SN673 – Haji 1446H: Gema Talbiah di Saat Gaza Bermandi Darah
Bil: SN673 (PDF/Print) – 7 Zulhijjah 1446 / 3 Jun 2025
Saban tahun, jutaan umat Islam menunaikan ibadah haji dan menyembelih korban sebagai tanda pengabdian kepada Allah (swt). Namun, ibadah yang penuh makna pada musim ini dibayangi derita saudara se-akidah kita di Gaza yang berhadapan kezaliman, dilanda kelaparan, malah ada yang meninggal dunia akibat kekurangan makanan dan bekalan asas. Krisis di Gaza kini mencapai tahap paling kritikal sejak konflik bermula pada Oktober 2023. Menurut laporan situasi yang dikeluarkan oleh UNRWA, setakat Mei 2025, lebih 54,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan hampir 122,000 cedera, dengan kira-kira 90% daripada 2.3 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah berulang kali akibat serangan udara dan darat entiti haram Yahudi serta sekatan bantuan yang berterusan.
Sejak entiti haram Yahudi mengenakan sekatan penuh pada 2 Mac 2025, akses kepada makanan, ubat-ubatan, dan bahan api telah terputus, menyebabkan kebuluran meluas dan lebih 66,000 kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang teruk. Di saat umat Islam di belahan dunia ini melaksanakan ibadah korban dan mengagihkannya kepada golongan yang memerlukan, saudara kita di Gaza dikepung dan diperlakukan sedemikian rupa. Kontradiksi ini jelas menuntut kita membuat introspeksi mendalam terhadap erti dan tujuan ibadah dalam konteks kesatuan umat Islam global.
Haji sebagai Wadah Penyatuan
Hakikatnya, ibadah haji bukanlah sekadar ritual semata-mata, tetapi merupakan wadah penting dalam menyatukan hati, jiwa, dan fikiran umat Islam seluruh dunia. Umat Islam berkumpul dalam keadaan sama rata tanpa mengira bangsa, keturunan mahupun status sosial. Namun, realiti mutakhir ini amat menyedihkan apabila kesatuan yang diharapkan melalui ibadah haji ini seolah-olah hilang maknanya apabila umat Islam terus berpecah belah, khususnya dalam mendepani isu kritikal seperti kemelut yang melanda Gaza.
Meski terdapat seruan agar tindakan tegas diambil bagi menangani krisis ini, namun suara-suara ini seakan-akan berlalu tanpa dihiraukan, khasnya oleh mereka yang mempunyai kekuatan dan wewenang untuk bertindak. Tidak lama dahulu, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia telah mengeluarkan fatwa menyeru jihad untuk mempertahankan bumi Gaza daripada kezaliman entiti haram Yahudi, dengan keutamaan bagi rakyat Palestin, diikuti oleh negara jiran seperti Mesir, Jordan, dan Lubnan serta seluruh negara Arab dan negara kaum Muslimin.
Namun malangnya umat Islam masih tidak mampu bersatu hati dan bertindak secara kolektif dalam menyahut seruan ini. Lebih parah lagi apabila terdapat negara-negara kaum Muslimin yang secara terbuka menolak fatwa jihad ini dengan pelbagai alasan, sekali gus melemahkan lagi perpaduan umat dalam menghadapi musuh yang nyata.
Situasi umat Islam hari ini menjadi semakin parah bukan sahaja kerana ketiadaan kesatuan, tetapi juga disebabkan oleh tindakan sesetengah pemimpin Muslim yang terang-terangan mengkhianati aspirasi perjuangan umat Islam sendiri. Hakikat ini dibuktikan buat kesekian kalinya dengan kunjungan Donald Trump ke Rantau Timur Tengah yang telah disambut dengan penuh penghormatan, seolah-olah dialah penyelesai segala permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam. Penguasa umat Islam, tanpa sekelumit izzah dalam diri mereka, telah meletakkan pengharapan kepada Trump untuk menyelesaikan isu Palestin.
Trump, melalui inisiatif Abraham Accord yang dipeloporinya sejak tahun 2020 secara terbuka menyeru kepada normalisasi hubungan antara negara-negara Arab, khususnya Arab Saudi, dengan negara haram Yahudi di saat bumi yang diberkati termasuk Gaza terus menderita akibat tindakan rejim Zionis yang disokong kuat oleh Amerika Syarikat. Sebelum ini, Donald Trump pernah mencadangkan secara angkuh dan biadap cadangan yang kontroversi dan tidak berperikemanusiaan untuk memindahkan penduduk Gaza ke Mesir dan Jordan. Walaupun cadangan tersebut tidak diterima secara rasmi, hakikat bahawa ia pernah dikemukakan sudah cukup menunjukkan betapa tidak rasional dan tidak bertanggungjawabnya pendekatan tersebut. Justeru, amat tidak wajar untuk meletakkan harapan terhadap individu yang mengemukakan cadangan sebegini bagi membela nasib rakyat Palestin. Ini bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap saudara se-akidah kita, bahkan jelas merosakkan kesatuan umat Islam dengan menjalin hubungan rapat dengan musuh yang nyata. Firman Allah (swt);
“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu” [TMQ Al-Mumtahanah (60):9].
Susulan daripada hubungan erat penguasa Saudi dan kecenderungan ke arah normalisasi hubungan, terdapat segelintir pihak yang menyeru agar umat Islam memboikot pelaksanaan haji yang tidak wajib (iaitu haji kali kedua dan seterusnya) sebagai tanda protes. Meskipun seruan ini menerima reaksi yang pelbagai daripada umat Islam, tetapi munculnya seruan boikot sebegini jelas menunjukkan betapa umat ini masih lagi hidup dan prihatin terhadap malapetaka yang menimpa saudara mereka di Palestin. Seruan ini juga menghantar mesej yang jelas bahawa umat Islam, baik yang bersetuju dengan seruan tersebut mahupun yang berbeza pandangan, tidak melupakan saudara mereka di Palestin di saat mereka memerlukan.
Namun para penguasa yang khianat dan mementingkan kedudukan masing-masing telah menyebabkan semangat kesatuan yang membara ini terpendam. Dalam pada itu, ‘solidariti’ sebegini juga diselubungi nasionalisme sebagai identiti politik tatanan Westphalia yang diwarisi daripada penjajah. Natijahnya, isu Palestin dilihat dari kacamata negara bangsa sehingga mengakibatkan segelintir umat Islam menerima usul penyelesaian dua negara (two-state solution) yang jelas mengkhianati hak umat Islam di Palestin yang dirampas Yahudi sebelum tahun 1967 lagi.
Sesungguhnya ibadah haji merupakan syiar agung yang menzahirkan kesatuan umat Islam di bawah akidah yang satu, kiblat yang satu, syariah yang satu, dan Rabb yang satu. Jutaan kaum Muslimin dari seluruh pelusuk dunia berhimpun di satu tempat, pada waktu yang sama, dengan tujuan yang sama, tanpa sebarang sekatan geografi atau perbezaan kewarganegaraan. Mereka bertakbir bersama, bertalbiah bersama, dan tunduk hanya kepada Allah (swt) semata-mata. Namun, betapa tragisnya apabila penyatuan ini hanya berlaku di Arafah dan Mina, tetapi tidak di medan kehidupan umat secara menyeluruh. Sekembalinya mereka ke kampung halaman masing-masing, umat Islam kembali tunduk kepada sistem sekular nasionalis warisan penjajah yang memecahbelahkan mereka kepada lebih 50 buah negara. Mereka kembali diatur oleh pemerintah yang mengabaikan syariah, bersekongkol dengan musuh Islam, dan membiarkan darah umat ditumpahkan tanpa pembelaan. Lihatlah apa yang berlaku di Gaza – tanah suci umat Islam yang dijajah dan diserang secara biadab, namun tidak ada satu pun negara Muslim yang menghantar bala tentera untuk membebaskannya. Di mana silapnya? Jawapannya jelas: Umat ini tidak memiliki perisai – yakni Khalifah yang akan memimpin mereka dengan hukum Allah, melindungi darah dan kehormatan mereka, serta menyatukan seluruh potensi umat dalam satu kekuatan politik dan ketenteraan.
Justeru, wajib ke atas umat Islam untuk menghayati hakikat di sebalik pelaksanaan haji dan ibadah korban sebagai seruan kepada penyatuan hakiki – bukan di bawah PBB, Liga Arab mahupun OIC – tetapi di bawah naungan Daulah Khilafah ala Minhaj Nubuwwah. Inilah satu-satunya jalan yang akan mengakhiri penderitaan di Gaza dan di mana-mana bumi umat Islam yang dinodai, serta mengembalikan kemuliaan umat sebagaimana yang pernah disaksikan di zaman para sahabat dan khalifah terdahulu.
Khatimah
Haji bukan sekadar ibadah ritual semata-mata, tetapi merupakan momentum strategik yang sepatutnya menguatkan perpaduan dan solidariti umat Islam secara global. Sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan bahawa solidariti umat Islam ketika menjalankan ibadah haji dan korban dimanifestasikan juga dalam usaha untuk membebaskan saudara-saudara kita di Gaza. Kaum Muslimin harus bersatu dan bertindak sebagai satu tubuh dalam menghadapi musuh-musuh Islam dan memperjuangkan keadilan, keamanan, dan kesejahteraan buat seluruh umat Islam.
Ibadah haji merupakan amanah besar dalam menyatukan seluruh kaum Muslimin, dan sudah tiba masanya untuk umat Islam mengembalikan tujuan asal ibadah ini, demi menyelamatkan nyawa serta maruah saudara-saudara kita yang sedang tertindas di seluruh dunia Islam, termasuklah di Gaza. Sebagaimana para dhuyuf ar-Rahman bertalbiah menyahut seruan Ilahi di tanah suci, marilah kita turut sama menyahut seruan Allah dan Rasul kepada orang-orang beriman apabila mereka diseru kepada sesuatu yang menghidupkan mereka, sebagaimana firman Allah (swt);
“Wahai orang-orang yang beriman! Sahutlah (panggilan) Allah dan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu…” [TMQ Al-Anfal (8): 41].
Seruan ini bukan hanya terbatas kepada ibadah peribadi, sebaliknya meliputi seluruh sistem kehidupan yang berasaskan wahyu, termasuk dalam urusan pemerintahan, keadilan, dan pembelaan terhadap umat. Dalam dunia hari ini, ketika darah umat Islam terus mengalir di Gaza, ketika agama dihina, dan ketika umat terpecah-pecah di bawah sistem kufur warisan penjajah, sahutan terhadap seruan ini menjadi lebih mendesak dari sebelumnya. Menyahut seruan ini bermakna menyambut perjuangan untuk menegakkan kembali kehidupan Islam secara menyeluruh melalui institusi Khilafah yang akan menyatukan umat di bawah satu kepimpinan, melindungi darah dan kehormatan mereka, serta menghidupkan syariat Allah di muka bumi. Inilah kehidupan yang dimaksudkan oleh ayat tersebut – kehidupan mulia di bawah naungan Islam secara kaffah.