SN678 – ASEAN di Bawah Telunjuk AS

Bil: SN678 (PDF/Print) – 19 Safar 1447 / 13 Ogos 2025

Asia Tenggara dikejutkan dengan konflik bersenjata antara tentera Thailand dan Kemboja sejak 24 Julai lalu, susulan ketegangan berdekad-dekad berhubung perebutan sempadan yang diwarisi dari era kolonial dan memuncak selepas insiden pembunuhan seorang anggota tentera pada Mei lepas. Pertempuran tercetus di sepanjang sempadan antara wilayah Preah Vihear di Kemboja dan wilayah Ubon Ratchathani di Thailand. Selama lima hari, pertempuran ini meragut 43 nyawa dan memaksa 300,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka [Berita Harian Singapura: 5 Ogos 2025].

            Situasi tersebut tidak terlepas daripada perhatian Amerika Syarikat (AS). Pada 27 Julai, Trump menyatakan bahawa beliau telah memaklumkan kepada pemimpin kedua-dua negara bahawa AS tidak akan memeterai perjanjian perdagangan dengan mereka selagi pertempuran tidak dihentikan [BH Online – 28 Julai]. Ekoran ugutan AS itu, kedua-dua negara segera bersetuju untuk mengadakan rundingan gencatan senjata yang dianjurkan oleh Malaysia bersama AS di Kuala Lumpur. Trump kemudiannya, melalui Truth Social, mendakwa dirinya berjaya menamatkan perang tersebut sambil menggelar dirinya sebagai “Presiden Keamanan” [Malaysiakini – 29 Julai].

            Namun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memuji kepimpinan PMX DS Anwar dalam menjayakan rundingan gencatan senjata sehingga kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menghentikan konflik. Kejayaan ini diumumkan oleh PMX selaku hos, Pengerusi ASEAN, dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana [SH – 29 Julai]. Begitulah bagaimana AS mampu menundukkan negara-negara ASEAN dengan mudah, sama ada dalam isu konflik ketenteraan mahupun rundingan tarif perdagangan yang sedang berlangsung ketika ini. Mengapa pengaruh AS begitu kuat di ASEAN?

Teori Domino dan Sejarah Pembentukan ASEAN

            Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua dan bermulanya Perang Dingin, Amerika Syarikat (AS) menubuhkan Southeast Asia Treaty Organization (SEATO) pada tahun 1954 sebagai satu bentuk pakatan ketenteraan serantau bagi membendung pengaruh komunisme di Asia Tenggara. Berpangkalan di Bangkok, SEATO dianggotai oleh AS, United Kingdom, Perancis, Australia, New Zealand, Pakistan, Thailand dan Filipina. Pada masa yang sama, AS sedang terlibat dalam Perang Vietnam (1955–1975), di mana Vietnam Utara disokong oleh kuasa komunis iaitu Kesatuan Soviet (USSR) dan China, manakala Vietnam Selatan pula disokong oleh kuasa kapitalis iaitu AS dan sekutunya.

            Namun, SEATO dilihat gagal mencapai objektifnya kerana tidak disertai oleh negara-negara utama rantau ini seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Negara-negara tersebut berpandangan bahawa SEATO hanyalah alat dominasi kuasa Barat. SEATO juga gagal menghalang kemenangan komunis di Vietnam Utara ketika itu. Kegagalan ini membimbangkan AS berdasarkan teori domino yang popular pada waktu itu, yang menyatakan: “Jika satu negara jatuh ke tangan komunis, negara-negara jirannya turut akan jatuh.” Kegagalan SEATO berpotensi membuka ruang kepada penyebaran komunisme ke negara-negara Asia Tenggara yang lain.

            Justeru, AS memerlukan sebuah organisasi yang dapat mengekang pengaruh komunisme di rantau ini tanpa memberikan persepsi bahawa AS mengawal organisasi tersebut. Dalam konteks inilah, tokoh-tokoh diplomatik serantau mula mengambil inisiatif membentuk kerjasama baharu yang lebih diterima negara-negara Asia Tenggara, termasuklah peranan penting yang dimainkan oleh Thanat Koman, Menteri Luar Thailand.

            Thanat Koman merupakan Menteri Luar Thailand dari tahun 1959 hingga 1971. Pada tahun 1962, beliau telah menandatangani perjanjian dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Dean Rusk, yang dikenali sebagai Rusk–Thanat Communiqué 1962. Dalam perjanjian tersebut, AS berkomitmen untuk mempertahankan keselamatan Thailand daripada ancaman luar, khususnya ancaman komunis. Usaha awal Thanat bermula pada tahun 1961 melalui penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang dianggotai oleh Thailand, Filipina dan Malaysia. Namun, ASA mendapat tentangan daripada Presiden Indonesia, Sukarno, kerana dianggap melemahkan kepimpinannya dalam Konferensi Bandung yang mempunyai tujuan serupa.

            Semasa ASA ditubuhkan, AS memberikan sokongan secara senyap memandangkan objektifnya selari dengan kepentingan Washington. Seperti yang dinyatakan dalam memo dalaman Jabatan Negara AS pada tahun 1966: “The U.S. should not interfere in regional associations such as ASA, but it should quietly support any grouping that fosters cooperation and resists Communist penetration.” (AS tidak seharusnya campur tangan dalam persatuan serantau seperti ASA, namun ia wajar secara senyap-senyap menyokong mana-mana kumpulan yang memupuk kerjasama dan menentang penyusupan komunis).

            Sokongan ini terbukti apabila AS membelanjakan USD1 bilion bagi menubuhkan Asian Development Bank (ADB) pada tahun 1965 untuk membantu mengukuhkan ekonomi negara-negara yang terlibat. AS juga berjaya meyakinkan British untuk menyetujui rancangan tersebut dengan hujah bahawa ia akan memberi keuntungan jangka panjang, termasuk mengurangkan beban ketenteraan bagi AS dan British di rantau ini.

            Selepas kejatuhan Sukarno, Thanat sekali lagi menggerakkan usaha untuk menyatukan negara-negara di rantau ini dengan menubuhkan ASEAN pada tahun 1967 melalui Deklarasi Bangkok. Pada peringkat awal, ASEAN dianggotai oleh lima negara, iaitu Thailand, Filipina, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Amerika Syarikat (AS) menyambut positif penubuhan ASEAN, manakala Kesatuan Soviet (USSR) mengkritiknya dengan melabelnya sebagai gabungan ketenteraan baharu, sementara China pula memilih untuk mengabaikannya. Kemudian, selepas berakhirnya Perang Vietnam, negara-negara di Indo-China turut menyertai ASEAN, menjadikan keanggotaan blok ini kini terdiri dari 10 buah negara.

Percaturan AS di ASEAN

            Sejak pelancaran Indo-Pacific Economic Framework (IPEF) oleh Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2022, negara-negara ASEAN dilimpahi janji pelaburan dalam sektor cip, bateri dan tenaga hijau. Namun, setiap geran disertakan dengan ‘buku panduan’ yang digariskan oleh Jabatan Perdagangan AS: sistem pelaporan buruh, senarai ‘sektor kritikal’, dan mesyuarat Majlis Rantaian Bekalan—kesemuanya berorientasikan Washington, sekali gus menjadikan ibu kota AS itu sebagai pusat rujukan bagi piawaian baharu serantau (supplychaindive.com).

            Dalam bidang ketenteraan, Pentagon memperluas capaian dengan mengakses sembilan pangkalan tentera di Filipina di bawah perjanjian EDCA, mengerah kapal induk USS Nimitz berulang kali di Laut China Selatan, dan menganjurkan latihan SEACAT 2024 yang menghimpunkan 21 negara untuk berkongsi radar serta data satelit—maklumat yang akhirnya mengalir ke pusat komando AS di Hawaii (AP News, cpf.navy.mil). Malaysia pula menerima 12 dron ScanEagle ‘percuma’ lengkap dengan perisian Amerika, membolehkan Washington memantau perairan negara ini tanpa perlu menempatkan pesawatnya secara berterusan (NST – 7 Jun 2019).

            Di Laut China Selatan, AS menonjolkan imej ‘polis laluan’ melalui rondaan kebebasan pelayaran (FONOP) dan rondaan udara bersama Filipina, sambil lantang mendesak Beijing mematuhi keputusan timbang tara 2016—penolakan terhadap nine-dash line—retorik yang turut menghalalkan kehadiran kekal armada AS di selat paling strategik Asia (Indo-Pacific Defense FORUM). Gabungan pengaruh ekonomi, jaringan penderia ketenteraan dan kempen undang-undang laut ini membentuk ekosistem di mana ASEAN, secara halus tetapi jelas, terikat pada skrip yang disusun oleh Washington.

            Mutakhir ini, kempen tarif timbal balik perdagangan di bawah Trump telah meningkatkan lagi penundukan negara-negara ASEAN terhadap kepentingan AS. Indonesia membuka pasaran seluas-luasnya kepada AS dan ‘dipaksa’ membeli 50 pesawat Boeing demi memperoleh pengurangan tarif perdagangan. Thailand dan Kemboja pula diugut oleh Trump untuk menghentikan peperangan sekiranya mahu meneruskan perdagangan dengan AS—hasilnya, gencatan senjata dicapai serta-merta. Malaysia turut ‘dipaksa’ membeli 60 pesawat Boeing melalui dua fasa, di samping lebih separuh daripada barangan eksport AS ke Malaysia dihapuskan cukainya. Semua fakta ini menunjukkan bahawa negara-negara ASEAN sukar melepaskan diri daripada percaturan AS, khususnya dalam aspek ketenteraan dan ekonomi.

Islam Akan Membebaskan Asia Tenggara daripada Cengkaman AS

            Walaupun secara rasmi ASEAN diisytiharkan bebas daripada pengaruh luar, dokumen dan rekod diplomatik menunjukkan bahawa AS memberi sokongan senyap demi memastikan pertubuhan ini selari dengan kepentingan strategiknya. Melalui gabungan pengaruh ekonomi, rangkaian ketenteraan, serta tekanan diplomatik, AS berjaya menjadikan ASEAN sebagai blok yang cenderung kepada kepentingannya. Negara-negara ASEAN terdiri daripada beberapa negara-bangsa yang berskala kecil dan berdaya tahan terbatas. Dengan sistem pemerintahan berorientasikan demokrasi dan kapitalisme, entiti-entiti ini menjadi rapuh di hadapan kuasa besar seperti AS.

            Namun, sejarah membuktikan bahawa Asia Tenggara—terutamanya wilayah kepulauan Melayu dari Aceh hingga ke Luzon—pernah berada di bawah naungan syariat Islam melalui pelbagai kesultanan Islam yang bernaung di bawah Khilafah Islamiyyah. Pada zaman tersebut, umat Islam bebas daripada cengkaman kuasa besar, bebas mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, serta giat menyebarkannya ke seluruh pelusuk rantau.

            Kesultanan-kesultanan Melayu Muslim pada era itu muncul sebagai entiti politik yang makmur, menguasai jalur perdagangan antarabangsa, dan memiliki kekuatan ketenteraan yang disegani—sehingga mampu meruntuhkan Empayar Majapahit. Maka, tidak mustahil sekiranya umat Islam di Nusantara kembali bersatu di bawah panji Khilafah dan menerapkan syariat Islam secara menyeluruh, mereka akan bebas daripada rasa gentar terhadap AS dan berupaya menyingkirkan pengaruhnya untuk selama-lamanya. Firman Allah SWT:

“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang telah Dia redai; dan Dia benar-benar akan mengubah (keadaan) mereka, setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa” [Surah An-Nur: 55].

Penutup

            Jelas sekali, ASEAN merupakan sebuah pertubuhan yang direka oleh Amerika Syarikat (AS) bagi mengawal negara-negara kecil di rantau ini demi memenuhi kepentingan strategiknya, iaitu menghentikan penyebaran komunisme dan mengekang pengaruh China. AS “membantu” serta bekerjasama dengan negara-negara ASEAN, khususnya dalam aspek ekonomi dan ketenteraan, bagi mencapai matlamat tersebut. Akibatnya, negara-negara ASEAN terpaksa tunduk kepada kehendak Washington, sama ada dalam keadaan damai mahupun ketika berperang, disebabkan kelemahan mereka berhadapan dengan kuasa besar tersebut. Tiada jalan lain bagi umat Islam di Asia Tenggara untuk membebaskan diri daripada cengkaman AS melainkan dengan kembali bersatu di bawah naungan Khilafah serta menerapkan syariat Islam secara menyeluruh. Hanya dengan cara itu mereka akan bangkit sebagai sebuah negara adidaya, sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Insya-Allah.