan kenyataan secara terus tanpa berbincang terlebih dahulu dengan anggota kerajaannya. Personaliti ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa aspirasi beliau berasal daripada niat peribadinya sendiri. Walaupun tindakan ini boleh menjejaskan hubungan diplomatik AS dengan negara lain, cita-citanya untuk menjadikan semula AS sebagai negara superpower amatlah ketara. Atas alasan ini, Trump telah melancarkan slogan “Make America Great Again” dengan mengenakan dasar-dasar baru yang mementingkan kepentingan AS secara eksklusif, tanpa mempedulikan sekutu-sekutunya.

            AS telah mengenakan tarif ekonomi ke atas kedua-dua negara lawan dan rakan. Tersentak dengan hal itu, Kanada, negara jiran AS, sudah mula mempertimbangkan untuk menjauhi AS dan mengambil langkah merapatkan hubungan dengan Eropah. Bukan itu sahaja, negara-negara Eropah juga sangat marah dengan tarif yang dikenakan ke atas mereka oleh AS. Usaha Trump untuk mengembalikan kuasa AS sebagai superpower berpunca dari persepsi bahawa AS telah ketinggalan dalam pelbagai aspek berbanding pesaing utamanya seperti Rusia dan China. Tindakan ini, pada pandangannya, dijangka mampu memulihkan pengaruh AS dalam politik global.

Cita-cita Kolonialisme Moden Trump

            Trump juga dilihat bercita-cita untuk menjadi penjajah moden dengan mengeluarkan kenyataan yang jelas mahu mengambil alih wilayah negara lain secara paksa. Antaranya adalah hasrat untuk menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 AS, dengan alasan bahawa Kanada tidak perlu lagi bimbang membayar tarif sebagai pampasan atas ketundukannya. AS turut bercita-cita membeli Greenland, wilayah autonomi di bawah Denmark, untuk meluaskan pengaruhnya di kawasan Artik. Kenyataan ini mencetuskan ketegangan bukan sahaja dengan Denmark, tetapi juga dengan seluruh Eropah yang menentang hasrat tersebut.

            Selain itu, AS juga mahu mengambil alih semula Terusan Panama dengan alasan bahawa China telah menguasai terusan strategik tersebut. Kesemua kenyataan ini telah mencetuskan api permusuhan dengan negara-negara sekutu  AS, sekaligus meretakkan hubungan diplomatik mereka. Akibat dari isu sebegini, tidak mustahil kedudukan AS sebagai kuasa global akan tumbang lebih cepat akibat pengasingan dalam hubungan antarabangsa.

Retaknya Hubungan AS-Eropah dalam Isu Ukraine

            Kesatuan Eropah (EU) juga dilihat sangat marah dengan tindakan AS yang berunding secara langsung dengan Rusia untuk menghentikan perang di Ukraine, tanpa memasukkan Ukraine sendiri ke dalam perbincangan tersebut. Tindakan ini memburukkan hubungan AS-Eropah kerana rundingan tersebut dianggap boleh memberikan kesan buruk kepada kepentingan Eropah, sambil menguntungkan Rusia yang dilihat mempunyai kelebihan politik dalam situasi peperangan semasa.

            Walaupun begitu, tujuan sebenar AS dipercayai mahu menggunakan rundingan tersebut untuk menjauhkan Rusia daripada bersekutu dengan China, Iran, dan Korea Utara. Tindakan ini, walaupun strategik untuk AS, telah memberikan kesan negatif yang ketara terhadap ‘pakatan Ahzab’. Setiap negara kini lebih cenderung mementingkan diri sendiri, sehingga meminggirkan isu-isu bersama seperti memerangi umat Islam. Hal ini secara tidak langsung memberi peluang kepada umat Islam untuk memperoleh manfaat dari perpecahan tersebut.

Isu Gaza: Rancangan Trump yang Kontroversi

            Isu penting umat Islam, iaitu isu Gaza, turut menjadi fokus utama Trump sebelum dan selepas pelantikannya sebagai presiden. Trump secara terang-terangan menyatakan hasrat untuk merampas Gaza dari tangan umat Islam secara paksa. Beliau mahu ‘membeli’ Gaza dan membangunkan tanah tersebut dengan infrastruktur moden untuk dihuni semula. Malangnya, pembangunan itu bukan untuk rakyat Gaza, tetapi untuk sekutu rapatnya iaitu entiti haram Yahudi.

            Menurut perancangan Trump, penduduk Gaza akan dihalau dari tanah air mereka ke negara-negara sekitar seperti Jordan dan Mesir. Rundingan dengan negara-negara Arab ini akan dijalankan melalui ugutan, pengkhianatan, dan penipuan, tanpa mengambil kira suara umat Islam sedunia. Walaupun negara-negara Arab tidak berpuas hati dan ingin menolak cadangan tersebut, faktor hutang budi mereka terhadap dana bantuan AS menyebabkan kesanggupan mereka untuk menolaknya diragui.

            Trump juga perlu sedar bahawa tanah Palestin adalah tanah kharajiyyah milik mutlak umat Islam sehingga hari kiamat. Sebarang pencabulan terhadap tanah ini pasti akan dituntut balas oleh umat Islam, meskipun buat masa ini, akibat pengkhianatan para pemimpin kaum Muslimin, ia masih belum dapat direalisasikan. Apabila umat Islam disatukan di bawah payung kekhilafahan kelak, tuntutan keadilan pasti akan berlaku.

Pengajaran dari Peperangan Khandaq: Perancangan Allah SWT Mengatasi Segala Tipu Muslihat

            Sebagaimana sirah peperangan Khandaq yang berakhir dengan kemenangan umat Islam akibat perpecahan dalam pakatan Ahzab antara kaum Quraisy, munafik Madinah dan Yahudi, situasi hari ini juga memperlihatkan pola yang serupa. AS, Eropah, dan sekutunya telah lama merancang untuk menjatuhkan Islam, tetapi mereka lupa bahawa Allah SWT adalah perancang terbaik. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:

“Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka. Dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya” [Al Imran : 54]

            Dalam konteks semasa, Presiden AS Donald Trump sendirilah yang nampaknya menjadi punca utama keretakan dalam ‘pakatan Ahzab baru’ ini. Setelah sekian lama menjajah dunia Islam dan menyokong rejim zalim di negara-negara umat Islam, pakatan ini kini di ambang kehancuran. Apabila negara-negara pakatan sibuk dengan agenda nasionalistik mereka, umat Islam yang lama ditindas seharusnya dapat mengambil peluang ini untuk kembali bersatu di bawah kepimpinan para pejuang Islam yang ikhlas. Serangan musuh terhadap Islam akan melemah akibat perpecahan mereka, membolehkan kaum Muslimin memperoleh kesedaran dan tidak lagi mudah tertipu oleh percaturan dan slogan Barat.

            Kehancuran ‘pakatan Ahzab baru’  yang diterajui Trump diharap akan mempercepatkan kebangkitan kaum Muslimin, membawa kepada tegaknya semua Daulah Khilafah. Pastinya, suara kebangkitan ini sudah semakin lantang didengari di serata dunia, termasuk di negara-negara bukan Islam. Apabila Khilafah kembali tegak, akan berbahagialah umat Islam kerana dapat menyaksikan pentadbiran dunia mengikut peraturan Allah SWT, yang menjamin kesejahteraan untuk seluruh alam.