SN675 – Perang 12 Hari Iran dan Entiti Yahudi – Demi Memenuhi Agenda AS Semata-Mata
Bil: SN675 (PDF/Print) – 9 Muharram 1447 / 4 Julai 2025
Timur Tengah tidak pernah sunyi dari peperangan sejak kejatuhan Khilafah 100 tahun yang lalu. Sekali lagi, Iran diserang oleh entiti Yahudi sejak 13 Jun selepas Iran terus menolak untuk menghentikan program nuklearnya. Apa yang pasti, entiti Yahudi tidak akan menyerang Iran tanpa lampu hijau daripada AS, walaupun Netanyahu telah lama berhasrat untuk melakukannya. Sejak perang itu meletus, entiti Yahudi telah membunuh beberapa saintis nuklear dan komander tentera yang terlibat dengan program nuklear dan misil Iran. Selain itu, entiti laknatullah itu juga telah memusnahkan fasiliti-fasiliti nuklear dan misil Iran, namun tidak mampu memusnahkan fasiliti yang terletak di bawah tanah.
Akhirnya, AS terpaksa turun tangan dan memusnahkannya sendiri. Trump telah mengarahkan tentera AS untuk mengebom tiga fasiliti nuklear Iran di bawah tanah, dan keesokan harinya, Trump mahu Iran dan entiti Yahudi menghentikan perang. Apakah tujuan utama AS mahu fasiliti nuklear Iran dimusnahkan? Mengapa AS memulakan peperangan, namun selepas 12 hari, ia sendiri yang menghentikannya? InshaAllah, SN kali ini akan cuba merungkai persoalan ini agar umat Islam sedar akan apa yang sedang berlaku di Timur Tengah dan tidak terpedaya dengan permainan musuh Islam, iaitu Trump dan AS.
Musuh Utama Amerika
Sebelum kita mengupas isu peperangan antara Iran dan entiti Yahudi, penting untuk kita memahami terlebih dahulu sasaran utama Amerika. Ini kerana AS merupakan kuasa penjajah yang mengawal rantau Timur Tengah ketika ini. Menyedari matlamat strategik Amerika akan membantu kita memahami perancangannya di rantau ini. Maka timbul persoalan: apakah sebenarnya matlamat Amerika ketika ini?
Jika kita menelusuri kembali era pemerintahan Presiden Biden, beliau pernah menyatakan:
“The world is changing. We’re engaged in a serious competition with China.” (Dunia sedang berubah. Kita sedang berhadapan persaingan sengit dengan China)
[Nikkei Asia, 1 September 2021]
Malah, semasa pentadbiran Presiden Donald Trump ketika ini, permusuhan terhadap China menjadi lebih ketara. Antara tindakan awal beliau dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya ialah mengenakan tarif ekonomi tertinggi ke atas China, melebihi mana-mana negara lain.
Selain itu, Setiausaha Negara AS, Mark Rubio, ketika bercakap di hadapan Senat AS pada 16 Januari 2025, mengatakan:
“China merupakan musuh utama bangsa ini (AS) yang paling berbahaya ketika ini. Ia memiliki elemen yang tidak dimiliki oleh Kesatuan Soviet seperti keupayaan bersaing dalam bidang ekonomi, industri, sains dan geopolitik.”
[YouTube, The Economic Times, 16 Januari 2025]
Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan bahawa China kini merupakan musuh utama Amerika Syarikat. Justeru, AS sedang memusatkan seluruh kekuatan dan sumbernya untuk menghadapi ancaman yang dibawa oleh China.
Dalam menghadapi cabaran China — khususnya dari sudut pengaruh koridor ekonomi — Presiden Biden telah melancarkan projek India-Middle East-Europe Economic Corridor (IMEEC) pada September 2023. Projek ini bertujuan menyaingi Belt and Road Initiative (BRI) yang diterajui oleh China. Namun begitu, antara cabaran utama dalam merealisasikan IMEEC ialah konflik ketenteraan yang berterusan di Timur Tengah — satu halangan besar yang perlu ditangani oleh AS bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan projek tersebut.
Abraham Accord: Langkah Strategik AS di Timur Tengah
Abraham Accord yang dimulakan oleh Presiden Donald Trump pada tahun 2020 merupakan langkah strategik penting bagi AS dalam misinya untuk menghapuskan konflik ketenteraan di Timur Tengah. Halangan utama di rantau itu ialah kewujudan entiti haram Yahudi yang menjadi pencetus kepada pelbagai konflik bersenjata dengan negara-negara serantau. Melalui perjanjian ini, beberapa negara Muslim — termasuk UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi — menormalisasikan hubungan dengan entiti tersebut, sekaligus mengkhianati umat Islam Palestin.
Dalam era Presiden Joe Biden, Arab Saudi turut menyatakan kesediaan untuk menyertai Abraham Accord namun dengan dua syarat utama: pertama, akses kepada program nuklear awam sebagai langkah menyeimbangkan pengaruh Iran; dan kedua, penubuhan negara Palestin yang merdeka.
Arab Saudi secara terbuka menuntut agar AS memberikannya laluan untuk membina keupayaan nuklear, sebagaimana dinyatakan oleh The Guardian (21 September 2023):
“Putera Mahkota (Mohammed bin Salman) ingin membina senjata nuklear sekiranya Iran melakukannya.”
Permintaan ini telah menyulitkan usaha Amerika untuk memeterai perjanjian normalisasi hubungan antara Arab Saudi dengan entiti Yahudi.
Dari sudut keselamatan entiti Yahudi pula, Presiden Biden lebih memberi tumpuan kepada usaha menamatkan ancaman kumpulan seperti Hamas dan Hezbollah. Namun, ancaman yang lebih besar — iaitu Iran — masih berterusan dan belum dapat ditangani secara tuntas.
Pelan Amerika Syarikat Menghapuskan Ancaman Iran
Sejurus Presiden Trump kembali memegang kuasa, misi menghapuskan ancaman Iran terhadap entiti Yahudi digerakkan dengan lebih serius. Pada Mac 2025, Trump menghantar surat rasmi kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dengan mesej yang jelas: Iran mempunyai dua bulan untuk menerima rundingan nuklear atau menghadapi akibat yang buruk. Iran tetap menolak kerana ia bukan sahaja diminta menghentikan keseluruhan program nuklearnya, malah membubarkan program peluru berpandu jarak jauh dan menghentikan semua keupayaan membina senjata nuklear. [Al-Arabiya English, 20/3/25]
Apabila tempoh 60 hari berakhir tanpa sebarang kemajuan dalam rundingan, pada 13 Jun Amerika Syarikat memberikan lampu hijau kepada entiti Yahudi untuk melancarkan serangan terhadap Iran. Dengan bantuan AS, entiti Yahudi menyerang pusat-pusat nuklear, fasiliti ketenteraan, serta kilang pembuatan dan simpanan senjata Iran, selain membunuh berpuluh-puluh saintis nuklear dan komander tentera Iran yang berkaitan dengan program tersebut. Kemuncak peperangan tercapai apabila, pada 22 Jun, Amerika Syarikat sendiri mengebom fasiliti-fasiliti nuklear bawah tanah Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan—kemudahan yang tidak mampu dimusnahkan oleh tentera Yahudi.
Perjanjian Damai Iran–Entiti Yahudi Pasca Perang
Selepas tentera Amerika Syarikat mengebom fasiliti nuklear bawah tanah Iran, keesokan harinya Donald Trump secara unilateral mengisytiharkan bahawa perang telah tamat dan memaklumkan bahawa Iran serta entiti Yahudi bersedia untuk mengadakan gencatan senjata kekal. “Israel dan Iran telah mencapai persetujuan penuh untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya (dalam kira-kira enam jam dari sekarang, apabila misi akhir mereka selesai), selama 12 jam. Selepas itu, perang ini akan dianggap tamat,” tulis beliau di Truth Social [Sinar Harian – 24/6/25].
Susulan pengisytiharan tersebut, CNN melaporkan bahawa pentadbiran Trump sedang menimbangkan untuk membantu Iran mengakses sehingga 30 bilion dolar bagi membangunkan program nuklear tenaga awam tanpa pengayaan uranium, melonggarkan sekatan ekonomi, dan melepaskan aset Iran yang dibekukan—semuanya sebagai sebahagian daripada usaha membawa Teheran kembali ke meja rundingan, menurut empat sumber yang arif tentang perkara itu. Duta Khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, pula menyatakan bahawa Iran boleh memiliki program nuklear awam yang aman, tetapi tidak dibenarkan memperkayakan uraniumnya sendiri; sebaliknya, Amerika Syarikat mencadangkan Iran mengimport uranium diperkaya seperti yang diamalkan Emiriah Arab Bersatu [CNN-26/6/25].
Perkembangan ini menunjukkan bahawa serangan yang dilancarkan oleh entiti Yahudi dan Amerika Syarikat terhadap Iran kali ini tidak bertujuan memusnahkan republik tersebut atau menggulingkan kepemimpinan tertingginya. Sebaliknya, tindakan itu bermatlamat memberi tekanan agar Iran menerima syarat rundingan yang sejajar dengan kepentingan Washington sebagai pencatur utama di Timur Tengah. Amerika Syarikat menolak keupayaan Teheran memperkaya uranium sendiri—kerana hal itu membuka ruang kepada pembangunan senjata nuklear—namun tetap membenarkan Iran menjalankan program nuklear awam dengan menggunakan uranium diperkaya yang diimport dari luar negara.
Kesimpulan
Berdasarkan fakta yang dikemukakan di atas, serangan terhadap Iran ternyata merupakan agenda Amerika Syarikat yang berobjektif khusus dan terhad—iaitu semata-mata menekan Teheran supaya akur kepada syarat-syarat rundingan yang telah digariskan Washington. Syarat-syarat ini pada hakikatnya membentuk suatu proses perlucutan senjata; apabila dipatuhi, Iran akan kehilangan keupayaan membina peluru berpandu dan senjata nuklear yang dapat menggugat lawan-lawannya.
Jika Iran tunduk kepada tuntutan tersebut, ancaman terhadap entiti haram Yahudi dapat dilenyapkan, manakala Arab Saudi tidak lagi memerlukan prasyarat program nuklear bagi menandatangani perjanjian normalisasi dengan entiti Yahudi. Dalam keadaan sedemikian, Amerika Syarikat akan dapat memperluas Abraham Accords dan meredakan konflik serantau, sekali gus menumpukan sepenuhnya sumber serta aset strategiknya untuk menghadapi musuh utama—China—tanpa perlu bimbang tentang kestabilan Timur Tengah.
Apa yang menyedihkan adalah, dalam AS berusaha memenuhi kehendaknya, para pemimpin umat Islam tunduk patuh kepada agenda penjajah Amerika Syarikat. Negara-negara kaum Muslimin menjadi “mandul” lantaran perlucutan senjata dan kekuatan, sedangkan musuh-musuh mereka—termasuk AS dan entiti Yahudi—bebas menumpahkan darah umat Islam tanpa takut akan serangan balas. Keadaan ini jelas bertentangan dengan perintah Allah SWT, yang mewajibkan umat Islam mempersiapkan kekuatan yang menggentarkan musuh:
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka segala kekuatan yang kalian sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, agar dengannya kalian menggentarkan musuh Allah, musuh kalian, dan orang-orang selain mereka yang kalian tidak mengetahuinya; Allah mengetahuinya.”
[Surah al-Anfal, 8:60]
Satu-satunya harapan umat Islam ialah kembalinya Khilafah ʿalā minhāj an-nubuwwah, yang akan menunaikan segala kewajiban syarak termasuk penyediaan senjata yang mampu menggentarkan musuh—seumpama senjata dan misil nuklear. Khilafah bakal menjadi perisai umat Islam dan penghalang kezaliman penjajah, tidak tunduk kepada sebarang tekanan kuasa imperialis seperti Amerika Syarikat. Malah, Khilafahlah yang akan menundukkan Amerika Syarikat bersama sekutunya, termasuk entiti haram Yahudi, sehingga pada saat itu umat Islam bergembira sebagaimana firman Allah SWT:
“…pada hari kemenangan itu, orang-orang beriman bergembira dengan pertolongan Allah. Dia memberi kemenangan kepada siapa yang Dia kehendaki; Dialah Yang Maha Kuasa, Maha Penyayang.”
[Surah ar-Rūm, 30:4-5]